MERAWAT GANGGUAN ZAT JAHAT SERTA PEMUTUSAN PERTALIAN DENGAN ALAM BUNIAN
Siri pengalaman perawat kali ini membawa suatu kes rawatan ke atas seorang pesakit wanita, seorang peniaga kedai makan, yang tinggal di Taman Desa Bayanmas, Bukit Kayu Hitam. Pesakit ini telah datang ke rumah kakaknya di Sg Ara, Pulau Pinang yang kebetulan perawat telah dijemput ke rumah oleh kakaknya itu untuk merawat pesakit wanita ini pada hujung bulan Ogos 2017.
Ketika sesi soal selidik, pesakit menceritakan tentang masalah yang berlaku dengan peniaga sebelah kedai makannya yang berketurunan siam dan juga masalah dengan jiran sebelah rumahnya yang juga berketurunan siam tetapi kedua-duanya mempunyai kad pengenalan malaysia kerana telah menetap di malaysia dalam tempoh yang lama.
Pesakit memberitahu dalam tempoh lebih 4 bulan, badannya merasa rimas setiap hari yang tidak diketahui puncanya, kekerapan sakit di bahu kirinya seperti ada sesuatu yang berat menempel atau berpaut pada bahu kirinya itu. Keadaan bahu kirinya makin bertambah berat bila berhadapan dengan perawat pada ketika itu.
Peniaga sebelah kedai makannya kerap mencari pasal dan bergaduh dengan pesakit ini yang boleh dikatakan hampir setiap hari berlaku. Puncanya seperti yang dimaklumkan pesakit, kedai makan pesakit ini sentiasa ramai orang berkunjung dan keluarga pesakit yang sentiasa tolong menolong menjalankan tugas masing-masing sedangkan kedai makan peniaga sebelahnya jarang-jarang dikunjung orang selain suami isteri kerap bergaduh disebabkan masalah kewangan yang meruncing kerana kekurangan pengunjung yang datang.
Diceritakan lagi, pernah hadir ular tedung senduk di bahagian dapur kedai yang entah dari mana datangnya seperti ada orang sabotaj atau cuba memudaratkan kedai makannya. Ketika kehadiran ular tedung senduk dan ahli keluarga pesakit masing-masing dalam keadaan terkejut, kedengaran suara peniaga sebelah bersuara lantang menyebut agar pesakit wanita dan ahli keluarganya mati dipatuk ular. Persoalannya bagaimana peniaga kedai makan sebelah telah tahu kehadiran ular tedung senduk tanpa melihat terlebih dahulu? Pesakit wanita ini memberitahu ini bukan pertama kali ular tedung senduk tiba-tiba hadir di dapur kedai makannya tetapi telah beberapa kali berlaku hanya pada kedai makannya saja dan tidak pada kedai makan yang lain dan setiap kali ada ular tersebut, peniaga kedai makan akan lantang bersuara menyebut supaya pesakit dan ahli keluarganya mati dipatuk ular.
Kejadian aneh juga berlaku di rumahnya di mana jiran sebelah yang berketurunan siam tidak suka dengan keluarga pesakit kerana keluarganya sentiasa ceria dan tidak bergaduh suami isteri sedangkan jiran rumah sebelahnya boleh dikatakan setiap hari bergaduh dengan bermacam-macam isu ditimbulkan termasuk tidak puashati dengan keluarga pesakit. Kerapkali berlaku selepas waktu maghrib, kehadiran ulat-ulat putih memenuhi seluruh ruang rumah pesakit tanpa diketahui dari mana datangnya ulat-ulat putih tersebut. Ada waktu-waktu tertentu, jika tiada ulat putih yang muncul, akan hadir katak-katak memenuhi seluruh ruang rumahnya termasuk bilik tidur sehingga masing-masing mengambil penyapu untuk mengeluarkan katak-katak tersebut dari rumah mereka. Yang menghairankan pesakit, jiran-jiran yang lain tidak mengalami masalah tersebut walaupun sekali. Hanya rumah pesakit yang dijadikan mangsa keadaan.
Kerana telah kerap berkali-kali berlaku kejadian aneh, pesakit menceritakan dia berusaha mengambil suatu ilmu dari internet dan mengamalkannya tanpa usul periksa sehingga suatu hari, pesakit telah didatangi empat orang tua yang memperkenalkan diri masing-masing dari alam bunian. Mereka berempat datang ingin menghulurkan bantuan tetapi pesakit terkejut kerana sangkaannya dia meminta kepada Allah untuk bantuan tetapi telah mengambil suatu ilmu dari internet yang pesakit sendiri pun tidak tahu jenis ilmu tersebut.
Pada mulanya, pesakit telah menggunakan bantuan empat orang tua bunian ini secara tidak langsung yang telah menyelamatkan kedai makan dan rumahnya dari kejadian yang pelik-pelik, tetapi lama kelamaan matanya sentiasa boleh nampak susuk tubuh empat orang tua yang dikatakan datang dari alam bunian ini seperti nyata yang menyebabkan dia jadi keliru dan mula risau. Setiap kali akan berlaku sesuatu, keempat-empat orang tua bunian ini akan hadir dan memberitahu pesakit supaya bertindak. Dari situlah pesakit mula sedar, ilmu apakah yang dia telah ambil dari internet dan mengamalkannya, tidak diketahui. Akhirnya pesakit meminta perawat memulihkan dirinya semula dan tidak mahu lagi berjumpa dengan bunian tersebut.
Semasa sesi rawatan, perawat membuang zat-zat jahat di dalam tubuh pesakit termasuk sesuatu yang menempel seperti tempurung kelapa melekat di bahu kirinya. Setelah dimusnahkan zat jahat, pesakit memberitahu badannya ringan dan bahu kirinya tidak lagi berat.
Kemudian perawat mengarahkan pesakit beriktiqad dalam hati menyesali, memohon ampun kepada Allah dan redha untuk dibuang segala ilmu batil yang telah diamalkannya dari internet. Kemudian perawat memanggil keempat-empat orang tua bunian tersebut supaya hadir di depan pesakit ini. Bersaksikan keempat-empat bunian tersebut, perawat memutuskan pertalian dan hubungan mereka dengan pesakit wanita ini serta kembali mereka ke alam bunian semula dan menutup hijab pesakit wanita ini.
Apabila selesai rawatan, perawat seperti biasa akan bertanya apa yang dirasai oleh setiap pesakit semasa rawatan. Pesakit wanita ini memberitahu ketika ilmu batil dibatalkan dan pertalian serta hubungan dengan keempat-empat bunian hendak diputuskan, terasa sesuatu yang panas dari bahagian bahu naik ke kepala dan terus keluar. Kemudian fikiran terasa lapang dan hati tenang. Pesakit dibekalkan amalan serta air untuk minum dan mandian bagi memulihkan semula dirinya. Pesakit juga telah dinasihatkan supaya kembali bertaubat di atas kesilapan sendiri, jangan mengamalkan suatu ilmu yang tidak diketahui lebih-lebih lagi dari sumber internet dan jika ingin belajar merawat diri dan keluarga, perlulah menyelidik dan mencari guru yang benar agar tidak tersilap langkah dengan sesuatu ajaran. Pesakit pulang ke Bukit Kayu Hitam keesokan harinya.
Kepada pembaca, bekas pesakit, kenalan dan rakan fb yang mengikuti kisah pengalaman-pengalaman perawat dari mula sampai sekarang, jadikan iktibar dan peringatan untuk setiap kisah yang dipaparkan agar sedikit sebanyak memberi sedikit pengetahuan dan pemahaman pada diri sendiri.
Nantikan kisah berikutnya dalam jejak rawatan dan perubatan dalam pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi berlaku di sekeliling kita...
~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~
No comments:
Post a Comment