Tuesday, November 21, 2017

*Pengalaman Merawat Sakit Urat Eps 39*

MERAWAT SAKIT URAT

Kisah seterusnya berlaku pada awal bulan September 2017 ke atas seorang pesakit lelaki yang berumur dalam lingkungan 70-an, berlokasi di Balik Pulau, Pulau Pinang.

Ketika itu hari Jumaat, perawat baru pulang dari masjid setelah selesai solat Jumaat dan setelah sampai di rumah, telefon bimbit tiba-tiba berdering. Anak kepada pesakit meminta perawat datang segera untuk merawat ayahnya yang dikatakan terbaring sakit mukanya pucat. Dikhuatiri terkena buatan orang, suara anaknya seperti kelam kabut meminta perawat datang seberapa segera. Pesakit memberitahu badannya telah sakit hampir 7 hari.

Setelah sampai di rumah, perawat pun duduk di sisi pesakit lelaki tua sambil membuat beberapa pertanyaan yang dijawab oleh anak-anaknya. Dinyatakan ayah mereka mengidap penyakit kencing manis yang tinggi dan bergantung pada ubat doktor. Masalah timbul bila ayah mereka tidak berpantang dalam memilih makanan. Jika dilihat keadaan pesakit dalam keadaan terbaring sambil menyebut Allah dan mengeluh rasa nak mati sama seperti filem P. Ramlee dalam siri Ali Baba Bujang Lapok. Bila dipandang, perawat nak kesian pun ada, nak tergelak pun ada. Tapi rawat tetap rawat.

Kemudian perawat memulakan sesi rawatan dengan pengesanan terlebih dahulu. Setelah selesai, kes masalah pesakit, perawat mengklasifikasikan hanya sebagai masalah penyakit fizikal yang tidak ada kena mengena dengan buatan orang. Bila perawat memeriksa tubuh pesakit, didapati banyak angin tersumbat yang menyebabkan perjalanan darah tidak lancar. Untuk memulihkan keadaan, perawat hanya menawarkan urutan satu badan bagi memperbetulkan keseluruhan urat-urat tersebut. Tiba-tiba pesakit lelaki tua ini terus mendesak untuk diurut satu badan memandangkan kedua-dua kakinya terasa menyucuk-nyucuk.

Setelah selesai rawatan urut satu badan, pesakit tersebut terus duduk bersandar lega sambil menghisap rokok seperti tidak ada apa yang berlaku. Kata pesakit semuanya dah okay. Jauh berbeza berbanding awal tadi yang mengeluh tak henti-henti.

Perawat menasihatkan pesakit jika ada terasa sakit menyucuk-nyucuk kaki, kebas-kebas, kesemutan dan sengal-sengal, jangan cepat-cepat meletakkan andaian dibuat orang atau terkena tuju-tuju atau gangguan jin tanpa dipastikan dulu sama ada memiliki penyakit fizikal atau tidak. Agar tidak berlaku fitnah atau menuduh orang lain yang tidak bersalah.

Bersambung kisah seterusnya dalsm jejak rawatan dan perubatan dengan pengalaman-pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di merata tempat...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

No comments:

Post a Comment