MERAWAT GANGGUAN JIN PENCEROBOHAN, SIHIR, ZAT JAHAT, KERASUKAN DAN JIN SAKA*
Kisah pengalaman kali ini agak panjang kerana melibatkan 6 orang pesakit dalam satu keluarga akibat pelbagai gangguan yang timbul di luar jangkaan dan dugaan.
Awal Januari 2018, selepas sambutan Tahun Baru, perawat telah dihubungi oleh seorang lelaki diminta untuk datang ke rumah kampungnya di Sik, Kedah berikutan adik perempuan bongsunya kerasukan dan bertindak agresif pada malam sebelumnya.
Perawat telah dijemput dan dibawa menaiki kenderaan lelaki tersebut sehingga sampai ke rumah kampungnya. Seperti biasa sesi temubual dijalankan. Pada mulanya, perawat dimaklumkan hanya untuk merawat adik perempuan bongsu sahaja tetapi bila sampai di rumah pesakit, gangguan sebenarnya berlaku pada satu keluarga. Maka sesi soal selidik dijalankan satu persatu bermula dengan ibu lelaki tersebut.
Pesakit 1 - Ibu (Wanita Tua)
Mengikut keterangan pesakit wanita tua, dia telah mengalami gangguan dari rumah lama berpindah ke rumah tersebut sejak 11 tahun sesudah kematian suami. Antara gangguan yang berlaku pada diri pesakit ialah kerapkali nampak kelibat bayangan di dalam rumah, sentiasa rasa didekati di dalam rumah, susah tidur disebabkan gangguan, kerap mimpi buruk seperti melihat mayat, ular, benda kotor, tempat kotor, kerap terjaga malam akibat diganggu, kerap terdengar namanya dipanggil-panggil tetapi tiada orang, kerap ditindih semasa tidur, badan terasa panas, sejuk dan seram sejuk dan mengalami sakit kepala tanpa sebab. Gangguan agresif kerap berlaku bermula 12 tengah malam hingga 2 pagi.
Perawat memulakan sesi rawatan pertama dengan membuat pengesanan. Semasa proses rawatan, tiba-tiba perawat merasa suatu bahang panas mengelilingi kepala perawat dan dalam masa yang sama, pesakit wanita itu juga merasa bahang panas di kepalanya. Ternyata pesakit diganggu Syaitan Jin setiap masa. Seperti terdapat kehadiran zat jahat yang mengganggu keliling tubuhnya. Perawat bertindak segera memusnahkan gangguan yang terjadi pada kepala perawat dan juga kepala pesakit. Zat jahat yang terkumpul di dalam kepala pesakit diambil keluar dan dimusnahkan serta-merta. Kemudian zat jahat di beberapa tempat di bahagian badan dan kaki dimusnahkan sepenuhnya. Gangguan jin pencerobohan yang mengganggu pesakit, diputuskan pertalian dan hubungannya dengan pesakit serta-merta. Rawatan mengambil masa hampir satu jam untuk menyelesaikan masalah gangguan pada tubuh pesakit. Kata pesakit wanita ini, dia terasa perawat ada menarik keluar sesuatu dari tempat-tempat di kepala dan badannya yang terdapat zat jahat dan kemudiannya merasa lega dan hilang beban.
Bersambung pada sesi rawatan kedua selepas 4 hari dari rawatan pertama, tiada lagi zat jahat dan pesakit pulih sepenuhnya.
Pesakit 2 - Anak Lelaki 1
Selepas selesai rawatan pertama pesakit wanita tua (ibu), pesakit seterusnya adalah salah seorang anak lelaki yang juga mengalami gangguan selama 11 tahun. Mengikut keterangan pesakit lelaki, adakala bila marah, pesakit tidak dapat menahannya lalu melepaskan kemarahan serta-merta. Antara gangguan yang berlaku pada dirinya ialah sering rasa diperhatikan semasa di dalam rumah, susah tidur kerana seperti merasa takut tanpa sebab, kerap bermimpi buruk seperti jatuh dari tempat tinggi, terjaga malam seperti nak terjatuh dari suatu tempat melalui mimpinya dan kerap sakit kepala.
Semasa sesi rawatan pertama, beberapa tempat zat jahat pada tubuhnya seperti di kepala dan badan dimusnahkan kesemuanya. Rawatan mengambil masa hampir setengah jam. Setelah selesai, pesakit menyatakan terasa sesuatu dikeluarkan dari dalam kepala dan belakang badannya ketika perawat menarik keluar zat jahat dan memusnahkannya.
Pada sesi rawatan kedua selepas 4 hari dari sesi rawatan pertama, tubuh badan pesakit telah bersih dari sebarang zat jahat dan dipulihkan sepenuhnya.
Pesakit 3 - Anak Perempuan (Wanita Muda)
Semasa soal selidik dijalankan, pesakit menyatakan mengalami histeria sebanyak dua kali sahaja dalam tempoh gangguan selama 11 tahun. Yang terbaru adalah pada malam sebelum rawatan pada hari itu. Selain itu, simtom-simtom lain ialah sentiasa rasa didekati dan diperhatikan di rumah dan di tempat kerja, susah tidur tanpa sebab, kerap terjaga malam tanpa sebab, terdengar bunyi suara tetapi tidak tahu butir bicara, kerap ditindih semasa tidur dan kerap sakit kepala.
Memandangkan pesakit masih lagi berstatus bujang, perawat bertanyakan sama ada pernah berlaku pesakit menolak lamaran lelaki yang mahukannya atau tidak, terus disampuk ibunya, memberitahu pernah menolak pinangan seorang lelaki di kampung yang sama dan terjadi perasaan marah dan tidak puashati seperti lelaki tersebut merasa malu dan tercabar sambil memberi amaran. Di tempat kerjanya juga, terdapat lelaki yang meminatinya tetapi ditolaknya juga oleh pesakit kerana tidak berminat.
Semasa sesi rawatan pertama, perawat telah mengenalpasti bahawa pesakit telah disihir dan dikenakan ilmu kunci. Sihir tersebut telah dibatalkan, kunci dihancurkan dan zat jahat lainnya di dalam kepala dan badannya dikeluarkan sebanyak yang boleh dan dimusnahkan. Selesai rawatan pertama, pesakit memberitahu ketika 'sesuatu' hendak dikeluarkan dari dalam kepalanya, pesakit merasa seperti hendak menjerit, kepalanya panas dan rasa hendak menangis. Sebaik perawat mengeluarkan dan memusnahkan zat jahat tersebut, terus hilang rasa tersebut dan kepala terasa ringan. Begitu juga dengan bahagian belakang badannya yang terasa berat pada awalnya, setelah dikeluarkan zat jahat, badan menjadi ringan.
Pada sesi rawatan kedua, masih ada lagi sedikit zat jahat yang tersisa dan dimusnahkan. Dan sesi rawatan ketiga, pesakit telah pulih sepenuhnya dan diberi mandi seri bunga untuk pulihkan aura diri dan seri diri.
Pesakit 4 - Anak Perempuan Bongsu
Semasa disoalselidik, perawat bertanyakan pesakit, sudah berapa kali dirasuk seperti yang didakwa oleh abangnya sebelum itu. Kata pesakit, baru sekali terjadi pada malam sebelumnya. Abang pesakit wanita ini ada memberitahu perawat bahawa adik bongsunya mula berubah sikap sejak 10 tahun yang lalu. Perangainya nampak pelik dan bukan diri dia yang sebenar. Jadi, perawat belum dapat pastikan sama ada pesakit betul-betul kerasukan atau histeria.
Antara simtom-simtom lain yang berlaku, pesakit kerap merasakan dirinya diperhatikan di dalam rumah, tidak dapat tidur kerana panas, kedua-dua tangan terasa berat, kerap bermimpi buruk seperti ular, jatuh bangunan dan muka buruk, kerap terjaga malam disebabkan mimpi buruk yang kerap terjadi.
Ketika sesi rawatan pertama, perawat berdoa sambil menepuk perlahan-lahan pangkal tangan kanan dan kiri di tepi kedua bahunya. Tiba-tiba pesakit menjerit lantang dan terus kerasukan. Perawat bertanya pada jin yang merasuk tentang nama, tuannya dan kenapa ganggu pesakit, jin tersebut hanya menjerit dan memekik "aku tak suka hang" berkali-kali pada perawat sambil tangannya bertindak memukul perawat tetapi ditepis. Kali kedua perawat berunding cara baik tetapi jin masih berdegil dan menjerit serta tangannya menampar paha perawat. Maka kali ketiga, perawat memberi peluang untuk jin tersebut berterus-terang, tetapi jin tersebut bertindak memukul perawat, dengan pantas perawat menangkap serangan, mengunci dan membunuh mati jin tersebut serta-merta. Pesakit terbaring lemah dan kesakitan, maka perawat memusnahkan zat jahat yang terdapat pada tangan dan kakinya. Rawatan mengambil masa 2 jam sampai pesakit pulih kembali. Rupa-rupanya jin tersebut telah bersembunyi lama dalam tubuh pesakit dan memang berlaku kerasukan tanpa disedari oleh ahli keluarga. Di sebalik itu, keluarga ini pernah terlibat dengan pertengkaran dan cabar-mencabar dengan jiran belakang rumah sejak 11 tahun yang lalu kerana pergaduhan anak-anak jiran dengan anak beranak pesakit menyebabkan jiran tersebut berdendam dan menghantar gangguan melalui amalan ilmu batilnya.
Pada sesi rawatan kedua, pesakit masih lagi berasa seram sejuk. Zat jahat yang masih tersisa, dibuang dan dimusnahkan sebanyak yang boleh. Pada sesi rawatan ketiga, hanya sedikit zat jahat dimusnahkan dan pesakit telah dipulihkan sepenuhnya.
Pesakit 5 - Anak Lelaki 2
Pesakit mengalami masalah gangguan selama 11 tahun seperti ahli yang lain. Antara simtom-simtom gangguan ialah kerap bermimpi buruk seperti melihat kubur, ular dan berada di tempat tinggi, kerap terjaga malam akibat diganggu sesuatu dan kepala sentiasa merasa sakit, serabut, tidak dapat berfikir dengan elok seperti keadaan biul.
Semasa sesi rawatan pertama, didapati terdapat zat jahat di dalam kepala dan belakang badan seperti tuju-tuju yang dikenakan pada pesakit. Setelah dimusnahkan kesemuanya, pesakit menyatakan ketika perawat menarik 'sesuatu' dari kepalanya, dia terasa ada benda ikut keluar dan kepala terus jadi ringan.
Sambungan pada sesi rawatan kedua, tiada lagi zat jahat dan perawat pulih sepenuhnya.
Pesakit 6 - Menantu Perempuan
Semasa ditemubual, pesakit pernah dirawat oleh seorang sahabat perawat pada 4 tahun yang lalu. Katanya ada gangguan pada tidurnya tanpa sebab dan ada benda bergerak-gerak di dalam perutnya selain tidak mendapat anak. Arwah moyangnya dahulu adalah seorang bidan kampung dan tidak diketahui asal usul ilmu yang digunakan oleh moyangnya itu. Menurut pesakit, ada gangguan saka keturunan berlaku dalam salasilah keluarganya. Ketika dirawat dengan sahabat perawat dahulu, gangguan hanya hilang dalam tempoh setahun sahaja dan pesakit disahkan mengandung. Setelah kelahiran anak pertama, berikutnya pesakit mendapat kesukaran untuk hamil.
Pemeriksaan doktor telah dibuat ke atas kedua-dua pasangan suami isteri. Keputusan doktor mengatakan tiada masalah dan semua organ berkeadaan baik. Tetapi pesakit masih merasakan tidak selesa pada bahagian perut.
Setelah perawat membuat pemeriksaan, ada tindakbalas sesuatu di dalam perut dan terdapat seperti kunci pada kemaluannya. Maka perawat memberi sepenuh tumpuan pada perut pesakit dan berjaya menangkap dua ekor jin saka yang duduk di tepi rahim kiri dan dibunuh mati serta-merta. Kemudian zat jahat pada kemaluannya dimakrifatkan, dimusnahkan serta-merta. Selesai rawatan, pesakit memberitahu dia merasa sakit ketika jin-jin saka ditarik keluar dari perut kemudian berasa lega. Dan merasa sesuatu dikeluarkan dari kemaluannya secara makrifat kemudian hilang rasa bebanan.
Pada sesi rawatan kedua, hanya ada sedikit zat jahat dan pesakit telah dipulihkan sepenuhnya.
Selesai sudah kesemua rawatan untuk satu keluarga. Bermacam-macam cara kehadiran gangguan-gangguan mistik yang boleh dikenakan disebabkan perbuatan dendam, soal cinta, cabar-mencabar, ketidakpuashatian, rampasan tanah/harta pusaka, saka keturunan dari amalan ilmu batil dan lain-lain lagi.
Bersama mengikuti kisah pengalaman perawat seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan menelusuri gangguan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi terjadinya di luar jangkaan dan dugaan.
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#al-faiz-al-falah.blogspot.com
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1
No comments:
Post a Comment