Monday, July 3, 2017

*Pengalaman Lembaga Hitam Muncul Setiap Maghrib Eps 07*

KEHADIRAN LEMBAGA HITAM MEMASUKI RUMAH SETIAP KALI WAKTU MAGHRIB

Pengalaman ini terjadi pada tahun 1998. Ketika itu perawat bekerja sambilan di satu kawasan yang bernama Permatang Damar Laut, Pulau Pinang. Dan syarikat tersebut menyediakan bilik untuk penginapan yang pada masa itu hanya ada 3 pekerja termasuk perawat. Disebabkan mempromosi barang-barang syarikat di kawasan kampung, jadi...ramailah orang kampung yang mesra dengan kami dan ramai jugalah yang kami kenal orang-orang kampung di kawasan ini.

Kata orang, di kawasan ini ramai yang mengamalkan ilmu-ilmu pelik dan tidak baik. Sejauh mana kebenaran kenyataan tersebut, terpulanglah kepada sesiapa yang ingin membuat selidik. Di antara ramai-ramai kenalan orang kampung tersebut, ada seorang kakak telah menjemput perawat makan di rumahnya pada sebelah petang di hujung minggu. Kerana dijemput berkali-kali, akhirnya hanya perawat seorang saja yang pergi dan dua orang rakan sekerja perawat tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.

Pada hari yang dijanjikan, perawat dipelawa masuk oleh kakak tersebut sekeluarga bersama suami dan anaknya dan bersama seorang bayi dengan ibunya, yang merupakan adik kepada suami kakak ini.

Ketika sesi makan, perawat diceritakan oleh kakak ini berkenaan rumahnya yang ada gangguan lembaga hitam. Perawat hanya mendengar saja kerana fikirkan kehadiran perawat sekadar sebagai tetamu jemputan. Apa yang diceritakan oleh kakak ini, setiap kali waktu maghrib selepas azan, akan hadir satu lembaga hitam yang entah dari mana akan datang melalui pintu depan, terus masuk ke dalam dan duduk di sebelah bayi adik iparnya. Menyebabkan bayi tersebut menangis tak henti-henti hingga ke tengah malam. Pada mulanya, siapapun tidak tahu akan kehadiran lembaga hitam tersebut dan hanya menyangka mungkin bayi tersebut ada penyakit tertentu yang bila maghrib saja, akan menangis sampai ke tengah malam. Kata kakak tersebut, walaupun sudah dibawa berjumpa doktor, bayi tersebut telah disahkan tidak mengalami sebarang penyakit. Dan yang menghairankan mereka sekeluarga, bila berada di tempat lain atau di rumah lain, bayi tersebut tidak menangis sampai ke tengah malam. Hanya akan berlaku jika berada di rumah kakak ini.

Nak dijadikan cerita, suatu hari anak lelaki kakak ni sendiri (berumur 9 tahun masa kejadian) yang mendakwa nampak seseorang seperti lelaki tetapi kesemuanya hitam legam seperti orang minyak, masuk dari pintu depan rumah dan meluru ke dalam terus duduk di sebelah bayi tersebut sambil merenung tajam muka bayi itu. Dan ketika itulah bayi tersebut menangis seteruk-teruknya.

Kakak ini merayu kepada perawat jika boleh bantu pulihkan keadaan kerana tidak tahu, siapa yang boleh ikhtiarkan merawat kes ini. Melihat kesungguhan kakak ini merayu, perawat pun cuba ikhtiar sekadar mampu tetapi perlu mencari punca terlebih dahulu dari manakah datangnya lembaga hitam tersebut.

Keesokan harinya, perawat datang pada hampir-hampir waktu maghrib dan perawat berdiri di tepi pintu masuk untuk melihat arah kemunculan lembaga hitam tersebut. Ketika berdiri dan berdoa mudah-mudahan Allah tunjukkan kelibat lembaga hitam tersebut, akhirnya timbul suatu bentuk kelibat di satu sudut yang agak jauh di luar pagar rumah tersebut di mana di sudut tersebut terdapat belukar beserta pokok rendang seperti akar berjuntai dan di tepi longkang kampung. Di situlah perawat nampak seperti seseorang sedang berdiri berwarna hitam legam memerhatikan perawat dari jauh.

Keesokan harinya, perawat menyediakan dan memperlengkapkan diri untuk merawat keadaan rumah kakak tersebut. Pada petangnya, perawat hadir dan membuat dua pagar utama dalam dan luar untuk ghaibkan rumah kakak tersebut dari dilihat oleh alam ghaib dan tidak mungkin dijumpai oleh jin tersebut akan rumah ini. Setelah selesai, perawat tunggu sehingga waktu maghrib, untuk memastikan bayi tersebut menangis atau tidak selepas rumah dipagar.

Alhamdulillah, sejak hari itu sehinggalah bayi tersebut besar sedikit, tidak lagi ada gangguan dari lembaga hitam seperti yang berlaku seperti sebelum itu.

Tunggu episod pengalaman perawat untuk kes-kes yang lebih menarik, aneh dan misteri...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

No comments:

Post a Comment