Tuesday, July 11, 2017

*Pengalaman Merawat Kes Gangguan Syaitan Eps 09*

GANGGUAN SYAITAN

Kisah seterusnya pengalaman perawat merawat seorang lagi pesakit yang mengalami simtom gangguan syaitan. Kes terjadi di dalam bulan November 2016 di Perumahan Awam kawasan Cheras, Kuala Lumpur.

Perawat telah dihubungi oleh pesakit untuk datang ke rumahnya meminta tolong akan keadaannya yang dikatakan terganggu mental dan fizikal.

Diceritakan oleh pesakit akan keadaannya yang mengalami gangguan dan tekanan dalam jangka tempoh 8 tahun lamanya. Pesakit ada menyatakan pernah dirawat oleh beberapa orang perawat termasuk pusat rawatan yang telah menempah nama di dalam Malaysia. Walaupun telah ramai yang tampil merawatnya, keadaannya masih tetap sama dan menjadi semakin berat dan berat yang menyebabkan prestasi kerjanya merosot, dirinya dibenci di tempat kerja dan juga di kejiranan perumahannya serta keadaan kesihatan yang terganggu. Pemeriksaan doktor telah dijalankan tetapi tiada keputusan klinikal yang menyatakan beliau mengalami sebarang penyakit sepanjang tempoh tersebut.

Pesakit bersungguh-sungguh meminta perawat ikhtiarkan merawatnya kerana beliau sudah tidak sanggup lagi menanggung terutamanya gangguan mental yang terjadi ke atasnya. Perawat menasihatinya agar bersabar dan perbanyakkan istighfar sementara perawat cuba mencari punca kepada permasalahan yang berlaku.

Mengikut sesi soaljawab antara perawat dan pesakit yang merupakan seorang ibu tunggal tiga anak, pesakit pernah mendirikan rumahtangga sebanyak tiga kali tetapi jodoh tidak panjang. Antara situasi ketiga-tiga kes rumahtangga, dua daripada tiga bekas suami-suaminya berlaku perlakuan kasar manakala yang terakhir pula mengamalkan suatu ilmu yang bertentangan dengan hukum syarak dan agama Islam. Selepas pada perpisahan yang ketiga itulah keadaan mula menimbulkan pelbagai gangguan pada dirinya empat beranak.

Apa yang diceritakan, bekas suami ketiga ini sentiasa menyediakan makanan di rumah dan jika berlaku perselisihan, beliau tidak mampu untuk menyatakan tidak dan hanya akur menerima perintah bekas suami ketiga seperti seseorang dikawal supaya patuh selain amalan-amalan pelik yang dilakukan oleh bekas suami ketiganya. Bermula selepas berpisah itulah timbul beberapa simtom gangguan yang terjadi di rumah dan di tempat kerja.

Antara simtom-simtom yang terjadi padanya ialah 50% kesedaran iaitu kadangkala dia bercakap seorang diri atau dengan dinding atau dengan barang-barang, kerapkali nampak kelibat di dalam dan di luar rumah, mengalami mimpi buruk seperti ular hitam dan budak kecil, terdengar bisikan pada hati, badan terasa panas atau bahang di beberapa tempat yang berubah-rubah, kerapkali sakit kepala yang berat sehingga tidak dapat buat sebarang kerja, pernah ditindih dan lebam-lebam di kaki pada awal tiga tahun kejadian, rasa seperti benda bergerak di dalam tubuh dan cepat marah.

Ketika sesi rawatan dijalankan, pesakit tiba-tiba muntah ke dalam bekas yang telah disediakan. Kelihatan seperti terdapat segulung rambut berukuran lilit jari telunjuk dan juga ketulan-ketulan hitam di dalam bekas. Kemudian kelihatan seperti pesakit meracau-racau cakap sendirian. Perawat tetap meneruskan rawatan pada sesi pertama sekalipun pesakit muntah berkali-kali. Kemudian pesakit dirawatpulih semula dan ditenangkan dengan air minum dan mandian. Keadaan menjadi reda dan tenang selepas itu. Setelah selesai sesi rawatan pertama, perawat mengundur diri untuk pulang ke rumah. Dalam tempoh seminggu untuk rawatan susulan kedua, perawat menerima mesej daripada pesakit menyatakan dia terkena gangguan lagi.

Pada sesi rawatan susulan kedua, pesakit menyatakan mengalami mimpi buruk seperti kehadiran orang tua dan kucing. Ketika proses rawatan berlaku, pesakit menjadi kejang dan urat seperti ditarik serta mula meracau-racau bercakap sendirian. Walaupun begitu, proses rawatan tetap berlaku sehingga keadaan pesakit kembali tenang dan sedar.

Pada sesi rawatan susulan ketiga, perawat hadir bersama seorang sahabat perawat yang seguru keilmuan perubatan untuk melihat simtom yang berlaku. Berdasarkan penilaian semasa rawatan susulan ketiga, pesakit didapati sedang mengalami gangguan syaitan. Proses rawatan masih tetap dijalankan sehingga pesakit menjadi tenang dan sedar kembali.

Pada sesi rawatan susulan keempat, pesakit menyatakan ada satu kesan tanda lebam di paha kirinya, batuk teruk dan merasa pening sebelum rawatan dimulakan. Perawat berikhtiar merawat pesakit dan memohon petunjukNya sehingga keadaan pesakit dapat dipulihkan serta simtom penyakit dapat dirawat.

Dan pada sesi rawatan susulan kelima, akhirnya pesakit dirawatpulih, tiada lagi gangguan yang dinyatakan sebelum ini, tiada tambahan kesan lebam, batuk beransur pulih, tiada lagi rasa pening serta keadaan menjadi normal seperti sediakala. Pesakit juga telah menjalani proses rawatan mandi bunga atas permintaannya bagi memulihkan aura diri serta seri dan semangat yang lemah di mana bahan-bahannya disediakan oleh perawat sendiri...

...Menyingkap tabir pengalaman perawat, nantikan episod pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di persekitaran kita...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#gangguanjin
#gangguansyaitan
#gangguaniblis
#gangguanifrit

No comments:

Post a Comment