Jejak rawatan kali ini mengungkap kisah pengalaman perawat dalam situasi yang berbetulan dalam susunan Tuhan dan tidak dirancang menemui pesakit.
Kes berlaku pada bulan Jun 2017, pada Hari Raya Aidilfitri yang ketiga di mana perawat telah dijemput oleh seorang sahabat lama yang pernah sama-sama bersekolah rendah suatu ketika dulu, untuk beraya di rumah mak saudaranya yang terletak di Gertak Sanggul Pulau Pinang. Oleh kerana banyak rumah terbuka selain kesesakan trafik untuk bergerak sana sini, perawat akhirnya sampai juga ke rumah mak saudara sahabat lama pada jam 9.45 malam bagi memenuhi permintaannya untuk bertemu.
Memandangkan telah sampai lewat, kesemua juadah telah habis dan hanya tinggal minuman kopi O sebagai pembasah tekak untuk bersembang sekejap. Sahabat lama perawat telah memperkenalkan perawat kepada saudara maranya yang ada di rumah tersebut termasuklah mak saudaranya yang dikatakan sudah terkena santau angin hampir sebulan dan kejadian berlaku kepadanya beberapa hari sebelum masuk bulan Ramadhan. Sebaik mengetahui yang perawat bekerja sebagai pengamal perubatan, serta-merta mak saudara sahabat perawat tampil dan duduk di sebelah, ingin bercerita dan bertanya lebih lanjut akan keadaan dirinya yang sakit.
Katanya sudah seminggu dia terbaring lemah tak lalu makan, pening, rasa nak muntah, kerapkali dada rasa berdebar, bila malam menjadi seram sejuk, bangun pagi tubuh menjadi sejuk sangat, cuma pada hari raya kedua saja pesakit gagahkan untuk bangun dan berjalan. Dalam tempoh sakit, pesakit menyatakan telah mendapatkan rawatan di klinik tetapi doktor mengesahkan bahawa tidak ada sebarang tanda penyakit. Diikhtiarkan ke perawat Islam, seorang perawat dikatakan telah menawarkan santau tersebut dan seorang lagi hanya membuat air tawar untuk memusnahkan hal yang dikatakan santau angin itu tetapi keadaan sakitnya masih juga tidak berubah dan makin sakit.
Ketika berada di sebelah perawat, pesakit memberitahu dia merasa berdebar-debar seperti sesak nafas bila perawat masuk ke dalam rumahnya dan kakinya merasa lemah menyucuk-nyucuk. Perawat hanya tersenyum tetapi pesakit meminta untuk dirawat jika boleh. Perawat menyatakan kehadiran pada malam itu hanya sebagai ziarah dan menerima jemputan hari raya, dan perawat hanya menasihati pesakit supaya bersabar dan akan datang semula pada pukul 9 pagi keesokan harinya untuk merawat. Pesakit kemudian berasa berlapang dada bila mendengar perawat sudi untuk merawatinya walaupun dadanya masih berdebar kuat dan berasa seram sejuk.
Walaupun pada malam itu, perawat dapat merasai suatu aura negatif dari tubuh pesakit, namun tetap perawat melayan sahabat lama dan akan datang pada keesokan harinya untuk ikhtiar merawat. Pada keesokan paginya seperti yang dijanjikan, tepat jam 9 pagi perawat sampai semula ke rumah pesakit. Sambil duduk menikmati juadah pagi, pesakit ditemubual untuk mengetahui tanda-tanda gangguan pada tubuhnya.
Antara lain simtom yang berlaku pada tubuh pesakit adalah badan terasa bahang dan sejuk tak menentu, masih lagi berdebar-debar kuat bila berhadapan dengan perawat dan terasa badan tidak stabil seperti terhoyong-hayang nak jatuh.
Sesi pertama rawatan bermula, didapati terdapat zat jahat dan penyakit fizikal iaitu asma pada diri pesakit. Perawat telah menawarkan dan musnahkan kesemua zat jahat dalam tempoh rawatan selama 30 minit. Setelah selesai, pesakit ditanya:
Perawat: "Macamana makcik rasa sekarang?"
Pesakit: "Haa alhamdulillah, lega dah...rasa macam pulih...macam tak dak apa-apa...rasa berdebar pun hilang"
Perawat: "Ada lagi tak rasa bahang atau sejuk kat mana-mana tempat atau ada rasa tak selesa kat mana-mana bahagian tubuh badan"
Pesakit: "Tak dak dah. Makcik rasa lega dah"
Walaupun pesakit menyatakan dia telah rasa pulih, rawatan susulan kedua dan ketiga tetap perlu diteruskan bagi memulihkan sepenuhnya tubuh pesakit. Pada sesi rawatan kedua, pesakit menyatakan kurang berdebar, tangannya masih merasa sejuk, belakang dan kaki masih lenguh-lenguh tetapi sudah ada selera makan selepas rawatan pertama di mana sebelum ini hilang selera makan sepenuhnya. Masih ada lagi sedikit sisa-sisa zat jahat yang tertinggal di dalam tubuhnya dan telah dimusnahkan serta tubuh pesakit dipulihkan. Air minum dan mandian serta adab tidur dan doa dibekalkan pada pesakit sebagai ikhtiar pemulihan.
Pada sesi rawatan ketiga, tiada lagi zat jahat pada tubuh pesakit dan telah pulih sepenuhnya. Pesakit ada menceritakan punca gangguan sakit bermulanya di kawasan Relau ketika pesakit menziarahi rumah anaknya untuk tidur beberapa malam. Hari terakhir hendak pulang ke rumah, pada malam tersebut tubuhnya mula merasa bahang dan menyucuk-nyucuk.
Dinasihatkan agar pada sesiapa sahaja yang ingin keluar dari ke rumah ke mana-mana destinasi, jangan kerap lupa untuk membaca doa memohon keselamatan dan perlindungan kepadaNya agar tidak terjadi sesuatu musibah atau perkara yang memudharatkan pada diri mahupun ahli keluarga.
Ikuti pengalaman perawat di episod yang lain dalam jejak rawatan misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar berlaku dalam masyarakat kita..
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#santauangin
#tujutuju
#berdebar
#menyucuknyucuk
#seramsejuk
No comments:
Post a Comment