Wednesday, March 7, 2018

*Pengalaman Merawat Penyakit Gangren Eps 53*

MERAWAT PENYAKIT GANGREN

Awal Disember 2017, perawat telah dihubungi oleh seorang lelaki muda dari Bayan Lepas diminta untuk merawat neneknya yang sedang kritikal sakit di Teluk Bahang, Pulau Pinang.

Perawat telah dibawa naik kenderaan lelaki muda tersebut sehingga sampai ke rumah pesakit. Di dalam kereta, lelaki muda ini menceritakan serba sedikit tentang neneknya yang dikatakan oleh perawat-perawat yang pernah merawatnya, memiliki saka keturunan sedangkan apa yang ahli keluarga tahu, di dalam salasilah keluarga mereka tidak ada ahli yang belajar sebarang ilmu-ilmu pelik. Neneknya juga seorang yang rajin membaca al-Quran selain solat dan berzikir. Lelaki muda ini, sebagai seorang cucu, menyatakan rasa hairan mengapa neneknya masih belum mati lagi sejak keluar dari hospital. Terkejut perawat mendengar pernyataan lelaki muda ini.

Ketika perawat masuk ke rumah, ramai adik beradik dan saudara-mara balik ke kampung dan ada di antaranya membaca surah Yaasiin di sisi nenek tersebut. Keadaan nenek tersebut kelihatan tidak tentu arah, nafas tercungap-cungap turun naik seperti menahan kesakitan, kurus kering tetapi dimaklumkan oleh anak-anaknya, ibu mereka banyak makan.

Perawat dimaklumkan, apabila malam saja, pesakit susah tidur, memanggil mak dan ayahnya yang telah meninggal dunia dan meracau-racau. Kata cucunya, lelaki muda yang membawa perawat datang ke rumah, dua orang perawat kampung telah dibawa untuk mengubati nenek mereka sebelum ini. Diulas oleh mereka, pesakit mempunyai saka keturunan, sehingga diarahkan oleh perawat-perawat tersebut untuk membuka atap bumbung rumah bagi proses jin saka atau belaan keluar ke atas. Walaupun telah dibuat, buka atap rumah, pesakit masih lagi sakit seperti biasa dan dikatakan pula oleh perawat-perawat tersebut bahawa jin yang berada pada pesakit adalah terlalu kuat.

Apabila perawat mula diagnos pesakit, didapati tiada sebarang jin saka atau belaan atau ilmu batil atau zat jahat dari perbuatan jin kerana pesakit berada dalam kesedaran, masih mampu melihat, mengenal orang dan makan seperti biasa, banyak membaca surah-surah al-Quran dan berzikir. Ternyata inilah bukti salah satu penipuan yang banyak berlaku dari golongan-golongan perawat yang tidak berguru yang betul, dan mengambil ilmu rawatan dari saka keturunan atau alam mimpi atau ilmu batil atau pertapaan atau belajar tanpa guru yang benar, yang banyak membuat andaian-andaian nafsu dan palsu menipu ahli keluarga pesakit dan masyarakat amnya sambil mencari wang pendapatan sedangkan diagnos mereka sendiri telah salah 100%.

Perawat memegang tangan nenek tua yang telah berumur 86 tahun itu sambil berbual dekat dengan telinganya. Perawat minta pesakit bersyahadah, maka pesakit bersyahadah dengan sempurna. Perawat mengajarnya beristighfar, maka lancar istighfarnya mengikuti lafaz perawat. Lalu perawat bertanyakan pada pesakit, apa yang buat dia gelisah. Pesakit menyatakan sakit, pedih, bisa dan panas. Masih belum tahu punca lagi, perawat bertanyakan pada menantu lelakinya, apa penyakit nenek tersebut.

Menantunya memberitahu mak mentuanya mengalami penyakit gangren di kedua-dua kakinya. Sebelum ini terlantar di hospital, kerana bil yang semakin naik dan keadaan gangrennya yang semakin parah, anak-anak sepakat membawa ibu mereka balik ke rumah dan berserah. Perawat meminta salah seorang anak perempuan pesakit mengambil pokok lidah buaya atau aloe vera untuk didoakan dan disapu pada kaki pesakit. Setelah diambil, perawat mendoakan dan diserahkan pada anak perempuan yang menguruskan ibu mereka, untuk disapu pada kaki.

Sebaik-baik dibuka selimut kaki... Allahuakbar!!!..Istighfar panjang perawat. Kedua-dua kaki pesakit dari tapak kaki hingga ke betis telah hitam legam seperti hangus, tiada isi, buku lali sehingga ke jari-jari kaki semuanya tengkorak tulang dan kakinya seperti mereput. Apabila anak perempuannya menyapu aloe vera tersebut, tiba-tiba keluar ulat dari celah-celah tulang dan dibuang satu persatu oleh anak pesakit. Kejadian hari itu cukup memberi pengajaran dan menginsafkan. Setelah selesai sapuan, kaki pesakit ditutup selimut bagi mengelakkan aib.

Kemudian perawat bertanya pada pesakit sambil memegang tangannya kembali memandangkan keadaannya nampak kritikal dan ada tanda-tanda akhir. Perawat menanyakan ada tak pesakit nampak orang berjubah putih, berserban putih, berjanggut putih dan bercahaya mukanya kerap datang di hadapan pintu. Nenek tersebut memberitahu sambil tercungap-cungap nafasnya, orang itu kerap datang, berdiri di pintu utama, tidak bercakap kemudian balik. Itulah yang berlaku setiap hari selama tempoh 2 bulan terlantar di rumah. Maka perawat memanggil kesemua anak pesakit supaya duduk merapat dengan perawat untuk dikhabarkan bahawa utusan pengambil nyawa itu telah datang dan ibu mereka hanya tunggu masa sahaja tidak lama lagi. Perawat meminta kesemua anak pesakit berdoa memohon keampunan ke atas ibu mereka serta menghadiahkan pahala al-Fatihah bagi meringankan bebanan yang ditanggung.

Setelah selesai, perawat dihantar kembali oleh lelaki muda tersebut dan berpesan padanya agar ahli keluarga yang masih belum balik ke kampung, minta jasa baik mereka semua untuk pulang segera.

Dua hari selepas itu, lelaki muda tersebut menghantar mesej memberitahu nenek mereka telah meninggal dunia. Perawat hadir segera sekadar ziarah dan mendoakan kebaikan untuk jenazah.

Setiap sesuatu perkara itu perlu diteliti dan dipastikan terlebih dahulu kebenarannya agar tidak berlaku fitnah dan penipuan tanpa bukti sehingga boleh mengaibkan seseorang dengan pandangan serong. Terutamanya pengamal-pengamal perubatan yang tidak mempunyai guru yang benar dan salah pada jalan ilmunya, hendaklah ahli keluarga dan pesakit memeriksa latar belakang mereka terlebih dahulu agar maruah dan status keluarga terpelihara dari andaian-andaian yang tidak sihat.

Abu Hurairah r.a. berkata, Rasulullah SAW telah bersabda, "Cukup menjadi sebuah dosa untuk seseorang iaitu jika dia membicarakan semua apa yang sudah didengar." - (HR. Muslim)

"Lisan orang yang memiliki akal, timbul dari hati nuraninya. Maka saat dia ingin berbicara, lebih dahulu dia kembalikan kepada nuraninya. Jika ada manfaat pada dirinya, dia berbicara dan jika berbahaya, maka dia menahan diri. Sementara itu, hati orang bodoh berada di mulutnya, dia berbicara apa saja yang dia berkehendak." - (HR. Bukhari-Muslim)"

Di sebalik itu, tidak kira sesiapapun ahli atau darah daging keturunan keluarga, janganlah anda meminta dan berharap supaya ahli keluarga yang sedang sakit atau nazak itu mati secepat mungkin atau merasa lebih senang berharap mati serta-merta kerana merasakannya suatu bebanan atau menyusahkan. Beringatlah masa diri belum berada di tempat yang sama dan orang lain pula yang berharap anda mati secepat mungkin atau serta-merta kerana menyusahkan orang yang menjaga anda ketika sakit teruk atau tenat. Mohonlah kepada Allah untuk kebaikan bagi orang yang sedang sakit.

Ilmu dan Adab tidak boleh dipisahkan. Ilmu tanpa adab ibarat pohon tanpa buah dan adab tanpa ilmu ibarat orang yang berjalan tanpa petunjuk arah.

"Sebab itu untuk menuntut ilmu, perlukan ADAB. Tanpa ADAB, penuntut ilmu akan berasa SOMBONG dengan ilmunya" - Imam Laith bin Saad rahimahullah"

"Ilmu tanpa adab seperti api tanpa kayu bakar. Manakala adab tanpa ilmu seperti roh tanpa jasad. - Abu Zakaria al-‘Anbariy" (Imam as Sam'ani, Adab al-Imla' wal al-Istimla', al-Khatib al-Baghdadi, Kitab al-Jami', Juz 1, Hal 17)

Maka, Ilmu dan Adab harus menyatu dalam diri seorang Muslim, dan semestinya semakin berilmu, harus semakin beradab selain berniat dan bersangka baik.

"Tidaklah aku mengubati sesuatu yang lebih susah bagiku dari mengubati niatku. Kerana niat itu selalu berbolak balik pada diriku." - Sufyan Ats-Tsauri"

"Dan sesungguhnya, manusia yang paling aku benci dan paling jauh dari aku nanti di hari Kiamat adalah orang yang banyak bicara, orang pura-pura fasih dan orang yang mutafaihiqun." Para sahabat bertanya, "Wahai Rasulullah, apa itu mutafaihiqun?" Nabi menjawab, "Orang-orang yang sombong." - (HR At-Tirmizi)

"Orang yang tinggi ADAB walaupun kekurangan ILMU, lebih mulia dari orang yang banyak ILMU tetapi kekurangan ADAB." - Habib Umar Ben Hafez.

Teruskan bersama dengan siri pengalaman perawat dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan berhadapan dengan situasi misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi keberadaannya nyata berlaku.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#al-faiz-al-falah.blogspot.com
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

No comments:

Post a Comment