KEMUNCULAN ORANG TUA MISTERI BERBAJU BATIK
Pengalaman ini terjadi pada tahun 1998. Ketika itu perawat bekerja di sebuah syarikat kenderaan mewah yang lokasinya terletak di Ampang. Pada setiap hari cuti di hujung minggu, perawat selalunya akan meluangkan masa meronda-ronda di pusat bandar Kuala Lumpur terutamanya di kedai-kedai barang kawasan Chow Kit dan Jalan Raja Laut.
Telah berlaku di tahun tersebut, pada suatu hari, perawat berjalan-jalan di kawasan Chow Kit bertujuan mencari barang-barang untuk dibeli. Ketika itu perawat sedang menunggu di tepi jalan untuk melintas ke seberang jalan untuk melihat kedai-kedai barang yang lain. Disebabkan banyaknya kenderaan sesak di lalulintas, maka ramai yang ingin melintas termasuk perawat terpaksa menunggu di tepi jalan sehingga lampu isyarat jalan bagi kenderaan bertukar merah.
Ketika menunggu masa itulah tiba-tiba hadir seorang lelaki tua, umur lebih kurang separuh abad, berbaju batik berwarna coklat bercorak bunga agak lusuh serta memakai songkok, muncul di sisi kiri perawat. Untuk melintas jalan, perawat perlu melihat arah datang kenderaan dari sebelah kanan perawat kerana jalan di Chow Kit itu adalah sehala. Jadi perawat tidak memandang ke kiri kerana tiada kenderaan yang datang dari arah berlawanan.
Perawat tiba-tiba ditegur oleh orang tua tersebut serta diberi nasihat tentang perjalanan hidup yang akan lebih mencabar pada masa hadapan. Kemudian dia menasihatkan perawat akan perkara-perkara yang berupa ujian, musibah, harta dunia, sikap manusia, hal-hal keagamaan yang diremehkan, kesusahan hidup yang penuh pancaroba dan bantu orang yang memerlukan pertolongan katanya. Hairan perawat melihat seorang tua yang memakai baju batik lusuh bercorak bunga pada waktu asar dengan cuaca panas selain bersongkok tetapi tidak berpeluh. Dalam hati perawat, tertanya-tanya, sapa orang ni...tiba-tiba je berdiri sebelah aku...terus bagi nasihat untuk akan datang. Mana datang ntah orang ni. Dalam tengah tertanya-tanya tu, orang tua tersebut terus tegur agar perbetulkan hati, bersihkan hati dan carilah ilmu. Macam boleh dengar pulak isihati perawat berkata-kata.
Perawat ketika itu hanya mengiakan saja teguran dan nasihat orang tua tersebut dan mungkin merasakan ia hanya satu kebetulan, walaupun ada terasa sedikit pelik dan aneh dengan cara pakaian orang tua tersebut. Ketika melihat kembali ke sebelah kanan, untuk melihat sama ada kenderaan sudah berhenti, untuk melintas jalan...perawat menoleh kembali ke kiri untuk melihat orang tua berbaju batik lusuh tersebut dan perawat menjadi terkejut. Baru saja beberapa saat menoleh ke kanan, kemudian kembali menoleh ke kiri, orang tua tersebut ghaib. Perawat cuba meninjau ke belakang, berpusing untuk melihat sama ada orang tua tersebut mungkin baru saja berlalu memasuki beberapa kedai berhampiran. Ternyata tidak nampak sebarang kelibatnya di kawasan berhampiran.
Walaupun pengalaman ini telah berlalu lama, sehingga ke hari ini, perawat masih ingat akan orang tua misteri dan nasihat-nasihatnya yang ternyata benar terjadi dalam perjalanan kehidupan perawat.
Mungkin juga ada di antara rakan-rakan fb yang pernah tempoh bertemu dengan manusia misteri, aneh dan ghaib.
Nantikan episod pengalaman yang lain bila perawat berkesempatan berkongsi..
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
No comments:
Post a Comment