Awal bulan September 2017, perawat telah dihubungi oleh seorang lelaki pada sehari sebelumnya untuk merawat isterinya yang sentiasa kerasukan tidak tentu masa.
Perawat tiba pada hari yang dijanjikan di rumah kepunyaan ayah pesakit yang berlokasi di Balik Pulau. Ketika hadir, perawat diminta untuk merawat adik perempuannya terlebih dahulu bersama anak angkat kepada adik perempuannya itu. Adik perempuannya ini mengalami simtom pelik di mana apabila pulang ke rumah ayah mereka dari rumah sewa tempat dia bekerja di Kulim, ketika hendak berwuduk, tiba-tiba keluar darah haid dengan banyak sedangkan pada masa itu bukan kitaran haidnya. Perkara pelik ini tidak berlaku di tempat lain, hanya akan terjadi bilamana dia pulang saja ke rumah ayah mereka. Manakala anak angkat adik perempuannya itu kerapkali tidur berjalan (sleep-walking) di dalam rumah bila menjelang tengah malam. Oleh kerana tidak dapat keluar dari rumah kerana dikunci sepenuhnya, anak angkatnya itu adakalanya didapati tidur di ruang tamu, ruang dapur, bilik lain dan selain dari bilik tidurnya. Didapati terdapat unsur-unsur zat jahat pada tubuh kedua-dua mereka maka perawat berikhtiar memusnahkan gangguan zat jahat tersebut.
Setelah selesai rawatan ke atas adik perempuannya, barulah disambung rawatan untuk isterinya yang dikatakan telah 7 tahun berada dalam situasi kerasukan yang bermula di rumah mereka. Apabila berlaku kerasukan, tempohnya berjam-jam berjalan sebelum keadaan pulih seperti biasa. Isterinya ini bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Pulau Pinang, dimaklumkan kerap juga terjadi kerasukan di kilang ketika sedang bekerja dan terpaksa diketepikan untuk rehat sementara dia pulih dari rasukan. Suami kepada pesakit memberitahu bahawa mereka telah berubat dengan ramai perawat tetapi tiada seorang pun yang dapat menyelesaikan kes dalam tempoh tersebut. Dikatakan isterinya terkena buatan orang kerana perbalahan harta pusaka dalam ahli keluarga mereka sendiri.
Namun sejak akhir-akhir ini, kerasukan kerap bermula dari waktu maghrib hinggalah ke tengah malam atau sehingga ke pukul 3-4 pagi setiap hari menyebabkan keadaan pesakit kelihatan kusam, sembab, lesu, tidak cukup tidur dan seperti kebingungan.
Antara simtom-simtom yang berlaku pada pesakit ialah 100% kerasukan (tidak sedar diri), kerap nampak kelibat di dalam rumah, rasa didekati sebelum hendak tidur, sentiasa rasa seperti ada orang memerhatikannya di dalam rumah, sukar tidur akibat gangguan, mimpi buruk seperti budak, binatang muka pelik dan suami isteri yang tidak dikenali, kerap terjaga malam akibat terkejut dan gangguan, ditindih berkali-kali selain disetubuh, kerap lebam pada lutut dan paha, sakit kepala tak menentu dan merasa benda bergerak-gerak di dalam perut.
Sebelum memulakan rawatan, pesakit tersebut telah kerasukan dulu sepertinya jin tersebut tahu yang ia dipanggil hadir. Sesi dialog pun berlaku untuk membuka rahsia dan identiti jin ketika rawatan. Perawat menyiksa jin tersebut sehingga ia memberitahu siapa yang buat, bomoh dari mana yang diutuskan, jin ini memberitahu ia adalah jin tanah beragama buddha, apa yang telah diberi makan kepada pesakit selama 7 tahun tersebut, apa yang jin ini makan pada tubuh pesakit dan oleh kerana kedegilan jin ini untuk keluar mahupun masuk Islam, maka perawat mengambil langkah terakhir iaitu membunuh mati jin tersebut.
Setelah selesai dibunuh, barulah pesakit sedar dari kerasukan tersebut dan dirawat pulih untuk membuang zat-zat jahat yang terdapat dalam tubuhnya.
Untuk saksikan kebenaran, sila klik pada link video di bawah ini untuk melihat sesi rawatan berjalan.
Nantikan seterusnya jejak rawatan dan perubatan perawat dalam menelusuri pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di akhir zaman ini.
~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~
No comments:
Post a Comment