Friday, October 27, 2017

*Apakah Pengertian "GURU MURSYID" Eps 32*

APAKAH PENGERTIAN "GURU MURSYID"

Ramai dari kelompok masyarakat yang masih tidak mengerti akan maksudnya perkataan "GURU" biarpun ramai yang melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi mahupun ke universiti di luar negara untuk mencari ilmu dunia dan mendapat kelayakan Diploma, Ijazah, Ijazah Sarjana Muda, Ijazah Doktor Falsafah atau Ijazah Doktor Lanjutan tetapi pada hakikatnya mereka-mereka ini masih lagi belum mencapai suatu tahap keredhaan dalam rahmat yang dicari setiap insan kerana masih tidak tahu akan ilmu hakikat dan ilmu ma'rifat yang mendekatkan dan mengenalkan diri dengan Pencipta serta makhluk-makhlukNya. Maka di sini perawat berkongsi sedikit ilmiah daripada seorang hamba Allah untuk mereka yang mampu berfikir atau mendapat kesedaran tentang perjalanan hidup dari alam roh hinggalah ke padang mahsyar.

Mencari Guru Mursyid...

Soalan: Apakah maknanya Guru Mursyid?

Jawapan: Makna Guru adalah seorang manusia zahir yang mengajar seseorang di dalam suatu ilmu, menyampaikan petunjuk atau petua atau kaedah-kaedah tentang ilmu tersebut. Makna Mursyid itu adalah suatu pengetahuan atau pengalaman yang dilalui sendiri oleh seseorang yang menjadi guru.

Soalan: Apa bezanya seorang Guru Mursyid dengan guru biasa?

Jawapan: Guru Mursyid adalah guru yang benar-benar mengetahui di semua sudut bidang ilmu dan pengalaman yang pernah dilaluinya sendiri melalui pengajaran laduni yang mana ia membicarakan hal-hal ilmu yang tidak dapat dijangkau oleh akal pencapaian pemikiran manusia biasa. Manakala guru biasa adalah guru yang mengajar mengikut pendapat orang lain, cerita orang lain atau dari bahan bacaan yang kemudiannya ditafsirkan mengikut akal fikiran mereka sendiri mengikut logik dan fakta tetapi tiada sebarang pengalaman atau pengajaran laduni.

Soalan: Apakah itu Ilmu Laduni?

Jawapan: Ilmu Laduni adalah ilham atau suatu nikmat yang dicapai oleh mereka yang bertaqwa (mengenal Allah Ta'ala). Ilmu Laduni juga dikatakan Ilmu Ma'rifat. Dilimpahkan pada hati Aulia' Allah yang jernih dan bersih dari segala penyakit-penyakit hati seperti syirik, cinta dunia dan was-was. Bahkan mereka yang mukmin (beriman dan beramal) bersungguh-sungguh mendampingi ahli laduni ini, mampu mendapat atau menumpang sedikit habuan laduni di atas restu atau pengijazahan (bai'ah) dengan izin Allah.

Soalan: Apakah yang diajar oleh seorang Guru Mursyid?

Jawapan: Guru Mursyid bukan sahaja mengajar berpandukan Al-Quran dan Hadis Qudsi, malah ilmu pengetahuannya diperolehi dari pengalamannya sendiri yang pernah dilaluinya semasa latihan mencari ilmu hakiki dan ilmu ma'rifat ketika bersama gurunya terdahulu.

Soalan: Mengapa perlu berijazah (bai'ah) bila ingin belajar ilmu ma'rifat?

Jawapan: Guru Mursyid yang berpengalaman adalah seorang guru yang pernah diijazahkan oleh guru asalnya. Ijazah sangat-sangat diperlukan kerana terdapat Barakah iaitu mempunyai kesinambungan dari satu guru ke satu guru yang sebelumnya (salasilah), dari satu Wali Allah ke satu Wali Allah yang sebelumnya, sehinggalah sampai kepada Muhammad Rasulullah SAW. Atau dalam ertikata lain adalah kesinambungan tenaga Ilahi iaitu kefahaman dan kesedaran yang hakiki yang diperturunkan daripada Rasulullah SAW ke satu guru hinggalah ke satu guru yang lain.

Soalan: Bolehkah belajar terus dengan Allah?

Jawapan: Boleh...setelah mendapat ilmu laduni yang dibimbing oleh guru mursyid. Namun perlulah fahami terlebih dahulu siapa Allah yang dimaksudkan.

Soalan: Apakah rupa bentuk fizikal seseorang itu melambangkan seorang guru mursyid?

Jawapan: Dalam mencari guru mursyid hendaklah dipandang dari segala aspek tentang kedalaman ilmunya. Guru yang mursyid BUKAN hanya dilihat dari zahirnya (fizikal), BUKAN dilihat dari sudut kedudukannya, BUKAN dilihat dari terkenalnya dia, jumlah ilmu syariatnya, besar serbannya, panjang dan putih janggutnya, wara' rupanya, banyak kitabnya, bertanda hitam di dahi, bersopan santun, hebat ceramah agamanya, merdu bacaan al-quran, kerap menjadi imam dan sebagainya. Lazimnya guru mursyid membungkus ilmunya atau merahsiakan ilmunya, berpakaian seperti orang biasa, makan seperti orang biasa, tidak menonjolkan diri di khalayak ramai, zuhudnya merendah diri di mana saja. Kelakuan atau fi'il bukanlah menjadi ukuran mutlak akan sifat mursyidnya seorang guru itu. Ramai yang tidak berjumpa dengan guru mursyid sebab mereka menganggap guru-guru ini seperti yang saya sebutkan di atas tadi. Dan sekiranya seorang guru itu dilihat bercakap seolah-olah seorang yang bongkak, berpakaian seperti orang biasa (tiada serban dan jubah) dan makan yang agak banyak pada pandangan matanya, ramai yang telah buat persepsi dan andaian baik yang terpelajar ataupun tidak, bahawa guru tersebut bukan mursyid. Maka terlepaslah dia dari berjumpa dengan guru yang mursyid sepanjang hidupnya. Alangkah ruginya mereka yang telah berjumpa tetapi bersangka tidak baik pada guru mursyid tersebut tidak kira usia orangnya muda atau tua daripada si pesangka serta kerugian tidak mendapat kesinambungan ilmu berterusan daripada Rasulullah SAW. Yang hanya mereka dapati adalah ilmu-ilmu dunia yang tidak tahu dari mana susurgalurnya sama ada daripada orang-orang yang bukan Islam atau orang Islam tetapi menyintai dan menyebarkan ilmu dunia semata-mata.

Sebagai suatu iktibar kisah Nabi Musa a.s. cuba menuntut ilmu hakikat dengan Nabi Khidir a.s. yang telah diceritakan di dalam surah Al-Kahfi ayat 60-82.

Bertanya Nabi Musa, "Bolehkah kau mengajarku dari apa yang telah diajar oleh Allah kepadamu?"
Nabi Khidir menjawab, "Sesungguhnya engkau tidak akan sekali-kali bersabar bersamaku".
Dipendekkan cerita tatkala 3 peristiwa Nabi Musa a.s. bersama Nabi Khidir a.s. iaitu 1. Membocorkan perahu yang mereka naiki. 2. Membunuh seorang pemuda 3. Membantu membina tembok dengan 2 orang anak yatim, yang pada pandangan Nabi Musa adalah perbuatan yang sia-sia belaka. Namun, Nabi Khidir dapat memberi jawapan yang mudah kepada Nabi Musa a.s. tentang apa yang telah berlaku.

Begitulah ilmu hakikat yang jauh keluar dari kemampuan akal fikiran manusia dan norma-norma masyarakat. Dan ilmu sebegini rupalah yang wajib kita dapatkan...agar banyak rahsia dan hijab kehidupan serta ketuhanan dapat dibongkar satu per satu. Dan bila sudah tiada soalan, barulah ketenangan hadir dengan sendirinya tanpa diminta-minta.

Soalan: Apakah jenis guru yang kebiasaannya dicari oleh masyarakat umum?

Jawapan: Mereka menganggap guru yang mengetuai sesebuah badan atau organisasi, guru yang pandai berceramah tanpa kering gusi, guru yang menonjol di khalayak ramai itulah sebenar-benar guru. Walhal sebaliknya, guru seumpama itu hanya boleh dijadikan pengajaran tetapi bukan untuk dijadikan panduan atau ikutan.

Soalan: Apakah ilmu yang dibawa oleh Rasulullah sehinggalah kepada Guru Mursyid yang ada sekarang ini?

Jawapan: Selain daripada ilmu syariat yang telah biasa kita dengar dan ikuti, Ilmu Kerohanian atau Ilmu Ma'rifat Mengenal Allah.

Soalan: Mengapa perlu belajar atau mengetahui Ilmu Kerohanian/Ma'rifat?

Jawapan: Bukan kerana pahala, Bukan kerana syurga tetapi kerana ingin mengenal Allah 100% yakin dan mencapai kedamaian hakiki dan merasai kerinduan yang tidak terperi untuk kembali kepadaNya.

Wallahua'lam.

Sumber: Ustaz Rahmat Rahman.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

No comments:

Post a Comment