Monday, October 2, 2017

*Pengalaman Misteri,Aneh,Ganjil,Pelik tetapi Benar Eps 23*

SANGKAAN ATAU PERASAAN

Pengalaman seterusnya, perawat telah dipanggil oleh seorang muallaf (lelaki cina) dari Balik Pulau dan masih juga kes kejadian berlaku pada awal Julai 2017, untuk merawati anak-anak lelakinya yang dikatakan kerap baran menendang pintu dan nampak kelibat di dalam rumah.

Anak yang sulung berumur 10 tahun kerap marah-marah di waktu pagi dan menendang pintu kerana melepaskan geram manakala anak kedua berumur 7 tahun bersikap malas ke sekolah kerana kerap dibuli.

Ketika sesi pertama rawatan, perawat mendapati tidak ada sebarang tanda-tanda gangguan yang berlaku pada anak-anak muallaf tersebut. Setelah diselidik sambil berbual secara baik dengan budak-budak tersebut, maka didapati bahawa ayah kepada budak-budak tersebut kerap memarahi anak-anaknya sambil mengucapkan kata-kata yang tidak elok selain mengangkat tangan bergimik seperti hendak memukul (tetapi tidak pukul).

Maka didapati berpunca daripada ucapan-ucapan yang tidak sihat lah yang menyebabkan anak-anaknya memendam rasa, hilang keyakinan dan terbawa-bawa dalam tidur sehingga ketika bangun pagi terpaksa melepaskan perasaannya ke pintu bilik atau almari atau pintu bilik air. Pokok pangkalnya adalah kurangnya pemahaman dan didikan ilmu agama serta mengabaikan solat.

Jadi perawat hanya menasihati secara baik pada ayah kepada budak-budak tersebut agar perlunya menjaga ucapan walau ketika marah sekalipun dan cuba berubah menjadi lebih rasional dan matang selain bijak menegur anak-anaknya. Tidak lupa untuk mengharmonikan keluarga dengan ilmu agama.


Berkata Syeikh Abdul Qadir Jailani,

"Aku lebih menghargai orang yang beradab, daripada orang yang berilmu... Kalau hanya berilmu, iblis pun lebih tinggi ilmunya daripada manusia"

Juga nasihat kepada diri perawat dan juga pembaca-pembaca di ruangan peribadi perawat ini agar sama-sama menjaga adab dan akhlak keperibadian diri selain menuntut ilmu, agar tidak menyentuh sensitiviti fitrah manusia sehingga menyebabkan hilang kawalan emosi dan bertindak di luar batasan minda.

Kes selesai sehingga itu. Nantikan pengalaman-pengalaman perawat seterusnya dalam jejak perubatan dan rawatan bersama kes-kes misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar berlaku dari masa ke semasa.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

No comments:

Post a Comment