Sunday, March 4, 2018

*Pengalaman Merawat Masalah Jiwa Kacau Eps 50*

PESAKIT JIWA KACAU

Pertengahan Oktober 2017, perawat telah dihubungi pesakit lelaki tua untuk datang segera ke rumahnya di Bayan Baru, Pulau Pinang kerana masalah gangguan katanya.

Tiba di rumah pesakit pada sebelah pagi, perawat menemubual serba sedikit untuk mengenalpasti permasalahan yang dihadapi oleh pesakit lelaki tua ini. Katanya gangguan terjadi baru 1 hari sebelumnya. Antara simtom yang berlaku ialah pesakit susah tidur di malam hari, terjaga malam disebabkan terkejut, badan panas dan sakit kepala.

Semasa sesi rawatan pertama dijalankan, perawat mendapati tiada sebarang gangguan jin mahupun zat jahat yang berada di dalam tubuhnya melainkan masalah fizikal iaitu urat masuk angin. Pesakit tetap berkeras mengatakan dirinya ada gangguan dan minta perawat pulihkan sampai baik.

Dalam pada perawat menjelaskan keadaan yang sebenar, isteri kepada pesakit muncul di pintu selepas pulang dari pasar membeli barang-barang dapur. Ketika isteri pesakit berada di dapur, perawat masih menjelaskan pada pesakit bahawa tiada sebarang gangguan pada dirinya walaupun baru sehari sahaja berlaku. Terus isteri pesakit menerangkan kepada perawat tentang hal sebenar.

Kata isteri pesakit, suaminya adalah bekas pemandu bas kilang. Dia kemalangan motosikal pada bulan Februari 2017 yang menyebabkan kakinya disimen 3 bulan akibat retak tulang. Rentetan dari kemalangan tersebut, pesakit telah dibuang kerja oleh syarikat bas menyebabkan hatinya tertekan dan banyak berfikir. Masalah tidak boleh tidur di malam hari adalah kerana pesakit terlalu banyak tidur di siang hari. Terjaga malam akibat terkejut adalah disebabkan punca mat-mat rempit yang membuat bising di kawasan tempat tinggal mereka. Dalam masa yang sama, pesakit ada masalah penyakit kencing manis, darah tinggi, masalah jantung dan sakit kepala. Banyak ubat doktor yang dimakan pesakit seperti yang perawat lihat di dalam sebuah bakul kecil yang berkemungkinan menyebabkan badan pesakit panas dan sakit kepala disebabkan dos steroid yang berlebihan dalam mengambil ubat doktor. Masalah dalam rumahtangga, perawat tidak masuk campur sekalipun keluarga pesakit meluahkan tentang pergaduhan mereka.

Apabila perawat bertanya kenapa pesakit tidak berterus-terang tentang hal penyakitnya, trajedi kemalangan, masalah pekerjaan selain campuraduk masalah rumahtangganya, pesakit terus terdiam tiada jawapan. Di sini menunjukkan pesakit sendiri sudah tidak jujur dan tidak berlaku benar pada perawat dalam hal meminta pertolongan. Mengikut kata isterinya, sebelum ini, berbelas perawat telah terkena dengan panggilan suaminya ini termasuklah perawat sendiri dalam senarai, hanya kerana jiwa kacau dan minta perbetulkan masalah hal rumahtangganya. Sehingga setakat itu saja urusan perawat dengan pesakit tersebut. Di sebalik itu, isteri pesakit ada memberitahu perawat di lain hari bahawa suaminya masa muda suka berjumpa bomoh-bomoh untuk menilik nasib dan menengok masa depan. Kepercayaannya pada kata-kata bomoh-bomoh tersebut melebihi dari percaya pada qada' dan qadar. Apabila ditegur isterinya agar bertaubat, suaminya melenting marah kerana anggapannya dirasakan perlu untuk menilik masa depan melalui bomoh. Begitulah kerenah hidup pesakit pada masa mudanya dulu sehingga jiwanya kacau di masa tua kerana keinginan menilik masa depan.

Diharap jika ada pesakit-pesakit yang ingin berubat, berterus-teranglah dengan mana-mana perawat sekalipun bagi memudahkan urusan rawatan atau nasihat tanpa mengambil kesempatan ke atas perawat-perawat yang banyak tugasan untuk membantu pesakit yang memerlukan bantuan. Ada perawat yang datang dari jauh dengan kos tol, minyak dan tenaga mereka dengan niat berikhtiar tetapi dipermainkan oleh pesakit pula. Jauhi perkara-perkara yang dilarang oleh agama Islam agar aqidah dan syahadah terpelihara, perbanyakkanlah taubat dan setiap musibah yang berlaku barangkali merupakan ujian atau kifarah atau bala sekiranya diri tidak kembali kepada Allah SWT. Tidak sihat dengan adab yang sebegini berterusan berlaku.

Teruskan bersama kisah pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan menempuh hal-hal misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi keberadaan berlaku dalam pemodenan zaman ini.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~


#al-faiz-al-falah.blogspot.com
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

No comments:

Post a Comment