Barang-barang yang digantung di atas pintu masuk dan pintu dapur
Ketinggalan dalam siri episod pengalaman perawat yang terawal, kes pemulihan rumah dinaikkan semula untuk iktibar para pembaca dan pengkaji agar mendapat sedikit kefahaman dan pengetahuan tentang risiko dan keburukan memiliki sesuatu yang tidak memberi manfaat pada keharmonian rumahtangga.
Rawatan pemulihan rumah berlaku pada pertengahan bulan April 2017 berlokasi di sebuah rumah kampung di Rope Walk, Pulau Pinang. Pesakit telah dirawat dalam tiga sesi rawatan dan pulih, cuma masih berasa tidak selesa dan tidak nyaman berada di dalam rumah sendiri. Maka tiga hari selepas dari sesi rawatan yang ketiga, perawat hadir untuk sesi pemulihan rumah.
Pada sesi pemulihan rumah tersebut, perawat mendapati terdapat tiga rangka belangkas (seperti gambar) yang digantung di atas pintu masuk sebelah atas, pintu masuk sebelah bawah dan pintu dapur. Sesi pengesanan (scanning) dibuat terlebih dahulu untuk mencari titik kedudukan yang dikatakan oleh pesakit, terdapat penjelmaan makhluk berambut panjang yang dinamakan sebagai pontianak dan lembaga hitam seperti orang minyak.
Ketika pengesanan, terdapat satu titik lokasi beraura negatif di tingkat bawah rumah berdekatan bilik tidur berhampiran tepi tingkap yang dikatakan kerap kali nampak kehadiran wanita berambut panjang dengan baju putih berlumuran darah dan satu titik lokasi beraura negatif di tingkat atas yang dikatakan kelihatan lembaga hitam seperti orang minyak.
Perawat telah menawarkan ketiga-tiga rangka belangkas terlebih dahulu dan kemudian memberi peluang agar jin-jin tersebut keluar dari rumah tanpa perlu dikenakan hukuman yang lebih berat. Ternyata masih lagi terdapat aura negatif di titik lokasi yang sama. Pada pandangan perawat, barangkali jin-jin tersebut telah dirantai atau terikat pada kedudukan tersebut, maka susuk-susuk jin yang dikatakan perempuan berambut panjang berbaju putih berlumuran darah dan lembaga hitam orang minyak tersebut, telah dilepaskan ikatan mereka yang berkemungkinan telah diletakkan di tempat tersebut untuk sesuatu tujuan. Kemudian seluruh rumah itu dibersihkan dari gangguan zat-zat jahat yang memungkinkan kehadiran penyakit misteri pada tubuh penghuni rumah. Pemulihan rumah mengambil masa dua jam dan setelah selesai, keadaan rumah telah nampak seri dan cerah, terasa lapang dan tenang berbanding sebelumnya.
Mengikut penerangan pesakit, bilik-bilik di bahagian atas yang kesemuanya terdapat empat bilik, dijadikan bilik untuk disewa kepada orang-orang luar. Setiap kali terdapat orang yang ingin menyewa bilik datang ke rumah pesakit untuk melihat bilik sewa, hati mereka menjadi hambar dan seperti tidak berminat melihat rumah tersebut. Begitulah yang berlaku setiap kali orang yang menelefon pesakit, datang melihat bilik sewa. Moga-moga diharapkan akan ada penyewa baru setelah rumah dibersih dan dipulihkan selepas ini.
Namun dua hari selepas sesi pemulihan, perawat mendapat panggilan daripada pesakit ini menyatakan belakang bahunya terdapat kesan cakaran lima jari yang agak panjang ketika pesakit ini memasuki bilik kedua di tingkat atas. Perawat hadir semula selepas panggilan itu dan mula membuat scanning (pengesanan) semula untuk mencari punca masalah yang berlaku. Setelah memeriksa kembali seluruh rumah dan meneliti bilik kedua di tingkat atas seperti yang dinyatakan, didapati terdapat sekeping kertas wafaq yang digantung di belakang pintu bilik berkemungkinan ada kehadiran jin lain yang masih terkunci di bilik tersebut. Perawat kemudian membuat pemulihan kembali dan jika ada kehadiran jin, maka dilepaskan ke luar rumah. Wafaq tersebut juga telah ditawarkan dan pesakit ini telah serta-merta membakar wafaq tersebut kerana tidak mahu menyimpannya.
Alhamdulillah, keadaan rumah pesakit ini sudah pulih sepenuhnya dan tiada lagi kelihatan susuk jin atau zat jahat atau gangguan-gangguan lain seperti sebelumnya. Tidak berapa lama dari proses pemulihan rumah dilaksanakan, perawat telah dimaklumkan oleh pesakit, telah ada penyewa baru yang menyewa salah satu bilik di atas. Syukur alhamdulillah.
Adalah dinasihatkan agar umum tidak sebarangan menggantung tangkal, azimat, wafaq, bangkai binatang laut seperti kuda laut atau rangka seperti belangkas, atau daun-daun tertentu atau keris atau kain-kain yang telah dijampi dukun untuk diletakkan di atas pintu masuk rumah kerana berkemungkinan membawa mudarat atau gangguan alam ghaib serta menyebabkan ketidakselesaan seisi rumah. Mintalah perlindungan kepada Allah SWT dan amalkan amalan dan doa seperti yang telah diajar oleh Rasulullah SAW untuk kesejahteraan dan keselamatan diri dan harta benda.
Jejak rawatan dan perubatan diteruskan dalam pengalaman-pengalaman seterusnya menelusuri liku-liku misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi pada akhir zaman ini...nantikan dan renungkan sebagai iktibar pada diri sendiri...bagi yang tidak pernah kena gangguan tidak semestinya anda terlepas dari segala-galanya...hanya mereka yang telah dan pernah melaluinya saja lebih faham akan peritnya menanggung azab gangguan tanpa ada perawat yang betul-betul merawat dengan kaedah yang benar. Elakkan perawat yang banyak bersangka-sangka tanpa bukti yang kukuh, yang hanya mencari populariti dengan kaedah yang tidak betul atau batil, yang syirik kepada Tuhan dan berdampingan dengan khadam/jin, yang meminta barang yang pelik-pelik disediakan dan sebagainya sedangkan dalam rawatan Islam tidak menyusahkan pesakit-pesakit gangguan dengan kaedah yang membebankan.
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
Sekadar gambar hiasan : Antara contoh tangkal/azimat yang diletakkan di atas pintu-pintu rumah pemberian daripada dukun/pawang/bomoh kononnya untuk perlindungan.
No comments:
Post a Comment