Tuesday, November 21, 2017

*Pengalaman Merawat Sakit Urat Eps 39*

MERAWAT SAKIT URAT

Kisah seterusnya berlaku pada awal bulan September 2017 ke atas seorang pesakit lelaki yang berumur dalam lingkungan 70-an, berlokasi di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Ketika itu hari Jumaat, perawat baru pulang dari masjid setelah selesai solat Jumaat dan setelah sampai di rumah, telefon bimbit tiba-tiba berdering. Anak kepada pesakit meminta perawat datang segera untuk merawat ayahnya yang dikatakan terbaring sakit mukanya pucat. Dikhuatiri terkena buatan orang, suara anaknya seperti kelam kabut meminta perawat datang seberapa segera. Pesakit memberitahu badannya telah sakit hampir 7 hari.

Setelah sampai di rumah, perawat pun duduk di sisi pesakit lelaki tua sambil membuat beberapa pertanyaan yang dijawab oleh anak-anaknya. Dinyatakan ayah mereka mengidap penyakit kencing manis yang tinggi dan bergantung pada ubat doktor. Masalah timbul bila ayah mereka tidak berpantang dalam memilih makanan. Jika dilihat keadaan pesakit dalam keadaan terbaring sambil menyebut Allah dan mengeluh rasa nak mati sama seperti filem P. Ramlee dalam siri Ali Baba Bujang Lapok. Bila dipandang, perawat nak kesian pun ada, nak tergelak pun ada. Tapi rawat tetap rawat.

Kemudian perawat memulakan sesi rawatan dengan pengesanan terlebih dahulu. Setelah selesai, kes masalah pesakit, perawat mengklasifikasikan hanya sebagai masalah penyakit fizikal yang tidak ada kena mengena dengan buatan orang. Bila perawat memeriksa tubuh pesakit, didapati banyak angin tersumbat yang menyebabkan perjalanan darah tidak lancar. Untuk memulihkan keadaan, perawat hanya menawarkan urutan satu badan bagi memperbetulkan keseluruhan urat-urat tersebut. Tiba-tiba pesakit lelaki tua ini terus mendesak untuk diurut satu badan memandangkan kedua-dua kakinya terasa menyucuk-nyucuk.

Setelah selesai rawatan urut satu badan, pesakit tersebut terus duduk bersandar lega sambil menghisap rokok seperti tidak ada apa yang berlaku. Kata pesakit semuanya dah okay. Jauh berbeza berbanding awal tadi yang mengeluh tak henti-henti.

Perawat menasihatkan pesakit jika ada terasa sakit menyucuk-nyucuk kaki, kebas-kebas, kesemutan dan sengal-sengal, jangan cepat-cepat meletakkan andaian dibuat orang atau terkena tuju-tuju atau gangguan jin tanpa dipastikan dulu sama ada memiliki penyakit fizikal atau tidak. Agar tidak berlaku fitnah atau menuduh orang lain yang tidak bersalah.

Bersambung kisah seterusnya dalsm jejak rawatan dan perubatan dengan pengalaman-pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di merata tempat...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Monday, November 20, 2017

*Pengalaman Merawat Gangguan Zat Jahat Serta Pemutusan Pertalian Dengan Alam Bunian Eps 38*

MERAWAT GANGGUAN ZAT JAHAT SERTA PEMUTUSAN PERTALIAN DENGAN ALAM BUNIAN

Siri pengalaman perawat kali ini membawa suatu kes rawatan ke atas seorang pesakit wanita, seorang peniaga kedai makan, yang tinggal di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam. Pesakit ini telah datang ke rumah kakaknya di Sg Ara, Pulau Pinang yang kebetulan perawat telah dijemput ke rumah oleh kakaknya itu untuk merawat pesakit wanita ini pada hujung bulan Ogos 2017.

Ketika sesi soal selidik, pesakit menceritakan tentang masalah yang berlaku dengan peniaga sebelah kedai makannya yang berketurunan siam dan juga masalah dengan jiran sebelah rumahnya yang juga berketurunan siam tetapi kedua-duanya mempunyai kad pengenalan malaysia kerana telah menetap di malaysia dalam tempoh yang lama.

Pesakit memberitahu dalam tempoh lebih 4 bulan, badannya merasa rimas setiap hari yang tidak diketahui puncanya, kekerapan sakit di bahu kirinya seperti ada sesuatu yang berat menempel atau berpaut pada bahu kirinya itu. Keadaan bahu kirinya makin bertambah berat bila berhadapan dengan perawat pada ketika itu.

Peniaga sebelah kedai makannya kerap mencari pasal dan bergaduh dengan pesakit ini yang boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku. Puncanya seperti yang dimaklumkan pesakit, kedai makan pesakit ini sentiasa ramai orang berkunjung dan keluarga pesakit yang sentiasa tolong menolong menjalankan tugas masing-masing sedangkan kedai makan peniaga sebelahnya jarang-jarang dikunjung orang selain suami isteri kerap bergaduh disebabkan masalah kewangan yang meruncing kerana kekurangan pengunjung yang datang.

Diceritakan lagi, pernah hadir ular tedung senduk di bahagian dapur kedai yang entah dari mana datangnya seperti ada orang sabotaj atau cuba memudaratkan kedai makannya. Ketika kehadiran ular tedung senduk dan ahli keluarga pesakit masing-masing dalam keadaan terkejut, kedengaran suara peniaga sebelah bersuara lantang menyebut agar pesakit wanita dan ahli keluarganya mati dipatuk ular. Persoalannya bagaimana peniaga kedai makan sebelah telah tahu kehadiran ular tedung senduk tanpa melihat terlebih dahulu? Pesakit wanita ini memberitahu ini bukan pertama kali ular tedung senduk tiba-tiba hadir di dapur kedai makannya tetapi telah beberapa kali berlaku hanya pada kedai makannya saja dan tidak pada kedai makan yang lain dan setiap kali ada ular tersebut, peniaga kedai makan akan lantang bersuara menyebut supaya pesakit dan ahli keluarganya mati dipatuk ular.

Kejadian aneh juga berlaku di rumahnya di mana jiran sebelah yang berketurunan siam tidak suka dengan keluarga pesakit kerana keluarganya sentiasa ceria dan tidak bergaduh suami isteri sedangkan jiran rumah sebelahnya boleh dikatakan setiap hari bergaduh dengan bermacam-macam isu ditimbulkan termasuk tidak puashati dengan keluarga pesakit. Kerapkali berlaku selepas waktu maghrib, kehadiran ulat-ulat putih memenuhi seluruh ruang rumah pesakit tanpa diketahui dari mana datangnya ulat-ulat putih tersebut. Ada waktu-waktu tertentu, jika tiada ulat putih yang muncul, akan hadir katak-katak memenuhi seluruh ruang rumahnya termasuk bilik tidur sehingga masing-masing mengambil penyapu untuk mengeluarkan katak-katak tersebut dari rumah mereka. Yang menghairankan pesakit, jiran-jiran yang lain tidak mengalami masalah tersebut walaupun sekali. Hanya rumah pesakit yang dijadikan mangsa keadaan.

Kerana telah kerap berkali-kali berlaku kejadian aneh, pesakit menceritakan dia berusaha mengambil suatu ilmu dari internet dan mengamalkannya tanpa usul periksa sehingga suatu hari, pesakit telah didatangi empat orang tua yang memperkenalkan diri masing-masing dari alam bunian. Mereka berempat datang ingin menghulurkan bantuan tetapi pesakit terkejut kerana sangkaannya dia meminta kepada Allah untuk bantuan tetapi telah mengambil suatu ilmu dari internet yang pesakit sendiri pun tidak tahu jenis ilmu tersebut.

Pada mulanya, pesakit telah menggunakan bantuan empat orang tua bunian ini secara tidak langsung yang telah menyelamatkan kedai makan dan rumahnya dari kejadian yang pelik-pelik, tetapi lama kelamaan matanya sentiasa boleh nampak susuk tubuh empat orang tua yang dikatakan datang dari alam bunian ini seperti nyata yang menyebabkan dia jadi keliru dan mula risau. Setiap kali akan berlaku sesuatu, keempat-empat orang tua bunian ini akan hadir dan memberitahu pesakit supaya bertindak. Dari situlah pesakit mula sedar, ilmu apakah yang dia telah ambil dari internet dan mengamalkannya, tidak diketahui. Akhirnya pesakit meminta perawat memulihkan dirinya semula dan tidak mahu lagi berjumpa dengan bunian tersebut.

Semasa sesi rawatan, perawat membuang zat-zat jahat di dalam tubuh pesakit termasuk sesuatu yang menempel seperti tempurung kelapa melekat di bahu kirinya. Setelah dimusnahkan zat jahat, pesakit memberitahu badannya ringan dan bahu kirinya tidak lagi berat.

Kemudian perawat mengarahkan pesakit beriktiqad dalam hati menyesali, memohon ampun kepada Allah dan redha untuk dibuang segala ilmu batil yang telah diamalkannya dari internet. Kemudian perawat memanggil keempat-empat orang tua bunian tersebut supaya hadir di depan pesakit ini. Bersaksikan keempat-empat bunian tersebut, perawat memutuskan pertalian dan hubungan mereka dengan pesakit wanita ini serta kembali mereka ke alam bunian semula dan menutup hijab pesakit wanita ini.

Apabila selesai rawatan, perawat seperti biasa akan bertanya apa yang dirasai oleh setiap pesakit semasa rawatan. Pesakit wanita ini memberitahu ketika ilmu batil dibatalkan dan pertalian serta hubungan dengan keempat-empat bunian hendak diputuskan, terasa sesuatu yang panas dari bahagian bahu naik ke kepala dan terus keluar. Kemudian fikiran terasa lapang dan hati tenang. Pesakit dibekalkan amalan serta air untuk minum dan mandian bagi memulihkan semula dirinya. Pesakit juga telah dinasihatkan supaya kembali bertaubat di atas kesilapan sendiri, jangan mengamalkan suatu ilmu yang tidak diketahui lebih-lebih lagi dari sumber internet dan jika ingin belajar merawat diri dan keluarga, perlulah menyelidik dan mencari guru yang benar agar tidak tersilap langkah dengan sesuatu ajaran. Pesakit pulang ke Bukit Kayu Hitam keesokan harinya.

Kepada pembaca, bekas pesakit, kenalan dan rakan fb yang mengikuti kisah pengalaman-pengalaman perawat dari mula sampai sekarang, jadikan iktibar dan peringatan untuk setiap kisah yang dipaparkan agar sedikit sebanyak memberi sedikit pengetahuan dan pemahaman pada diri sendiri.

Nantikan kisah berikutnya dalam jejak rawatan dan perubatan dalam pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi berlaku di sekeliling kita...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Sunday, November 12, 2017

*Pengalaman Merawat Ilmu Tuntutan Eps 37*

MERAWAT ILMU TUNTUTAN

Pengalaman seterusnya perawat telah dijemput dan dibawa ke sebuah rumah kampung yang berlokasi di Simpang Empat, Semanggol, Perak pada pertengahan Ogos 2017. Kali ini perawat merawat seorang pesakit wanita yang telah tua dan keadaannya yang dimaklumkan oleh anak-anaknya, ibu mereka sudah tidak mengenal diri ahli keluarga.

Perawat duduk di sebelah pesakit wanita tua ini, sebelum memulakan sesi rawatan, dengan tujuan untuk diajak berbicara serba sedikit bagi mengetahui kisah silamnya. Anak-anaknya memberitahu ketika kakak sulung mereka meninggal dunia 5 tahun yang lalu, ibu mereka tidak dapat menerima kenyataan lalu terus menjadi sebak, murung dan tidak mahu bercakap dengan sesiapapun sehinggalah keadaannya menjadi nyanyuk.

Perawat juga ada bertanyakan anak-anak pesakit adakah ibu mereka menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam iaitu mendirikan solat, berzikir atau mengaji al-quran, bersedekah atau lain-lainnya... anak-anak pesakit menjawab semuanya suram.

Sambil bersembang dengan pesakit wanita tua ini, perawat berbisik untuk bertanya adakah pesakit mengamalkan sebarang ilmu atau mentera semasa zaman mudanya dulu, pesakit mengangguk menyatakan ada. Kemudian perawat meminta baik-baik agar pesakit membacakan mentera tersebut di telinga perawat untuk kepastian. Jelas sekali pesakit masih tetap ingat amalan mentera tersebut yang diamalkannya setiap hari sehinggalah dia nyanyuk. Kemudian perawat bercakap baik-baik bahawa amalan ini tidak elok untuk diamalkan dan boleh memudaratkan diri sebelum kematian. Jadi perawat menasihatkan pesakit agar diizinkan perawat membatalkan keseluruhan ilmu tuntutannya itu kerana ia tidak memberi sebarang faedah pada dirinya kelak. Pesakit terus mengangguk dan berkata ya.

Setelah dibatalkan ilmu tuntutan keseluruhannya, perawat meminta pesakit mengucap syahadah tetapi pesakit tidak dapat menyebutnya. Kemudian perawat lafazkan tahlil (Lailahaillallah) di telinga pesakit dan minta pesakit melafazkannya. Pun juga pesakit tidak mampu untuk menyebutnya. Kemudian perawat melafaz kalimah Bismillah di telinga pesakit dan minta pesakit melafazkannya. Masih juga pesakit tidak dapat melafazkan. Dan akhir sekali perawat menyebut Allah sebanyak 3 kali di telinga serta minta pesakit melafazkannya, tetap pesakit tidak dapat menyebut nama Allah. Na'uzubillahi minzalik.

Perawat meminta jasa baik anak-anak pesakit yang ada pada ketika itu setelah menyaksikan apa yang berlaku, agar mereka semua berdoa memohon keampunan bagi ibu mereka dan setiap hari diajarkan kalimah tahlil atau paling tidak pun menyebut Allah di telinga ibu mereka, mudah-mudahan ibu mereka mendapat keampunanNya dan boleh melafazkan nama Allah sebelum hari terakhir menjelang.

Kepada pembaca/kenalan/pesakit yang sentiasa mengikuti kisah-kisah pengalaman perawat, jadikanlah setiap ujian dan musibah itu sebagai iktibar untuk muhasabah dan memperelokkan amalan dan bekalan diri sebelum tiba hari-hari terakhir kita. Elakkanlah mengambil atau mengamalkan ilmu-ilmu batil yang tidak diajarkan oleh Islam dan sunnah, serta ilmu-ilmu mistik yang berkaitan atau berdampingan dengan kejinan yang boleh membawa syirik dan jatuhnya syadahah anda kepada Rabbul 'Alamin. Sehinggakan lidah tidak dapat melafaz syahadah atau menyebut nama Allah, maka tiada jalan lain untuk kesembuhan selain bertaubat bersungguh-sungguh menyesali kesilapan diri.

Ikuti kisah pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan perawat dalam berhadapan dengan pelbagai kes gangguan...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

*Pengalaman Merawat Gangguan Zat Jahat Eps 36*

MERAWAT GANGGUAN ZAT JAHAT

Pengalaman berikutnya, perawat telah diperkenalkan kepada seorang pesakit wanita yang tinggal di Sg Ara, Pulau Pinang, melalui seorang pesakit wanita yang sebelum ini pernah berikhtiar berubat dengan perawat. Kes berlaku pada awal Ogos 2017 di mana perawat telah dijemput ke rumah pesakit pada sebelah petang.

Diceritakan oleh pesakit, gangguan telah berlaku pada dirinya selama 2 minggu di mana antara simtom-simtom gangguan yang dihadapi adalah susah tidur tanpa sebab yang tidak diketahui, mimpi ular hitam, kerap terjaga malam seperti dikejutkan seseorang, badan terasa panas, sejuk dan seram sejuk serta kerapkali sakit kepala. Pemeriksaan doktor telah dibuat tetapi doktor menyatakan pesakit tidak menghidapi sebarang penyakit.

Sesi rawatan pertama telah dilakukan di mana terdapat zat jahat menduduki di bahagian-bahagian tertentu tubuh pesakit. Perawat telah memusnahkan zat-zat jahat tersebut dan yang paling ketara adalah di pinggang pesakit di mana pesakit memberitahu seperti terasa ada sesuatu yang tajam menyucuk di dalam pinggangnya itu. Perawat telah mengeluarkan dan memusnahkan zat jahat tersebut. Proses rawatan hanya mengambil masa 15 minit dan rawatan selesai.

Setelah selesai rawatan, menjadi rutin kebiasaan perawat akan bertanya bagaimana keadaan pesakit dan apa yang dirasakan semasa proses rawatan berlaku. Pesakit menyatakan kepalanya yang mula-mula serabut telah menjadi tenang seperti ada sesuatu yang berat hilang dari dalam kepalanya. Ketika perawat fokus pada bahagian pinggang belakangnya, pesakit memberitahu seperti terasa batang paku dikeluarkan ketika perawat menarik keluar zat jahat dan memusnahkannya.

Untuk makluman umum, walaupun pesakit telah merasa selesa atau merasa seakan telah pulih selepas sesi rawatan pertama, perawat menekankan di sini, pesakit masih tetap perlu untuk meneruskan rawatan susulan bagi pengesahan dan kesempurnaan rawatan sepenuhnya. Ada di antara pesakit-pesakit perawat, hanya beberapa saja tidak semua, yang tidak mengikuti nasihat perawat dan setelah beberapa lama kembali sakit dengan gangguan yang lain tetapi malu untuk menghubungi perawat semula kerana rasa bersalah mengingkari nasihat perawat dari mula. Inilah yang telah berlaku pada pesakit ini yang tidak mahu meneruskan rawatan susulan setelah diberi penerangan kerana merasa selesa dengan perasaan sangka-sangkanya sendiri.

Teruskan meniti kisah pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan perawat menelusuri pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku dalam masyarakat kini.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

*Pengalaman Merawat Masalah Pundi Kencing Dan Ovari Eps 35*

MERAWAT MASALAH PUNDI KENCING DAN OVARI

Pengalaman berikutnya berlaku pada pertengahan Julai 2017 di mana seorang pesakit perempuan ingin berikhtiar dengan kaedah perawat atas rekemendasi daripada kenalannya. Rumah pesakit terletak di kawasan Relau, Pulau Pinang dan mengikut penjelasannya, pesakit telah mengalami masalah ini lebih 21 tahun sejak usia remaja lagi.

Semasa sesi temubual, pesakit memberitahu antara simtom penyakitnya ialah susah tidur dan tidak diketahui sebabnya serta haidnya tidak menentu yang kadangkala datang 3 bulan atau 6 bulan sekali. Mengikut keputusan ujian hospital, doktor sakit puan memberitahu bahawa pesakit mengalami masalah rahim di mana rahimnya agak kecil untuk dibandingkan dengan tubuhnya yang besar dan tinggi serta kebarangkalian untuk mengandung adalah tipis. Juga pemeriksaan ovarinya mendapati tiada benih yang dihasilkan dalam air mani yang keluar. Masalah kerap kencing baru saja berlaku lebih kurang dalam masa setahun.

Pada sesi rawatan pertama, perawat membuat pengesanan (scanning) untuk pengesahan kategori penyakit. Setelah selesai pengesanan, perawat mengklasifikasikan masalah ini adalah penyakit fizikal di mana masalah pesakit adalah pada rahim, ovari dan pundi kencing yang telah dikesan. Pesakit memberitahu jika meminum setengah cawan air atau terasa ingin membuang air ketika di tempat kerja, kadangkala tidak sempat sampai ke tandas, air kencing telah menitis keluar membasahi seluar. Jadi pesakit terpaksa membawa lebihan seluar setiap kali datang ke tempat kerjanya.

Perawat telah berikhtiar merawat bahagian pundi kencingnya sebanyak lima kali dan keadaan pundi beransur baik di mana pesakit tidak lagi merasa air kencing menitis jika tidak sempat ke tandas. Dan jika terasa hendak kencing, pesakit masih boleh bertahan 15-30 minit sebelum ke tandas tanpa terkencing di dalam seluar.

Pada rahimnya, perawat mendapati tiada masalah cuma mungkin saiz rahim seperti yang dinyatakan oleh doktor pakar, mempunyai peluang yang tipis untuk mengandung. Dan ketiadaan benih dalam ovari juga merupakan salah satu faktor.

Merawat penyakit fizikal adalah salah satu ikhtiar perawat. Adakalanya pulih adakalanya masih tidak berubah. Hanya kesembuhan dengan kembali kepada Allah ke atas semua penyakit dan musibah.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Saturday, November 4, 2017

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Luaran Dan Zat Jahat Eps 34*

MERAWAT GANGGUAN JIN LUARAN DAN ZAT JAHAT

Bertemu kembali dalam episod ke-34, pengalaman perawat menghadapi beberapa situasi rawatan ke atas pesakit dengan penyakit misterinya.

Kali ini perawat ingin berkongsi pengalaman merawat seorang pesakit wanita di mana rumahnya berlokasi di Gertak Sanggul Pulau Pinang. Kes rawatan terjadi pada awal Jun 2017 minggu pertama. Dikhabarkan pesakit wanita ini telah mengalami gangguan selama 18 bulan tetapi dalam tempoh 6 bulan penghujung ini, pesakit akhirnya mengambil tindakan untuk ikhtiar berubat kerana tidak dapat menanggung beban gangguan yang semakin lama semakin parah pada tubuh badan pesakit sendiri. Jadi dalam tempoh 6 bulan penghujung ini, pesakit berusaha berubat merata tempat sehinggalah pesakit sendiri mendengar perkhabaran tentang nama perawat memulihkan beberapa orang kampungnya yang pernah terkena beberapa jenis gangguan ghaib dan misteri, tidak jauh dari rumahnya.

Mengikut keterangan pesakit wanita ini, antara simtom gangguan yang dialaminya adalah sentiasa merasa diri diperhatikan ketika berada di dalam rumah, kerap mimpi buruk seperti ular, jatuh dari tempat tinggi, tempat kotor dan lain-lain, kerap terjaga malam secara tiba-tiba terkejut, jantung berdegup laju, dada berdebar-debar, pernah sekali ditindih, pernah sekali mendapat kesan lebam di kaki, sakit kepala setiap hari yang agak teruk dan kadangkala sampai nak termuntah, loya dan pening, rasa benda bergerak-gerak di dalam rahim seperti ada bayi di dalam perut dan keadaan fizikal perut seperti pesakit sedang mengandung 4 bulan walhal selepas pemeriksaan oleh doktor, tidak menunjukkan sebarang kehadiran bayi di dalam perut serta keadaan bahu pesakit pada ketika itu terasa sakit sentiasa seperti ada orang atau sesuatu duduk atau berpaut pada bahunya.

Pesakit juga memberitahu bekas suaminya mengamal suatu ilmu sesat sehingga keilmuan itu memakan diri bekas suaminya menjadi seperti gila isim atau separuh gila, ketika masih dalam perkahwinannya...bermacam-macam perkara pelik dan aneh berlaku di dalam rumah terdahulu sehinggalah pesakit menyelidik bahawa bekas suaminya pada ketika itu mengamalkan ilmu sesat dan jauh sekali dari ajaran Islam. Selepas bercerai dan dalam tempoh menjanda selama setahun, boleh dikatakan setiap malam pesakit disetubuhi oleh jin sehingga menyebabkan kitaran haid tidak sempurna di mana adakalanya datang setakat 2-3 hari dan adakalanya datang 3-4 bulan tetapi habis dalam jangkamasa yang sangat pendek. Setelah berkahwin untuk kali kedua, simtom persetubuhan dengan jin tidak lagi berlaku tetapi simtom-simtom gangguan seperti perawat telah maklumkan awal-awal di atas mula muncul secara mendadak dan semakin parah.

Pada sesi rawatan pertama, luarbiasa sekali apabila perawat mendapati seluruh tubuhnya mengandungi zat jahat yang tidak dapat diketahui dari mana datangnya. Ketika rawatan, pesakit menangis kerana menahan sakit dan panas, apabila perawat membuang sedikit demi sedikit zat-zat jahat yang telah lama bertapak dalam tubuh sehinggalah keadaan pesakit mula tenang dan sedikit ringan. Pada rawatan pertama itu perawat ma'rifatkan pada tubuh pesakit menjadi sejuk dan menawarkan bisa-bisa di dalam badannya. Selepas tempoh 45 minit rawatan, pesakit menyatakan keadaan dirinya lega dan ringan. Air minum dan mandian dibekalkan kepada pesakit untuk membantu.

Kebiasaannya untuk rawatan dengan perawat seharusnya pesakit tidak digalakkan dan tidak boleh menjarakkan masa untuk suatu tempoh yang panjang kerana dikhuatiri mungkin akan berlaku serangan atau pencerobohan disebabkan sesi rawatan masih belum selesai dan sempurna penutupannya. Pesakit wanita ini tidak mengikut saranan nasihat perawat di mana rawatan susulan kedua telah dijarakkan melebihi 30 hari dari tarikh rawatan pertama.

Ada beberapa orang pesakit yang tidak mengendahkan nasihat perawat selepas dirawat pada sesi pertama kerana merasakan diri sudah sihat dan pulih sedangkan proses rawatan perawat masih belum sempurna diselesaikan dengan baik. Maka beberapa orang pesakit tersebut kembali sakit tetapi malu untuk berjumpa semula dengan perawat kerana sedar akan kesilapan diri sendiri lalu berubat dengan perawat lain tetapi tidak menampakkan sebarang tanda pemulihan. Inilah di antara kesilapan dan kedegilan beberapa orang pesakit yang berfikiran singkat dan negatif kerana tidak mengendahkan nasihat dan adab rawatan menyebabkan simtom gangguan pada diri mereka tidak pulih-pulih pada kesudahannya.

Sesi rawatan susulan kedua diteruskan pada hujung bulan Julai 2017 iaitu 51 hari telah dijarakkan oleh pesakit wanita ini. Semasa soal jawab, pesakit memberitahu keadaan dirinya bertambah-tambah sakit dari kesakitan sebelum sesi rawatan pertama, sakit kepala dan pening-pening yang agak teruk, dari bahu kanan turun ke tangan kanan dan turun sehingga ke seluruh kaki kanan menjadi sakit, seperti ada sesuatu pada bahagian tubuh sebelah kanan dan terlalu kerap terjaga malam kerana terkejut-kejut. Inilah antara sebabnya mengapa rawatan susulan tidak boleh dijarakkan terlampau panjang kerana mengakibatkan gangguan sakit dirasai 3 kali ganda dari yang sebelum ini. Sebaik-baiknya rawatan susulan tidak melebihi tempoh 7 hari dari rawatan sebelumnya.

Rawatan kali kedua ini mengambil masa lebih dari 1 jam kerana makin bertambah zat-zat jahat dalam tubuh pesakit. Perawat juga telah membuang sesuatu yang melekat di bahu kanan pesakit yang seakan-akan siput atau tempurung kelapa sebesar 2 tapak tangan ditadah. Zat jahat tersebut melekat agak kuat berkemungkinan akarnya telah menjalar hingga ke dasar tulang tubuh. Ketika ditarik, pesakit mengadu sakit tetapi perawat berikhtiar sebaik mungkin sehingga berjaya dipisahkan pada bahunya. Pada seluruh tubuh pesakit, perawat berikhtiar memusnahkan sedikit demi sedikit zat-zat jahat yang tidak diketahui dari mana datangnya begitu banyak. Walaupun banyak zat jahat yang telah dimusnahkan, pesakit masih lagi merasa adanya sakit tetapi masih boleh bertahan.

7 hari selepas rawatan kedua, susulan rawatan ketiga dimulakan. Kali ini, perawat menjemput seorang sahabat perawat yang mempunyai ijazah keilmuan dan satu guru perubatan dengan perawat, dari Simpang Ampat Pulau Pinang bernama Tuan Firdaus untuk sama-sama bergabung dengan perawat membantu pesakit wanita ini yang agak kritikal kerana tidak mengendahkan nasihat rawatan. Dimulakan rawatan oleh Tuan Firdaus, ketika sesi pengesanan (scanning), terdapat suatu zat jahat seperti bebola panas di bahagian bahu kanan pesakit tetapi tidak dapat ditarik keluar. Atas saranan perawat, Tuan Firdaus akhirnya berjaya mengeluarkan bebola panas tersebut dan dimusnahkan. Berselang seli dengan perawat memulihkan bekas-bekas zat jahat. Kemudian di bahagian perut pesakit, Tuan Firdaus mendapati ada zat jahat yang hidup bergerak-gerak dan atas saranan perawat, Tuan Firdaus dapat mengeluarkan zat jahat tersebut dan dimusnahkan. Pesakit memberitahu seperti ada sesuatu disentap keluar ketika Tuan Firdaus menarik zat jahat tersebut. Juga berselang seli dengan perawat, memulihkan bekas-bekas akibat zat jahat yang telah dimusnahkan. Rawatan ketiga kali ini mengambil masa 2 jam kerana masih banyak zat jahat yang tersembunyi dan juga bertambah seperti ada orang yang menambahkan zat-zat jahat tersebut.

Dan pada rawatan susulan keempat genap 7 hari dari tarikh rawatan ketiga pada awal bulan Ogos 2017, perawat memusnahkan keseluruhan zat-zat jahat yang masih tertinggal. Memusnahkan zat jahat yang hidup bergerak-gerak di bahagian bahu serta merawatpulih dengan kesempurnaan rawatan dan penutup. Setelah selesai rawatan, pesakit tersebut merasa lega dan tenang kerana sudah tidak ada lagi rasa sakit dan gangguan-gangguan lain. Walaupun begitu, perawat masih menyusul bertanya selepas 4-5 hari dari tarikh selesai rawatan untuk pengesahan. Pesakit mengesahkan keadaan diri telah pulih sepenuhnya tanpa sebarang gangguan. 2 bulan selepas itu, perawat telah dimaklumkan bahawa pesakit telah disahkan mengandung untuk anak yang keempat. Alhamdulillah.

Adalah dinasihatkan kepada sesiapa sahaja yang mengikuti proses rawatan agar jangan sekali-kali menjarakkan rawatan susulan terlampau jauh sebelum selesai kesempurnaan keseluruhan rawatan kerana dikhuatiri simtom gangguan meningkat berganda atau menjadi tahap kritikal dan perawat yang merawat tidak bersalah dalam hal ini jika pesakit sendiri tidak mengambil inisiatif untuk memulihkan diri sendiri.

Nantikan seterusnya pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan menghadapi kes-kes misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku dari masa ke semasa...

Berikhtiarlah untuk dirawat dan carilah perawat yang benar dan tidak membebani kemampuan pesakit atau mengambil kesempatan ke atas pesakit di atas gangguan penyakit yang dihidapinya serta turutilah nasihat dan adab rawatan sehingga selesai jika perawat tersebut mampu dan tidak menjarakkan rawatan susulan terlampau lama...

Kesembuhan dengan kembali kepada Allah...insyaAllah.
Seeru a'la barakatillah...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Friday, October 27, 2017

*Gangguan Persetubuhan Dengan Jin Eps 33*

GANGGUAN PERSETUBUHAN DENGAN JIN

Dalam paparan kali ini, perawat ingin berkongsi sedikit pengalaman dan maklumat berhubung kes di mana beberapa pesakit dari kalangan wanita terutamanya dan jarang-jarang dari kalangan lelaki, yang terkena gangguan disetubuhi oleh golongan jin jantan dan jin betina. Sepanjang pengalaman perawat selama 21 tahun dari tarikh penulisan ini, boleh dikatakan rata-rata pesakit yang dirawat atau yang kenal dengan perawat sama ada dari status anak dara, anak dara tua, isteri, balu, janda dan anak teruna, ada yang pernah dan masih disetubuhi oleh golongan jin setiap hari sehingga kini.

Simtom disetubuhi golongan jin ini kebiasaannya berlaku pada gangguan kerap ditindih, lebam-lebam di bahagian paha dan betis, terkena minyak guna-guna, mimpi disetubuhi orang yang tidak dikenali, permainan mentera pengasih, seru nama, mempunyai saka keturunan dan permainan dukun. Walaupun tidak semua pesakit yang ada simtom-simtom ini mengalami persetubuhan dengan jin tetapi boleh dikatakan ramai yang mengalaminya dan menyembunyikannya dari pengetahuan pasangan terutamanya pesakit wanita dan pesakit wanita ini mendapat kepuasan klimaks maksimum setiap hari tanpa perlu disentuh oleh suami atau tidak perlukan lelaki bagi status janda namun tubuh menjadi sakit, lesu, bisa, lemah, sengal, menyucuk, kebas dan hilang mood.

Paling banyak kes gangguan disetubuhi jin ini adalah dari status isteri dan janda. Ketika rawatan, perawat akan mengajukan beberapa soalan untuk dijawab bagi mencari punca gangguan. Dalam masa yang sama, setelah ditanya disebabkan simtom-simtom yang berkaitan, barulah pesakit berani berterus-terang kepada perawat dan didengari oleh pasangan ataupun ahli keluarga.

Perawat menasihatkan kepada pesakit-pesakit yang mengalami gangguan ini dari masa ke semasa, bertindaklah secepat mungkin untuk ikhtiar dirawat oleh mana-mana perawat yang benar kerana gejala-gejala berikut pernah terjadi dan mungkin akan berlaku kepada anda jika dibiarkan berterusan sehingga akhir hayat:

Antara gejala-gejala yang pernah perawat ikhtiar merawat:

* keliling kemaluan pesakit wanita ditumbuhi benjol-benjol nanah yang besar seperti jerawat batu yang di dalamnya kekuningan nanah.
* kemaluan pesakit wanita berbau busuk atau longkang.
* air kemaluan pesakit wanita berbau tengit dan meloyakan.
* ada benda bergerak-gerak di dalam perut pesakit wanita.
* ada benda bergerak-gerak di dalam rahim.
* berlakunya fibroid atau cyst.
* berlaku kerosakan rahim dan terpaksa dibuang.
* berlakunya kanser rahim atau kanser servik.
* kemaluan pesakit wanita keluar nanah atau darah yang meloyakan.
* kurap di kiri kanan kemaluan hingga ke lurah punggung pesakit wanita.
* kitaran haid tidak normal atau tidak ada langsung.
* perut kembung seperti mengandung. Bila pemeriksaan hospital/klinik, tiada apa-apa di dalam rahim walhal terasa ada bayi bergerak-gerak di dalam. Itu kemungkinan benih jin.
* isteri hilang selera nafsu pada suami.
* suami mengalami masalah lemah tenaga batin akibat perbuatan jin.
* isteri hilang selera makan, menjadi tidak bermaya dan malas dalam semua urusan kerja dan tanggungjawab.
* isteri kerap bergaduh dengan suami, cepat melenting, jadi baran tanpa sebab, memaki hamun suami tanpa sengaja.
* hubungan rumahtangga berantakan di mana isteri meluat melihat wajah suami.
* bagi janda, wajah hilang seri, dipandang meluat oleh ramai lelaki dan sukar mendapatkan jodoh disebabkan kekerapan disetubuhi jin jantan serta dikawalnya.
* kerap bercerai dan jika berkahwin lagi, hubungan tidak berkekalan kerana kerap berlaku pertengkaran.
* pernah juga pesakit kerasukan akibat jin saka keturunan yang telah terlalu lama menetap di dalam tubuh selain jin jatuh cinta pada pesakit wanita dan tidak akan melepaskannya pada sesiapapun.
* pesakit wanita terutama janda kerap menangis setiap malam kerana kekerapan dikasari jin jantan sebelum disetubuhi.
* pesakit wanita mengalami penyakit yang tiada keputusan klinikal atau penyakit misteri.
* pesakit wanita mendapat "gigitan cinta" atau "luv bites" di seluruh tubuh tanpa diketahui dari mana datangnya.
* pesakit wanita akan rasa mengantuk dan kerap nak tidur di sebelah siang kerana letih di sebelah malam melayani jin jantan.
* jika berterusan bertahun-tahun, pesakit mampu mengalami masalah mental yang serius.
* jika pesakit lelaki, didatangi jin betina yang kebiasaannya digelar puaka hutan dan akan menyerupai wanita atau pelakon wanita yang diminatinya lalu berlaku jelmaan di dalam mimpi tetapi realitinya disetubuhi sehingga klimaks dan kebasahan. Pesakit lelaki biasanya bertindak cepat untuk dirawat dan kebarangkalian terjadi pada pesakit lelaki adalah terlalu jarang berlaku. Jika ada pun hanya satu atau dua kes sahaja setakat ini.

Ini adalah antara maklumat-maklumat yang perawat dapati semasa sesi soal jawab dan sepanjang rawatan dalam tempoh 21 tahun ini. Juga ada yang terbaru, beberapa pesakit merujuk kepada perawat untuk kemusykilan tentang berlakunya persetubuhan dengan jin.

Disarankan dan dinasihatkan agar pesakit tidak mengendahkan atau tidak membiarkan saja gangguan berlaku berterusan kerana ada di kalangan pesakit wanita yang mengenali perawat, menganggap ia adalah perkara biasa dan tidak ambil peduli. Bahananya apabila telah parah di penghujung usia. Apapun terpulang kepada pesakit untuk membuat keputusan dan kesimpulan.


~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

*Apakah Pengertian "GURU MURSYID" Eps 32*

APAKAH PENGERTIAN "GURU MURSYID"

Ramai dari kelompok masyarakat yang masih tidak mengerti akan maksudnya perkataan "GURU" biarpun ramai yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mahupun ke universiti di luar negara untuk mencari ilmu dunia dan mendapat kelayakan Diploma, Ijazah, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Doktor Falsafah atau Ijazah Doktor Lanjutan tetapi pada hakikatnya mereka-mereka ini masih lagi belum mencapai suatu tahap keredhaan dalam rahmat yang dicari setiap insan kerana masih tidak tahu akan ilmu hakikat dan ilmu ma'rifat yang mendekatkan dan mengenalkan diri dengan Pencipta serta makhluk-makhlukNya. Maka di sini perawat berkongsi sedikit ilmiah daripada seorang hamba Allah untuk mereka yang mampu berfikir atau mendapat kesedaran tentang perjalanan hidup dari alam roh hinggalah ke padang mahsyar.

Mencari Guru Mursyid...

Soalan: Apakah maknanya Guru Mursyid?

Jawapan: Makna Guru adalah seorang manusia zahir yang mengajar seseorang di dalam suatu ilmu, menyampaikan petunjuk atau petua atau kaedah-kaedah tentang ilmu tersebut. Makna Mursyid itu adalah suatu pengetahuan atau pengalaman yang dilalui sendiri oleh seseorang yang menjadi guru.

Soalan: Apa bezanya seorang Guru Mursyid dengan guru biasa?

Jawapan: Guru Mursyid adalah guru yang benar-benar mengetahui di semua sudut bidang ilmu dan pengalaman yang pernah dilaluinya sendiri melalui pengajaran laduni yang mana ia membicarakan hal-hal ilmu yang tidak dapat dijangkau oleh akal pencapaian pemikiran manusia biasa. Manakala guru biasa adalah guru yang mengajar mengikut pendapat orang lain, cerita orang lain atau dari bahan bacaan yang kemudiannya ditafsirkan mengikut akal fikiran mereka sendiri mengikut logik dan fakta tetapi tiada sebarang pengalaman atau pengajaran laduni.

Soalan: Apakah itu Ilmu Laduni?

Jawapan: Ilmu Laduni adalah ilham atau suatu nikmat yang dicapai oleh mereka yang bertaqwa (mengenal Allah Ta'ala). Ilmu Laduni juga dikatakan Ilmu Ma'rifat. Dilimpahkan pada hati Aulia' Allah yang jernih dan bersih dari segala penyakit-penyakit hati seperti syirik, cinta dunia dan was-was. Bahkan mereka yang mukmin (beriman dan beramal) bersungguh-sungguh mendampingi ahli laduni ini, mampu mendapat atau menumpang sedikit habuan laduni di atas restu atau pengijazahan (bai'ah) dengan izin Allah.

Soalan: Apakah yang diajar oleh seorang Guru Mursyid?

Jawapan: Guru Mursyid bukan sahaja mengajar berpandukan Al-Quran dan Hadis Qudsi, malah ilmu pengetahuannya diperolehi dari pengalamannya sendiri yang pernah dilaluinya semasa latihan mencari ilmu hakiki dan ilmu ma'rifat ketika bersama gurunya terdahulu.

Soalan: Mengapa perlu berijazah (bai'ah) bila ingin belajar ilmu ma'rifat?

Jawapan: Guru Mursyid yang berpengalaman adalah seorang guru yang pernah diijazahkan oleh guru asalnya. Ijazah sangat-sangat diperlukan kerana terdapat Barakah iaitu mempunyai kesinambungan dari satu guru ke satu guru yang sebelumnya (salasilah), dari satu Wali Allah ke satu Wali Allah yang sebelumnya, sehinggalah sampai kepada Muhammad Rasulullah SAW. Atau dalam ertikata lain adalah kesinambungan tenaga Ilahi iaitu kefahaman dan kesedaran yang hakiki yang diperturunkan daripada Rasulullah SAW ke satu guru hinggalah ke satu guru yang lain.

Soalan: Bolehkah belajar terus dengan Allah?

Jawapan: Boleh...setelah mendapat ilmu laduni yang dibimbing oleh guru mursyid. Namun perlulah fahami terlebih dahulu siapa Allah yang dimaksudkan.

Soalan: Apakah rupa bentuk fizikal seseorang itu melambangkan seorang guru mursyid?

Jawapan: Dalam mencari guru mursyid hendaklah dipandang dari segala aspek tentang kedalaman ilmunya. Guru yang mursyid BUKAN hanya dilihat dari zahirnya (fizikal), BUKAN dilihat dari sudut kedudukannya, BUKAN dilihat dari terkenalnya dia, jumlah ilmu syariatnya, besar serbannya, panjang dan putih janggutnya, wara' rupanya, banyak kitabnya, bertanda hitam di dahi, bersopan santun, hebat ceramah agamanya, merdu bacaan al-quran, kerap menjadi imam dan sebagainya. Lazimnya guru mursyid membungkus ilmunya atau merahsiakan ilmunya, berpakaian seperti orang biasa, makan seperti orang biasa, tidak menonjolkan diri di khalayak ramai, zuhudnya merendah diri di mana saja. Kelakuan atau fi'il bukanlah menjadi ukuran mutlak akan sifat mursyidnya seorang guru itu. Ramai yang tidak berjumpa dengan guru mursyid sebab mereka menganggap guru-guru ini seperti yang saya sebutkan di atas tadi. Dan sekiranya seorang guru itu dilihat bercakap seolah-olah seorang yang bongkak, berpakaian seperti orang biasa (tiada serban dan jubah) dan makan yang agak banyak pada pandangan matanya, ramai yang telah buat persepsi dan andaian baik yang terpelajar ataupun tidak, bahawa guru tersebut bukan mursyid. Maka terlepaslah dia dari berjumpa dengan guru yang mursyid sepanjang hidupnya. Alangkah ruginya mereka yang telah berjumpa tetapi bersangka tidak baik pada guru mursyid tersebut tidak kira usia orangnya muda atau tua daripada si pesangka serta kerugian tidak mendapat kesinambungan ilmu berterusan daripada Rasulullah SAW. Yang hanya mereka dapati adalah ilmu-ilmu dunia yang tidak tahu dari mana susurgalurnya sama ada daripada orang-orang yang bukan Islam atau orang Islam tetapi menyintai dan menyebarkan ilmu dunia semata-mata.

Sebagai suatu iktibar kisah Nabi Musa a.s. cuba menuntut ilmu hakikat dengan Nabi Khidir a.s. yang telah diceritakan di dalam surah Al-Kahfi ayat 60-82.

Bertanya Nabi Musa, "Bolehkah kau mengajarku dari apa yang telah diajar oleh Allah kepadamu?"
Nabi Khidir menjawab, "Sesungguhnya engkau tidak akan sekali-kali bersabar bersamaku".
Dipendekkan cerita tatkala 3 peristiwa Nabi Musa a.s. bersama Nabi Khidir a.s. iaitu 1. Membocorkan perahu yang mereka naiki. 2. Membunuh seorang pemuda 3. Membantu membina tembok dengan 2 orang anak yatim, yang pada pandangan Nabi Musa adalah perbuatan yang sia-sia belaka. Namun, Nabi Khidir dapat memberi jawapan yang mudah kepada Nabi Musa a.s. tentang apa yang telah berlaku.

Begitulah ilmu hakikat yang jauh keluar dari kemampuan akal fikiran manusia dan norma-norma masyarakat. Dan ilmu sebegini rupalah yang wajib kita dapatkan...agar banyak rahsia dan hijab kehidupan serta ketuhanan dapat dibongkar satu per satu. Dan bila sudah tiada soalan, barulah ketenangan hadir dengan sendirinya tanpa diminta-minta.

Soalan: Apakah jenis guru yang kebiasaannya dicari oleh masyarakat umum?

Jawapan: Mereka menganggap guru yang mengetuai sesebuah badan atau organisasi, guru yang pandai berceramah tanpa kering gusi, guru yang menonjol di khalayak ramai itulah sebenar-benar guru. Walhal sebaliknya, guru seumpama itu hanya boleh dijadikan pengajaran tetapi bukan untuk dijadikan panduan atau ikutan.

Soalan: Apakah ilmu yang dibawa oleh Rasulullah sehinggalah kepada Guru Mursyid yang ada sekarang ini?

Jawapan: Selain daripada ilmu syariat yang telah biasa kita dengar dan ikuti, Ilmu Kerohanian atau Ilmu Ma'rifat Mengenal Allah.

Soalan: Mengapa perlu belajar atau mengetahui Ilmu Kerohanian/Ma'rifat?

Jawapan: Bukan kerana pahala, Bukan kerana syurga tetapi kerana ingin mengenal Allah 100% yakin dan mencapai kedamaian hakiki dan merasai kerinduan yang tidak terperi untuk kembali kepadaNya.

Wallahua'lam.

Sumber: Ustaz Rahmat Rahman.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Tuesday, October 24, 2017

*Jin Berkeliaran Di Waktu Maghrib Eps 31*

Video ini dimuatnaikkan sekadar memberi peringatan dan pemahaman kenapa dengan tegas perlunya menutup pintu dan tingkap ketika menjelang maghrib.

Perawat sendiri pernah ditanya oleh beberapa orang pesakit tentang bayi atau kanak-kanak yang kerap memandang ke suatu sudut di tingkap berkaca atau pintu rumah berkaca yang boleh melihat susuk tubuh di luar walaupun kacanya kelihatan kabur atau tidak jelas.

Penjelasan hadis:

"Jika malam datang menjelang, atau kamu berada di petang hari, maka tahanlah anak-anak kamu, kerana sesungguhnya ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula minuman dan makanan kamu dan berzikirlah kepada Allah, walaupun dengan sekadar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian!"

(HR. Bukhari dan Muslim)

Pada saat hari mulai gelap, syaitan mulai datang dan berkeliaran mencari tempat tinggal.

Beberapa tempat yang disenangi syaitan adalah : rumah yang kosong, juadah yang kosong dan terbuka, sebahagian mereka berlindung di antara sekelompok manusia yang tengah berkumpul (duduk-duduk), tempat sampah, dan tempat-tempat kotor lainnya. Tidak mustahil pula syaitan menjadikan anak kecil sebagai tempat berlindung dan mengganggunya kemudian meninggalkannya, adakala syaitan menetap hingga beberapa waktu lamanya sehingga kadangkala kita biasa mendengar anak kecil menangis tanpa sebab yang jelas. Dan untuk sesuatu tempoh, keadaan kesihatan penghuni rumah mengalami sakit yang tidak tahu punca walaupun telah dirujuk ke hospital atau klinik atau doktor pakar yang menjelaskan pesakit tidak ada penyakit tetapi pesakit tetap merasa sakit setiap masa.

Ramai yang tidak faham dan tahu bahawa sifat jin juga seperti manusia. Mereka tidak boleh menembus dinding kecuali golongan jin atasan dan memiliki ilmu hitam yang tinggi serta dipaksa oleh tukang sihir, tetapi hakikatnya jin tetap akan masuk ke rumah hanya melalui pintu atau tingkap yang terbuka saat sampai waktu mereka berkeliaran. Jika jin tidak dapat masuk ke rumah, maka mereka akan mengintai dari lubang pintu, kaca tingkap atau kaca pintu atau mana-mana tempat yang terdapat lubang kecil untuk diintai.

Perawat tegaskan di sini kerana umum telah ditipu dan diperdayakan dengan satu hadis palsu berkenaan Ummu Sibyan atau Jin Wanita yang sebenarnya hadis ini telah direka-reka oleh puak Syiah dan Wahabi di negara Arab Saudi dan tersebar luas merata dunia.

Untuk pengetahuan pembaca dan kenalan semua, Ummu Sibyan di negara Arab merujuk kepada jin yang menyerupai wanita berambut panjang, kemudian direka hadis palsu ini adalah untuk menakut-nakutkan anak-anak kecil dan remaja arab yang degil dan keras kepala yang suka bermain dan lepak di luar sehingga ke waktu Isyak. Maka hadis palsu ini telah memutarkan minda masyarakat Islam sejagat kecuali yang terpelihara aqidah dan ilmunya dari mempercayai hadis palsu ini.

Jika di Arab jin yang menyerupai wanita berambut panjang digelar Ummu Sibyan, di India ia digelar Mooni, di Indonesia ia digelar Kuntilanak dan di Malaysia ia dipanggil Pontianak.

Jadi diharap sesiapa yang telah membaca kisah, pengalaman dan fakta di fanpage atau blogspot perawat, moga dapat memperbetulkan kembali aqidah dan pemahaman diri tentang kepalsuan hadis Ummu Sibyan ini.

Apa yang harus dilakukan jika berlaku gangguan sebegini?

•    Menutup pintu dan jendela rapat-rapat saat maghrib
•    Menutup tempat makanan
•    Menahan anak-anak didalam rumah pada saat maghrib
•    Jika berada di jalan, maka perlahankan laju kenderaan
•    Bentengi diri dan keluarga dengan doa dan berzikir
•    Ganti lampin bayi, kerana syaitan suka benda/tempat yang kotor dan najis.

Semoga maklumat di atas sedikit sebanyak dapat menambah pengetahuan kita semua. Wallahua'lam.


Monday, October 23, 2017

*Pengalaman Merawat Penyakit "Slip-Disc" @ Tulang Rawan Tergelincir Eps 30*

MERAWAT PENYAKIT "SLIP-DISC" @ TULANG RAWAN TERGELINCIR

Pengalaman kali ini, perawat telah dipanggil oleh seorang lelaki untuk berikhtiar merawat isterinya yang mengalami Slip-Disc di bahagian bawah tulang belakang. Kes rawatan berlaku pada hujung bulan Julai dan awal bulan Ogos 2017 bertempat di Bayan Lepas Pulau Pinang.

Ketika perawat hadir di rumah, suami kepada isterinya yang sakit meminta agar perawat membuat pengesanan (scanning) untuk mengetahui sama ada isterinya terkena buatan orang atau gangguan jin. Perawat terlebih dahulu bersoal jawab untuk tahu apakah punca dan gangguan penyakit pada isterinya.

Pesakit menceritakan, 6 bulan yang lalu, ketika pulang ke kampung keluarganya, pesakit jatuh terduduk ketika berjalan di dapur yang kebetulan lantainya licin menyebabkan pinggulnya sakit dan terasa perit di bahagian bawah tulang belakangnya. Setelah beberapa minit, baru rasa sakit beransur-ansur hilang dan pesakit mula bangun. Setelah disapu minyak, beberapa hari kemudian rasa sakitnya hilang.

Walaubagaimanapun, dalam tempoh 6 bulan tersebut, sakitnya timbul tenggelam datang tetapi pesakit hanya buat endah tak endah sehinggalah keadaan sakitnya bertambah parah dan dimasukkan ke hospital. Setelah di x-ray, doktor menyatakan ada segumpal nanah di tempat berlakunya gelinciran tulang rawan di bahagian bawah tulang belakang iaitu L3 dan L4. Pembedahan telah dilakukan untuk menyedut nanah tersebut dan ubat dimasukkan untuk mengeringkan luka di dalam. Kemudian ditahan di wad untuk beberapa hari sebelum dibolehkan pulang ke rumah.

Perawat hanya membuat pengesanan untuk mencari punca sakit sahaja dan bukan untuk punca gangguan ghaib. Setelah dikenalpasti, pesakit mengalami masalah dari bahagian pinggang hingga ke hujung jari kakinya di mana urat-urat utama tertarik ke atas. Jadi, perawat telah membuat 4 kali rawatan dengan kaedah yang tertentu sehingga keadaan pesakit pulih 90%. Dalam rawatan terakhir, perawat memakrifatkan sepenuh tenaga untuk merenggangkan kembali dua tulang rawan yang terhentam bercantum dan ia berjaya direnggangkan. Maka hanya 95% sahaja yang perawat mampu berikhtiar setakat itu kerana yang tinggal bermasalah pada kedua tulang rawan tersebut adalah span otot di antara kedua tulang rawan itu telah terpenyet tidak mengembang kembali.

Maka perawat menyarankan agar pesakit berikhtiar cara lain iaitu akupuntur atau pun membeli produk penyuburan kesihatan yang dapat membantu mengembangkan kembali span otot tersebut. Pesakit telah membuat rawatan akupuntur di Sungai Petani untuk beberapa kali. Walaupun tidak dapat pulih 100% sepenuhnya tetapi kesembuhan 98% itu sudah memadai bagi pesakit untuk sedikit demi sedikit pulih dari masa ke semasa.

Teruskan menanti kisah pengalaman perawat yang semakin lama semakin menduga akal dalam jejak rawatan dan perubatan gangguan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku di dalam masyarakat akhir zaman.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

*Pengalaman Merawat Masalah Dalam Perut Dan Lebam Di Lengan Kanan Eps 29*

MERAWAT MASALAH DALAM PERUT DAN LEBAM DI LENGAN KANAN

Jika pengalaman sebelum ini perawat didatangi ramai pesakit dari kalangan perempuan, kali ini perawat merawat pesakit lelaki yang tiba-tiba terkena gangguan. Pesakit menetap di Gertak Sanggul Pulau Pinang dan bekerja sebagai seorang penyelia bahagian di sebuah kilang ternama di Pulau Pinang.

Kes berlaku pada hujung bulan Julai 2017 dan telah 3 hari pesakit menyatakan perutnya mengalami masalah, tidak lalu makan, cirit-birit dan badan lesu. Dalam masa yang sama, pesakit menunjukkan ada satu kesan lebam di lengan kanannya dengan dua kesan gigitan seperti gigitan gigi ular.

Mengikut cerita pesakit, gangguan terjadi ketika mana pesakit bertugas pada shif malam. Di bahagian pengurusannya, dikatakan agak keras kerana pernah beberapa kali gangguan dari makhluk yang digelar pontianak berlaku pada pekerja-pekerja perempuan. Tetapi kali ini, terkena habuannya pada diri pesakit sendiri.

Pada malam pesakit bertugas, dia telah mengalami masalah dalam perutnya selama tiga hari tetapi tetap digagahkan juga melaksanakan tugas kerana tidak ada pekerja yang cukup dan berkelayakan untuk menggantikan tempatnya sebagai penyelia bahagian. Pada hari ketiga itulah suatu misteri berlaku di tengah malam itu di mana pesakit dan beberapa orang pekerja terhidu bau yang sangat harum seperti bunga melur dan baunya semakin lama semakin kuat menyengat. Kata pesakit, bagi mereka yang lelaki, hanya abaikan saja bau tersebut tanpa menegur dan diteruskan kerja masing-masing. Tetapi pesakit pula berkata-kata dalam hati dari mana datangnya bau wangi tersebut. Hampir setengah jam kejadian bau wangi itu berlaku dan kemudian beransur-ansur hilang.

Setelah selesai shif bertugas, pesakit pulang ke rumah dan terus tidur keletihan. Sehingga waktu zohor, pesakit bangun dan tidak lama selepas itu, dirasakan tangan kanannya seperti sengal dan lemah. Sambil membelek-belek tangan kanannya itu, pesakit terperasan ada satu kesan lebam sebesar duit siling 50 sen dengan dua kesan gigitan gigi ular. Mungkin juga keadaan diri pesakit yang masih lemah, dapat diganggu oleh makhluk tersebut dengan mengambil kesempatan yang ada.

Perawat telah dipanggil untuk merawat pulih diri pesakit. Perawat telah menawarkan bisa di dalam perutnya kemungkinan pesakit telah keracunan atau tersalah makan. Kemudian zat jahat pada lengannya dimusnahkan. Air minum dan mandian dibekalkan. Rawatan hanya berlaku sebanyak dua kali sahaja dan pesakit pulih sepenuhnya.

Nantikan kisah pengalaman perawat seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan gangguan-gangguan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku di mana sahaja...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Wednesday, October 18, 2017

*Pengalaman Merawat Sakit Buah Pinggang Eps 28*

MERAWAT SAKIT BUAH PINGGANG

Kisah kali ini, perawat telah dihubungi oleh pesakit lelaki meminta datang ke rumahnya untuk ikhtiar merawat penyakit. Pesakit menetap di Bayan Baru Pulau Pinang dan telah mengalami penyakit selama 2 tahun. Kes rawatan berlaku pada awal Julai 2017.

Semasa perawat hadir di rumah, pesakit menunjukkan kedua-dua kakinya bengkak seperti kembung air dan keadaan kulit kaki kelihatan kejang dan tegang sehingga ke paha. Perawat membuat scanning (pengesanan) pada tubuh pesakit terlebih dahulu bagi memastikan sama ada terdapat unsur-unsur zat jahat ataupun tiada di dalam tubuhnya. Kemudian pengesanan dilanjutkan untuk mengetahui di mana punca yang menyebabkan kedua kakinya bengkak. Maka hasil dari proses pengesanan, perawat bertanyakan pada pesakit sama ada, mengalami masalah buah pinggang atau tidak, baru pesakit menyatakan buah pinggangnya bermasalah dan tidak berfungsi dengan baik serta menghidapi gaut.

Untuk penyakit fizikal biasanya perawat berikhtiar sekadar mampu kerana kesembuhan itu hanya dengan kembali kepada Allah Yang Maha Menyembuhkan. Maka sesi rawatan pun bermula, pesakit dibaringkan terlentang dan perawat meletakkan tapak tangan kanan di atas perut bertepatan dengan buah pinggang pesakit.

Mengikut simtom penyakit yang berlaku pada pesakit, dia menyatakan susah hendak tidur, badan terasa panas dan lesu, kadang-kadang muntah seperti makanan tidak dapat dihadamkan.

Pada 10 minit pertama rawatan, pesakit terus terlena nyenyak tidur. Pada ketika itulah berlaku perkara pelik pada tubuh badan pesakit. Ketika perawat meneruskan rawatan fizikal, kelihatan pesakit tidur dengan nyenyak sekali tetapi dalam masa yang sama, badan dan kakinya seperti terkena renjatan elektrik, terkejut tersentap beberapa kali walhal pesakit tidur lena mengeruh. Perawat tetap meneruskan rawatan selama 30 minit dan keadaan badan pesakit terkejut tersentap masih berterusan berlaku sehingga rawatan berhenti. Untuk rawatan fizikal, perawat menerangkan kepada pesakit, perlu dirawat kerapkali sehingga bahagian yang sakit pulih walaupun tidak sepenuhnya.

Perawat juga bertanya pada pesakit kenapa badannya terkejut-kejut tersentap seperti terkena kejutan elektrik, pesakit memberitahu ada aliran elektrik dari tapak tangan perawat yang masuk ke seluruh badannya dan menuju ke kedua belah kakinya. Luarbiasa perkara ini...

Susulan rawatan kedua berlaku pada hari kelima selepas rawatan pertama. Ketika rawatan, pesakit merasakan tapak tangan perawat ada bahang panas yang hadir di kawasan organ buah pinggang. Perawat memberitahu pesakit, ada sesuatu yang menyekat di bahagian buah pinggangnya sama ada tidak berfungsi atau yang perlu dibuka kerana itu punca kakinya bengkak air. Rawatan dibuat selama 30 minit juga dan perawat menasihatkan agar pesakit merujuk dengan doktor pakar untuk di x-ray buah pinggangnya.

Ternyata pesakit ditahan di wad untuk dialisis buah pinggang kerana sistem peredaran tidak berlaku dengan sempurna. Sebulan ditahan di wad, akhirnya dapat keluar dan kedua kakinya pulih sepenuhnya seperti sediakala. Kegagalan buah pinggang akan banyak menimbulkan masalah pada anggota di bahagian bawah perut. Atas nasihat doktor pakar hospital, pesakit wajib membuat dialisis sekali pada setiap bulan untuk mengelakkan simtom-simtom sampingan lain timbul disebabkan kegagalan fungsi buah pinggang. Rawatan selesai sehingga itu.

Nantikan pengalaman seterusnya jejak rawatan dan perubatan dalam pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita..


~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Tuesday, October 17, 2017

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin, Makhluk Melekat Di Bahu, Sakit Kepala Eps 27*

GANGGUAN JIN, MAKHLUK MELEKAT DI BAHU KANAN, KEKERAPAN SAKIT KEPALA

Pengalaman kali ini membawa jejak perawat ke luar kawasan untuk berikhtiar merawati seorang pesakit wanita. Kes rawatan berlaku pada awal Julai 2017 berlokasi di Bagan Serai, Perak.

Pesakit merupakan seorang cikgu sekolah, telah mengalami gangguan mistik sejak 5 tahun lamanya dan telah berubat dengan beberapa orang perawat, namun keadaannya masih tidak berubah dengan mengalami simtom gangguan setiap hari sehingga kadangkala mengganggu kerjayanya untuk mengajar di dalam kelas. Berdasarkan ulasan perawat-perawat tersebut, mereka menyatakan pesakit terkena gangguan jin tetapi rawatan yang telah dibuat tidak menampakkan hasil.

Pesakit menceritakan jika berlaku histeria ke atas pelajar-pelajar di sekolah, kepala akan rasa sakit, badan menjadi seram sejuk seakan-akan hampir berjangkit histeria dan semangat menjadi lemah.

Antara simtom gangguan yang berlaku pada pesakit ialah kekerapan mimpi buruk iaitu ular dan bayi, kerap terjaga malam tanpa sebab dan terkejut, kadangkala ditindih semasa tidur, badan kadang-kadang terasa panas berbahang, kerap sakit kepala di sebelah kanan dan dada rasa panas. 

Ketika sesi pertama rawatan, perawat telah mendapati ada beberapa tempat di bahagian tubuh yang mengandungi zat-zat jahat yang merupakan punca kepada simtom gangguan seperti di atas. Pesakit merasakan panas dari kepala sampai ke dada kemudian beransur-ansur hilang sedikit demi sedikit. Pesakit menyatakan rasa lega banyak setelah selesai proses rawatan.

Selepas 7 hari, pada sesi rawatan susulan kedua, pesakit memberitahu dia telah bermimpi selepas pada sesi rawatan pertama, satu benda berwarna putih seperti bebola kapas keluar dari badannya dan menghilang. Kemudian beberapa hari selepas itu, dia bermimpi ular hitam berada di kampung mak ayahnya.

Ketika proses rawatan, sesekali pesakit terasa loya dan nak muntah, kepalanya sakit dan bahu kanannya tidak selesa seperti ada sesuatu melekat. Maka perawat memusnahkan kesemua zat jahat yang masih berbaki di dalam tubuhnya. Semasa merawati bahu kanan pesakit, perawat dapat mengesan sesuatu yang melekat agak lama yang perawat kategorikan sebagai zat jahat kerana bentuknya yang agak pelik. Dengan berhati-hati dan berdoa, perawat memisahkan zat jahat tersebut dari bahu pesakit serta memulihkan bahagian tersebut. Setelah selesai, air minum dan mandian dibekalkan dan pesakit telah menyatakan rasa yang lebih baik dan pulih berbanding sebelumnya.

Bersambung ke siri pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan meniti perjalanan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku di mana sahaja. Jika dirasakan anda mengalami gangguan atau penyakit yang tiada keputusan klinikal, berusahalah dirawat kerana kesan yang panjang, akan merosakkan organ-organ dalam tubuh pesakit kerana itu adalah antara janji iblis yang akan merosakkan anak-anak Adam bukan sahaja dari segi hancur keimanan, rosak aqidah, musnah akhlak bahkan rosak sistem dan organ dalaman tubuh badan seluruhnya. Hubungi/sms/WA saya untuk sebarang pertanyaan atau rawatan diri.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Luaran, Rahim Bergerak Eps 26*

GANGGUAN JIN LUARAN, RAHIM BERGERAK SENDIRI, DENYUTAN AURA DARI TAPAK TANGAN

Memandangkan agak ramai dalam masyarakat kini yang mengidap penyakit-penyakit misteri, gangguan jin, tuju-tuju, santau, ilmu makan tuan, kerasukan dan lain-lain, maka perawat kurang berkesempatan untuk mengemaskini pengalaman-pengalaman perawat kerana sibuk dengan urusan rawatan ke luar kawasan dan urusan lain.

Kali ini perawat menyambung semula satu pengalaman merawat seorang pesakit yang mengalami gangguan jin luaran. Kes terjadi pada awal Julai 2017 berlokasi di Gertak Sanggul, Pulau Pinang. Pesakit adalah seorang wanita yang bekerja di sebuah kilang dan suaminya telah menghubungi perawat untuk berikhtiar menyelesaikan masalah yang membebani mereka selama 6 tahun lamanya.

Hasil dari bual bicara perawat dan pesakit, pesakit menyatakan pernah berlaku perselisihan faham kerana sesuatu perkara peribadi dengan seseorang suatu waktu dahulu sebelum mereka melangsungkan perkahwinan dan hal tersebut tergantung penyelesaiannya. Pesakit pernah mengandung tetapi keguguran awal. Pesakit telah merujuk kepada doktor pakar dan hospital. Mengikut hasil rawatan doktor pakar, doktor menyatakan bahawa keadaan rahim pesakit adalah lemah dan kebarangkalian untuk mengandung penuh agak tipis. Kerana itu telah berlaku keguguran tidak sampai 2 bulan hamil.

Pesakit menceritakan ada gangguan di dalam perutnya seperti ada sesuatu yang bergerak-gerak berpusing keliling perut di bahagian rahim. Kaki kanannya juga terasa berat hendak berjalan seperti ada sesuatu yang berpaut pada kaki setiap masa.

Antara simtom gangguan yang berlaku pada pesakit ialah kerap rasa diperhatikan di dalam rumah, mimpi buruk seperti ular dan bayi, kerap terjaga malam tanpa sebab, pernah sekali ditindih semasa sedang tidur, sakit kepala yang datang secara tiba-tiba dan susah nak hilang serta rasa yang tidak selesa di dalam rumah.

Pesakit juga telah berurut dengan seorang tukang urut bagi membetulkan keadaan rahimnya tetapi kerana kurang pengetahuan dan pemahaman tukang urut tersebut, telah menyebabkan rahim pesakit tergelincir dari kedudukan asal dan menyebabkan sakit/senak ketika bersama.

Maka pada sesi pertama rawatan, perawat memusnahkan zat-zat jahat yang didapati berada dalam dan luar tubuh pesakit. Kemudian perawat meminta suami kepada pesakit supaya duduk di sisi kiri pesakit dan perawat berada di sisi kanan pesakit sambil pesakit dibaringkan. Dengan menggunakan tangan kanan suami pesakit yang diletakkan di atas perut pesakit, perawat menumpukan sepenuh tenaga untuk merawati hal keadaan rahim pesakit. Dalam tempoh 30 minit rawatan tersebut, telah berlaku sesuatu perkara yang luarbiasa sehingga rawatan selesai.

Apabila telah dipastikan keadaan tubuh pesakit hampir pulih sepenuhnya setelah sakit kepalanya hilang secara tiba-tiba, perawat bertanya apa yang berlaku semasa dalam proses rawatan tersebut. Pesakit menceritakan bahawa rahimnya berpusing dan bergerak sendiri sehingga ke kedudukan asalnya dan berhenti. Perawat masih ingin kepastian apakah benar rahim pesakit bergerak sendiri, pesakit bersungguh-sungguh mengatakan memang rahimnya berpusing dan bergerak sendiri ke kedudukan asalnya. Kemudian perawat bertanya pada suami pesakit sama ada, ada merasakan sesuatu atau biasa sahaja semasa meletakkan tangan di atas perut isterinya. Suami pesakit memberitahu seperti ada denyutan aura keluar dari tapak tangannya ketika perawat meletakkan tangan kanan perawat di atas belakang tapak tangan suami pesakit. Luarbiasa situasi ini...

Rawatan telah bersambung pada sesi susulan rawatan kedua. Perawat telah menanyakan pesakit sama ada masih ada lagi simtom-simtom gangguan seperti sebelum ini, pesakit menyatakan sudah tidak ada lagi dan berasa lebih baik. Perawat juga ada bertanya masih ada sakit/senak lagi atau tidak semasa bersama, pesakit juga menyatakan sudah tiada lagi dan pulih. Maka sesi rawatan telah selesai dan perawat mendoakan mudah-mudahan pesakit berhasil mendapat zuriat dan menyarankan mereka berdoa bersungguh-sungguh kepada Yang Maha Memberi Rezeki.

Begitulah antaranya keajaiban dan perkara-perkara yang luarbiasa berlaku bagi setiap perawat yang benar dalam kaedahnya berguru. Menjejaki kisah pengalaman seterusnya, teruskan bersama mengikuti jejak rawatan dan perubatan perawat dalam pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku di dalam masyarakat sejagat...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Friday, October 6, 2017

*Pengalaman Pemulihan Rumah - Rope Walk, Pulau Pinang Eps 25*

PEMULIHAN RUMAH - ROPE WALK, PULAU PINANG


Barang-barang yang digantung di atas pintu masuk dan pintu dapur

Ketinggalan dalam siri episod pengalaman perawat yang terawal, kes pemulihan rumah dinaikkan semula untuk iktibar para pembaca dan pengkaji agar mendapat sedikit kefahaman dan pengetahuan tentang risiko dan keburukan memiliki sesuatu yang tidak memberi manfaat pada keharmonian rumahtangga.

Rawatan pemulihan rumah berlaku pada pertengahan bulan April 2017 berlokasi di sebuah rumah kampung di Rope Walk, Pulau Pinang. Pesakit telah dirawat dalam tiga sesi rawatan dan pulih, cuma masih berasa tidak selesa dan tidak nyaman berada di dalam rumah sendiri. Maka tiga hari selepas dari sesi rawatan yang ketiga, perawat hadir untuk sesi pemulihan rumah.

Pada sesi pemulihan rumah tersebut, perawat mendapati terdapat tiga rangka belangkas (seperti gambar) yang digantung di atas pintu masuk sebelah atas, pintu masuk sebelah bawah dan pintu dapur. Sesi pengesanan (scanning) dibuat terlebih dahulu untuk mencari titik kedudukan yang dikatakan oleh pesakit, terdapat penjelmaan makhluk berambut panjang yang dinamakan sebagai pontianak dan lembaga hitam seperti orang minyak.

Ketika pengesanan, terdapat satu titik lokasi beraura negatif di tingkat bawah rumah berdekatan bilik tidur berhampiran tepi tingkap yang dikatakan kerap kali nampak kehadiran wanita berambut panjang dengan baju putih berlumuran darah dan satu titik lokasi beraura negatif di tingkat atas yang dikatakan kelihatan lembaga hitam seperti orang minyak.

Perawat telah menawarkan ketiga-tiga rangka belangkas terlebih dahulu dan kemudian memberi peluang agar jin-jin tersebut keluar dari rumah tanpa perlu dikenakan hukuman yang lebih berat. Ternyata masih lagi terdapat aura negatif di titik lokasi yang sama. Pada pandangan perawat, barangkali jin-jin tersebut telah dirantai atau terikat pada kedudukan tersebut, maka susuk-susuk jin yang dikatakan perempuan berambut panjang berbaju putih berlumuran darah dan lembaga hitam orang minyak tersebut, telah dilepaskan ikatan mereka yang berkemungkinan telah diletakkan di tempat tersebut untuk sesuatu tujuan. Kemudian seluruh rumah itu dibersihkan dari gangguan zat-zat jahat yang memungkinkan kehadiran penyakit misteri pada tubuh penghuni rumah. Pemulihan rumah mengambil masa dua jam dan setelah selesai, keadaan rumah telah nampak seri dan cerah, terasa lapang dan tenang berbanding sebelumnya.

Mengikut penerangan pesakit, bilik-bilik di bahagian atas yang kesemuanya terdapat empat bilik, dijadikan bilik untuk disewa kepada orang-orang luar. Setiap kali terdapat orang yang ingin menyewa bilik datang ke rumah pesakit untuk melihat bilik sewa, hati mereka menjadi hambar dan seperti tidak berminat melihat rumah tersebut. Begitulah yang berlaku setiap kali orang yang menelefon pesakit, datang melihat bilik sewa. Moga-moga diharapkan akan ada penyewa baru setelah rumah dibersih dan dipulihkan selepas ini.

Namun dua hari selepas sesi pemulihan, perawat mendapat panggilan daripada pesakit ini menyatakan belakang bahunya terdapat kesan cakaran lima jari yang agak panjang ketika pesakit ini memasuki bilik kedua di tingkat atas. Perawat hadir semula selepas panggilan itu dan mula membuat scanning (pengesanan) semula untuk mencari punca masalah yang berlaku. Setelah memeriksa kembali seluruh rumah dan meneliti bilik kedua di tingkat atas seperti yang dinyatakan, didapati terdapat sekeping kertas wafaq yang digantung di belakang pintu bilik berkemungkinan ada kehadiran jin lain yang masih terkunci di bilik tersebut. Perawat kemudian membuat pemulihan kembali dan jika ada kehadiran jin, maka dilepaskan ke luar rumah. Wafaq tersebut juga telah ditawarkan dan pesakit ini telah serta-merta membakar wafaq tersebut kerana tidak mahu menyimpannya.

Alhamdulillah, keadaan rumah pesakit ini sudah pulih sepenuhnya dan tiada lagi kelihatan susuk jin atau zat jahat atau gangguan-gangguan lain seperti sebelumnya. Tidak berapa lama dari proses pemulihan rumah dilaksanakan, perawat telah dimaklumkan oleh pesakit, telah ada penyewa baru yang menyewa salah satu bilik di atas. Syukur alhamdulillah.

Adalah dinasihatkan agar umum tidak sebarangan menggantung tangkal, azimat, wafaq, bangkai binatang laut seperti kuda laut atau rangka seperti belangkas, atau daun-daun tertentu atau keris atau kain-kain yang telah dijampi dukun untuk diletakkan di atas pintu masuk rumah kerana berkemungkinan membawa mudarat atau gangguan alam ghaib serta menyebabkan ketidakselesaan seisi rumah. Mintalah perlindungan kepada Allah SWT dan amalkan amalan dan doa seperti yang telah diajar oleh Rasulullah SAW untuk kesejahteraan dan keselamatan diri dan harta benda.

Jejak rawatan dan perubatan diteruskan dalam pengalaman-pengalaman seterusnya menelusuri liku-liku misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi pada akhir zaman ini...nantikan dan renungkan sebagai iktibar pada diri sendiri...bagi yang tidak pernah kena gangguan tidak semestinya anda terlepas dari segala-galanya...hanya mereka yang telah dan pernah melaluinya saja lebih faham akan peritnya menanggung azab gangguan tanpa ada perawat yang betul-betul merawat dengan kaedah yang benar. Elakkan perawat yang banyak bersangka-sangka tanpa bukti yang kukuh, yang hanya mencari populariti dengan kaedah yang tidak betul atau batil, yang syirik kepada Tuhan dan berdampingan dengan khadam/jin, yang meminta barang yang pelik-pelik disediakan dan sebagainya sedangkan dalam rawatan Islam tidak menyusahkan pesakit-pesakit gangguan dengan kaedah yang membebankan.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

 
Sekadar gambar hiasan : Antara contoh tangkal/azimat yang diletakkan di atas pintu-pintu rumah pemberian daripada dukun/pawang/bomoh kononnya untuk perlindungan.