Thursday, September 21, 2017

*Pengalaman Merawat Kes Susuk Emas Eps 22*

BAHANA PEMAKAIAN SUSUK

Cantik, Anggun, Ayu dan Mengancam!! Wanita mana pada zaman sekarang yang tidak ingin kelihatan seperti itu...

Ramai wanita yang mengimpikan kecantikan rupa paras dan ingin sentiasa mendapat perhatian ramai orang sehinggakan pelbagai produk kecantikan sama ada yang beracun atau tidak, yang berkualiti atau hanya isi, yang berserbuk atau berkrim, muncul dalam pasaran dengan kepelbagaian harga yang menekan. Tidak kurang juga antara wanita yang mengambil guna kaedah tradisional untuk nampak lebih original dan tidak mahu terlibat dengan bahan-bahan kimia yang semakin berleluasa wujud dalam produk-produk kecantikan itu sendiri.

Apa yang perawat ingin kisahkan di sini bukanlah berkenaan hal produk kecantikan wanita tetapi satu pengalaman merawat seorang pesakit yang tinggal di Tanjung Tokong, telah lama memakai susuk emas bertujuan agar diri dipandang orang dan sentiasa mendapat perhatian. Kes rawatan berlaku pada awal Julai 2017 di mana pesakit sendiri akhirnya tidak dapat menanggung bahana pemakaian susuk emas yang telah dipakai selama lebih kurang 20 tahun lamanya.

Mengikut keterangan pesakit, dia sendiri tidak tahu akan risiko yang bakal dihadapi setelah menanam susuk emas ke dalam wajahnya dan hanya menganggapnya sekadar kecantikan yang berterusan kerana pada ketika itu usianya masih terlalu muda dan mentah. Maka bermulalah kemunculan petanda-petanda mistik selepas 7 hari susuk emas dimasukkan ke wajahnya.

Pesakit memberitahu selepas 7 hari, pandangan matanya sering kelihatan kelibat bayangan di dalam dan di luar rumah, rasa didekati dan diperhati ketika di dalam rumah. Kerapkali nampak makhluk yang dinamakan pontianak, pocong, penanggal, orang hitam dan macam-macam lagi. Kerap terjaga malam kerana terganggu dan kadang-kadang kedengaran namanya dipanggil-panggil tetapi tiada sesiapa pun yang kelihatan. Kakinya kerap ditarik-tarik semasa tidur. Selalu terdengar bisikan tetapi tidak tahu butir bicaranya. Tubuh badan kadang-kadang terasa panas dan sejuk tanpa sebab. Risau tanpa sebab, kepala sekali-sekala terasa berdenyut-denyut, kerap menangis kerana fikir macam-macam perkara, hilang selera makan dan banyak masalah dengan rakan-rakan di tempat kerja tanpa sebab. Begitulah yang berlaku selama 20 tahun memakai susuk emas tersebut sehinggalah pesakit bertemu dengan perawat.

Kata pesakit, 10 tahun yang lalu, pesakit pernah berubat untuk buang susuk tersebut tetapi keadaannya masih tetap sama mengalami gangguan mistik berterusan. Walaupun telah berusaha berubat di merata tempat, tidak ada seorang perawat pun yang mampu untuk menyelesaikan kes susuk emasnya menyebabkan pesakit berputus asa dan terpaksa menanggung beban gangguan mistik berterusan.

Pada sesi rawatan pertama dijalankan, perawat mendapati masih wujud lagi zat jahat yang disebut susuk emas tersebut dan kehadiran sedikit tuju-tuju pada pesakit. Zat-zat jahat kemudian dimusnahkan dan pesakit dipulihkan dari segi mental dan fizikal. Rawatan mengambil masa 40 minit dan keadaan pesakit bertambah tenang dan lapang dada. Air minum dan mandian serta adab tidur dibekalkan pada pesakit sementara meneruskan sesi rawatan susulan kedua.

Pada sesi rawatan kedua, pesakit menyatakan selepas rawatan pertama, selera makannya telah pulih, kakinya tidak ditarik lagi semasa tidur, tidak lagi kelihatan kelibat, tiada lagi kerisauan, tiada tekanan perasaan dan tidak rasa ingin menangis tanpa sebab seperti sebelum ini. Masalah di tempat kerjanya berkurangan. Tetapi semasa sesi rawatan kedua, pesakit merasa seram sejuk dan kepalanya berdenyut-denyut, maka perawat berikhtiar memusnahkan zat-zat jahat yang masih ada di dalam kepala dan lain-lain tempat di bahagian tubuh badannya sehingga hilang rasa yang mengganggu. Dan pada sesi rawatan ketiga, pesakit telah dipulihkan sepenuhnya dan kembali normal seperti orang biasa. Pesakit juga telah disediakan mandian bunga untuk memulihkan aura dan seri tubuh badan dan paras rupa.

Adalah dinasihatkan kepada kaum wanita agar sentiasa memperbanyakkan amalan yang baik-baik untuk diri, menjaga keperibadian diri dan tidak mudah terpengaruh dengan sesuatu perkara tanpa merujuk kepada orang yang lebih arif dalam perkara-perkara tertentu. Jangan kerana mabuk kecantikan, sanggup untuk mengambil jalan ekspres atau singkat dengan mencari bomoh-bomoh yang berdampingan dengan alam ghaib yang akhirnya memakan diri untuk suatu jangkamasa yang panjang atau sehingga membawa kesusahan pada saat menghadapi kematian.

Ikuti kisah dan pengalaman perawat seterusnya dalam jejak perubatan dan rawatan dalam menelusuri pengalaman misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar berlaku di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#susuk
#kecantikan
#ilmupuja
#terbukahijab
#susukemas
#susukberlian
#susuksyaitan

No comments:

Post a Comment