Sunday, November 12, 2017

*Pengalaman Merawat Ilmu Tuntutan Eps 37*

MERAWAT ILMU TUNTUTAN

Pengalaman seterusnya perawat telah dijemput dan dibawa ke sebuah rumah kampung yang berlokasi di Simpang Empat, Semanggol, Perak pada pertengahan Ogos 2017. Kali ini perawat merawat seorang pesakit wanita yang telah tua dan keadaannya yang dimaklumkan oleh anak-anaknya, ibu mereka sudah tidak mengenal diri ahli keluarga.

Perawat duduk di sebelah pesakit wanita tua ini, sebelum memulakan sesi rawatan, dengan tujuan untuk diajak berbicara serba sedikit bagi mengetahui kisah silamnya. Anak-anaknya memberitahu ketika kakak sulung mereka meninggal dunia 5 tahun yang lalu, ibu mereka tidak dapat menerima kenyataan lalu terus menjadi sebak, murung dan tidak mahu bercakap dengan sesiapapun sehinggalah keadaannya menjadi nyanyuk.

Perawat juga ada bertanyakan anak-anak pesakit adakah ibu mereka menjalankan tanggungjawab sebagai seorang Islam iaitu mendirikan solat, berzikir atau mengaji al-quran, bersedekah atau lain-lainnya... anak-anak pesakit menjawab semuanya suram.

Sambil bersembang dengan pesakit wanita tua ini, perawat berbisik untuk bertanya adakah pesakit mengamalkan sebarang ilmu atau mentera semasa zaman mudanya dulu, pesakit mengangguk menyatakan ada. Kemudian perawat meminta baik-baik agar pesakit membacakan mentera tersebut di telinga perawat untuk kepastian. Jelas sekali pesakit masih tetap ingat amalan mentera tersebut yang diamalkannya setiap hari sehinggalah dia nyanyuk. Kemudian perawat bercakap baik-baik bahawa amalan ini tidak elok untuk diamalkan dan boleh memudaratkan diri sebelum kematian. Jadi perawat menasihatkan pesakit agar diizinkan perawat membatalkan keseluruhan ilmu tuntutannya itu kerana ia tidak memberi sebarang faedah pada dirinya kelak. Pesakit terus mengangguk dan berkata ya.

Setelah dibatalkan ilmu tuntutan keseluruhannya, perawat meminta pesakit mengucap syahadah tetapi pesakit tidak dapat menyebutnya. Kemudian perawat lafazkan tahlil (Lailahaillallah) di telinga pesakit dan minta pesakit melafazkannya. Pun juga pesakit tidak mampu untuk menyebutnya. Kemudian perawat melafaz kalimah Bismillah di telinga pesakit dan minta pesakit melafazkannya. Masih juga pesakit tidak dapat melafazkan. Dan akhir sekali perawat menyebut Allah sebanyak 3 kali di telinga serta minta pesakit melafazkannya, tetap pesakit tidak dapat menyebut nama Allah. Na'uzubillahi minzalik.

Perawat meminta jasa baik anak-anak pesakit yang ada pada ketika itu setelah menyaksikan apa yang berlaku, agar mereka semua berdoa memohon keampunan bagi ibu mereka dan setiap hari diajarkan kalimah tahlil atau paling tidak pun menyebut Allah di telinga ibu mereka, mudah-mudahan ibu mereka mendapat keampunanNya dan boleh melafazkan nama Allah sebelum hari terakhir menjelang.

Kepada pembaca/kenalan/pesakit yang sentiasa mengikuti kisah-kisah pengalaman perawat, jadikanlah setiap ujian dan musibah itu sebagai iktibar untuk muhasabah dan memperelokkan amalan dan bekalan diri sebelum tiba hari-hari terakhir kita. Elakkanlah mengambil atau mengamalkan ilmu-ilmu batil yang tidak diajarkan oleh Islam dan sunnah, serta ilmu-ilmu mistik yang berkaitan atau berdampingan dengan kejinan yang boleh membawa syirik dan jatuhnya syadahah anda kepada Rabbul 'Alamin. Sehinggakan lidah tidak dapat melafaz syahadah atau menyebut nama Allah, maka tiada jalan lain untuk kesembuhan selain bertaubat bersungguh-sungguh menyesali kesilapan diri.

Ikuti kisah pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan perawat dalam berhadapan dengan pelbagai kes gangguan...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

No comments:

Post a Comment