Wednesday, July 5, 2017

*Pengalaman Merawat Penyakit Seakan Kayap Eps 08*

TERKENA SIMTOM PENYAKIT SEAKAN-AKAN KAYAP TETAPI BUKAN...

Kisah seterusnya perawat ingin menceritakan sebuah pengalaman merawat seorang pesakit yang mendapat satu penyakit misteri dan tiada jawapan bagi keputusan klinikal.

November 2016, perawat telah dihubungi dan diminta hadir ke rumah pesakit di Cheras, Kuala Lumpur untuk merawat satu simtom penyakit yang tidak diketahui puncanya. Maka setelah perawat berada di rumah pesakit tersebut, sesi soaljawab telah dimulakan sebelum proses rawatan berlaku.

Mengikut keterangan pesakit, tanda penyakit itu baru muncul lebih kurang dua minggu lalu dari tarikh kedatangan perawat ke rumah. Ketika wujud dalam tiga hari pertama, pesakit kerap muntah, pening, sakit kepala, sakit di bahagian perut dan terganggu waktu tidur. Selepas pada itu, kurang muntah tetapi masih ada lagi pening dan kadangkala sakit kepala dan sakit di bahagian perut terutama di sisi kiri di mana penyakit misteri tersebut muncul.

Pesakit telah ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Mengikut keputusan doktor yang merawat, doktor tersebut belum pernah terjumpa kes yang seperti ini di mana doktor menyatakan penyakit ini seolah-olah seperti kayap dan ukurannya sejengkal di sisi kiri perut tetapi yang peliknya ia muncul di bawah kulit dan bukan di atas kulit seperti kebiasaan penyakit kayap atau keradangan kulit. Warnanya jelas kelihatan kehitaman di bawah kulit berukuran sejengkal dan berbentuk seperti seekor lintah yang besar kekenyangan. Jadi doktor tersebut tidak dapat mengklasifikasikan jenis penyakit tersebut dan hanya menyatakan ianya hanya ruam biasa serta ujian darah yang diambil tidak menunjukkan apa-apa kehadiran penyakit pada tubuh pesakit.

Mengikut cerita pesakit, setelah itu bermulalah perkara-perkara pelik terjadi di rumah di mana semua ahli keluarga pun turut mengalaminya. Sebelum itu, pesakit memberitahu, sebelum beliau berhenti kerja di tempat lama kerana telah mendapat tawaran yang lebih baik di tempat lain, terdapat seorang staf berbangsa India yang selalu tidak berpuashati dengan sesiapa saja membuat kerja dengan baik dan dihargai oleh penyelia, akan mencari pasal dan sikapnya yang suka berjumpa dengan bomoh India diketahui oleh ramai rakan sekerja. Jika dilaporkan kepada majikan pun, perkara ini tidak boleh diterima logik akal dan laporan tersebut diabaikan kerana tiada bukti walaupun banyak selisih faham yang terjadi.

Antara perkara pelik yang terjadi di rumah pesakit ialah ahli keluarga kerap nampak kelibat lembaga hitam seperti orang di dalam rumah, meluru masuk ke bilik tidur pesakit, meluru keluar ke pintu dapur dan terjun ke bawah (rumah pesakit adalah pangsapuri), pintu bilik dihempas tanpa ada angin, pintu masuk utama kerap diketuk dan seperti diberi salam tetapi tiada orang, bila berada di dalam bilik, di dapur atau ruang tamu, terasa seperti diperhatikan, pesakit susah tidur malam akibat gangguan selain terdapat kesan lebam di bahagian kaki.

Setelah selesai sesi soaljawab, perawat memulakan rawatan mengesan terlebih dahulu untuk mengetahui 'sesuatu' di dalam badan pesakit. Setelah dikenalpasti, maka perawat ikhtiarkan membuang 'sesuatu' tersebut dan dimusnahkan. Sesi rawatan telah dilaksanakan sebanyak tiga kali pada tiga hari yang berlainan. Selain air minum dan mandian, gel sapu turut didoakan untuk menawarkan bisa dan punca penyakit misteri tersebut. Alhamdulillah, tanda sejengkal di bahagian kiri perutnya semakin pudar dan pudar, terus menghilang.

Jika ada di antara anda, ahli keluarga, jiran, rakan, kenalan atau sesiapa saja yang mengalami simtom penyakit misteri tanpa ada sebarang keputusan klinikal, silalah ikhtiar dengan cara rawatan dan perubatan Islam yang berhampiran dengan tempat anda...

...Nantikan episod yang lain, kisah pengalaman perawat dalam jejak rawat dan perubatan serta pengalaman misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar....

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#macamkayaptapibukan
#penyakitmisteri
#gangguanjin
#seranganjin
#muntahpeningsakitkepala

No comments:

Post a Comment