BAHANA PENANGAN MINYAK GUNA-GUNA
Siapa yang tidak kenal akan nama Minyak...bermacam-macam jenis minyak ada dijual di pasaran mahupun di rangkaian internet. Dari kategori minyak petrol, minyak masak hinggalah minyak untuk kegunaan rawatan dan perubatan bahkan untuk perkara-perkara kejahatan.
Dikenali dengan pelbagai nama...Minyak Buluh Perindu, Minyak Cenuai, Minyak Dagu, Minyak Guna-Guna, Minyak Mayat Mati Beragan, Minyak Pelaris, Minyak Pemikat dan lain-lain, walaupun ada di antaranya dibacakan beberapa potongan ayat-ayat al-quran selain jampi serapah, mentera atau seruan...kebanyakan minyak-minyak tersebut disediakan dengan bersertakan penggunaan perantaraan alam ghaib untuk memberi lebih kesan dan kemujarabannya kepada si pemakai mengikut niat yang ingin dilaksanakan.
Kisah kali ini adalah pengalaman perawat merawat pulih seorang ibu tunggal yang terkena calitan minyak guna-guna hasil angkara perbuatan suami orang yang ingin mengambil kesempatan ke atasnya.
Terjadinya detik permulaan pada hujung tahun 2010, perawat telah mengenali seorang ibu tunggal dua anak melalui suatu laman sesawang ruangan mencari kenalan di alam maya. Asal permulaan adalah untuk mencari kenalan selain bertukar pandangan dan mencari peluang membina perniagaan yang bersesuaian pada akhir zaman.
Perkenalan perawat dengan ibu tunggal tersebut tidak lebih dari sekadar kawan biasa dan jarang-jarang sangat untuk berbual melainkan ditanya olehnya kepada perawat tentang beberapa isu dan soalan berkaitan dengan ilmu dan kemusykilan agama. Perawat bukanlah seorang memiliki ilmu yang hebat tetapi dengan banyak berguru, hanya menjawab setakat kefahaman yang telah diajar oleh arwah-arwah tuan-tuan guru mursyid. Pada masa itu, perawat sendiri pun tidak tahu bahawa ibu tunggal ini telah terkena minyak guna-guna angkara perbuatan seorang suami orang.
Hinggalah pada suatu masa, bulan Mac 2011, perawat menerima mesej daripada ibu tunggal tersebut meminta didoakan keselamatannya menunaikan umrah, selamat pergi dan pulang. Perawat mendoakan kesejahteraannya semoga tenang dan diterima ibadahnya di Masjidil Haram.
Dipendekkan cerita, suatu petang selepas berangkatnya ibu tunggal tersebut menunaikan umrah, perawat sedang duduk makan di meja makan di rumah, tiba-tiba perawat terlihat gambaran Kaabah yang besar di hadapan mata ketika tengah menjamah makanan dan dengan sendirinya airmata kerinduan keluar mengalir dari mata. Situasi tersebut berlaku secara spontan dan dalam beberapa saat sahaja membuat perawat jadi bingung, apakah petunjuk sebenar yang nak disampaikan oleh Allah kepada perawat. Walaupun setelah beberapa hari, perawat masih lagi dilema dengan kejadian aneh yang telah berlaku pada diri sendiri ketika itu.
Setelah selesai melaksanakan umrah, sekembalinya ibu tunggal tersebut ke tanahair, dia meminta untuk berjumpa dengan perawat di Nilai, Negeri Sembilan. Pada mulanya perawat agak keberatan kerana perawat tidak berapa kenal dia dan bagaimana rupa dia. Begitu juga dengan dia tidak mengenali perawat secara khususnya. Namun setelah beriya-iya minta berjumpa, akhirnya Allah menggerakkan hati perawat untuk berjumpa dengannya.
Pada hari yang dijanjikan, perawat telah menunggu di tempat yang dijanjikan untuk berjumpa, dan ketika berjumpa, ibu tunggal tersebut seperti tercengang dan terkejut ibarat baru ternampak hantu ketika melihat diri perawat. Kemudian perawat dibawa ke sebuah restoran makanan. Melihat seperti dia masih dalam keadaan terkejut, perawat bertanya, apa masalah yang dihadapinya. Dia mula menceritakan, ketika dia telah selesai melakukan tawaf, dia berdoa bersungguh-sungguh di hadapan Kaabah meminta pertolongan Allah agar diberitahu siapakah yang boleh merawat dirinya yang menanggung sakit misteri akibat perbuatan jahat orang. Katanya dah hampir setahun dia hanya dapat tidur 2 jam sehari dan baki jamnya dia sentiasa menangis, angau dan teringat-ingat pada suami orang yang dikenalinya walaupun tidak wujud rasa rindu.
Katanya lagi, ketika bersungguh-sungguh itulah Allah menjelmakan diri perawat berdiri betul-betul di hadapan Kaabah selari dengan jarak dia berdoa. Sebab itulah dia tercengang, terkejut dan tergamam melihat perawat kerana orang yang Allah tunjukkan di hadapan Kaabah itu adalah perawat sendiri. Perawat bertanya kembali tarikh, hari dan masa dia berdoa bersungguh-sungguh dan ternyata sama dengan tarikh, hari dan masa perawat sedang makan di meja makan di rumah di mana perawat digambarkan Kaabah di hadapan mata.
Setelah diceritakan akan masalah yang dihadapi, perawat dengan rendah hati menasihatinya agar mencari perawat berdekatan untuk merawat pulih perbuatan minyak guna-guna tersebut. Setelah dua kali ibu tunggal tersebut dirawat oleh perawat berdekatan dengan rumahnya, keadaan dirinya masih tetap sama dan tiada perubahan. Akhirnya dia telah putus ubat dengan perawat tersebut dan merayu bersungguh-sungguh agar perawat mengubati dirinya kerana itulah petunjuk yang telah dia dapat di hadapan Kaabah.
Akhirnya perawat bersetuju merawat pulih diri ibu tunggal tersebut. Setelah air mandian dan hal-hal perubatan dilaksanakan, ibu tunggal tersebut diarahkan perawat supaya mandi serta-merta untuk terus membatalkan minyak guna-guna tersebut. Setelah selesai mandi dan sempurnakan diri, ibu tunggal tersebut memberitahu gangguan angau dan teringat-ingat suami orang tersebut hilang serta-merta dan keadaannya kembali normal. Walaupun begitu, dia dinasihatkan supaya mandi tiga hari berturut-turut air mandian yang telah didoakan untuk tawarkan dan batalkan kesan minyak guna-guna tersebut.
Alhamdulillah, dia dapat tidur kembali seperti biasa, tiada lagi menangis, angau dan teringat-ingat lagi pada suami orang tersebut. Adalah dinasihatkan terutama pada perempuan, berhati-hatilah dalam memilih kawan terutamanya lelaki yang tidak dikenali untuk berjumpa di luar, dikhuatiri terjadi perkara yang tidak diingini tanpa pengetahuan sesiapa. Dan pandai-pandailah dalam memilih kawan agar mendapat kawan-kawan yang dapat memberi manafaat pada diri kita.
Itulah antara pengalaman misteri dan aneh serta merawat pulih seseorang yang terkena minyak guna-guna angkara perbuatan jahat orang...berhati-hatilah!!
...akan bersambung lagi dengan pengalaman-pengalaman lain yang dilalui oleh perawat...
~ Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo ~
No comments:
Post a Comment