PEMINTA SEDEKAH MISTERI DAN GHAIB DI MASJID
Mungkin ada di antara anda yang pernah melalui pengalaman sebegini selain mungkin pernah menjadi imam kepada jin-jin Islam seperti yang telah diceritakan perawat dalam kisah sebelum ini.
Ini antara salah satu pengalaman perawat sendiri mengalami kejadian aneh yang membuat perawat muhasabah kembali.
Kisah ini berlaku pada awal tahun 1999. Ketika itu, perawat bekerja di negeri Pulau Pinang sebelum bertukar kerja ke Kuala Lumpur pada tahun 2000.
Tahun 1997 adalah merupakan tahun ekonomi gawat Malaysia pada masa itu dan keadaan ekonomi menjadi lebih kritikal pada tahun 1998 dan 1999 sebelum mula pulih membangun pada tahun 2000. Ketika itu, tahun 1999, perawat pernah bekerja sebagai seorang remiser di Georgetown dengan sebuah syarikat saham komoditi (telah ditutup selepas itu). Ramai pelabur saham mengalami kerugian di mana banyak saham syarikat merudum dan syarikat-syarikat gulung tikar selain individu-individu pelaburan hilang pendapatan.
Desakan dari tidak adanya lagi pelabur-pelabur yang berani untuk melabur dalam saham komoditi, perawat tiada pilihan lain selain terpaksa berhenti kerja disebabkan tiada gaji dan hanya bergantung kepada pendapatan komisen sahaja pada masa itu.
Disebabkan tiada pendapatan tetap, segala duit simpanan termasuk ASB telah dikeluarkan perawat untuk sarahidup sebulan dua selain membayar kos rumah sewa, bil api dan air, dan petrol (ketika itu motosikal C70). Sambil mencari pekerjaan lain, agak susah untuk diterima memandangkan banyak syarikat memberhentikan pekerja bagi mengurangkan kos.
Dalam keadaan terdesak di mana perawat pernah tinggal hanya RM2 di dalam dompet, maka di masjid lah perawat banyak menghabiskan masa sebagai tempat berehat setelah ke hulu ke hilir mencari kerja tetapi tidak dapat.
Pada masa kritikal itu, perawat telah singgah di satu masjid berhampiran Bukit Jambul Pulau Pinang, menunaikan solat asar dan solat hajat dengan bersungguh-sungguh memohon pertolonganNya kerana pada masa itu, keadaan perawat sudah hampir tiada pendapatan dan hanya memiliki RM2 di dalam dompet.
Setelah selesai dan ketika hendak melangkah keluar dari masjid, entah dari mana, ada seorang peminta sedekah sedang duduk di tepi pintu masjid sebelah dalam. Lalu dia hanya meminta RM2 sahaja untuk makan. Perawat bertanyakan peminta sedekah tersebut sudah berapa hari dia tak makan. Maka dijawabnya, sudah tiga hari dia kelaparan.
Kerana simpati dan tak sampai hati, perawat menghulurkan RM2 yang terakhir ada dalam dompet dan perawat terus keluar menuju ke motosikal. Sebelum motosikal bergerak, perawat sempat menunggu sebentar untuk melihat ke mana arah tujuan peminta sedekah tersebut. Hampir 7-8 minit menunggu, peminta sedekah masih belum keluar dari masjid tersebut membuatkan perawat mematikan enjin motosikal dan tergerak hati untuk mencari peminta sedekah tersebut.
Yang anehnya, tiada sesiapa pun yang berada di dalam masjid tersebut dan hanya satu pintu itu sahaja jalan keluar sedangkan pintu-pintu lain dikunci. Perawat cuba mencari peminta sedekah tersebut di sekitar masjid termasuk tandas, tapi tidak ketemu seorang pun.
Kemudian perawat telah pergi bertemu seorang sahabat di Sg Ara serta menceritakan pengalaman misteri yang baru berlaku selain meminta sedikit bantuan kewangan. Alhamdulillah, sahabat ini membantu perawat dengan sekeping duit RM50. Dari situlah, perawat kembali maju dan mendapat pekerjaan tidak jauh dari masjid tersebut hanya dalam tempoh tak sampai seminggu.
Itulah rahsia sedekah jika keikhlasan dari hati adalah sepenuhnya, ada jalan keluar dari belenggu masalah yang akan diberi petunjuk olehNya dengan jalan kesabaran.
Mungkin ada di antara anda juga yang pernah mengalami peristiwa misteri seperti ini??! Siapakah peminta sedekah misteri yang ghaib di dalam masjid itu??!
...akan bersambung kisah-kisah pengalaman misteri dan aneh yang dilalui oleh perawat sendiri...
~ Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo ~
No comments:
Post a Comment