Sunday, April 1, 2018

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Luaran Dan Zat Jahat Eps 56*

MERAWAT GANGGUAN JIN LUARAN DAN ZAT JAHAT

Kembali lagi ke kisah pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan setelah agak lama belum berkesempatan untuk berkongsi iktibar dan pengalaman disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai urusan termasuk rawatan di luar kawasan. Boleh dikatakan ramai juga pesakit yang telah banyak berubat merata tempat dan berhabisan ribuan ringgit dengan kos perjalanan, penginapan, makan minum dan rawatan bertahun-tahun tetapi tidak pulih-pulih, meminta jasa baik perawat berikhtiar merawat mereka. Alhamdulillah, ramai antara mereka yang telah kembali pulih dan normal.

Kisah pengalaman kali ini membawa perawat ke Kuala Perlis pada pertengahan Januari 2018 di mana terdapat seorang pesakit wanita yang hampir 20 tahun mengalami gangguan jin luaran dan zat jahat dalam tubuh badannya.

Pada sesi rawatan pertama, pesakit menceritakan pernah keguguran tanpa sebab ketika mengandungkan anak. Semasa dalam tempoh mengandung itu, pesakit kerapkali bermimpi seekor ular hadir di dalam mimpinya. Pesakit juga pernah berubat dengan seorang perawat dan diberikan air tawar. Mengikut cerita pesakit, pesakit pernah mengikuti program berkhemah di kawasan Bukit Ayer dan Wang Kelian yang terletak di negeri Perlis. Mungkin pesakit pernah mengambil sesuatu barang atau benda dari kawasan tersebut dan membawa pulang kerana gangguan bermula pada selepas selesai program berkhemah tersebut 20 tahun yang lalu.

Antara simtom-simtom gangguan yang berlaku pada pesakit ialah kerap bermimpi buruk seperti melihat bayi, anjing, buaya, ular dan lain-lain, kesan-kesan lebam di bahagian kaki yang kerap terjadi dan merasa benda bergerak di bahagian belakang badan.

Ketika sesi rawatan, perawat mengesan kehadiran jin yang berkemungkinan telah terpikat pada pesakit setelah sekian lama mengekorinya. Perawat berikhtiar memutuskan ikatan dan perhubungan jin tersebut dengan pesakit dan dikembalikan jin tersebut ke tempat asalnya. Kemudian zat-zat jahat di dalam tubuhnya dimusnahkan dan pesakit dipulihkan sepenuhnya. Selesai rawatan, perawat mendapati air mata meleleh keluar dari mata pesakit. Apabila ditanya, pesakit tidak tahu kenapa dia menangis, hati berasa sedih dan hiba seperti ada sesuatu pergi dari tubuhnya dan keadaan makin pulih selepas itu.

Susulan pada rawatan kedua, pesakit telah pulih sepenuhnya. Rawatan selesai sehingga setakat itu.

Adalah dinasihatkan agar ibubapa sentiasa memberi nasihat dan pemahaman pada anak-anak mereka yang akan mengikuti program atau aktiviti sekolah, persatuan, kelab untuk perkhemahan atau pendakian, agar sentiasa memohon perlindunganNya dan tidak sekali-kali mengambil sebarang barang atau benda dari tempat perkhemahan dikhuatiri berlaku musibah.

Teruskan bersama perawat dalam jejak rawatan dan perubatan menangani pengalaman-pengalaman misteri, aneh, ganjil, pelik di sekitar kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~


#al-faiz-al-falah.blogspot.com
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

No comments:

Post a Comment