Monday, October 23, 2017

*Pengalaman Merawat Masalah Dalam Perut Dan Lebam Di Lengan Kanan Eps 29*

MERAWAT MASALAH DALAM PERUT DAN LEBAM DI LENGAN KANAN

Jika pengalaman sebelum ini perawat didatangi ramai pesakit dari kalangan perempuan, kali ini perawat merawat pesakit lelaki yang tiba-tiba terkena gangguan. Pesakit menetap di Gertak Sanggul Pulau Pinang dan bekerja sebagai seorang penyelia bahagian di sebuah kilang ternama di Pulau Pinang.

Kes berlaku pada hujung bulan Julai 2017 dan telah 3 hari pesakit menyatakan perutnya mengalami masalah, tidak lalu makan, cirit-birit dan badan lesu. Dalam masa yang sama, pesakit menunjukkan ada satu kesan lebam di lengan kanannya dengan dua kesan gigitan seperti gigitan gigi ular.

Mengikut cerita pesakit, gangguan terjadi ketika mana pesakit bertugas pada shif malam. Di bahagian pengurusannya, dikatakan agak keras kerana pernah beberapa kali gangguan dari makhluk yang digelar pontianak berlaku pada pekerja-pekerja perempuan. Tetapi kali ini, terkena habuannya pada diri pesakit sendiri.

Pada malam pesakit bertugas, dia telah mengalami masalah dalam perutnya selama tiga hari tetapi tetap digagahkan juga melaksanakan tugas kerana tidak ada pekerja yang cukup dan berkelayakan untuk menggantikan tempatnya sebagai penyelia bahagian. Pada hari ketiga itulah suatu misteri berlaku di tengah malam itu di mana pesakit dan beberapa orang pekerja terhidu bau yang sangat harum seperti bunga melur dan baunya semakin lama semakin kuat menyengat. Kata pesakit, bagi mereka yang lelaki, hanya abaikan saja bau tersebut tanpa menegur dan diteruskan kerja masing-masing. Tetapi pesakit pula berkata-kata dalam hati dari mana datangnya bau wangi tersebut. Hampir setengah jam kejadian bau wangi itu berlaku dan kemudian beransur-ansur hilang.

Setelah selesai shif bertugas, pesakit pulang ke rumah dan terus tidur keletihan. Sehingga waktu zohor, pesakit bangun dan tidak lama selepas itu, dirasakan tangan kanannya seperti sengal dan lemah. Sambil membelek-belek tangan kanannya itu, pesakit terperasan ada satu kesan lebam sebesar duit siling 50 sen dengan dua kesan gigitan gigi ular. Mungkin juga keadaan diri pesakit yang masih lemah, dapat diganggu oleh makhluk tersebut dengan mengambil kesempatan yang ada.

Perawat telah dipanggil untuk merawat pulih diri pesakit. Perawat telah menawarkan bisa di dalam perutnya kemungkinan pesakit telah keracunan atau tersalah makan. Kemudian zat jahat pada lengannya dimusnahkan. Air minum dan mandian dibekalkan. Rawatan hanya berlaku sebanyak dua kali sahaja dan pesakit pulih sepenuhnya.

Nantikan kisah pengalaman perawat seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan gangguan-gangguan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku di mana sahaja...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

No comments:

Post a Comment