Sunday, April 22, 2018

Susuk Bunga

Ilmu Susuk Bunga

Bertemu kembali di arena jejak rawatan dan perubatan perawat bersama pengalaman-pengalaman yang akan dikongsikan untuk semua, moga-moga masing-masing mendapat sedikit ilmu, manfaat, kefahaman dan peringatan.

Perkongsian kali ini adalah berkaitan susuk bunga. Apa itu susuk bunga? Inilah baru pertama kali perawat mendengar tentang ilmu susuk bunga sepanjang perjalanan jejak rawatan selama 22 tahun. Yang pernah didengar dan dilihat oleh perawat ialah ilmu susuk jarum emas, ilmu susuk serbuk emas, ilmu susuk kebal, ilmu susuk berlian dan ilmu susuk permata tetapi belum pernah lagi ketemu dengan ilmu susuk bunga. Mungkin ada di antara anda pernah mendengar atau tidak pernah tahu tentang kewujudan ilmu susuk bunga ini.

Baru-baru ini dalam bulan April 2018, perawat ada turun ke Kuala Lumpur untuk 3 hari kerana ada urusan kerja. Kebetulan di Bangsar, ada seorang bekas pesakit perawat yang masih berhubung silaturrahim dengan perawat, menyatakan untuk menyambung rawatan ke atas seorang jirannya yang kemalangan. Dimaklumkan jirannya ada mengalami sedikit keretakan tulang rusuk dan salah urat. Maka selepas solat zohor, perawat tiba di rumah bekas pesakit perawat dengan bantuan kereta seorang kawan.

Menyambung pada rawatan kedua ke atas pesakit wanita berusia 58 tahun yang kemalangan itu, perawat ada bertanyakan tentang hal keluarga, kerjanya, arwah suaminya dan kehidupannya. Dalam pada merawat, tiba-tiba pesakit membuka cerita kisahnya semasa baru berkahwin. Katanya pada zaman dulu, kebiasaannya perempuan akan berkahwin pada usia belasan tahun manakala lelaki pula pada usia 20an. Bagi perempuan yang telah berusia 20an, dianggap sebagai anak dara tua atau lambat jodoh atau bermasalah pada keluarga.

Pesakit wanita ini berkahwin pada usia 25 tahun manakala arwah suaminya ketika itu baru berusia 17 tahun. Diteruskan cerita, pesakit memberitahu bahawa arwah bapa saudaranya adalah seorang bomoh. Pesakit telah dibela oleh keluarga arwah bapa saudaranya itu disebabkan keluarganya orang susah dan tidak berkecukupan dalam pendapatan. Pesakit dijaga dengan baik dan diberi didikan persekolahan yang penuh. Tetapi jodohnya yang kebetulan belum kesampaian. Melihat akan hal ini, arwah bapa saudaranya mencarikan calon lelaki untuk pesakit dan dilangsungkan terus perkahwinan.

Setelah selesai urusan majlis perkahwinan, beberapa hari selepas itu, pesakit dan arwah suaminya dipanggil mengadap arwah bapa saudaranya. Tanpa sebarang ilmu, maklumat, kefahaman dan nasihat kepada pesakit, arwah bapa saudaranya telah memasukkan 7 kuntum bunga tanjung satu persatu yang dijampi masuk melalui ubun-ubun pesakit dan terus hilang. Begitu juga pada arwah suami pesakit, 7 kuntum bunga tanjung dimasukkan satu persatu melalui ubun-ubunnya dan menghilang. Dimaklumkan arwah bapa saudaranya, ini adalah sebagai mengikat suami isteri agar sentiasa bersama.

Pesakit wanita ini bercerita, setelah 13 tahun arwah suaminya meninggal, tidak ada seorang lelaki pun yang ada perasaan suka bila melihat wajahnya, untuk pesakit teringin kembali berumahtangga. Bila ditenung-tenung wajah pesakit, memang nampak seperti kelat, tiada seri dan seperti bunga layu dan lesu. Kemudian pesakit memberitahu itu adalah susuk bunga. Barulah perawat faham bahawa ilmu susuk bunga ini ada jantan dan betinanya. Apabila kehilangan pasangannya, maka layu dan matilah seri wajah si pemakai ilmu ini. Hendak dibuang, arwah bapa saudaranya telah lama mati. Jadi diminta perawat untuk ikhtiarkan di lain hari jika berkesempatan untuk membuang ilmu susuk bunga ini dan meminta perawat membuat penyediaan mandi seri bunga selepas itu. Katanya lagi, pesakit tidak ada apa-apa kefahaman dan tidak tahu menahu tentang ilmu susuk bunga ini dan tidak sama sekali berniat untuk memakainya tetapi telah dimasukkan oleh arwah bapa saudaranya seperti ditunduk mengikut arahan.

Walaubagaimanapun adalah dinasihatkan pada pembaca agar tidak sesekali mengambil sebarang ilmu susuk untuk pemakaian diri kerana sumber keilmuan ini banyak bersandarkan pada ilmu kejinan yang sedikit sebanyak bakal mengganggu minda, emosi dan kesihatan tubuh badan si pemakai. Bukan senang untuk membuangnya jika tidak bertemu dengan perawat yang memiliki ketinggian ilmu perubatan atau guru mursyid atau ahli dalam bidangnya.

Teruskan menyelusuri jejak rawatan dan perubatan perawat dalam pengalaman-pengalaman rawatan. Agak sibuk tugasan perawat di luar kawasan dan masih belum berkesempatan untuk perkongsian pengalaman-pengalaman seterusnya. InsyaAllah akan dikemaskini nanti.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

No comments:

Post a Comment