Pengertian Sijjin dan 'Illiyyin
Sijjin (سِجِّين) dan 'illiyyin (عِلِّيِّين) adalah dua (tempat simpanan) kitab yang disebutkan dalam Alquran surah Al-Muthaffifin. Sijjin merupakan (tempat simpanan) kitab yang mencatat segala perbuatan orang-orang durhaka, sedangkan 'illiyyin merupakan (tempat simpanan) kitab yang mencatat segala perbuatan orang-orang yang berbakti, yang disaksikan malaikat-malaikat yang didekatkan kepada Allah.
Sijjin
Sijjin berasal dari kata sajana - yasjunu - sajnan (سَجَن - يَسجُن - سَجنًا) yang bererti memenjarakan, menahan, menyembunyikan, atau mencatat. Sijjin bererti penjara; buku catatan tahanan, iaitu buku yang berisi catatan amalan buruk. Menurut Ibnu Katsir, kata sajnan (سَجنًا) bererti sempit.
Beberapa Pendapat tentang Sijjin
Sebahagian orang berpendapat bahawa Sijjin merupakan tempat di lapisan bumi yang paling bawah (lapisan ketujuh). Ada pula yang berpendapat bahawa Sijjin adalah batu besar dan keras berwarna hijau yang berada di lapisan bumi paling bawah (lapisan ketujuh). Sebahagiannya lagi berpendapat bahawa Sijjin adalah telaga di Neraka Jahannam.
Pendapat yang benar tentang Sijjin adalah, kerana Sijjin berasal dari kata As-Sijnu (baca: Adh-Dhayyiqu—sempit), maka maknanya adalah lapisan bumi yang paling bawah (lapisan yang ketujuh). Hal ini disebabkan seandainya semua makhluk turun ke bawah menuju lapisan bumi ketujuh, maka ia akan merasakan semakin sempit yang berbeza dengan lapisan-lapisan yang di atasnya (yang semakin luas). Oleh kerana itu, Allah menyebutkan tempat kembali orang-orang yang derhaka adalah Neraka Jahannam, iaitu tempat yang paling rendah, sebagaimana firman Allah SWT (Ibnu Katsir, Tafsir Juz Amma, Hal. 97)
“Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang beriman dan mengerjakan amal soleh.” (At-Tin, 95: 5-6)
Sijjin adalah tempat yang sempit dan paling bawah, sebagaimana firman Allah SWT:
“Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka itu dengan dibelenggu, mereka di sana mengharapkan kebinasaan.” (Al-Furqan, 25: 13)
Ibnu Abbas bertanya kepada Ka’ab tentang Sijjin, lalu Ka’ab menjawab, “Itu adalah lapisan bumi yang ketujuh yang di dalamnya terdapat ruh-ruh orang-orang kafir.”
'Illiyyin
'Illiyyin berasal dari kata 'alâ - ya'lû - 'uluwwan(عَلا - يَعلُو - عُلُوًّا) yang bererti tinggi, ditinggikan, di atas, atau mulia. Illiyyin bererti tempat-tempat tertinggi. Kata ini adalah kata jamak. Bentuk tunggalnya adalah 'illiyyah (عِلِّيَّة). Sesuatu yang berada di atas dan lebih tinggi dari yang lain adalah sesuatu yang lebih besar dan lebih luas, seperti langit yang berada di atas bumi.
Petikan Hadis
Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnad-nya, Ibnu Hibban dan Abu Uwanah Al-Asfarayini dalam Sahihnya masing-masing hadis Minhal dari Zadan, dari Mughirah bin Azib RA yang berkata:
“Kami pernah bersama Rasulullah SAW menghantar jenazah. Baginda duduk di atas kubur dan kami duduk di sebelahnya. Sepertinya di atas kepala kami terdapat burung. Sambil menguburkan jenazah tersebut baginda berkata, ‘Aku berlindung diri kepada Allah dari siksa kubur.’ Hingga tiga kali. Kemudian baginda bersabda, ‘Sesungguhnya orang beriman, jika akan pindah ke alam akhirat dan meninggal dunia, maka para malaikat turun kepadanya. Wajah mereka seperti matahari dan setiap dari mereka membawa wangi-wangian dari syurga dan kain kafan. Mereka duduk di sisi orang beriman sebatas pandangan kemudian malaikat pencabut nyawa duduk dekat kepalanya dan berkata, ‘Wahai jiwa yang baik, keluarlah menuju ampunan dan keredhaan dari Allah.’ Kata Rasulullah SAW, ‘Ruh orang beriman pun keluar dari dalam jasadnya seperti halnya air keluar dari mulut teko. Malaikat pencabut nyawa segera mengambilnya. Ketika ruh orang beriman telah berada dalam genggamannya, para malaikat yang lain tidak membiarkan ruh orang beriman berada di tangan malaikat pencabut nyawa, sekelip mata hingga kemudian mereka mengambilnya daripadanya dan meletakkannya di atas kafan syurga dan diwangi-wangian tersebut. Dari ruh orang beriman, keluarlah wangi-wangian yang sangat harum yang pernah ada di bumi.’ Kata Rasulullah SAW, ‘Kemudian para malaikat naik membawa ruh orang beriman dan setiap kali mereka melewati para malaikat, maka mereka bertanya, ‘Ruh siapa yang harum ini?’ Mereka menjawab, ‘Ruh ini adalah ruh Fulan bin Fulan,’ sambil menyebutkan namanya yang paling baik di dunia hingga kemudian mereka berhenti di langit dunia. Mereka meminta dibukakan pintu langit bagi ruh tersebut, kemudian pintu langit dibukakan untuknya. Ruh tersebut disambut seluruh makhluk yang ada di langit dan mereka mendekatkan ruh tersebut ke langit berikutnya hingga mereka dengannya tiba di langit yang ada Allah Azza wa Jalla. Allah Azza wa Jalla berkata, ‘Tulislah kitab hambaku ini di ‘Illiyyin dan kembalikan ia ke dunia. Sesungguhnya dari bumi aku menciptakan mereka kemudian mengembalikan mereka dan mengeluarkan kembali untuk kedua kalinya,’ Kata Rasulullah SAW lebih lanjut, ‘Lalu ruh orang yang beriman dikembalikan ke dalam jasadnya semula. Tidak lama kemudian datanglah kepadanya dua malaikat yang kemudian duduk di sebelahnya dan bertanya kepadanya, ‘Siapa Tuhanmu?’ Orang tersebut menjawab, ‘Tuhanku adalah Allah.’ Kedua malaikat tersebut bertanya lagi, ‘Apa agamamu?’ Orang tersebut menjawab, ‘Agamaku adalah Islam.’ Kedua malaikat tersebut bertanya, ‘Siapa lelaki ini yang telah diutus kepada kalian?’ Orang tersebut menjawab, ‘Dia adalah Rasulullah SAW.’ Kedua malaikat bertanya lagi, ‘Apa saja yang engkau ketahui?’ Orang tersebut menjawab, ‘Aku membaca Al-Qur’an kemudian beriman kepadanya dan membenarkannya.’ Kata Rasulullah SAW, ’Lalu terdengar dari penyeru dari langit menyeru, ‘HambaKu ini benar. Hamparkan untuknya syurga dan berilah pakaian dari syurga serta bukalah satu pintu syurga baginya.’ Kata Rasulullah SAW lagi, ‘Lalu didatangkan kepadanya aroma syurga dan kuburnya diperluas sepanjang penglihatannya.’ Kata Rasulullah SAW, ‘Lantas datang kepada orang beriman lelaki tampan, pakaiannya bagus dan beraroma harum dan berkata, ‘Aku khabarkan kepadamu berita yang menyenangkanmu bahawa hari ini adalah hari yang pernah dijanjikan kepadamu.’ Orang beriman bertanya, ‘Siapakah kamu, wajahmu benar-benar mendatangkan kebaikan?’ Lelaki tersebut menjawab, ‘Aku adalah amal perbuatanmu yang baik.’ Orang beriman berkata, ‘Tuhanku, segerakan Hari Kiamat! Segerakan Hari Kiamat agar aku boleh bertemu dengan keluargaku dan hartaku.’
Kata Rasulullah SAW lebih lanjut.’ Dan sesungguhnya orang kafir, jika akan meninggal dunia dan menuju kepada akhirat, maka para malaikat turun kepadanya dari langit dengan wajah yang hitam dan membawa kain kafan kasar lalu duduk disisinya sebatas pandangan. Malaikat pencabut nyawa datang kepadanya dan duduk dekat kepalanya lantas berkata, ‘Wahai ruh yang kotor, keluarlah menuju kemurkaan dan kemarahan dari Allah!’ Lalu ruhnya berpisah dari jasadnya dan malaikat mencabutnya seperti besi pembakar dicabut dari bulu yang basah. Kemudian malaikat pencabut nyawa mengambilnya dan kalau sudah diambil, maka para malaikat yang lain tidak membiarkan ruh tersebut di tangannya, sekelip mata hingga kemudian mereka meletakkannya di dalam kain kasar tadi. Daripadanya keluar bau busuk yang pernah ada di dunia. Para malaikat membawanya naik dan setiap kali mereka melewati malaikat, mereka bertanya, ‘Ruh yang bau busuk ini milik siapa?’ Para malaikat menjawab, ‘Ini adalah ruh si Fulan bin Fulan,’ sambil menyebutkan namanya yang paling buruk di dunia hingga mereka terhenti di langit dunia. Para malaikat meminta kepada malaikat penjaga pintu langit agar pintu langit dibuka untuk ruh orang kafir ini. Namun malaikat penjaga langit tidak mahu membuka pintu langit bagi ruh orang kafir tersebut.’
Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat, ‘Sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan tidak (pula) mereka masuk syurga, hingga unta masuk ke lubang jarum.’ (Al-A'raaf: 40)
Allah Azza wa Jalla berfirman, ‘Tulislah kitabnya di Sijjin di bumi dan ruhnya dicampakkan begitu saja.’ Lalu Rasulullah SAW membaca ayat, ‘Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.' (Al-Hajj:31)
Allah Azza wa Jalla berfirman, ‘Tulislah kitabnya di Sijjin di bumi dan ruhnya dicampakkan begitu saja.’ Lalu Rasulullah SAW membaca ayat, ‘Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.' (Al-Hajj:31)
Kemudian meneruskan dengan sabdanya, ‘Kemudian ruhnya dikembalikan ke jasadnya dan tidak lama setelah itu datang dua malaikat dan bertanya, ‘Siapa Tuhanmu?’ Orang kafir menjawab, ‘Ha… ha…, aku tidak tahu!’ Dua malaikat bertanya lagi, ‘Siapa orang ini yang diutus kapadamu?’ Orang kafir menjawab, ‘Ha… ha…, aku tidak tahu!’ Penyeru dari langit menyeru, ‘Hambaku ini bohong, maka hamparkan baginya hamparan dari neraka dan bukakan baginya salah satu pintu neraka!’ Lalu hawa panas neraka dan racunnya datang kepadanya. Kuburnya menghimpitnya hingga tulangnya berserakan. Setelah itu, datanglah kepadanya lelaki dengan wajah yang hodoh, pakaiannya buruk dan berbau busuk lalu berkata, ‘Aku membawa khabar yang tidak menyenangkanmu. Inilah hari yang dulu dijanjikan kepadamu!’ Orang kafir bertanya, ‘Siapakah kamu? Wajahmu benar-benar membawa kehinaan!’ Lelaki tersebut menjawab, ‘Aku adalah amal perbuatanmu yang buruk.’ Orang kafir berkata, ‘Tuhanku jangan adakan Hari Kiamat!' (Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Tamasya ke Syurga, . Hlm. 82-87.)
Masya Allah. Tabarakallah. JZKK atas perkongsian ILMU Ustaz.
ReplyDeleteMohon sharings dgn rakan2 usrah online. JZKK.
ReplyDeleteSilakan
Delete