Saturday, November 4, 2017

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Luaran Dan Zat Jahat Eps 34*

MERAWAT GANGGUAN JIN LUARAN DAN ZAT JAHAT

Bertemu kembali dalam episod ke-34, pengalaman perawat menghadapi beberapa situasi rawatan ke atas pesakit dengan penyakit misterinya.

Kali ini perawat ingin berkongsi pengalaman merawat seorang pesakit wanita di mana rumahnya berlokasi di Gertak Sanggul Pulau Pinang. Kes rawatan terjadi pada awal Jun 2017 minggu pertama. Dikhabarkan pesakit wanita ini telah mengalami gangguan selama 18 bulan tetapi dalam tempoh 6 bulan penghujung ini, pesakit akhirnya mengambil tindakan untuk ikhtiar berubat kerana tidak dapat menanggung beban gangguan yang semakin lama semakin parah pada tubuh badan pesakit sendiri. Jadi dalam tempoh 6 bulan penghujung ini, pesakit berusaha berubat merata tempat sehinggalah pesakit sendiri mendengar perkhabaran tentang nama perawat memulihkan beberapa orang kampungnya yang pernah terkena beberapa jenis gangguan ghaib dan misteri, tidak jauh dari rumahnya.

Mengikut keterangan pesakit wanita ini, antara simtom gangguan yang dialaminya adalah sentiasa merasa diri diperhatikan ketika berada di dalam rumah, kerap mimpi buruk seperti ular, jatuh dari tempat tinggi, tempat kotor dan lain-lain, kerap terjaga malam secara tiba-tiba terkejut, jantung berdegup laju, dada berdebar-debar, pernah sekali ditindih, pernah sekali mendapat kesan lebam di kaki, sakit kepala setiap hari yang agak teruk dan kadangkala sampai nak termuntah, loya dan pening, rasa benda bergerak-gerak di dalam rahim seperti ada bayi di dalam perut dan keadaan fizikal perut seperti pesakit sedang mengandung 4 bulan walhal selepas pemeriksaan oleh doktor, tidak menunjukkan sebarang kehadiran bayi di dalam perut serta keadaan bahu pesakit pada ketika itu terasa sakit sentiasa seperti ada orang atau sesuatu duduk atau berpaut pada bahunya.

Pesakit juga memberitahu bekas suaminya mengamal suatu ilmu sesat sehingga keilmuan itu memakan diri bekas suaminya menjadi seperti gila isim atau separuh gila, ketika masih dalam perkahwinannya...bermacam-macam perkara pelik dan aneh berlaku di dalam rumah terdahulu sehinggalah pesakit menyelidik bahawa bekas suaminya pada ketika itu mengamalkan ilmu sesat dan jauh sekali dari ajaran Islam. Selepas bercerai dan dalam tempoh menjanda selama setahun, boleh dikatakan setiap malam pesakit disetubuhi oleh jin sehingga menyebabkan kitaran haid tidak sempurna di mana adakalanya datang setakat 2-3 hari dan adakalanya datang 3-4 bulan tetapi habis dalam jangkamasa yang sangat pendek. Setelah berkahwin untuk kali kedua, simtom persetubuhan dengan jin tidak lagi berlaku tetapi simtom-simtom gangguan seperti perawat telah maklumkan awal-awal di atas mula muncul secara mendadak dan semakin parah.

Pada sesi rawatan pertama, luarbiasa sekali apabila perawat mendapati seluruh tubuhnya mengandungi zat jahat yang tidak dapat diketahui dari mana datangnya. Ketika rawatan, pesakit menangis kerana menahan sakit dan panas, apabila perawat membuang sedikit demi sedikit zat-zat jahat yang telah lama bertapak dalam tubuh sehinggalah keadaan pesakit mula tenang dan sedikit ringan. Pada rawatan pertama itu perawat ma'rifatkan pada tubuh pesakit menjadi sejuk dan menawarkan bisa-bisa di dalam badannya. Selepas tempoh 45 minit rawatan, pesakit menyatakan keadaan dirinya lega dan ringan. Air minum dan mandian dibekalkan kepada pesakit untuk membantu.

Kebiasaannya untuk rawatan dengan perawat seharusnya pesakit tidak digalakkan dan tidak boleh menjarakkan masa untuk suatu tempoh yang panjang kerana dikhuatiri mungkin akan berlaku serangan atau pencerobohan disebabkan sesi rawatan masih belum selesai dan sempurna penutupannya. Pesakit wanita ini tidak mengikut saranan nasihat perawat di mana rawatan susulan kedua telah dijarakkan melebihi 30 hari dari tarikh rawatan pertama.

Ada beberapa orang pesakit yang tidak mengendahkan nasihat perawat selepas dirawat pada sesi pertama kerana merasakan diri sudah sihat dan pulih sedangkan proses rawatan perawat masih belum sempurna diselesaikan dengan baik. Maka beberapa orang pesakit tersebut kembali sakit tetapi malu untuk berjumpa semula dengan perawat kerana sedar akan kesilapan diri sendiri lalu berubat dengan perawat lain tetapi tidak menampakkan sebarang tanda pemulihan. Inilah di antara kesilapan dan kedegilan beberapa orang pesakit yang berfikiran singkat dan negatif kerana tidak mengendahkan nasihat dan adab rawatan menyebabkan simtom gangguan pada diri mereka tidak pulih-pulih pada kesudahannya.

Sesi rawatan susulan kedua diteruskan pada hujung bulan Julai 2017 iaitu 51 hari telah dijarakkan oleh pesakit wanita ini. Semasa soal jawab, pesakit memberitahu keadaan dirinya bertambah-tambah sakit dari kesakitan sebelum sesi rawatan pertama, sakit kepala dan pening-pening yang agak teruk, dari bahu kanan turun ke tangan kanan dan turun sehingga ke seluruh kaki kanan menjadi sakit, seperti ada sesuatu pada bahagian tubuh sebelah kanan dan terlalu kerap terjaga malam kerana terkejut-kejut. Inilah antara sebabnya mengapa rawatan susulan tidak boleh dijarakkan terlampau panjang kerana mengakibatkan gangguan sakit dirasai 3 kali ganda dari yang sebelum ini. Sebaik-baiknya rawatan susulan tidak melebihi tempoh 7 hari dari rawatan sebelumnya.

Rawatan kali kedua ini mengambil masa lebih dari 1 jam kerana makin bertambah zat-zat jahat dalam tubuh pesakit. Perawat juga telah membuang sesuatu yang melekat di bahu kanan pesakit yang seakan-akan siput atau tempurung kelapa sebesar 2 tapak tangan ditadah. Zat jahat tersebut melekat agak kuat berkemungkinan akarnya telah menjalar hingga ke dasar tulang tubuh. Ketika ditarik, pesakit mengadu sakit tetapi perawat berikhtiar sebaik mungkin sehingga berjaya dipisahkan pada bahunya. Pada seluruh tubuh pesakit, perawat berikhtiar memusnahkan sedikit demi sedikit zat-zat jahat yang tidak diketahui dari mana datangnya begitu banyak. Walaupun banyak zat jahat yang telah dimusnahkan, pesakit masih lagi merasa adanya sakit tetapi masih boleh bertahan.

7 hari selepas rawatan kedua, susulan rawatan ketiga dimulakan. Kali ini, perawat menjemput seorang sahabat perawat yang mempunyai ijazah keilmuan dan satu guru perubatan dengan perawat, dari Simpang Ampat Pulau Pinang bernama Tuan Firdaus untuk sama-sama bergabung dengan perawat membantu pesakit wanita ini yang agak kritikal kerana tidak mengendahkan nasihat rawatan. Dimulakan rawatan oleh Tuan Firdaus, ketika sesi pengesanan (scanning), terdapat suatu zat jahat seperti bebola panas di bahagian bahu kanan pesakit tetapi tidak dapat ditarik keluar. Atas saranan perawat, Tuan Firdaus akhirnya berjaya mengeluarkan bebola panas tersebut dan dimusnahkan. Berselang seli dengan perawat memulihkan bekas-bekas zat jahat. Kemudian di bahagian perut pesakit, Tuan Firdaus mendapati ada zat jahat yang hidup bergerak-gerak dan atas saranan perawat, Tuan Firdaus dapat mengeluarkan zat jahat tersebut dan dimusnahkan. Pesakit memberitahu seperti ada sesuatu disentap keluar ketika Tuan Firdaus menarik zat jahat tersebut. Juga berselang seli dengan perawat, memulihkan bekas-bekas akibat zat jahat yang telah dimusnahkan. Rawatan ketiga kali ini mengambil masa 2 jam kerana masih banyak zat jahat yang tersembunyi dan juga bertambah seperti ada orang yang menambahkan zat-zat jahat tersebut.

Dan pada rawatan susulan keempat genap 7 hari dari tarikh rawatan ketiga pada awal bulan Ogos 2017, perawat memusnahkan keseluruhan zat-zat jahat yang masih tertinggal. Memusnahkan zat jahat yang hidup bergerak-gerak di bahagian bahu serta merawatpulih dengan kesempurnaan rawatan dan penutup. Setelah selesai rawatan, pesakit tersebut merasa lega dan tenang kerana sudah tidak ada lagi rasa sakit dan gangguan-gangguan lain. Walaupun begitu, perawat masih menyusul bertanya selepas 4-5 hari dari tarikh selesai rawatan untuk pengesahan. Pesakit mengesahkan keadaan diri telah pulih sepenuhnya tanpa sebarang gangguan. 2 bulan selepas itu, perawat telah dimaklumkan bahawa pesakit telah disahkan mengandung untuk anak yang keempat. Alhamdulillah.

Adalah dinasihatkan kepada sesiapa sahaja yang mengikuti proses rawatan agar jangan sekali-kali menjarakkan rawatan susulan terlampau jauh sebelum selesai kesempurnaan keseluruhan rawatan kerana dikhuatiri simtom gangguan meningkat berganda atau menjadi tahap kritikal dan perawat yang merawat tidak bersalah dalam hal ini jika pesakit sendiri tidak mengambil inisiatif untuk memulihkan diri sendiri.

Nantikan seterusnya pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan menghadapi kes-kes misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku dari masa ke semasa...

Berikhtiarlah untuk dirawat dan carilah perawat yang benar dan tidak membebani kemampuan pesakit atau mengambil kesempatan ke atas pesakit di atas gangguan penyakit yang dihidapinya serta turutilah nasihat dan adab rawatan sehingga selesai jika perawat tersebut mampu dan tidak menjarakkan rawatan susulan terlampau lama...

Kesembuhan dengan kembali kepada Allah...insyaAllah.
Seeru a'la barakatillah...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

No comments:

Post a Comment