MERAWAT GANGGUAN JIN PENCEROBOHAN DAN ZAT JAHAT
Siri pengalaman kali ini membawa perawat bergerak ke suatu tempat di Perlis untuk merawati seorang pesakit wanita dan anak lelakinya yang terkena gangguan jin dan zat jahat selama 14 tahun. Awal Oktober 2017, perawat dibawa oleh adik ipar pesakit untuk hadir di rumah kakak iparnya (pesakit) bagi ikhtiar merawat masalah yang dihadapi.
Semasa sesi temubual dijalankan, pesakit wanita memberitahu bahawa dia mempunyai masalah tulang rawan gelincir (slip disc) tetapi keadaannya sudah stabil. Dalam pada itu, terdapat gangguan lain yang berlaku seperti kakinya kerap direntap/ditarik ketika tidur.
Antara simtom-simtom lain, pesakit kerap bermimpi buruk seperti ular, tempat kotor, kubur, keranda mayat, kemalangan kereta dan air yang banyak. Terdapat juga kesan-kesan lebam di kaki dan tangan dan ditunjuk pada perawat untuk mengesahkannya. Pesakit juga kerap mengalami sakit kepala tanpa sebarang sebab.
Mengikut cerita pesakit, pernah dirawat oleh beberapa orang perawat yang mengulaskannya sebagai gangguan jin, sihir dan saka. Bermulanya gangguan adalah dari rumah lama sehingga membawa ke rumah baru. Kebanyakan gangguan terjadi di dalam rumah pesakit sendiri. Kerapkali terjadi pergaduhan antara suami isteri sepanjang gangguan berlangsung.
Ketika sesi rawatan pertama dijalankan, perawat mendapati terdapat zat jahat seperti kunci yang dikenakan pada kaki dan batin pesakit. Perawat berikhtiar meleraikan dan memusnahkan kunci tersebut daripada membelenggu pesakit.
Pada sesi rawatan kedua, pesakit masih rasa tidak selesa pada bahagian kaki, tidur malamnya terkejut-kejut seperti diganggu dan terdapat kesan lebam di kedua-dua paha pesakit seperti yang dimaklumkan. Seperti terdapat simtom tuju-tuju dan gangguan jin pencerobohan.
Anak lelaki pesakit yang kebetulan baru pulang dari Kuala Lumpur, juga minta dirawat kerana merasakan bahunya sakit dan pernah diganggu ketika tidur di bilik bawah. Ketika dirawat, terdapat zat jahat pada tubuhnya selain masalah urat masuk angin. Bila ditanya adakah kerap keluar malam dan balik lewat malam semasa berada di Kuala Lumpur, pesakit lelaki mengiakannya dan di situlah dikenalpasti punca gangguan zat jahat yang ada pada tubuhnya berdasarkan ceritanya yang banyak melepak merata tempat. Perawat menasihatkan pesakit lelaki untuk meneruskan rawatan dengan Prawis di Rawang jika dia berinisiatif untuk pulihkan diri.
Setelah selesai rawatan, perawat meminta izin pesakit untuk melakukan pengesanan (scanning) dalam rumah bagi mengenalpasti punca masalah yang berlaku.
Ketika berada di bilik utama di tingkat satu, sambil perawat membuka ilmu gerak tiba-tiba pintu tengah almari baju, di mana almari tersebut mempunyai tiga pintu, bergegar seketika tanpa sebarang tiupan angin. Diperiksa lagi dua bilik yang berikutnya, tiada sebarang tanda diperolehi. Kemudian pemeriksaan dibuat di bahagian bumbung rumah, seperti terasa ada pencerobohan jin yang bersembunyi di bahagian dalam bumbung. Diteruskan lagi pemeriksaan di bahagian tingkat bawah meliputi dua dapur, tandas, bilik tidur bawah dan ruang tamu, ada sesuatu yang berat dikenalpasti ketika perawat membuat pengesanan di bilik tidur bawah seperti terdapat pencerobohan jin. Pemeriksaan di kawasan luar rumah juga dibuat untuk mengesan jika terdapat zat jahat yang ditanam di dalam tanah. Setelah selesai pengesanan dibuat, perawat menyarankan agar pesakit membuat rawatan pemulihan rumah untuk menghindarkan gangguan-gangguan yang wujud setiap masa angkara perbuatan jin yang berkemungkinan dihantar oleh orang yang tidak menyukai mereka berdasarkan masalah semasa yang berlarutan.
Maka pada sesi rawatan ketiga, setelah selesai merawat pesakit wanita, sesi rawatan pemulihan rumah dijalankan. Terdapat kewujudan beberapa ekor jin pencerobohan dikenalpasti dan dihalau keluar sebelum rumah pesakit dipulihkan dan dipagar sepenuhnya. Rawatan selesai sehingga itu. Tetapi pada bulan Disember 2017, perawat diminta hadir untuk merawat pesakit yang menyatakan seperti tidak selesa pada diri. Setelah dirawat, didapati terdapat zat jahat yang sepertinya serangan tuju-tuju di luar kawalan rumah. Zat jahat dimusnahkan, pesakit dipulihkan dan pemulihan rumah dimantapkan lagi sekali.
Antara barang-barang mistik yang telah diserahkan oleh pesakit di mana barang-barang tersebut diberikan oleh seseorang kepada mereka dan hanya disuruh simpan ialah azimat selendang merah hitam dan sejenis batu geliga (seperti gambar). Barang-barang tersebut telah ditawarkan dan dibatalkan ilmu pengisiannya. Benda-benda mistik sebegini kebiasaannya banyak memberi mudarat dan keburukan kepada sesiapapun sama ada penyimpan atau pengamal atau penggunanya berbanding memberi faedah dan kebaikan seumur hidup. Maka bagi sesiapa yang memiliki barang-barang mistik yang berpengisian, adalah dinasihatkan supaya dibatalkan ilmunya jika masih sayang untuk disimpan atau membuangnya terus dengan merujuk kepada pakar perubatan yang benar. Jika tidak, mudaratnya berantaian mengikut darah daging keturunan pemiliknya jika ada pengisian dan penjaganya (khadam).
Adakala setiap musibah itu datangnya sebagai ujian, adakala sebagai kifarah dan adakala sebagai bala. Walau apapun yang berlaku, setiap sesuatu tetap mempunyai hikmahnya.
Bersama menyelami kisah-kisah perawat dalam menelusuri pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi keberadaannya benar-benar berlaku di sekeliling kita.
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#al-faiz-al-falah.blogspot.com
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1
Kredit gambar: Azimat Selendang Merah Hitam dan sejenis batu geliga
No comments:
Post a Comment