MERAWAT GANGGUAN ZAT JAHAT
Pengalaman berikutnya, perawat telah diperkenalkan kepada seorang pesakit wanita yang tinggal di Sg Ara, Pulau Pinang, melalui seorang pesakit wanita yang sebelum ini pernah berikhtiar berubat dengan perawat. Kes berlaku pada awal Ogos 2017 di mana perawat telah dijemput ke rumah pesakit pada sebelah petang.
Diceritakan oleh pesakit, gangguan telah berlaku pada dirinya selama 2 minggu di mana antara simtom-simtom gangguan yang dihadapi adalah susah tidur tanpa sebab yang tidak diketahui, mimpi ular hitam, kerap terjaga malam seperti dikejutkan seseorang, badan terasa panas, sejuk dan seram sejuk serta kerapkali sakit kepala. Pemeriksaan doktor telah dibuat tetapi doktor menyatakan pesakit tidak menghidapi sebarang penyakit.
Sesi rawatan pertama telah dilakukan di mana terdapat zat jahat menduduki di bahagian-bahagian tertentu tubuh pesakit. Perawat telah memusnahkan zat-zat jahat tersebut dan yang paling ketara adalah di pinggang pesakit di mana pesakit memberitahu seperti terasa ada sesuatu yang tajam menyucuk di dalam pinggangnya itu. Perawat telah mengeluarkan dan memusnahkan zat jahat tersebut. Proses rawatan hanya mengambil masa 15 minit dan rawatan selesai.
Setelah selesai rawatan, menjadi rutin kebiasaan perawat akan bertanya bagaimana keadaan pesakit dan apa yang dirasakan semasa proses rawatan berlaku. Pesakit menyatakan kepalanya yang mula-mula serabut telah menjadi tenang seperti ada sesuatu yang berat hilang dari dalam kepalanya. Ketika perawat fokus pada bahagian pinggang belakangnya, pesakit memberitahu seperti terasa batang paku dikeluarkan ketika perawat menarik keluar zat jahat dan memusnahkannya.
Untuk makluman umum, walaupun pesakit telah merasa selesa atau merasa seakan telah pulih selepas sesi rawatan pertama, perawat menekankan di sini, pesakit masih tetap perlu untuk meneruskan rawatan susulan bagi pengesahan dan kesempurnaan rawatan sepenuhnya. Ada di antara pesakit-pesakit perawat, hanya beberapa saja tidak semua, yang tidak mengikuti nasihat perawat dan setelah beberapa lama kembali sakit dengan gangguan yang lain tetapi malu untuk menghubungi perawat semula kerana rasa bersalah mengingkari nasihat perawat dari mula. Inilah yang telah berlaku pada pesakit ini yang tidak mahu meneruskan rawatan susulan setelah diberi penerangan kerana merasa selesa dengan perasaan sangka-sangkanya sendiri.
Teruskan meniti kisah pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan perawat menelusuri pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku dalam masyarakat kini.
~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~
No comments:
Post a Comment