Tuesday, October 24, 2017

*Jin Berkeliaran Di Waktu Maghrib Eps 31*

Video ini dimuatnaikkan sekadar memberi peringatan dan pemahaman kenapa dengan tegas perlunya menutup pintu dan tingkap ketika menjelang maghrib.

Perawat sendiri pernah ditanya oleh beberapa orang pesakit tentang bayi atau kanak-kanak yang kerap memandang ke suatu sudut di tingkap berkaca atau pintu rumah berkaca yang boleh melihat susuk tubuh di luar walaupun kacanya kelihatan kabur atau tidak jelas.

Penjelasan hadis:

"Jika malam datang menjelang, atau kamu berada di petang hari, maka tahanlah anak-anak kamu, kerana sesungguhnya ketika itu syaitan sedang bertebaran. Jika telah berlalu sesaat dari waktu malam, maka lepaskan mereka. Tutuplah pintu dan berzikirlah kepada Allah, kerana sesungguhnya syaitan tidak dapat membuka pintu yang tertutup. Tutup pula minuman dan makanan kamu dan berzikirlah kepada Allah, walaupun dengan sekadar meletakkan sesuatu di atasnya, matikanlah lampu-lampu kalian!"

(HR. Bukhari dan Muslim)

Pada saat hari mulai gelap, syaitan mulai datang dan berkeliaran mencari tempat tinggal.

Beberapa tempat yang disenangi syaitan adalah : rumah yang kosong, juadah yang kosong dan terbuka, sebahagian mereka berlindung di antara sekelompok manusia yang tengah berkumpul (duduk-duduk), tempat sampah, dan tempat-tempat kotor lainnya. Tidak mustahil pula syaitan menjadikan anak kecil sebagai tempat berlindung dan mengganggunya kemudian meninggalkannya, adakala syaitan menetap hingga beberapa waktu lamanya sehingga kadangkala kita biasa mendengar anak kecil menangis tanpa sebab yang jelas. Dan untuk sesuatu tempoh, keadaan kesihatan penghuni rumah mengalami sakit yang tidak tahu punca walaupun telah dirujuk ke hospital atau klinik atau doktor pakar yang menjelaskan pesakit tidak ada penyakit tetapi pesakit tetap merasa sakit setiap masa.

Ramai yang tidak faham dan tahu bahawa sifat jin juga seperti manusia. Mereka tidak boleh menembus dinding kecuali golongan jin atasan dan memiliki ilmu hitam yang tinggi serta dipaksa oleh tukang sihir, tetapi hakikatnya jin tetap akan masuk ke rumah hanya melalui pintu atau tingkap yang terbuka saat sampai waktu mereka berkeliaran. Jika jin tidak dapat masuk ke rumah, maka mereka akan mengintai dari lubang pintu, kaca tingkap atau kaca pintu atau mana-mana tempat yang terdapat lubang kecil untuk diintai.

Perawat tegaskan di sini kerana umum telah ditipu dan diperdayakan dengan satu hadis palsu berkenaan Ummu Sibyan atau Jin Wanita yang sebenarnya hadis ini telah direka-reka oleh puak Syiah dan Wahabi di negara Arab Saudi dan tersebar luas merata dunia.

Untuk pengetahuan pembaca dan kenalan semua, Ummu Sibyan di negara Arab merujuk kepada jin yang menyerupai wanita berambut panjang, kemudian direka hadis palsu ini adalah untuk menakut-nakutkan anak-anak kecil dan remaja arab yang degil dan keras kepala yang suka bermain dan lepak di luar sehingga ke waktu Isyak. Maka hadis palsu ini telah memutarkan minda masyarakat Islam sejagat kecuali yang terpelihara aqidah dan ilmunya dari mempercayai hadis palsu ini.

Jika di Arab jin yang menyerupai wanita berambut panjang digelar Ummu Sibyan, di India ia digelar Mooni, di Indonesia ia digelar Kuntilanak dan di Malaysia ia dipanggil Pontianak.

Jadi diharap sesiapa yang telah membaca kisah, pengalaman dan fakta di fanpage atau blogspot perawat, moga dapat memperbetulkan kembali aqidah dan pemahaman diri tentang kepalsuan hadis Ummu Sibyan ini.

Apa yang harus dilakukan jika berlaku gangguan sebegini?

•    Menutup pintu dan jendela rapat-rapat saat maghrib
•    Menutup tempat makanan
•    Menahan anak-anak didalam rumah pada saat maghrib
•    Jika berada di jalan, maka perlahankan laju kenderaan
•    Bentengi diri dan keluarga dengan doa dan berzikir
•    Ganti lampin bayi, kerana syaitan suka benda/tempat yang kotor dan najis.

Semoga maklumat di atas sedikit sebanyak dapat menambah pengetahuan kita semua. Wallahua'lam.


No comments:

Post a Comment