JIN ASYIK
Mungkin bagi mereka yang kurang ilmu pengetahuan atau tidak mempercayai makhluk ghaib mahupun yang hanya percaya pada fakta apa yang boleh dilihat sahaja boleh diterima akal, akan ketawa atau menganggap perkongsian ini hanyalah rekaan semata-mata. Apapun terpulang pada penilaian dan pengalaman masing-masing dalam kesimpulan.
Apakah yang dikaitkan dengan gangguan jin asyik dalam perubatan Islam?
“Jin Asyik” dikategorikan sebagai jin yang menyukai, menyintai dan menjadikan manusia-manusia tertentu sebagai idola, pujaan atau kekasih mereka. Ada antara kes yang serius sehingga jin-jin itu bersetubuh atau berkahwin dengan manusia sehingga melahirkan anak-anak jin.
Mangsa-mangsa terdiri dari pelbagai latarbelakang, ada di antara mangsa ialah mereka yang terkenal seperti artis-artis pujaan, wanita-wanita yang suka bersolek berlebih-lebihan dan yang suka mendedahkan aurat, ada mangsa dikalangan orang biasa yang mempunyai sejarah bersaka, ada juga dalam kalangan orang-orang yang rajin beramal ibadat tanpa berguru. Ini tidak bererti mereka yang berjawatan besar atau memegang jawatan lain sekalipun penghantar surat tidak terkecuali dari terkena gangguan dan godaan jin asyik.
Jangan terperanjat jika dikatakan ahli-ahli tareqat, para hafazan, ustaz atau yang berpendidikan ilmu agama juga perlu berhati-hati, kerana ada di antara jin-jin asyik meminati mereka yang kuat berzikir dan banyak amalan kebaikan, apatah lagi mereka yang mengaku sebagai ahli hakikat atau ahli makrifat, kita perlu banyak meng-islah diri dan berwaspada, kerana itulah apa jua pengalaman rohani dan kedapatan di dalam zikir perlu dirujuk kepada guru yang mursyid, dikhuatiri jin-jin yang suka “menolong” ini mengelirukan anda di alam ghaib dan alam rasa, apatah lagi alam rahsia. Sedangkan para wali Allah juga diuji akan keimanan dan ketaqwaan mereka, apatah lagi manusia yang masih bernafsu amarah, lawammah dan mutmainnah tidakkah mereka diuji?
Perawat-perawat juga tidak ketinggalan berkemungkinan menjadi idola kepada puak-puak jin yang kagum dengan kejantanan anda bertarung dengan jin-jin gangguan, apatah lagi jika anda suka bersifat ria’ dan ‘ujub. Kesimpulannya sesiapa sahaja boleh terdedah kepada masalah ini.
Kebiasaannya tahap-tahap gangguan yang dihadapi adalah bergantung kepada individu-individu itu sendiri. Kekuatan diri seseorang tidak sama diantara satu sama lain, ada yang lemah dan ada yang kuat. Kekuatan rohani yang lemah, menyebabkan jin-jin yang samseng ini membuli individu-individu tersebut, sehingga ke tahap menodai mangsa. Mereka boleh tinggal dan mempengaruhi diri mangsa dalam kehidupan seharian sehingga kadar tujuh puluh peratus malahan boleh mencapai hingga sembilan puluh peratus.
Jika kekuatan diri bertahap sederhana, kemungkinan jin-jin asyik ini dapat mempengaruhi mental dan emosional. Ini boleh menyebabkan kehidupan seharian kadang kala terganggu, apabila fizikal anda lemah emosi menjadi tidak stabil, fikiran kusut dan tidak dapat fokus. Kadang kala jin-jin ini berjaya juga bermastautin di dalam tubuh badan mangsa, seperti di kepala, dada, perut, belikat dan lain-lain tempat yang berkemungkinan.
Jika kekuatan diri atau rohani seseorang itu tinggi, berkemungkinan jin-jin asyik yang meminati mereka adalah di kalangan jin-jin yang beretika dan memahami hak-hak asasi manusia, oleh itu jin-jin ini hanya memerhati dari jauh atau mengekori sahaja tanpa mengganggu kehidupan mangsa.
Kebanyakan kes-kes gangguan jin asyik tidak disedari oleh pesakit sehinggalah mereka datang untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan. Kebiasaannya ini disedari setelah pesakit sudah mula merasakan bahang-bahang masalah dan gangguan yang menimpa mereka.
Di antara simptom gangguan jin asyik yang biasa ialah, berat jodoh, sentiasa ada halangan di dalam perhubungan cinta, pertunangan dan perkahwinan, kerap sakit kepala, kerap mimpi bersama (bersetubuh), kerap mimpi berkahwin, kerap letih lesu dan malas, kerap memarahi dan membenci pasangan, kerap mimpi kanak-kanak atau bayi, bagi yang perempuan kerap mimpi melahirkan anak, ada juga sampai ketahap mangsa dirogol dan dinodai jin, kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah kaum wanita.
Fakta tentang Jin Asyik
1. Jin asyik secara ringkasnya ialah jin yang jatuh cinta dengan manusia.
2. Antara yang paling bahaya: susah dikeluarkan dan ganas.
3. Biasanya jatuh hati kepada orang yang baik
4. Bukan hanya berlaku kepada orang bujang, tapi juga yang telah berkahwin
5. Mangsa kebiasaannya perempuan, tapi lelaki pun ada yang jadi mangsa
6. Kemungkinan jin itu yang memang berada di rumah mangsa, jin yang lalu dan ternampak, atau jin yang memang dihantar untuk menyihir mangsa, tapi berubah tujuan kerana jatuh cinta.
Antara sebab Jin Asyik boleh jatuh cinta
1. Suka bertelanjang ketika di rumah atau ketika mandi
2. Jin ternampak mangsa ketika berada dalam bilik air
3. Tidak membaca doa sebelum bersama isteri
4. Selalu tidur berseorangan. Contoh orang bujang tinggal seorang diri di rumah. (tiada rakan serumah)
Antara tanda kehadiran Jin Asyik
1. Isteri mengamuk tetiba bila tengok perempuan lain mendekati suami
2. Adakalanya jin asyik hanya berada di rumah, mangsa di luar baik, bila di rumah ada saja yang tak kena.
3. Sering mimpi bersama dengan suami/isteri/orang yang tak dikenali.
4. Mendengar nafas di tempat tidur, terasa ada seseorang tidur bersama.
5. Badan selalu lesu, sebab selalu didakap/ditindih jin asyik.
6. Jadi tak suka bercakap banyak / seorang pendiam dan mengasing diri.
7. Selalu mimpi naik pelamin / hamil.
8. Selesa duduk menyendiri.
9. Terasa alat kelamin disentuh semasa tidur.
Antara kesan gangguan Jin Asyik
1. Boleh menyebabkan berat jodoh, atau berkahwin tapi anak jadi sangat degil
2. Dipinang orang tapi selalu tak jadi sebab jin asyik berusaha menghalang perkahwinan
3. Sentiasa timbul riak pada diri sendiri dengan khayalan atau perbuatan seperti berselfie, berhias untuk tontonan, sifat menunjuk-nunjuk akan diri sendiri dan sebagainya yang terjadinya kerana bisikan-bisikan halus di dalam hati dan minda.
Jika anda, anak anda, saudara mara anda, rakan anda atau sesiapa sahaja yang mengalami simptom sedemikian, mungkin anda telah diganggu atau digoda oleh jin asyik. Jangan biarkan masalah menjadi lebih parah jika gangguan berterusan. Berikhtiarlah dengan merujuk kepada pakar atau perawat Islam untuk dirawat.
Wallahua'lam
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
No comments:
Post a Comment