Tuesday, September 12, 2017

*Pengalaman Merawat Kes Santau Makan Eps 21*

PESAKIT SANTAU MAKAN

Jika episod sebelum ini perawat berkongsi pengalaman merawat seorang pesakit yang dikatakan terkena santau angin, pengalaman kali ini memaparkan kisah seorang pesakit yang dikatakan terkena santau makan.

Perawat telah dihubungi dan dijemput makan petang di rumah pesakit yang dikatakan terkena santau makan di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Hari itu adalah hari raya keempat pada bulan Jun 2017. Perawat telah dijemput setelah pesakit mendapat perkhabaran di mana perawat merawat pulih seorang pesakit santau angin pada hari raya kedua yang lalu. 

Setelah selesai makan, sesi temubual bermula. Pesakit menceritakan tentang makanan yang telah dibawa pulang oleh anak perempuannya tetapi tidak dijamah oleh anaknya sedikitpun. Makanan yang dibawa pulang itu diterima daripada seseorang yang keluarga pesakit ini kenali. Seperti anak perempuannya sudah tahu apa yang telah dibuat pada makanan tersebut, yang diletakkan di atas meja makan tetapi lupa untuk memberitahu ibunya supaya jangan menjamah makanan tersebut.

Pesakit memberitahu pada kali pertama menikmati makanan yang dibawa pulang itu, rasanya sedap sekali dan telah menghabiskannya. Simtom pertama yang dirasakan selepas itu ialah bahang panas tetapi pesakit menganggapnya ia hanyalah perkara biasa mungkin disebabkan faktor cuaca. Kemudian makanan kedua pula telah dibawa pulang yang masih diterima daripada orang yang mereka kenali. Juga telah dihabiskan oleh pesakit tanpa dimaklumkan oleh anak perempuannya supaya jangan dimakan. Sangkaan anak perempuannya, mungkin ibunya telah membuang makanan-makanan tersebut ke dalam tong sampah. Dan simtom kedua yang terjadi pada pesakit ialah panas bahangnya lain macam, berasa seram sejuk dan sakit kepala. Dan kali ketiganya, makanan dibawa pulang yang masih diterima daripada orang yang sama, telah dihabiskan oleh pesakit tanpa pengetahuan anak perempuannya. Melihat pinggan makanan yang telah dibasuh, si anak bertanya pada ibunya sama ada telah membuang makanan tersebut atau memakannya. Ibunya memaklumkan telah menghabiskan ketiga-tiga makanan yang dibawa pulang oleh anak perempuannya. Terkejut anaknya kerana anaknya itu sendiri sudah merasakan yang makanan-makanan tersebut telah dijampi dan dimasukkan sesuatu.

Bermulalah pada malam tersebut, pesakit meracau-racau seperti orang gila, kepanasan, merenyam-renyam satu badan dan sakit kepala. Antara simtom-simtom yang berlaku seterusnya adalah pesakit nampak kelibat dan susuk tubuh jin di dalam rumah, rasa didekati dan diperhati di dalam rumah, susah tidur kerana kerap meracau, mimpi diri terbakar, terjaga malam kerana kaki ditarik-tarik, terdengar nama dipanggil pada tengah malam, terdapat kesan lebam hitam di kaki yang menunjukkan seseorang berdendam atau cukup marah, badan panas dan sejuk, sakit kepala dan terasa ada benda bergerak di dalam badan.

Perawat melihat keadaan pesakit yang tiada seri, lemah, terganggu emosi dan bertahan. Pesakit telah menanggung beban kesakitan selama 7 bulan bermula pada hujung tahun 2016 hinggalah bertemu dengan perawat. Walaupun ada seorang dua yang tampil membantu cuba memulihkan namun tidak ada peningkatan atau pemulihan yang berlaku. Perawat tampil sekadar berikhtiar merawat pulih.

Ketika sesi rawatan bermula, kaki pesakit seperti ditarik ke atas mengerekot. Bila ditanya, pesakit mengatakan ia terjadi sendiri dan bukan dia yang buat-buat. Perawat kemudian fokus kepada kedua-dua kakinya dan beransur stabil semula. Dalam pada itu badan pesakit terasa panas, perut kepanasan dan lehernya seperti diikat tali. Perawat fokus kembali pada tubuh pesakit dan tiba-tiba kedua-dua kaki pesakit terus mengerekot hingga ke perut. Perawat terus membatalkan ilmu yang batil dan musnahkan zat-zat jahat dari badan ke kaki sehingga semua jadi normal kembali. Dan tiba-tiba leher pesakit seperti ditarik dan ingin tergantung. Pesakit memberitahu ada terasa seakan-akan tali di lehernya lalu perawat terus memutuskan tali tersebut dan tiada lagi tarikan pada lehernya. Kemudian perawat merawat pulih hal keadaan pesakit sepenuhnya setelah pesakit tenang dan normal kembali.

Pesakit menyatakan telah lega banyak dan tenang selepas selesai rawatan. Namun masih perlu diperiksa pada rawatan susulan kedua. Masih terdapat sedikit zat jahat dan dirawat pulih selain dibekalkan adab tidur dan doa. Pada sesi rawatan ketiga, pesakit telah pulih sepenuhnya dan rawatan selesai.

Adakalanya kita tidak tahu tujuan seseorang yang dikenali memberi sesuatu berupa makanan atau barangan. Adakah kerana ikhlas, silaturrahim atau berniat tidak baik sedangkan kita hanya bersangka baik tanpa menolak. Walau apapun, jika berlaku musibah atau gangguan, sila bertindak bijak mencari pakar pada bidangnya, jika penyakit fizikal rujuklah kepada doktor dan jika bukan penyakit fizikal, ikhtiarlah dengan perawat Islam. Mudah-mudahan penyakit atau gangguan tidak berlarutan berpanjangan.

Sebarang kemusykilan atau temujanji, sila hubungi nombor yang tertera atau whatsapp atau sms di FB Perubatan Ikhtiar Dan Doa atau di blogspot perawat al-faiz-al-falah.blogspot.my

Kesembuhan Dengan Kembali Kepada Allah

#fbPerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#santaumakan
#santauangin
#santau

1 comment:

  1. MOHON BANTU RAKYAT MSIA
    Assalamualaikum. saya mencari perawat yang boleh membuang sihir berpenjaga/wali di badan pesakit, beberapa bahagian utama pesakit telah dikunci, dan juga dikenakan sihir patung, menyebabkan pesakit diganggu beramai-ramai tidak kira masa. Jika sahabat disini tahu di mana tempat rawatan yang berkesan disekitar Pasir Mas Kelntn. tolong mesej alamat/tel.nombor perawat, email kepada saya : tubuhsatu@gmail.com

    ReplyDelete