Wednesday, January 31, 2018

*Pengalaman Merawat Gangguan Pencerobohan Jin Dan Zat Jahat Eps 46*

MERAWAT GANGGUAN PENCEROBOHAN JIN DAN ZAT JAHAT

Kisah kali ini pengalaman perawat merawat seorang pesakit wanita yang berlokasi di Bayan Lepas Pulau Pinang pada hujung bulan Ogos 2017.

Dahulunya pesakit wanita ini seorang peniaga makanan sebelum ditimpa musibah dan kemalangan motosikal ke atas dirinya yang membawa kepada beristirehat di rumah sepanjang masa. Tempoh gejala telah berlanjutan selama 5 tahun yang menyebabkan pinggang belakangnya menanggung sakit yang kuat selain urat saraf sebelah kaki kirinya seperti tertarik ke atas dan pesakit berjalan seperti orang tempang. Pemeriksaan klinikal telah dilakukan dan doktor hanya menyatakan tiada apa-apa masalah pada pinggang belakangnya sedangkan pesakit tetap merasa sakit setiap hari. Doktor juga menyatakan tiada tulang yang patah atau bermasalah dan tarik urat tersebut mungkin disebabkan kemalangan jatuh motosikal. Juga terdapat sedikit kebocoran cecair pada tepi buah pinggang kirinya dan telah dibedah untuk dibuang cecair tersebut 3 tahun lalu.

Pesakit pernah berikhtiar berubat cara kampung dengan bomoh dan seorang perawat. Dikatakan oleh mereka, pesakit terkena buatan orang. Jika benar dan ada bukti, kenapa tidak bomoh dan perawat tersebut merawat pulih tetapi pesakit masih sakit di tahap yang sama. Itu yang ditanya perawat kepada pesakit. Perawat tidak mahu menuduh mana-mana pihak yang terbabit jika benar ada tuju-tuju atau lain-lain sekalipun terdapat kesahihan dari cerita pesakit supaya tidak berlaku fitnah dalam tuduh-menuduh tanpa bukti yang kukuh agar dosa fitnah tidak berterusan. Apa yang penting, pesakit pulih dari gangguan.

Antara simtom-simtom gangguan yang berlaku pada pesakit selama tempoh 5 tahun ialah kerap nampak kelibat di dalam rumah, rasa diri didekati sesuatu, susah tidur kerana gangguan, kerap terjaga malam tanpa sebab, terdapat lebam-lebam pada kaki, badan kadang-kadang terasa panas dan sejuk di bahagian sebelah kiri hingga ke buku lali.

Ketika sesi rawatan pertama, perawat membuang zat jahat yang terdapat di bahagian kepala dan belakang badannya. Turun ke pinggang di tempat yang sakit, perawat mengesan sesuatu tetapi belum dipastikan sama ada zat jahat ataupun kehadiran jin perosak. Setelah mengunci pergerakan di dalam pinggang belakang, maka perawat secara makrifat menarik sesuatu keluar dari dalam pinggang. Menjerit kesakitan pesakit bila sesuatu dikeluarkan. Genggaman tangan perawat meronta-ronta seperti sesuatu minta dilepaskan. Ternyata tertangkapnya jin perosak yang telah lama duduk di pinggang pesakit yang menyebabkan pesakit menanggung sakit yang kuat dan keputusan klinikal tiada penjelasan.

Maka jin perosak tersebut dibunuh mati serta merta. Genggaman kedua ditarik keluar, menjerit kesakitan pesakit ketika terdapat seekor lagi jin perosak yang tertangkap meronta-ronta dalam genggaman perawat lalu perawat membunuh mati serta merta. Baru dirasakan lega dan ringan di pinggang pesakit tersebut. Kemudian diteruskan pengesanan zat jahat di bahagian lain untuk dimusnahkan.

Pada sesi rawatan kedua, masih terdapat sisa-sisa zat jahat di bahagian tertentu dan dimusnahkan. Masalah urat saraf adalah penyakit fizikal yang mungkin berpunca dari perbuatan jin-jin perosak tersebut atau punca kemalangan motosikal. Simtom-simtom gangguan yang berlaku sebelum rawatan pertama telah tiada lagi selepas dari sesi rawatan pertama tersebut. Kelihatan pesakit nampak pulih banyak dan lega dari kesakitan.

Seterusnya diteruskan sesi rawatan ketiga dan rawatan fizikal untuk memulihkan kembali sel-sel dalaman, otot-otot serta tulang-tulang yang bermasalah selain pesakit telah mengambil 5 botol ubat herba untuk ikhtiar dipulihkan. Walaupun tidak 100% pulih kaki kirinya tetapi 95% bertambah baik. Proses seterusnya pesakit perlu mencari tukang urut wanita bagi memperbetulkan urat-urat simpul dan bermasalah akibat gangguan.

Nantikan kisah pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan perawat menempuh pelbagai masalah dan gangguan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi keberadaannya muncul di merata tempat...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#jinmenumpang
#gangguanjin
#sakiturat
#kemalanganpelik
#misteri

*Pengalaman Merawat Masalah Ketumbuhan Dalan Payudara Eps 45*

*MERAWAT MASALAH KETUMBUHAN (LUMP) DALAM PAYUDARA*

September 2017, pesakit adalah isteri kepada seorang pegawai polis yang berlokasi di Air Itam Pulau Pinang. Perawat telah direkemenkan oleh abang kepada pesakit, untuk berikhtiar merawat adiknya yang menghadapi ketumbuhan yang terdapat di dalam payudara sebelah kirinya.

Ketika perawat sampai di rumah pesakit, kelihatan begitu banyak produk-produk kesihatan dalam pelbagai bentuk kapsul, pil, serbuk, botol dan makanan yang telah dibeli dari seseorang yang menggelarkan dirinya seorang profesor dari sebuah universiti di Kuala Lumpur. Pesakit menceritakan setelah merasakan dirinya tertipu, masih wujud banyak lagi peniaga-peniaga penipu terutama di kalangan status kelas atasan seperti profesor, phD, pensyarah, peguam dan lain-lain yang berani mengiktiraf bahawa produk kesihatan yang dipromosi mereka mampu menyembuhkan semua jenis penyakit walhal produk kesihatan tersebut hanyalah sebagai membantu menambah zat makanan dan bukannya merawat semua jenis penyakit seperti yang didakwa dakwi. Diceritakan juga oleh pesakit, disebabkan status panggilan profesor, harga produk-produk kesihatan yang dimakannya itu mesti dibayar sebanyak RM40,000 sehinggakan pesakit terpaksa menjual kesemua barang kemasnya, keretanya, keluarkan semua duit simpanannya serta terpaksa membuat pinjaman bank semata-mata hendak merawat ketumbuhan payudaranya itu. Sedangkan produk-produk tersebut boleh didapati di farmasi-farmasi atau kedai-kedai yang menjual makanan kesihatan dengan harga keseluruhan yang tidak lebih RM2000.

Tiga bulan lamanya pesakit memakan produk-produk tersebut serta dinasihati profesor tersebut supaya pesakit hanya dibolehkan memakan nasi dan sayur sehingga sembuh. Dari badan berisi menjadi kurus dan cengkung, telah menyebabkan pesakit kemurungan dan kerap beremosi disebabkan ketumbuhan masih belum pulih dan ansuran pembayaran kepada profesor tersebut masih berjalan setiap bulan kerana masih berhutang.

Sesi rawatan pertama bermula, perawat memakrifatkan pada tempat keberadaan ketumbuhan tersebut tanpa sentuhan. Seakan-akan pesakit berkerut-kerut menahan sesuatu. Bila ditanya, pesakit menyatakan seperti ada aura yang keluar dari tapak tangan perawat dan berdenyut-denyut pada ketumbuhan tersebut seperti panas. Perawat kemudiannya melembutkan jurus agar bersesuaian dengan pesakit untuk menanggung rasa. Perawat telah membawa ubat herba tradisional yang telah pun ada testimoni masalah ketumbuhan dan kanser dipulihkan sepenuhnya. Pesakit telah mengambil sebotol dan berikhtiar.

Pada rawatan kedua juga telah difokuskan yang kemudiannya pesakit mengalami tekanan jiwa disebabkan terlalu banyak memikirkan keadaan dirinya dan masalah-masalah lain, jadi pesakit meminta putus ubat untuk dia menyambung dengan perubatan moden dan pakar kaunseling.

Sehingga setakat itu sahaja rawatan ke atas pesakit yang lebih berkeyakinan dengan perubatan moden. Tidak diketahui lagi bagaimana keadaan pesakit selepas dari itu.

Bersama menelusuri pengalaman-pengalaman perawat seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan merawatpulih gangguan-gangguan aneh, misteri, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di luar sana...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#ketumbuhan
#zajahat
#zatpenyakit

*Pengalaman Merawat Masalah Pundi Kencing, Rahim dan Haid Tidak Teratur Eps 44*

*MERAWAT MASALAH PUNDI KENCING, RAHIM DAN HAID TIDAK TERATUR*

Pengalaman kali ini adalah merawat masalah penyakit fizikal yang kebanyakannya melanda kaum wanita baik yang bujang mahupun yang telah atau pernah berkahwin kerana tidak mengambil inisiatif untuk menjaga kesihatan tubuh badan dengan baik serta pemakanan yang bersesuaian.

Kes kali ini berlaku pada bulan Ogos 2017, perawat telah dijemput oleh pesakit untuk merawat anak perempuannya yang telah diganggu jin di Bayan Lepas Pulau Pinang. Selesai rawatan dengan anak perempuannya, barulah pesakit meminta untuk diagnos (scan) masalah dirinya di mana pesakit terlalu kerap kencing walaupun hanya minum setengah cawan air, masalah pada rahimnya yang tidak boleh mengandung dan haid bulanan yang tidak teratur.

Pada rawatan pertama, perawat mendapati terdapat zat jahat yang terkumpul pada bahagian pundi kencing serta bahagian perut. Setelah dibuang dan dimusnahkan sepenuhnya, pesakit dirawatpulih selama setengah pada bahagian-bahagian yang dinyatakan ada masalah. Pada rawatan kedua, didapati tiada lagi unsur-unsur zat jahat yang bertapak tetapi pundi kencingnya seperti mengalami sedikit bengkak seperti yang dimaklumkan pesakit. Rawatan pemulihan organ dalaman yang bermasalah diteruskan. Pada rawatan ketiga, masih lagi diteruskan rawatan pemulihan.

Mengikut keterangan pesakit, selepas rawatan kedua dibuat, terdapat perubahan di mana kekerapan kencing mula berkurangan dan setelah selesai rawatan ketiga, keadaan pundi kencing yang sebelum itu bengkak telah pulih seperti sediakala dan normal.

Teruskan bersama perawat dalam pengalaman-pengalaman berikutnya yang lebih kepada memberi pelajaran dan pengajaran bagi masyarakat untuk lebih faham tentang hakikat dan makrifat sesuatu pengetahuan dan kejadian supaya tidak sentiasa ditipu oleh andaian-andaian dan permainan pemikiran nafsu sendiri tanpa rujukan dan belajar dari guru yang mursyid.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

Kredit Video Link:

https://youtu.be/PUTjJEYNIK4

Monday, January 15, 2018

*Tangkal~Azimat~Ta'wiz~Khamsa~Thamimah~Pelindung~Pendinding~Wada'ah~Pembenci~Penggerun~Pelaris Eps 43*

TANGKAL, AZIMAT, TA'WIZ, KHAMSA, THAMIMAH, PELINDUNG, PENDINDING, WADA'AH, PEMBENCI, PENGGERUN, PELARIS

15 Jan 2018

Siri kali ini adalah sedikit perkongsian ilmu daripada perawat berdasarkan pengalaman selama 22 tahun dalam jejak rawatan dan perubatan berkenaan penggunaan barang mistik yang disebut tangkal.

Walaupun tidak semua pesakit-pesakit yang telah dirawat oleh perawat, meletakkan tangkal di dalam rumah atau kedai atau memakai di tubuh mereka, namun masih terdapat segelintir antara mereka yang menggantungkan atau memakai tangkal atau wafaq (ta'wiz) dengan niat dan harapan bahawa ia sebagai sesuatu yang dapat melindungi diri daripada segala musibah. Inilah kejahilan dan gejala tidak sihat pada amalan pesakit kerana tidak mendalami ilmu agama Islam dalam bab Tauhid, Tasawuf, Fiqh dan Muamalat yang mana akhirnya perkara-perkara ini mengundang kecelakaan dan kemudaratan kepada diri kerana sedikit sebanyak menjerumuskan diri terjebak dengan alam mistik dan dunia ghaib. Setiap sesuatu perkara, pengetahuan, amalan dan perbuatan yang mendatangkan keraguan atau persoalan dari segi sumbernya, wajib kita Tabayyun (selidik/siasat/teliti) terlebih dahulu kerana dikhuatiri mungkin kita telah mengamalkan atau menyebarkan hal perkara sesat atau palsu tetapi menggunakan nama Rasulullah untuk hujahnya yang tiada sanad atau sandaran dari mana-mana perawi hadis atau kitab sahih. Sesuai dengan,

Firman Allah :


يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِنْ جَاءَكُمْ فَاسِقٌ بِنَبَإٍ فَتَبَيَّنُوا أَنْ تُصِيبُوا قَوْمًا بِجَهَالَةٍ فَتُصْبِحُوا عَلَىٰ مَا فَعَلْتُمْ نَادِمِينَ
"Wahai orang- orang yang beriman, jika ada seorang FASIQ datang kepada kalian dengan membawa suatu berita penting, maka TABAYYUNLAH (TELITILAH dulu), agar jangan sampai kalian menimpakan suatu bahaya pada suatu kaum atas dasar kebodohan, kemudian akhirnya kalian menjadi menyesal atas perlakuan kalian." [al-Hujurât/49:6].


وَٱعْلَمُوٓا۟ أَنَّ فِيكُمْ رَسُولَ ٱللَّهِ ۚ لَوْ يُطِيعُكُمْ فِى كَثِيرٍ مِّنَ ٱلْأَمْرِ لَعَنِتُّمْ وَلَٰكِنَّ ٱللَّهَ حَبَّبَ إِلَيْكُمُ ٱلْإِيمَٰنَ وَزَيَّنَهُۥ فِى قُلُوبِكُمْ وَكَرَّهَ إِلَيْكُمُ ٱلْكُفْرَ وَٱلْفُسُوقَ وَٱلْعِصْيَانَ ۚ أُو۟لَٰٓئِكَ هُمُ ٱلرَّٰشِدُونَ


"Dan ketahuilah! Bahawasanya dalam kalangan kamu ada Rasulullah (maka janganlah kemahuan atau pendapat kamu mendahului pentadbirannya); kalaulah ia menurut kehendak kamu dalam kebanyakan perkara, tentulah kamu akan mengalami kesukaran; akan tetapi (Rasulullah tidak menurut melainkan perkara yang diwahyukan kepadanya, dan kamu wahai orang-orang yang beriman hendaklah bersyukur kerana) Allah menjadikan iman suatu perkara yang kamu cintai serta diperhiaskannya dalam hati kamu, dan menjadikan kekufuran dan perbuatan fasik serta perbuatan derhaka itu: perkara-perkara yang kamu benci; mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang tetap menurut jalan yang lurus; " [al-Hujurat/49:7]

Maka ini akan menyebabkan berlaku FITNAH ke atas penggunaan nama Rasulullah SAW dan peringatan serta amaran keras kepada:
- perekacipta,
- penyebar termasuk media sosial,
- orang yang suka manipulasi(putarbelit),
- periwayat palsu dan
- penulis hadis palsu atau fitnah

telah ditegaskan di dalam al-Quran dan hadis-hadis berikut:


Firman Allah SWT : “Maka siapakah yang lebih zalim daripada orang yang berdusta terhadap Allah untuk menyesatkan manusia dengan tidak berdasarkan ilmu pengetahuan? Sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada kaum yang zalim”[Surah al-An'aam : 144]

Firman Allah SWT : “Pada hari kiamat engkau akan melihat orang-orang yang berdusta terhadap Allah muka-muka mereka hitam” [Surah az-Zumar : 60]

Sabda Rasulullah SAW dalam salah satu khutbahnya yang dikhabarkan oleh Abu Qatadah RA:

“Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda di atas mimbar ini : Hendaklah kamu sekalian menjauhi (daripada) terlalu banyak menyampaikan hadis daripada aku. Maka barangsiapa yang menyampaikan sesuatu (hadis) daripadaku – hendaklah dia menyatakan yang sebenar-benarnya (sahih). Dan barangsiapa yang mengada-adakan dusta atas namaku padahal aku tidak (pernah) mengatakannya – maka hendaklah dia mengambil tempat duduknya di neraka” [Sunan Ibnu Majah – no: 035]

Sabda Rasulullah SAW : “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Barangsiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1/439 dan Muslim 1/10. Hadith ini adalah mutawatir – Lihat : Ibn al-Salah, ‘Ulum al-Hadith, ms. 239]

Sabda Rasulullah SAW : “Jangan kamu berdusta ke atasku. Barangsiapa yang berdusta ke atasku maka dia masuk neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari 1/52 dan Muslim 1/10]

Sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa yang berbohong dengan menggunakan namaku maka dia telah menempah tempat duduknya dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 1291 dan Muslim – no: 4]

Sabda Rasulullah SAW : “Barangsiapa yang menyebutkan sesuatu dariku sedangkan aku tidak pernah menyebutnya, maka dia telah menempah tempat duduknya di dalam neraka” [Diriwayatkan oleh al-Bukhari – no: 109]

Sabda Rasulullah SAW : “Akan ada pada akhir zaman umatku sekumpulan manusia bersifat seperti dajjal dan pembohong yang memberitahu kamu tentang hadis yang kamu tidak pernah mendengarnya dan juga tidak pernah didengari oleh bapa-bapa kamu. Janganlah mereka mendekati kamu dan janganlah kamu mendekati mereka. Janganlah mereka menyesatkan kamu dan menjatuhkan kamu ke dalam fitnah”  [Diriwayatkan oleh Muslim dalam Sahihnya – no: 15]

Sesungguhnya dosa Fitnah itu lebih besar dari membunuh dan berzina. Dosa fitnah tidak terampun selagi mana fitnah tersebut masih terus berjalan dan tersebar tanpa penghujungnya. Sekalipun penyebar fitnah sudah memohon maaf dan ampun dari orang yang difitnahnya, dosanya masih tetap berterusan diterima dan amal kebaikannya tetap tergantung selagi mana fitnah itu masih terus tersebar maka Wajib baginya berusaha menghentikan fitnah tersebut agar 'aib orang yang difitnah terbela dan maruahnya terjaga, apalagi jika fitnah itu melibatkan nama Rasulullah SAW, maka dosa fitnah itu terlalu besar untuk ditanggung. Inilah bukti bahayanya Fitnah.

Hadis Berkenaan Tangkal


Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Abdullah bin Mas’ud RA, Rasulullah SAW mengisyaratkan tentang azimat dan hukumnya. Kata Ibnu Mas’ud: Aku telah mendengar Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ الرُّقَى وَالتَّماَئِمَ وَالتِّوَلَةَ شِرْكٌ

“Sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat, dan guna-guna adalah syirik.” (HR. Imam Ahmad di dalam Musnad 1/381, Abu Daud di dalam Sunan-nya 7/630, Al-Hakim di dalam Al-Mustadrak 4/217, 418, At-Tabrani di dalam Al-Kabir 10503, dan Al-Baihaqi di dalam Sunan Al-Kubra 9/350)

Dalil-dalilnya adalah dalam hadis marfu’ dari Abdullah bin ‘Ukaim Rasulullah SAW bersabda:

من تعلق شيئا وكل إليه 

“Barang siapa yang menggantungkan sesuatu (dengan anggapan bahawa barang tersebut bermanfaat atau dapat melindungi dirinya), maka Allah akan menjadikan orang tersebut selalu bergantung kepadanya.” (HR. Ahmad dan At Tirmizi)

Imran bin Husain RA menuturkan bahawa Rasulullah SAW melihat seorang lelaki memakai gelang, kemudian baginda pun bertanya:

ما هذه ؟، قال : من الواهنة، فقال : انزعها فإنها لا تزيدك إلا وهنا، فإنك لو مت وهي عليك ما أفلحت أبدا

“Apakah itu? Lelaki itu menjawab: “Gelang penangkal penyakit”, lalu Nabi bersabda: “Lepaskan gelang itu, kerana sesungguhnya ia tidak akan menambah kecuali kelemahan pada dirimu, dan jika kamu mati sedangkan gelang ini masih ada pada tubuhmu maka kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (HR. Imam Ahmad)

Diriwayatkan dari Uqbah bin Amir, dalam hadis yang marfu’, Rasulullah SAW bersabda :

من تعلق تميمة فلا أتم الله له، ومن تعلق ودعة فلا ودع الله له، وفي رواية : من تعلق تميمة فقد أشرك

“Barang siapa yang menggantungkan   Tamimah* maka Allah tidak akan mengabulkan keinginannya, dan barangsiapa yang menggantungkan Wada’ah* maka Allah tidak akan memberikan ketenangan kepadanya.” Dan di dalam riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda: “Barang siapa yang menggantungkan tamimah maka dia telah berbuat kesyirikan.” (HR. Imam Ahmad)

*Tamimah adalah sesuatu yang dikalungkan di leher anak-anak sebagai penangkal atau pengusir penyakit, pengaruh jahat yang disebabkan oleh rasa dengki seseorang, dan lain sebagainya.


*Wada’ah pula adalah sesuatu yang diambil dari laut, menyerupai rumah kerang, kuda laut, bangkai/rangka binatang laut di mana menurut anggapan orang-orang jahiliah dapat digunakan sebagai penangkal penyakit. Termasuk dalam pengertian ini adalah azimat. (Lihat Kitabut Tauhid Fathul Majid 1/650)

Ada antara tangkal-tangkal tersebut, apabila perawat membuka balutan atau ikatan tangkal itu, terdapat potongan ayat-ayat al-Quran yang ditulis serta gambarajah yang tidak difahami.

Apakah hukum sekiranya azimat itu diambil daripada ayat-ayat Al-Quran?

Berkenaan masalah ini, terdapat perbezaan pendapat di kalangan ulama salaf:

1. Sebahagian mengatakan boleh (harus). Dan mereka memaknakan hadis yang menjelaskan keharaman azimat itu dengan makna azimat yang mengandung kesyirikan. Di antara ulama yang berpendapat sedemikian adalah Abdullah bin ‘Amr bin Al-’Ash dan diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiallahu 'anha, akan tetapi riwayat dari kedua sahabat ini lemah. Dan ini adalah ucapan Abu Ja’far Al-Baqir, Ahmad bin Hanbal dalam satu riwayat.

2. Sebahagian pula mengatakan haram. Pendapat ini dipegang antaranya Ibnu Mas’ud, Ibnu ‘Abbas, dan zahir ucapan Hudzaifah, ‘Uqbah bin ‘Amir, dan Ibnu ‘Akim dan demikian juga ucapan sejumlah tabi’in di antara mereka murid-murid Ibnu Mas’ud, dan Ahmad di dalam sebuah riwayat yang dipilih oleh majoriti murid beliau dan yang diperkuatkan oleh ulama mutaakhirin (kebelakangan ini). Mereka berdalil dengan keumuman hadis Ibnu Mas’ud: Aku telah mendengar Rasulullah Shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: “Sesungguhnya jampi-jampi, azimat-azimat, dan guna-guna termasuk dari kesyirikan.” (HR. Ahmad, Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Hakim)

Syeikh Soleh Fauzan hafizahullah mentarjih (menguatkan) dari kedua pendapat ini beliau mengatakan: Yang benar (dari kedua) pendapat ini adalah pendapat yang mengatakan HARAM
dengan beberapa alasan:

Pertama: Keumuman larangan dan tidak ada dalil-dalil yang mengkhususkannya,
Kedua: Menutup jalan-jalan yang akan dapat menjerumuskan kepada (perbuatan) menggantungkan azimat selain Al-Quran atau nama-nama Allah, dan
Ketiga: Akan terjatuh pada penghinaan terhadap Al-Quran dan nama-nama Allah tersebut kerana akan dibawa ke tempat najis atau dipakai untuk mencuri, merompak, dan berkelahi.

Dan pendapat kedua ini pula yang dikuatkan oleh ulama masa kini seperti Syeikh Sulaiman bin Abdullah bin Syeikh Muhammad bin Abdul Wahhab dalam kitabnya Taisir Al-’Aziz Al-Hamid, Syeikh Abdurrahman bin Hasan Alu Syeikh dalam kitabnya Fathul Majid, Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Syeikh Muhammad Nasiruddin Al-Albani, Syeikh Muhammad bin Soleh Al-’Utsaimin, dan Syeikh Muqbil bin Hadi rahimahumullah.

Berdasarkan hujah-hujah yang telah dinyatakan di atas, perawat menyarankan dan menasihati kepada sesiapa sahaja yang memiliki sesuatu yang batil dan juga barang mistik tidak kira samada ia kertas bergambarajah dengan seni tulisan dan lukisan yang tidak difahami, keris warisan, parang lama, sabit lama, batu geliga, kayu dari hutan, jenis buluh, bangkai/rangka binatang laut seperti kuda laut, belangkas, kerang, siput, tapak sulaiman serta kitab-kitab yang meragukan dari segi amalannya, ilmiahnya, huraiannya dan praktikalnya, janganlah ada perbuatan atau niat taksub sehingga meletakkan perkara-perkara batil melebihi dari ajaran Islam yang berpaksikan Al-Quran dan Sunnah Nabi SAW. Kerana dunia ini bermaksud rosak, maksiat, lalai, susah yang sifatnya adalah kehancuran, maka isi di dalamnya juga bersifat hancur dan tidak kekal. Maka hanya Allah saja yang dapat melindungi diri kita oleh itu perbanyakkanlah berdoa meminta perlindungan kepadaNya daripada meminta kepada makhlukNya yang tidak kekal dan tidak berkuasa. Sepertimana kita membaca Ta'adwuz 
 أعوذ بالله من الشيطان الرجيم
"Aku berlindung kepada Allah daripada syaitan yang direjam"

Firman Allah SWT :

وَإِمَّا يَنزَغَنَّكَ مِنَ الشَّيْطَانِ نَزْغٌ فَاسْتَعِذْ بِاللَّـهِ ۚ إِنَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ ﴿٢٠٠﴾


“Jika engkau diganggu Syaitan dengan sesuatu gangguan, hendaklah engkau meminta perlindungan kepada Allah. Sesungguhnya Dia Maha Mendengar dan Maha Mengetahui.” (Al A’raf : ayat 200)

Di sini dengan terang dan jelas bahawa saranan meminta perlindungan itu hanya kepada Allah SWT dan bukan kepada makhluk-makhlukNya sepertimana yang segolongan besar manusia jahil dalam masyarakat kini menyebarkan fitnah dan fahaman sesat tanpa sanad, dalil, nas dan rujukan hadis sahih.

Justeru itu perawat menasihati kepada sesiapa sahaja yang merasakan barang mistik yang dimilikinya mempunyai kuasa atau aura kuat atau lebih hebat dari kuasa Allah Taala, adalah lebih baik merujuk kepada pakar perubatan yang benar untuk membatalkan yang batil, menawarkan zat jahat serta membuang barang tersebut jika terpaksa kerana ia memudaratkan seluruh keluarga seisi rumah, baik dari datuk nenek sehinggalah ke cucu dan cicit, kerana berdasarkan pengalaman perawat, tangkal yang digantung di bahagian-bahagian tertentu di dalam rumah atau yang dipakai pada tubuh, banyak mendatangkan penyakit-penyakit misteri dan tiada keputusan klinikal dalam perubatan moden.

Oleh itu, bergurulah dengan guru mursyid atau rujuklah kepada ahli yang alim dan benar untuk mendalami ilmu agama dalam bidang Tauhid, Tasawuf, Fiqh dan lain-lain yang berkaitan agar diri kita tidak mudah tertipu dengan nafsu sendiri, pemikiran kolot, hasutan syaitan serta pengaruh ajaran orang-orang fasiq, munafik dan sesat dalam ilmunya termasuk orang-orang awam yang tiada gurunya tetapi menyebarkan maklumat palsu dan fitnah.

Semoga kita berada di dalam lindungan dan benteng Allah SWT dan terhindar dari penyebaran hujah-hujah sesat, kata-kata dusta, hadis-hadis palsu, pengaruh pemikiran kolot, mudah terpedaya dengan makhluk dan taksub pada yang batil.

Wallahua'lam.

Seeru a'la Barakatillah.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

Kredit Gambar : Tangkal-Tangkal yang digantung di setiap pintu rumah. Di dalamnya tercatat potongan ayat al-Quran dan gambarajah serta penggunaan abjad. Dimaklumkan diambil dari orang yang bertapa di Gunung Ledang. Kesemua tangkal ini telah ditawarkan/dibatalkan ilmunya dan dibuang ke sungai. Lokasi : Sebuah rumah di Teluk Bahang, Pulau Pinang.




Thursday, January 11, 2018

*Pengalaman Merawat Gangguan Dampingan Jin Bukit Eps 42*

PENGALAMAN MERAWAT GANGGUAN DAMPINGAN JIN BUKIT

Awal September 2017, Pengalaman kali ini mengisahkan di mana seorang pesakit perempuan menderita selama lebih kurang 8 tahun diganggu beberapa ekor jin dari sebuah bukit yang ingin mendampinginya selain ingin membawanya ke alam jin ke bukit tersebut. Bukit itu yang dinamakan Bukit Ayer terletak di sebelah utara Perlis dan berhampiran dengan sempadan Thailand merupakan satu kawasan hutan lipur simpanan negeri Perlis dan mempunyai tempat beriadah.

Pesakit ini pernah melanjutkan pelajaran, selepas tamat persekolahan, ke sebuah kolej yang berhampiran (identiti kolej dirahsiakan) dengan lokasi Bukit Ayer tersebut pada tahun 2009. Seperti yang diceritakan pesakit, pada mulanya pembelajaran di kolej berkenaan tiada masalah tetapi setelah beberapa tempoh terdekat, kelihatan kelibat yang kerapkali mengganggunya ketika di hostel. Rentetan dari kelibat tersebut, telah datang satu jin budak perempuan bernama Zulaikha ke dalam mimpinya untuk berkawan. 3 malam berturut-turut jin budak itu datang ke dalam mimpinya bertujuan memberi ijazah untuk merawat tetapi pesakit menolak untuk mengambilnya menyebabkan jin tersebut terus mengganggunya berterusan setiap hari sehingga 8 tahun.

Setiap masa pesakit dapat melihat susuk jelmaan jin budak tersebut secara nyata, membesar dan membesar sehingga menjadi jelmaan seorang nenek kebayan.

Pesakit menyambung pelajaran di kolej tersebut selama 2 tahun sebelum berpindah ke Kolej Poly-Tech Mara (KPTM) di Alor Setar untuk menyambung kursus pembelajaran yang seterusnya.

Antara simtom-simtom gangguan yang terjadi pada pesakit setelah bermimpi 3 malam berturut-turut berjumpa jin budak perempuan dan menolak sepenuhnya pemberian ijazah untuk merawat ialah histeria semasa di KPTM, nampak kelibat semasa di KPTM dan di rumah, rasa didekati dan diperhatikan semasa di rumah bapa, tidak boleh tidur selama 8 tahun kerana setiap kali mata dipejam, akan nampak susuk jin nenek kebayan tersebut seakan marah padanya, mimpi buruk seperti orang datang beri ijazah, ular, budak dan nenek, sentiasa jaga malam disebabkan gangguan, terdengar bisikan yang menyuruhnya membunuh orang, badan terasa bahang panas, sakit kepala seperti dicengkam, ditekan dan seperti nak jatuh, rasa benda bergerak di dalam perut dan kaki terasa sejuk. Pernah mendapat lebam di kaki pada akhir 3 bulan sebelum rawatan dengan perawat. Ketika hari kejadian, pesakit berada di rumah baru ibunya. Lalu perawat bertanya samada pesakit ada nampak sesuatu di dalam rumah. Pesakit menyatakan pada sebelah malam, dia nampak susuk wanita berjubah putih berambut panjang berlegar-legar dalam rumah tetapi tidak mengganggu sesiapapun.

Semasa perawat ingin memulakan sesi rawatan pertama, pesakit tiba-tiba menangis dan berundur ke belakang sambil geleng-gelengkan kepala menyebut tidak mahu dirawat. Perawat bertanya pada pesakit, di mana yang sakit, pesakit hanya menyebut tidak mahu dirawat. Kemudian perawat bertanya, ada jin datangkah pada masa tersebut, pesakit mengatakan ya. Perawat bertanya lagi, macamana rupa jin yang datang, pesakit memberitahu nenek kebayan yang datang, dia yang bagitau nanti sakit semasa dirawat. Perawat bertanya di mana nenek kebayan pada masa tu, pesakit kata nenek tu ada di luar di balik pintu masuk sambil mengintai. Perawat suruh pesakit tanyakan pada jin nenek tersebut kenapa mengganggu pesakit. Jin nenek itu memberitahu dia mahu jadikan pesakit seorang perawat dan jin nenek itu yang akan menolong tetapi pesakit memberitahu dia tak mahu dan tak suka merawat orang. 

Kemudian perawat memujuk pesakit bahawa yang akan sakit tu adalah jin nenek tersebut dan bukan pesakit. Akhirnya barulah pesakit mahu dirawat. Ketika rawat, perawat betul-betul juruskan seksaan pada jin nenek tersebut sehingga jin itu melarikan diri. Pesakit ditanya dan memberitahu nenek kebayan lari kesakitan. Selang beberapa minit, hadir pula satu jin berjubah putih untuk datang menolong pesakit. Maka jin tersebut juga dijurus oleh perawat dan melarikan diri.

Setelah jelas tidak lagi kelihatan mana-mana susuk jin, perawat memutuskan pertalian perhubungan antara jin dan pesakit selain memberi amaran keras pada jin nenek kebayan dan jin berjubah putih untuk tidak mengganggu lagi pesakit, memusnahkan zat-zat jahat dalam tubuhnya di mana ketika itu pesakit muntah dengan banyak kerana telah diberi makan oleh jin serta perawat membatalkan segala ilmu batil yang ada pada jin penyihir tersebut. Selepas itu, pesakit tumbang kerana terlalu letih dan tertidur. Perawat tetap meneruskan rawatan memulihkan tubuh badan pesakit kerana gangguan selama 8 tahun itu memberi banyak kesan negatif pada dirinya. Hijabnya juga ditutup supaya tidak lagi dapat melihat jin tetapi hanya boleh merasa sahaja kehadiran jin. Kedengaran suara burung gagak tidak henti-henti menyahut sejak dari mula rawatan sehinggalah selesai, barulah burung gagak tersebut beredar dari pokok di luar rumah.

3 hari selepas itu, sesi rawatan kedua dibuat. Pesakit masih menyatakan tidak boleh tidur kerana masih rasa didekati walaupun tidak lagi nampak susuk jelmaan. Kepala berdenyut-denyut sakit di dalam dan terasa pening nak muntah. Tiada lagi terdengar bisikan tetapi hanya mimpi sekali sahaja jin berjubah putih datang nak bagi ijazah dan pesakit tetap menolaknya. Badannya masih terasa panas dan kakinya masih rasa sejuk. Maka zat-zat jahat dalam tubuhnya dimusnahkan sepenuhnya sehingga pesakit merasa aman dan nyaman.

Setelah sebulan pesakit gagal untuk meneruskan rawatan susulan ketiga, perawat ada bertanyakan bagaimana keadaan diri pesakit. Pesakit memberitahu semua semakin baik dan tiada lagi gangguan. Maka telah selesai urusan perawat dan pesakit.

Sila klik pada rangkaian video di bawah ini untuk menyaksikan kebenaran :

https://youtu.be/C-r0jnfMtgY


Nantikan seterusnya kisah pengalaman perawat dengan gangguan-gangguan yang luarbiasa mendatang dalam jejak rawatan dan perubatan menyingkap tabir pengalaman misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi ia berlaku di sekitar kita...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Thursday, January 4, 2018

*Pengalaman Merawat Kes Kerasukan Jin Tanah Eps 41*

PENGALAMAN MERAWAT KES KERASUKAN JIN TANAH

Awal bulan September 2017, perawat telah dihubungi oleh seorang lelaki pada sehari sebelumnya untuk merawat isterinya yang sentiasa kerasukan tidak tentu masa.

Perawat tiba pada hari yang dijanjikan di rumah kepunyaan ayah pesakit yang berlokasi di Balik Pulau. Ketika hadir, perawat diminta untuk merawat adik perempuannya terlebih dahulu bersama anak angkat kepada adik perempuannya itu. Adik perempuannya ini mengalami simtom pelik di mana apabila pulang ke rumah ayah mereka dari rumah sewa tempat dia bekerja di Kulim, ketika hendak berwuduk, tiba-tiba keluar darah haid dengan banyak sedangkan pada masa itu bukan kitaran haidnya. Perkara pelik ini tidak berlaku di tempat lain, hanya akan terjadi bilamana dia pulang saja ke rumah ayah mereka. Manakala anak angkat adik perempuannya itu kerapkali tidur berjalan (sleep-walking) di dalam rumah bila menjelang tengah malam. Oleh kerana tidak dapat keluar dari rumah kerana dikunci sepenuhnya, anak angkatnya itu adakalanya didapati tidur di ruang tamu, ruang dapur, bilik lain dan selain dari bilik tidurnya. Didapati terdapat unsur-unsur zat jahat pada tubuh kedua-dua mereka maka perawat berikhtiar memusnahkan gangguan zat jahat tersebut.

Setelah selesai rawatan ke atas adik perempuannya, barulah disambung rawatan untuk isterinya yang dikatakan telah 7 tahun berada dalam situasi kerasukan yang bermula di rumah mereka. Apabila berlaku kerasukan, tempohnya berjam-jam berjalan sebelum keadaan pulih seperti biasa. Isterinya ini bekerja sebagai operator pengeluaran di sebuah kilang di Pulau Pinang, dimaklumkan kerap juga terjadi kerasukan di kilang ketika sedang bekerja dan terpaksa diketepikan untuk rehat sementara dia pulih dari rasukan. Suami kepada pesakit memberitahu bahawa mereka telah berubat dengan ramai perawat tetapi tiada seorang pun yang dapat menyelesaikan kes dalam tempoh tersebut. Dikatakan isterinya terkena buatan orang kerana perbalahan harta pusaka dalam ahli keluarga mereka sendiri.

Namun sejak akhir-akhir ini, kerasukan kerap bermula dari waktu maghrib hinggalah ke tengah malam atau sehingga ke pukul 3-4 pagi setiap hari menyebabkan keadaan pesakit kelihatan kusam, sembab, lesu, tidak cukup tidur dan seperti kebingungan.

Antara simtom-simtom yang berlaku pada pesakit ialah 100% kerasukan (tidak sedar diri), kerap nampak kelibat di dalam rumah, rasa didekati sebelum hendak tidur, sentiasa rasa seperti ada orang memerhatikannya di dalam rumah, sukar tidur akibat gangguan, mimpi buruk seperti budak, binatang muka pelik dan suami isteri yang tidak dikenali, kerap terjaga malam akibat terkejut dan gangguan, ditindih berkali-kali selain disetubuh, kerap lebam pada lutut dan paha, sakit kepala tak menentu dan merasa benda bergerak-gerak di dalam perut.

Sebelum memulakan rawatan, pesakit tersebut telah kerasukan dulu sepertinya jin tersebut tahu yang ia dipanggil hadir. Sesi dialog pun berlaku untuk membuka rahsia dan identiti jin ketika rawatan. Perawat menyiksa jin tersebut sehingga ia memberitahu siapa yang buat, bomoh dari mana yang diutuskan, jin ini memberitahu ia adalah jin tanah beragama buddha, apa yang telah diberi makan kepada pesakit selama 7 tahun tersebut, apa yang jin ini makan pada tubuh pesakit dan oleh kerana kedegilan jin ini untuk keluar mahupun masuk Islam, maka perawat mengambil langkah terakhir iaitu membunuh mati jin tersebut.

Setelah selesai dibunuh, barulah pesakit sedar dari kerasukan tersebut dan dirawat pulih untuk membuang zat-zat jahat yang terdapat dalam tubuhnya.

Untuk saksikan kebenaran, sila klik pada link video di bawah ini untuk melihat sesi rawatan berjalan.


Nantikan seterusnya jejak rawatan dan perubatan perawat dalam menelusuri pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di akhir zaman ini.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

*Pengalaman Merawat Penyakit Rheumatoid Arthritis Eps 40*

MERAWAT PENYAKIT RHEUMATOID ARTHRITIS @ SAKIT SENDI TULANG @ SAKIT TULANG

Kembali lagi kisah pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan setelah lama tidak muncul dari bulan November dan Disember 2017 kerana banyak urusan yang yang perlu diselesaikan selain cuti persekolahan dan juga merawat di luar kawasan. Kisah kali ini memaparkan perawat telah dihubungi oleh seorang kenalan kepada seorang pesakit fizikal yang meminta untuk diikhtiarkan merawat penyakitnya.

Awal bulan Ogos 2017, perawat telah dipanggil oleh seorang kawan untuk datang ke rumahnya di Bayan Lepas, Pulau Pinang bagi merawat seorang kawannya yang dikatakan kritikal kerana satu penyakit yang tidak diketahui.

Setiba perawat di rumah kawan, kami menunggu pesakit datang. Beberapa minit kemudian, pesakit lelaki tiba dengan dipapah masuk dan dibaringkan di ruang tamu. Perawat bertanyakan pesakit jika ada tanda-tanda yang berlaku pada dirinya. Pesakit memberitahu bahawa dirinya susah tidur, demam tak tentu masa dan dari bahagian pusat turun ke bawah hingga ke tapak kaki, terasa seperti terbakar panas sambil dia mengerang menahan sakit. Pesakit meminta perawat cuba melihat sama ada pesakit terkena buatan orang ataupun tidak, dengan pekerjaannya sebagai pengawal keselamatan.

Setelah sesi rawatan dijalankan, perawat mendapati ini hanyalah penyakit fizikal dan tiada gangguan yang melibatkan jin atau buatan orang. Perawat bertanya pada isteri pesakit samada suaminya telah dibawa ke klinik atau hospital. Dimaklumkan pemeriksaan hanya di klinik panel dan doktor memberitahu penyakitnya bernama Rheumatoid Arthritis. Perawat menanyakan dalam bahasa melayu penyakit ini disebut apa. Tidak ada seorang pun yang hadir tahu makna saintifik yang disebutkan. Walau apapun, perawat meneruskan rawatan.

Perawat berikhtiar fokus sepenuhnya dan menarik keluar zat-zat penyakit yang menyebabkan tubuh pesakit panas. Berkali-kali dibuang dari perut sehingga ke kaki. Ternyata tangan perawat sendiri terasa panasnya yang ditanggung pesakit. Boleh jadi kanser tulang, terfikir di hati perawat kerana sel kanser juga bersifat panas. Setelah hampir-hampir 2 jam merawat, barulah pesakit tidak lagi meraung dan rasa panas terbakar pun hilang hampir 90%. Tetapi tapak tangan perawat yang terasa kebas dek kepanasan yang dikeluarkan. Setelah pulang ke rumah, perawat mencari sedikit jawapan tentang penyakit tersebut dan mendapati penyakit ini dikenali dengan nama Sakit Sendi Tulang atau Sakit Tulang atau hampir kepada barah tulang.

Pesakit telah dirawat hampir 10 kali dan selepas kali keempat rawatan, pesakit telah ditahan di Hospital Besar Pulau Pinang untuk pemeriksaan lanjut sekalipun sakitnya telah berkurang banyak. Walaupun ditahan di wad hospital, perawat tetap meneruskan rawatan ke Hospital Besar Pulau Pinang sehingga hilang kesakitan yang dialaminya cuma hanya sakit di tapak kakinya seperti ada air bisa yang terkumpul. Doktor telah mengambil sampel darah, air kencing dan x-ray tetapi tidak mendapati sebarang virus atau bakteria jangkitan menyebabkan doktor kebingungan sehingga tersalah bagi antibiotik yang menyebabkan pesakit gatal-gatal satu badan seperti kelopak garam. Perawat terus menawarkan antibiotik tersebut dan keesokan harinya, pesakit tidak lagi gatal dan kelopak garamnya hilang.

Perawat juga telah membekalkan ramuan herba bagi membantu mempercepatkan kesembuhan. Ubat hospital juga telah dikenalpasti yang bersesuaian dengan pesakit. Hanya selepas Hari Raya Aidil Adha, barulah pesakit dibenarkan pulang ke rumah dan kesembuhan hampir 90%.

Hingga setakat itu saja perawat mampu ikhtiarkan dan selebihnya pesakit perlu mencari ramuan herba yang bersesuaian untuk membantu memulihkan penyakitnya itu.

Teruskan meniti kisah pengalaman berikutnya dalam jejak rawatan dan perubatan menelusuri pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~