Antara barang-barang yang dijumpai di dalam almari bilik yang disyaki hakmilik pembantu rumah yang dulu
Kes seterusnya, sengaja perawat mengetengahkan isu pemulihan rumah ini yang sepatutnya dilewatkan ke episod pengalaman berturutan. Tetapi apa yang ingin perawat sampaikan terlebih awal adalah sebagai satu iktibar supaya seisi rumah akan lebih berhati-hati dan lebih teliti dalam memilih dan menyetujui pandangan-pandangan dan kata-kata manis seorang ejen.
Bulan Julai, 2017, perawat telah dihubungi oleh seorang wanita India berkeluarga, meminta untuk membuat scanning (pengesanan/pemeriksaan) rumah dan diri wanita India tersebut kerana seperti merasakan sesuatu yang kurang selesa dan agak merimaskan. Jam 6:45 petang, perawat sampai di rumah wanita India berkenaan dan memulakan sesi temubual. Setelah menyatakan hal keadaan rumah, perawat memulakan scanning bermula dari tingkat atas dan berakhir di ruang tamu.
Rumah tersebut mempunyai 9 bilik (atas+bawah), 6 bilik air, 3 ruang dapur, 3 bilik stor, 2 ruang tamu, 2 ruang makan, 1 ruang gym, 1 ruang santai dan 1 bahagian tempat tokong Hindunya. Jika ingin dibuat pemulihan lengkap, mungkin memerlukan masa 3-5 jam untuk perlaksanaan dalam dan luar berdasarkan saiz rumah yang memang cukup besar. Setelah scanning dibuat, didapati ada banyak tempat yang menunjukkan kehadiran zat-zat jahat yang menyebabkan ketidakselesaan penghuni rumah. Perawat kemudiannya bertanyakan beberapa perkara untuk mencari kepastian dari mana punca datangnya zat-zat jahat tersebut. Setelah diketahui, wanita India ini dinasihati agar rumah perlu dibuat pemulihan rumah dan cuba memperbaiki cara gaya hidup yang kerap balik lewat atau tengah malam.
Disebabkan agak sibuk dengan kerjaya masing-masing, di mana suaminya seorang doktor pakar, wanita India ini seorang penyanyi majlis dan anak-anaknya masih lagi sambung belajar ke institusi pendidikan tinggi, wanita tersebut minta ditangguhkan dulu pemulihan rumah sehingga ada kelapangan.
Bulan September, 2017, sekali lagi perawat telah dihubungi, minta datang ke rumah serta terus membuat pemulihan rumah. Maka pada hari dan masa yang dijanjikan, perawat hadir untuk menjalankan proses pemulihan rumah dengan secepat yang boleh. Seperti biasa, soal selidik dan temubual dibuat.
Mengikut cerita daripada wanita India ini dan anak-anaknya, 3 minggu sebelum hari perawat datang untuk teruskan pemulihan rumah, berlaku beberapa perkara misteri di dalam rumah berkenaan. Di antaranya adalah pintu bilik anak lelaki nombor 2 diketuk pada pukul 1 pagi tetapi tidak diendahkan kerana menyangka adik lelakinya yang juga anak nombor 3 sekadar bergurau kasar tengah malam. Tetapi bila disahkan pada keesokan harinya, adik lelaki tersebut memberitahu bahawa dia berada di bawah sedang menonton tv dan tidak mengetuk pintu bilik abang keduanya itu. Misteri seterusnya, anak lelaki nombor 2 tersebut ingin mengunci pintu pagar rumah pada waktu maghrib. Ketika dia menoleh ke belakang menghadap bilik atas, kelihatan ada seorang 'wanita' yang bermirip bekas pembantu rumah Indonesianya, yang telah pulang kerana tamat kontrak, menyelak langsir jendela dan memerhatikan anak lelaki kedua ini dari dalam bilik atas. Apabila terperasan yang anak lelaki kedua ini nampak susuk dirinya, terus langsir ditutup dan 'wanita' tersebut seperti melarikan diri dari dilihat. Bila anak lelaki ini bergegas naik ke atas untuk periksa, didapati tiada seorang pembantu rumah pun kerana pembantu rumah Indonesia yang dilihatnya itu telah lama dihantar pulang ke negara asalnya.
Misteri berikutnya, anak lelaki nombor 2 dan nombor 3 (nombor 1 sambung belajar di luar negara) sedang menonton filem astro di tengah malam di mana tiba-tiba kedua-duanya terdengar seperti gelas kaca jatuh ke lantai dan pecah. Bunyi tersebut datang dari dapur kedua dan anak lelaki nombor 2 bergegas untuk lihat sama ada tikus atau punca lain yang menyebabkan gelas jatuh dan pecah. Apabila lampu dapur kedua dinyalakan, tiada sebarang gelas atau pinggan kaca pun yang jatuh ke lantai seperti yang mereka dengar awal tadi. Keadaan mula menjadi semakin pelik dan aneh. Di masa yang lain sebelah malamnya, anak lelaki kedua ingin mengunci pintu pagar rumah, ketika menoleh untuk masuk ke pintu rumah, dia terdengar seperti seseorang menghembus ke telinganya, dan bila dia menoleh ke belakang, tiada sesiapa pun yang dilihat.
Antara misteri lain, nama dia dipanggil dari rumah jiran sebelah yang kebetulan jirannya berada di luar negara pada masa itu dan tiada sesiapa pun berada di dalam rumah jirannya itu. Selain itu, terdengar seperti kerusi atau perabot dialihkan di dalam rumah, bila diperiksa, tiada sebarang perabot pun yang terusik.
Disebabkan itu, wanita India ini mengambil masa 2 hari untuk mengemas semua bilik termasuk bilik bekas pembantu rumah Indonesianya dan terjumpa barang-barang seperti gambar-gambar yang disertakan. Ketika bekas pembantu rumahnya masih ada, wanita India ini pernah memeriksa bilik pembantunya secara diam-diam dan mendapati gambar dirinya, suaminya, anak-anaknya dan adik-beradiknya termasuk keluarga masing-masing telah diselitkan di dalam kitab al-Quran. Wanita India ini kemudian merujuk kepada seorang ustaz perawat Islam dan dimaklumkan pembantunya berniat tidak baik kerana mencuri gambar-gambar keluarga wanita India ini untuk dijampi serapah bermotifkan niat jahat. Gambar-gambar tersebut telah diambil semula dan disimpan di tempat yang selamat dari pengetahuan bekas pembantunya itu. Apa yang berlaku seterusnya selepas itu, seisi rumah telah 'ditundukkan' di mana tidak ada seorang pun yang dapat menegur atau memarahi bekas pembantu rumah itu jika tidak buat kerja rumah. Bekas pembantu itu banyak menghabiskan masa melayan astro, bermain mesej whatsapp dan hanya melakukan sedikit kerja rumah.
Walaupun telah beberapa tahun dihantar pulang oleh ejen ke Indonesia, tiba-tiba berlaku perkara-perkara misteri sebulan selepas perawat membuat scanning rumah tersebut. Atas sebab kejadian misteri inilah perawat dipanggil semula untuk membuat pemulihan rumah. Sehari sebelum perawat datang, wanita India ini telah memanggil seorang Sami Hindu untuk membuat 'pembersihan' rumah dan kelihatan banyak kulit limau nipis berada di atas rumput di laman luar rumah. Mengikut keterangan Sami Hindu tersebut, ada 'sesuatu' di dalam rumah wanita India ini dan sami ini tidak dapat mengusirnya keluar dari rumah.Selain itu, keluarga India ini memiliki 2 ekor anjing peliharaan. Yang besar diletakkan di belakang rumah dan yang kecil berada di dalam sangkar dan diletakkan di ruang tamu berhampiran tv. Kerapkali anjing kecil ini mendengus seperti hendak menerkam sesuatu dan menyalak kuat ke arah tangga seperti ada sesuatu yang berdiri di situ. Perkara ini, seperti yang diceritakan, kerapkali kelihatan sikap aneh pada anjing kecil mereka dan anjing besar di belakang rumah juga menyalak kuat dan menggonggong seperti ada kehadiran sesuatu yang misteri. Jadi perawat dipanggil untuk berikhtiar memulihkan keadaan.
Berdasarkan barang-barang yang dijumpai dan diterima oleh perawat, aura negatif dapat dirasakan dan apa yang tertulis pada barang-barang tersebut, tidak dapat difahami dengan jelas. Barang-barang tersebut ditawarkan dan proses pemulihan rumah dijalankan sepantas yang boleh. Hampir lebih 2 jam, proses pemulihan dapat diselesaikan walaupun rumah tersebut memang besar dan perlu diteliti tetapi dalam hal ini, kebijaksanaan minda amat perlu dipraktikkan.
Setelah selesai pada jam 5 petang, keadaan rumah diteliti dan dipastikan pada pemeriksaan kedua. Suasana rasa tenang, tiada kekaburan, rasa luas dan lapang. Pemulihan selesai.
Kemudian perawat memberi beberapa maklumat dan keterangan tentang bagaimana cara yang perlu diketahui apabila ingin mengambil pembantu rumah terutamanya yang datang dari Indonesia kerana wanita India ini telah banyak kali mengambil pembantu rumah dari negara ini. Hanya selepas bekas pembantu rumah yang terakhir itulah dia mula mengambil pembantu rumah dari negara Filipina. Akan tetapi masih juga pembantu-pembantu rumah Filipina tidak dapat bertahan lama untuk kerja di dalam rumah wanita India ini.
Sedikit pesanan daripada perawat kepada majikan yang ingin mengambil pembantu rumah dari negara jiran. Pastikan ejen yang menguruskan tidak hanya mementingkan duit masuk ke poket atau lepas tangan dari perkara yang serius yang perlu diteliti dan dikaji. Akibatnya majikan yang akan menanggung risiko, kerugian, musibah dan kesusahan jika berlaku perkara-perkara misteri, aneh, ganjil atau pelik di dalam kehidupan rumahtangga masing-masing. Dan jika berlaku musibah yang misteri, bertindaklah lebih bijak dan jangan dibiarkan berlarutan tanpa penyiasatan. Pastikan majikan kerap memeriksa keadaan hal bilik pembantu rumah sekadar syarat berwaspada.
Ikuti jejak perubatan dan rawatan perawat dalam pengalaman-pengalaman menyingkap tabir misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar berlaku pada akhir zaman...
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#pulihrumah
#pemulihan
#wafaq
#tangkal
#gangguanjin
#bunyiketukan
No comments:
Post a Comment