Thursday, January 11, 2018

*Pengalaman Merawat Gangguan Dampingan Jin Bukit Eps 42*

PENGALAMAN MERAWAT GANGGUAN DAMPINGAN JIN BUKIT

Awal September 2017, Pengalaman kali ini mengisahkan di mana seorang pesakit perempuan menderita selama lebih kurang 8 tahun diganggu beberapa ekor jin dari sebuah bukit yang ingin mendampinginya selain ingin membawanya ke alam jin ke bukit tersebut. Bukit itu yang dinamakan Bukit Ayer terletak di sebelah utara Perlis dan berhampiran dengan sempadan Thailand merupakan satu kawasan hutan lipur simpanan negeri Perlis dan mempunyai tempat beriadah.

Pesakit ini pernah melanjutkan pelajaran, selepas tamat persekolahan, ke sebuah kolej yang berhampiran (identiti kolej dirahsiakan) dengan lokasi Bukit Ayer tersebut pada tahun 2009. Seperti yang diceritakan pesakit, pada mulanya pembelajaran di kolej berkenaan tiada masalah tetapi setelah beberapa tempoh terdekat, kelihatan kelibat yang kerapkali mengganggunya ketika di hostel. Rentetan dari kelibat tersebut, telah datang satu jin budak perempuan bernama Zulaikha ke dalam mimpinya untuk berkawan. 3 malam berturut-turut jin budak itu datang ke dalam mimpinya bertujuan memberi ijazah untuk merawat tetapi pesakit menolak untuk mengambilnya menyebabkan jin tersebut terus mengganggunya berterusan setiap hari sehingga 8 tahun.

Setiap masa pesakit dapat melihat susuk jelmaan jin budak tersebut secara nyata, membesar dan membesar sehingga menjadi jelmaan seorang nenek kebayan.

Pesakit menyambung pelajaran di kolej tersebut selama 2 tahun sebelum berpindah ke Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di Alor Setar untuk menyambung kursus pembelajaran yang seterusnya.

Antara simtom-simtom gangguan yang terjadi pada pesakit setelah bermimpi 3 malam berturut-turut berjumpa jin budak perempuan dan menolak sepenuhnya pemberian ijazah untuk merawat ialah histeria semasa di KPTM, nampak kelibat semasa di KPTM dan di rumah, rasa didekati dan diperhatikan semasa di rumah bapa, tidak boleh tidur selama 8 tahun kerana setiap kali mata dipejam, akan nampak susuk jin nenek kebayan tersebut seakan marah padanya, mimpi buruk seperti orang datang beri ijazah, ular, budak dan nenek, sentiasa jaga malam disebabkan gangguan, terdengar bisikan yang menyuruhnya membunuh orang, badan terasa bahang panas, sakit kepala seperti dicengkam, ditekan dan seperti nak jatuh, rasa benda bergerak di dalam perut dan kaki terasa sejuk. Pernah mendapat lebam di kaki pada akhir 3 bulan sebelum rawatan dengan perawat. Ketika hari kejadian, pesakit berada di rumah baru ibunya. Lalu perawat bertanya samada pesakit ada nampak sesuatu di dalam rumah. Pesakit menyatakan pada sebelah malam, dia nampak susuk wanita berjubah putih berambut panjang berlegar-legar dalam rumah tetapi tidak mengganggu sesiapapun.

Semasa perawat ingin memulakan sesi rawatan pertama, pesakit tiba-tiba menangis dan berundur ke belakang sambil geleng-gelengkan kepala menyebut tidak mahu dirawat. Perawat bertanya pada pesakit, di mana yang sakit, pesakit hanya menyebut tidak mahu dirawat. Kemudian perawat bertanya, ada jin datangkah pada masa tersebut, pesakit mengatakan ya. Perawat bertanya lagi, macamana rupa jin yang datang, pesakit memberitahu nenek kebayan yang datang, dia yang bagitau nanti sakit semasa dirawat. Perawat bertanya di mana nenek kebayan pada masa tu, pesakit kata nenek tu ada di luar di balik pintu masuk sambil mengintai. Perawat suruh pesakit tanyakan pada jin nenek tersebut kenapa mengganggu pesakit. Jin nenek itu memberitahu dia mahu jadikan pesakit seorang perawat dan jin nenek itu yang akan menolong tetapi pesakit memberitahu dia tak mahu dan tak suka merawat orang. 

Kemudian perawat memujuk pesakit bahawa yang akan sakit tu adalah jin nenek tersebut dan bukan pesakit. Akhirnya barulah pesakit mahu dirawat. Ketika rawat, perawat betul-betul juruskan seksaan pada jin nenek tersebut sehingga jin itu melarikan diri. Pesakit ditanya dan memberitahu nenek kebayan lari kesakitan. Selang beberapa minit, hadir pula satu jin berjubah putih untuk datang menolong pesakit. Maka jin tersebut juga dijurus oleh perawat dan melarikan diri.

Setelah jelas tidak lagi kelihatan mana-mana susuk jin, perawat memutuskan pertalian perhubungan antara jin dan pesakit selain memberi amaran keras pada jin nenek kebayan dan jin berjubah putih untuk tidak mengganggu lagi pesakit, memusnahkan zat-zat jahat dalam tubuhnya di mana ketika itu pesakit muntah dengan banyak kerana telah diberi makan oleh jin serta perawat membatalkan segala ilmu batil yang ada pada jin penyihir tersebut. Selepas itu, pesakit tumbang kerana terlalu letih dan tertidur. Perawat tetap meneruskan rawatan memulihkan tubuh badan pesakit kerana gangguan selama 8 tahun itu memberi banyak kesan negatif pada dirinya. Hijabnya juga ditutup supaya tidak lagi dapat melihat jin tetapi hanya boleh merasa sahaja kehadiran jin. Kedengaran suara burung gagak tidak henti-henti menyahut sejak dari mula rawatan sehinggalah selesai, barulah burung gagak tersebut beredar dari pokok di luar rumah.

3 hari selepas itu, sesi rawatan kedua dibuat. Pesakit masih menyatakan tidak boleh tidur kerana masih rasa didekati walaupun tidak lagi nampak susuk jelmaan. Kepala berdenyut-denyut sakit di dalam dan terasa pening nak muntah. Tiada lagi terdengar bisikan tetapi hanya mimpi sekali sahaja jin berjubah putih datang nak bagi ijazah dan pesakit tetap menolaknya. Badannya masih terasa panas dan kakinya masih rasa sejuk. Maka zat-zat jahat dalam tubuhnya dimusnahkan sepenuhnya sehingga pesakit merasa aman dan nyaman.

Setelah sebulan pesakit gagal untuk meneruskan rawatan susulan ketiga, perawat ada bertanyakan bagaimana keadaan diri pesakit. Pesakit memberitahu semua semakin baik dan tiada lagi gangguan. Maka telah selesai urusan perawat dan pesakit.

Sila klik pada rangkaian video di bawah ini untuk menyaksikan kebenaran :

https://youtu.be/C-r0jnfMtgY


Nantikan seterusnya kisah pengalaman perawat dengan gangguan-gangguan yang luarbiasa mendatang dalam jejak rawatan dan perubatan menyingkap tabir pengalaman misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi ia berlaku di sekitar kita...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

No comments:

Post a Comment