MERAWAT KERASUKAN JIN ISLAM DAN SANTAU
Akhir Januari 2018, perawat telah dihubungi sebelum itu oleh seorang bekas pesakit perawat, meminta untuk merawat ibunya yang tiba-tiba berjalan tempang sebelah kaki kanannya berlokasi di Sg Ara, Pulau Pinang. Pesakit wanita tua ini telah berusia 79 tahun dan dimaklumkan pada perawat oleh anaknya itu, kudrat ibunya masih kuat seperti orang muda selain boleh mengurut perempuan bersalin dan membuat rawatan ringan pada pesakit kanak-kanak.
Perawat agak keletihan kerana baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur pada tengahari itu kerana urusan luar kawasan dan diminta juga untuk datang merawat pesakit sama ada tersalah urat atau bagaimana.
Sebaik saja sampai dan masuk ke rumah, pesakit berseloroh dan bertanya pada perawat, siapa perawat. Melihat ekspresi diri pesakit, seperti bukan pesakit yang bertanya pada perawat. Apabila perawat memperkenalkan diri sebagai seorang ustaz merawat orang, terus pesakit meminta maaf dan mengundur ke belakang.
Kemudian perawat menyuruh pesakit berbaring di atas katilnya di ruang tamu dengan disaksikan anak-anaknya dan menantu-menantunya serta cucu-cucunya, masing-masing hendak menyaksikan pesakit dirawat.
Ketika sesi soal selidik, perawat bertanya adakah pesakit pernah kerasukan. Anak-anak pesakit menyatakan ibu mereka tidak pernah nampak seperti kerasukan dan kelihatan seperti biasa saja. Hairan juga perawat bagaimana jin yang menumpang tubuh pesakit boleh berlakon begitu baik sekali dengan keluarga pesakit tanpa diketahui bahawa memang berlaku kerasukan sebelum-sebelum ini. Pada dasarnya perawat telah mengesan sesuatu pada reaksi dan gerak tubuh pesakit bahawa memang benar ada jin yang telah lama menumpang tubuhnya.
Pesakit memberitahu kerap mimpi orang nak bagi budak, sakit dari pinggang hingga ke seluruh kaki kanan, tangan kena tepuk, paha kena tepuk dan kaki kena tarik sebelum ini yang menyebabkan kaki kanannya berjalan tempang. Dimaklumkan anaknya, ibu mereka mengangkat sekampit beras 10kg sebelum sakit tempang sedangkan sebelum ini telah berkampit-kampit beras 10kg diangkat, tiada masalah sedangkan usianya cukup tua tidak sepadan dengan kudratnya.
Antara simtom-simtom lain yang berlaku ialah pesakit kerap nampak kelibat di dalam rumah, terdengar suara mengilai dan gelak tawa, dada merasa panas dan ada terasa benda bergerak di kaki kanannya.
Pada sesi rawatan pertama, ketika pesakit berbaring di atas katil, perawat duduk di tepi kaki kanannya dan memulakan rawatan. Seketika itu, pesakit tiba-tiba terlelap dan terdiam. Maka perawat memanggil jin dalam tubuhnya untuk hadir. Kaki kanan mula bergoyang-goyang tetapi pesakit masih terlelap. Perawat memanggil jin tersebut hadir dan sedar jika tidak, perawat akan bertindak keras kalau jin tidak memberi kerjasama. Terus hadir dan sedar jin tersebut. Pada mulanya jin itu membeliakkan matanya kononnya untuk menakutkan perawat, tetapi perawat memberi amaran jika tidak berkelakuan elok, perawat akan korek mata jin tersebut. Terus matanya seperti normal.
Tidak sempat video direkod kerana pesakit tidak dijangka kerasukan dan perawat ketika itu agak keletihan kerana kembara jauh pulang dari Kuala Lumpur belum sempat berehat sepenuhnya.
Sesi dialog pun bermula,
Perawat: Hai jin, siapa nama hang? Hang bangsa apa? Siapa tuan hang?
Jin: (Berdiam diri)
Perawat: Kalau hang takmau cakap, aku seksa hang cukup-cukup. Aku tanya hang tolong jawab. Hang ni bangsa apa, pontianak, hantu rata, puaka hutan, jembalang tanah, polong, pelesit..
Jin: (Geleng kepala). Aku jin yang berjalan...
Perawat: Bangsa apa taktau?
Jin: (Geleng kepala).
Perawat: Kenapa hang duk dalam badan dia?
Jin: Aku dah kata dah jangan ambik laki aku, hang nak ambik jugak, hang takmau dengar cakap, sekarang aku buat hang.
Perawat: Ni apa cerita pulak ni sampai nak ambik laki orang ni. Cuba hang bagitau aku, apa yang berlaku.
Jin: Dia ni (pesakit) kawen dengan laki dia. Aku ni mau kat laki dia tapi laki dia pilih dia. Jadi aku panas hati, aku cari la bomoh nak kenakan dia bagi depa bergaduh bercerai. Tapi tak cerai-cerai jugak. Aku mau kat laki dia...
Perawat: Banyak lagi laki lain dalam Penang ni, hang mau laki dia jugak...awat kemaruk sangat ka kat laki dia, hensem sangat ka laki dia..
Jin: Henseemmm...sebab tu aku mau..
Perawat: (Tergelak dengar jawapan jin)..
Kemudian salah seorang anak pesakit menceritakan, dulu sebelum berkahwin, ibu mereka dan sepupu perempuan ibu berebut-rebut mahukan suami ibu. Sepupu ibu sampai menangis-nangis merayu hendak berkahwin dengan suami pesakit tetapi suami pesakit tetap memilih pesakit sebagai isteri. Kerana soal cinta dan dengki, sepupu pesakit bertindak cari bomoh di Balik Pulau untuk kenakan pesakit supaya rumahtangganya tidak tenteram. Suami pesakit telah lama meninggal dunia, sepupu perempuan yang dengki pada pesakit juga telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Bomoh di Balik Pulau juga telah lama meninggal dulu kerana sakit teruk.
Jin: (Mengangguk mengesahkan)
Perawat: Hang ni agama apa?
Jin: Islam
Perawat: Ooo..hang Islam. Aku jugak Islam. Tetapi sebagai seorang Islam kita tidak boleh menzalimi dan menganiaya sesama Islam. Kalau ikutkan, hang dah menzalimi tubuh pesakit ni. Hang nak masuk neraka..(lalu perawat membuka tabir jin untuk melihat gambaran neraka. Terkaku jin seketika. Matanya seperti berair ketakutan. Maka tabir jin ditutup semula). Hang nampakkan neraka tu..nak masuk ka ke sana..
Jin: (Menggeleng kepala ketakutan)
Perawat: Dah berapa lama hang duduk dalam badan orang ni...
Jin: Lama dah..
Perawat: 10 tahun..20 tahun..30 tahun..bila
Jin: Lama dah...sejak dia kawen...
Perawat bertanya pada anaknya, pada umur berapa ibu mereka berkahwin. Anaknya menjawab pada umur 19 tahun. Bererti telah 60 tahun jin Islam ini duduk di dalam tubuh pesakit tanpa sesiapa pun dalam keluarga perasan kehadiran jin tersebut.
Perawat: Macam ni la..hang ada suami, ada anak kann...
Jin: (Mengangguk)
Perawat: Aku nak selamatkan hang. Hang baliklah kepada keluarga hang selain menunaikan tanggungjawab hang sebagai seorang Islam. Jika hang tak bagi kerjasama, aku terpaksa bunuh hang kerana hang telah menzalimi dan memudaratkan tubuh pesakit ni..
Jin: (Mengangguk)
Perawat: Sebelum tu, aku nak tanya, hang ka yg buat kaki kanan dia jalan tempang?
Jin: (Mengangguk)
Perawat: Baik. Perbetul balik urat-urat dia sekarang.
Kaki kanan pesakit bergoyang-goyang seketika.
Perawat: Mana lagi yang dia sakit?
Jin: Bahu
Perawat: Haa perbetulkan.
Bahu digoyang-goyang.
Perawat: Ada santau dak masuk dalam tubuh dia?
Jin: (Mengangguk)
Perawat: Buang semua sekarang
Jin: Bismillahirrahmanirrahim. Datang racun, racun bisa, bukan racunku, racun Allah, aku buang bla..bla..bla...dengan berkat Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. (Jin membuang santau dari tubuh pesakit dengan mengutip dari bahagian-bahagian tertentu)
Perawat: Dah selesai semua? Habis dah santau? Sakit-sakit yang hang buat tu dah tak dak dah?
Jin: (Angguk)
Perawat: Kampung hang dari mana?
Jin: Balik Pulau.
Perawat: Kat situ ada perkampungan jin Islam ka?
Jin: (Angguk)
Perawat: Baik. Sebelum hang keluaq, ikut cakap aku. Hang kena bersumpah. (Perawat melafazkan sumpah diikuti oleh jin sehingga selesai). Hang dah bersumpah dengan nama Allah, aku pegang sumpah hang. Kalau lagi sekali aku dipanggil hang masih ganggu orang ini dan keluarga, aku akan bunuh hang serta merta.
Jin: (Mengangguk faham)
Kemudian jin tersebut keluar ikut kaki kanan pesakit dibantu oleh perawat untuk memudahkan urusannya. Pesakit kembali sedar dan kebingungan kenapa ramai sangat anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucunya berada di ruang tamu. Dan pesakit hairan kenapa perawat duduk di hujung katilnya dan untuk apa. Setelah diterangkan perkara sebenar, maka fahamlah pesakit apa yang telah berlaku. Alhamdulillah semuanya telah selesai. Pesakit tidak lagi berjalan tempang atau merasa sakit di mana-mana bahagian tubuhnya. Cuma kudratnya telah bertukar menjadi seorang wanita tua yang lemah, tidak lagi seperti orang muda.
Begitulah pelbagai perkara yang berlaku sehingga soal cinta pun tetap hendak diperbomohkan disebabkan berebut pasangan. Apalagi yang melibatkan pangkat, harta, tugas, tender, projek, kenaikan gaji dan sebagainya, masih ramai yang memilih jalan gelap dari bertawakkal dan redha kepada Allah SWT.
Teruskan bersama pengalaman-pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan menyelesaikan kes-kes misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar berlaku dalam masyarakat sekarang ini.
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#al-faiz-al-falah.blogspot.com
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1
No comments:
Post a Comment