Monday, July 31, 2017

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Luaran Dan Tuju-Tuju Eps 12*

GANGGUAN JIN LUARAN DAN TUJU-TUJU

Pertemuan secara kebetulan antara perawat dan juga pesakit di Kepala Batas, Sungai Petani Utara pada bulan May 2017 atas urusan perniagaan sekaligus membawa kepada masalah gangguan yang telah lama berlaku pada pesakit berkenaan. Memang pada perjumpaan kali pertama, wajah pesakit nampak ketara seperti kusam dan gelap serta seperti orang yang nampak sedang menanggung beban masalah yang terlampau lama selain tiada seri.

Pesakit sendiri yang mengajukan pertanyaan apabila mendapat tahu, setelah direkemenkan oleh kawannya, bahawa perawat merawat ramai pesakit yang telah bertahun-tahun dirawat merata tempat tetapi masih belum pulih. Maka diceritakan apa yang dialami pesakit yang sejak sekian lama telah mengalami gangguan sepanjang 33 tahun lamanya.

Antara simtom-simtom gangguan yang dialami oleh pesakit adalah susah tidur malam dan selalu terjaga tanpa sebab, mengalami mimpi buruk seperti jumpa hantu, masuk hutan, jumpa orang yang tidak dikenali dan perkara-perkara pelik yang tidak dapat diingati, terdengar seperti bunyi-bunyian di waktu malam tetapi tidak tahu pengertian bunyi tersebut, terdapat tanda lebam di tubuh, badan merasa panas dan berbahang, sakit kepala tanpa sebab dan tidak tentu masa, rasa seperti benda bergerak-gerak dalam tubuh dan badan terasa sejuk tanpa sebab.

Selain itu, pesakit juga merasakan kepalanya kerap terhuyung-hayang, ada sesuatu bergerak-gerak di tangan, kadangkala dada berdebar-debar dan mata seperti kelabu.

Pada sesi rawatan pertama, didapati terdapat simtom zat jahat serta gangguan jin luaran yang mengenakan tuju-tuju pada pesakit ini. Perawat berikhtiar semampu boleh untuk merawat dan memulihkan balik keadaan pesakit yang kesakitan semasa proses rawatan berlaku. Dalam beberapa ketika, keadaan pesakit normal kembali, mata yang tadi kabur menjadi cerah semula, kepala yang terhuyung-hayang menjadi seperti sediakala. Wajahnya yang kusam dan gelap, kembali nampak serinya. Pada peringkat pertama ini, pesakit kelihatan pulih dan lapang.

Pada sesi rawatan kedua, pesakit merasa bisa di bahu kanan dan terasa benda merayap-rayap di bahu kirinya. Perawat berikhtiar merawat di tempat yang didapati terdapat zat jahat yang bergerak-gerak. Setelah beberapa ketika, pesakit kelihatan pulih sepenuhnya. Keadaan wajahnya bertambah seri dan ceria serta lapang kembali mindanya dari sebarang gangguan.

Pada sesi rawatan ketiga, proses scanning (pengesanan) telah dibuat ke atas tubuh pesakit keseluruhannya. Didapati tiada lagi zat jahat atau gangguan jin luaran berlaku ke atas dirinya lagi. Pesakit mengadu bahu kanannya masih terasa sakit lagi tetapi setelah ditanya sama ada banyak buat kerja dan angkat barang menggunakan tangan kanan, pesakit mengakuinya. Jadi ia tiada kaitan lagi dengan zat jahat, hanya sekadar sakit fizikal yang memerlukan rawatan urut dibuat oleh tukang urut wanita.

Pesakit telah dibekalkan air yang telah didoakan untuk minum dan mandian selain amalan doa sebelum tidur dan tubuhnya dipulihkan. Alhamdulillah, gangguan yang dialaminya selama 33 tahun telah pulih sepenuhnya dengan izin Allah.


Nantikan kisah dan pengalaman seterusnya dalam merungkai jejak rawatan yang ditempuhi perawat dalam membantu mereka yang putus harapan, sabar di atas ujian dan masih berdoa memerlukan pertolonganNya untuk pulih dan sembuh...


~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#tujutuju
#gangguanjin
#mimpingeri
#susahtidurmalam
#kerapterkejut
#bahang
#bunyianmisteri

Saturday, July 29, 2017

*Pengalaman Merawat Gangguan Zat Jahat Eps 11*

GANGGUAN AKIBAT ZAT JAHAT

Pengalaman berikutnya, perawat telah dibawa oleh seorang sahabat baik untuk bertemu dengan seorang ibu tunggal empat anak yang bekerja di sebuah kedai dalam kawasan Bukit Jambul Pulau Pinang. Peristiwa ini berlaku dalam bulan April 2017 di mana perawat hanya diperkenalkan oleh sahabat baik bagi menjalin silaturrahim dan juga dapat membantu jika ada apa-apa urusan perniagaan yang boleh dimanfaatkan.

Pada pertama kali pertemuan, perawat mendapati keadaan wajah ibu tunggal ini kelihatan kekaburan seperti ada sesuatu gangguan yang menyebabkan wajah tak berapa suka dipandang. Walaupun begitu, setelah beberapa hari, barulah perawat menyuarakan tentang keadaan gangguan yang masih berlaku pada wajah beliau.

Pesakit ini pernah berkahwin sebanyak dua kali dan jodohnya tidak panjang. Mengikut apa yang diceritakan pesakit, keadaan gangguan tersebut telah terjadi sejak 47 tahun yang lalu ketika pesakit masih di usia kanak-kanak lagi sehinggalah bertemu perawat. Antara simtom yang berlaku padanya ialah keadaan susah tidur, mimpi buruk ketika berkahwin kali kedua serta sakit kepala tak tentu masa yang menyebabkan pesakit kerap mengambil ubat panadol untuk menahan sakit yang kuat.

Maka pada sesi rawatan pertama, didapati terdapat zat jahat berada pada dalaman dan luaran tubuh pesakit yang menyebabkan timbulnya kekaburan, kesakitan dan mimpi buruk yang dialaminya. Setelah selesai rawatan, sakitnya beransur kurang setelah dipulihkan dirinya oleh perawat.

Pada sesi kedua rawatan, perawat diberitahu oleh pesakit, kepalanya terasa seperti dihentak di belakang kepala ketika dia keluar malam bersama seorang kawan berbangsa India yang juga mengalami gangguan jin luaran. Perawat berikhtiar merawat pulih keadaan pesakit serta membuat air minum dan mandian sebagai kaedah penawaran berterusan.

Dan pada sesi rawatan ketiga, pesakit didapati telah pulih sepenuhnya setelah scanning (pengesanan) ke atas dirinya dijalankan. Pesakit telah diberikan amalan sebelum tidur sebagai bekal diri dari mengalami gangguan-gangguan lain semasa perlu pulih sepenuhnya. Dan rawatan telah selesai.

Nantikan pengalaman-pengalaman berikutnya dalam jejak rawatan perawat bertemu dengan pelbagai gangguan pada pesakit-pesakit...jika ada di antara anda yang mengalami penyakit tetapi tiada jawapan dan keputusan klinikal dan hospital untuk pembuktian dan pengesahan, sila berikhtiar dengan perawat Islam yang bertauliah serta mengikut landasan agama selain kaedah yang menepati syarak dan syari'at supaya tidak terkena atau ditambah oleh gangguan lain akibat berjumpa dengan perawat yang bukan Islam atau pengamal ilmu batil...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Wednesday, July 26, 2017

*Pengalaman Merawat Kes Tuju-Tuju Eps 10*

TUJU-TUJU DAN ZAT JAHAT DI DALAM TUBUH PESAKIT

Kisah berikutnya, kes berlaku pada bulan Mac 2017, di mana lokasi kejadian adalah di suatu tempat yang berhampiran dengan satu kawasan yang dikenali dengan nama Rope Walk, Pulau Pinang. Untuk informasi umum, perawat telah berpindah dari pusat rawatan (Prawis) di Rawang ke Pulau Pinang (bahagian pulau) pada awal tahun 2017 atas kebenaran dan keizinan daripada tuan guru perawat sendiri bagi membuka cawangan di sebelah utara untuk membolehkan perawat memberi khidmat serta membantu pesakit-pesakit yang telah lama berubat di merata tempat selain kehabisan banyak wang tetapi masih juga di tahap yang sama dan tidak pulih. Ramai juga pesakit dari bahagian utara (Perlis, Kedah dan Pulau Pinang) bertanyakan pusat rawatan (Prawis), kenapa tiada cawangan di sebelah utara waima untuk turun berubat di pusat rawatan (Prawis) di Rawang, agak memerlukan kos yang tinggi termasuk kos tol, petrol, penginapan dan lain-lain. Justeru, perawat memohon keizinan daripada tuan guru perawat agar dibolehkan perawat berikhtiar memberi khidmat merawat mereka yang memerlukan bantuan di sebelah utara tanahair.

Suatu petang, perawat telah dihubungi oleh seorang makcik dari lokasi yang telah dinyatakan di atas, untuk datang ke rumahnya dan minta dirawat selain pemeriksaan ke atas kedua-dua orang cucunya yang bersekolah rendah. Perawat telah diminta untuk hadir pada pukul 630pm di rumah pesakit berkenaan untuk sesi rawatan.

Mengikut sesi temubual antara pesakit dan perawat, pesakit telah mengalami gangguan ini lebih kurang 6 tahun lamanya. Telah menjalani banyak kali pemeriksaan klinikal dan hospital termasuk doktor pakar, tetapi jawapan dan keputusan yang diterima adalah makcik ini tidak sakit dan tiada penyakit yang berat. Telah berjumpa dua orang perawat lain dalam jangkamasa terdekat tetapi keadaan masih sama. Beberapa simtom yang dihadapi oleh pesakit ini antaranya mengalami mimpi buruk seperti kucing putih, kemaluan turun darah, berada di tempat tinggi dan jumpa orang yang tidak dikenali, kerap terjaga malam di antara pukul 1am dan 4am dalam keadaan terkejut dan terketar-ketar, terdapat kesan lebam di paha dan lengan tangan yang jelas berbentuk duit syiling 20sen, sakit kepala seperti dicengkam tangan yang besar dan badan merasa rimas tanpa sebab.

Manakala dua orang cucunya, si kakak mengalami sakit kepala tak tentu masa yang terjadi di sekolah dan di rumah serta merasa sakit pada perut seperti seseorang menekan perutnya ke dalam, semasa berada di sekolah. Selain itu, dia mengalami mimpi buruk iaitu berada di lokasi yang tidak diketahui.

Si adik pula, kerap pening kepala ketika berada di dalam rumah, sakit kepala tanpa sebab serta sakit dada seperti ada orang duduk di atas dadanya ketika di sekolah dan di rumah selain kerap mengigau dan meracau-racau dalam tidur kerana mengalami mimpi buruk bertemu susuk perempuan berambut panjang. Dia juga kerap terjaga malam antara pukul 1am dan 4am kerana kepala merasa pening dan sakit.

Antara simtom lain yang berlaku pada keluarga ini ialah si adik kerap nampak susuk perempuan berambut panjang berbaju putih di bahagian bawah rumah dan susuk tubuh seperti orang minyak di tingkat atas rumah di dalam satu antara empat bilik. Diceritakan juga pernah abang kepada makcik ini bermalam di bilik atas yang dikatakan ada susuk lembaga seperti orang minyak, abangnya pernah ditampar di muka dengan kuat. Tiga kali pernah bermalam pada hari yang berlainan, tiga kali pernah ditampar dengan kuat oleh sesuatu menyebabkan abang makcik tersebut tidak lagi mahu bermalam di rumah makcik ini.

Pekerjaan makcik ini adalah mengambil upah menjaga budak-budak serta menyewakan bilik-bilik di atas untuk wanita yang bekerja. Dua bilik mempunyai penyewa dan dua bilik tidak ada penyewa yang mana bilik pertama tersebut dikatakan ada gangguan susuk tubuh jin.

Pada sesi pertama rawatan, perawat berikhtiar merawat makcik ini. Didapati seperti ada simtom tuju-tuju gangguan jin luaran selain zat jahat di dalam tubuhnya. Setelah dirawat, diberi air minum dan mandian serta dibekalkan amalan sebelum tidur, keadaan makcik nampak stabil tetapi masih ada tanda-tanda pening keesokan harinya. Kedua-dua cucunya juga dirawat dan didapati mereka hanya ada zat jahat dalam tubuh yang menyebabkan simtom gangguan. Setelah selesai rawatan, keadaan mereka bertiga pada malam itu berada dalam keadaan stabil tanpa gangguan.

Pada sesi kedua rawatan, mereka bertiga dirawat dengan sebaiknya. Kedua-dua cucunya pulih sepenuhnya dan tiada lagi simtom gangguan seperti yang dialami sebelum ini. Hanya makcik ini yang masih mengalami pening tanpa sebab dan kaki seperti menyucuk. Namun selesai rawatan, alhamdulillah, nampak tanda-tanda diri makcik ini sudah pulih. 

Perawat kemudian meminta kebenaran untuk melakukan scan (mengesan) keadaan rumah. Didapati terdapat kehadiran jin di suatu penjuru di bahagian ruang bawah dan juga bilik atas yang dikatakan ada gangguan. Mengikut cerita makcik ini, berlaku perselisihan dan perbalahan antara sesama adik-beradik disebabkan perebutan rumah-rumah pusaka tinggalan orang tua. Rentetan dari hal ini, ada antara mereka yang sanggup melakukan apa saja sekalipun dengan cara halus untuk memiliki kesemua harta pusaka termasuk rumah pusaka yang diduduki oleh makcik ini.

Mengikut adab rawatan yang dilakukan oleh perawat, pesakit perlu berada dalam tempoh kuarantin iaitu tidak boleh ke mana-mana tempat yang jauh kerana dikhuatiri akan mengalami simtom lain selagi mana rawatan belum selesai dan putus ubat. Jika ini tidak dipatuhi, berkemungkinan pesakit akan mengalami serangan baru atau gangguan lain kerana masih tidak pulih sepenuhnya.

Pada sesi rawatan ketiga, disebabkan jarak susulan rawatan telah ditangguh sehingga tiga minggu dan makcik ini telah ke luar kawasan yang jauh untuk menghadiri kenduri, tanpa pengetahuan perawat, didapati terdapat serangan baru di mana makcik ini mula mengalami mimpi buruk dan sakit kepala tanpa sebab. Perawat merawat semula makcik ini sepenuhnya sehingga makcik ini pulih kembali dan menyarankan agar rumah makcik ini dibuat pemulihan dari gangguan zat jahat dan kehadiran jin dalam rumah. 

Nantikan kesinambungan pengalaman-pengalaman yang lain yang ditempuh oleh perawat dalam merawat ikhtiar membantu mereka yang telah mengalami sakit misteri bertahun-tahun lamanya...

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Tuesday, July 11, 2017

*Pengalaman Merawat Kes Gangguan Syaitan Eps 09*

GANGGUAN SYAITAN

Kisah seterusnya pengalaman perawat merawat seorang lagi pesakit yang mengalami simtom gangguan syaitan. Kes terjadi di dalam bulan November 2016 di Perumahan Awam kawasan Cheras, Kuala Lumpur.

Perawat telah dihubungi oleh pesakit untuk datang ke rumahnya meminta tolong akan keadaannya yang dikatakan terganggu mental dan fizikal.

Diceritakan oleh pesakit akan keadaannya yang mengalami gangguan dan tekanan dalam jangka tempoh 8 tahun lamanya. Pesakit ada menyatakan pernah dirawat oleh beberapa orang perawat termasuk pusat rawatan yang telah menempah nama di dalam Malaysia. Walaupun telah ramai yang tampil merawatnya, keadaannya masih tetap sama dan menjadi semakin berat dan berat yang menyebabkan prestasi kerjanya merosot, dirinya dibenci di tempat kerja dan juga di kejiranan perumahannya serta keadaan kesihatan yang terganggu. Pemeriksaan doktor telah dijalankan tetapi tiada keputusan klinikal yang menyatakan beliau mengalami sebarang penyakit sepanjang tempoh tersebut.

Pesakit bersungguh-sungguh meminta perawat ikhtiarkan merawatnya kerana beliau sudah tidak sanggup lagi menanggung terutamanya gangguan mental yang terjadi ke atasnya. Perawat menasihatinya agar bersabar dan perbanyakkan istighfar sementara perawat cuba mencari punca kepada permasalahan yang berlaku.

Mengikut sesi soaljawab antara perawat dan pesakit yang merupakan seorang ibu tunggal tiga anak, pesakit pernah mendirikan rumahtangga sebanyak tiga kali tetapi jodoh tidak panjang. Antara situasi ketiga-tiga kes rumahtangga, dua daripada tiga bekas suami-suaminya berlaku perlakuan kasar manakala yang terakhir pula mengamalkan suatu ilmu yang bertentangan dengan hukum syarak dan agama Islam. Selepas pada perpisahan yang ketiga itulah keadaan mula menimbulkan pelbagai gangguan pada dirinya empat beranak.

Apa yang diceritakan, bekas suami ketiga ini sentiasa menyediakan makanan di rumah dan jika berlaku perselisihan, beliau tidak mampu untuk menyatakan tidak dan hanya akur menerima perintah bekas suami ketiga seperti seseorang dikawal supaya patuh selain amalan-amalan pelik yang dilakukan oleh bekas suami ketiganya. Bermula selepas berpisah itulah timbul beberapa simtom gangguan yang terjadi di rumah dan di tempat kerja.

Antara simtom-simtom yang terjadi padanya ialah 50% kesedaran iaitu kadangkala dia bercakap seorang diri atau dengan dinding atau dengan barang-barang, kerapkali nampak kelibat di dalam dan di luar rumah, mengalami mimpi buruk seperti ular hitam dan budak kecil, terdengar bisikan pada hati, badan terasa panas atau bahang di beberapa tempat yang berubah-rubah, kerapkali sakit kepala yang berat sehingga tidak dapat buat sebarang kerja, pernah ditindih dan lebam-lebam di kaki pada awal tiga tahun kejadian, rasa seperti benda bergerak di dalam tubuh dan cepat marah.

Ketika sesi rawatan dijalankan, pesakit tiba-tiba muntah ke dalam bekas yang telah disediakan. Kelihatan seperti terdapat segulung rambut berukuran lilit jari telunjuk dan juga ketulan-ketulan hitam di dalam bekas. Kemudian kelihatan seperti pesakit meracau-racau cakap sendirian. Perawat tetap meneruskan rawatan pada sesi pertama sekalipun pesakit muntah berkali-kali. Kemudian pesakit dirawatpulih semula dan ditenangkan dengan air minum dan mandian. Keadaan menjadi reda dan tenang selepas itu. Setelah selesai sesi rawatan pertama, perawat mengundur diri untuk pulang ke rumah. Dalam tempoh seminggu untuk rawatan susulan kedua, perawat menerima mesej daripada pesakit menyatakan dia terkena gangguan lagi.

Pada sesi rawatan susulan kedua, pesakit menyatakan mengalami mimpi buruk seperti kehadiran orang tua dan kucing. Ketika proses rawatan berlaku, pesakit menjadi kejang dan urat seperti ditarik serta mula meracau-racau bercakap sendirian. Walaupun begitu, proses rawatan tetap berlaku sehingga keadaan pesakit kembali tenang dan sedar.

Pada sesi rawatan susulan ketiga, perawat hadir bersama seorang sahabat perawat yang seguru keilmuan perubatan untuk melihat simtom yang berlaku. Berdasarkan penilaian semasa rawatan susulan ketiga, pesakit didapati sedang mengalami gangguan syaitan. Proses rawatan masih tetap dijalankan sehingga pesakit menjadi tenang dan sedar kembali.

Pada sesi rawatan susulan keempat, pesakit menyatakan ada satu kesan tanda lebam di paha kirinya, batuk teruk dan merasa pening sebelum rawatan dimulakan. Perawat berikhtiar merawat pesakit dan memohon petunjukNya sehingga keadaan pesakit dapat dipulihkan serta simtom penyakit dapat dirawat.

Dan pada sesi rawatan susulan kelima, akhirnya pesakit dirawatpulih, tiada lagi gangguan yang dinyatakan sebelum ini, tiada tambahan kesan lebam, batuk beransur pulih, tiada lagi rasa pening serta keadaan menjadi normal seperti sediakala. Pesakit juga telah menjalani proses rawatan mandi bunga atas permintaannya bagi memulihkan aura diri serta seri dan semangat yang lemah di mana bahan-bahannya disediakan oleh perawat sendiri...

...Menyingkap tabir pengalaman perawat, nantikan episod pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di persekitaran kita...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#gangguanjin
#gangguansyaitan
#gangguaniblis
#gangguanifrit

Wednesday, July 5, 2017

*Pengalaman Merawat Penyakit Seakan Kayap Eps 08*

TERKENA SIMTOM PENYAKIT SEAKAN-AKAN KAYAP TETAPI BUKAN...

Kisah seterusnya perawat ingin menceritakan sebuah pengalaman merawat seorang pesakit yang mendapat satu penyakit misteri dan tiada jawapan bagi keputusan klinikal.

November 2016, perawat telah dihubungi dan diminta hadir ke rumah pesakit di Cheras, Kuala Lumpur untuk merawat satu simtom penyakit yang tidak diketahui puncanya. Maka setelah perawat berada di rumah pesakit tersebut, sesi soaljawab telah dimulakan sebelum proses rawatan berlaku.

Mengikut keterangan pesakit, tanda penyakit itu baru muncul lebih kurang dua minggu lalu dari tarikh kedatangan perawat ke rumah. Ketika wujud dalam tiga hari pertama, pesakit kerap muntah, pening, sakit kepala, sakit di bahagian perut dan terganggu waktu tidur. Selepas pada itu, kurang muntah tetapi masih ada lagi pening dan kadangkala sakit kepala dan sakit di bahagian perut terutama di sisi kiri di mana penyakit misteri tersebut muncul.

Pesakit telah ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Mengikut keputusan doktor yang merawat, doktor tersebut belum pernah terjumpa kes yang seperti ini di mana doktor menyatakan penyakit ini seolah-olah seperti kayap dan ukurannya sejengkal di sisi kiri perut tetapi yang peliknya ia muncul di bawah kulit dan bukan di atas kulit seperti kebiasaan penyakit kayap atau keradangan kulit. Warnanya jelas kelihatan kehitaman di bawah kulit berukuran sejengkal dan berbentuk seperti seekor lintah yang besar kekenyangan. Jadi doktor tersebut tidak dapat mengklasifikasikan jenis penyakit tersebut dan hanya menyatakan ianya hanya ruam biasa serta ujian darah yang diambil tidak menunjukkan apa-apa kehadiran penyakit pada tubuh pesakit.

Mengikut cerita pesakit, setelah itu bermulalah perkara-perkara pelik terjadi di rumah di mana semua ahli keluarga pun turut mengalaminya. Sebelum itu, pesakit memberitahu, sebelum beliau berhenti kerja di tempat lama kerana telah mendapat tawaran yang lebih baik di tempat lain, terdapat seorang staf berbangsa India yang selalu tidak berpuashati dengan sesiapa saja membuat kerja dengan baik dan dihargai oleh penyelia, akan mencari pasal dan sikapnya yang suka berjumpa dengan bomoh India diketahui oleh ramai rakan sekerja. Jika dilaporkan kepada majikan pun, perkara ini tidak boleh diterima logik akal dan laporan tersebut diabaikan kerana tiada bukti walaupun banyak selisih faham yang terjadi.

Antara perkara pelik yang terjadi di rumah pesakit ialah ahli keluarga kerap nampak kelibat lembaga hitam seperti orang di dalam rumah, meluru masuk ke bilik tidur pesakit, meluru keluar ke pintu dapur dan terjun ke bawah (rumah pesakit adalah pangsapuri), pintu bilik dihempas tanpa ada angin, pintu masuk utama kerap diketuk dan seperti diberi salam tetapi tiada orang, bila berada di dalam bilik, di dapur atau ruang tamu, terasa seperti diperhatikan, pesakit susah tidur malam akibat gangguan selain terdapat kesan lebam di bahagian kaki.

Setelah selesai sesi soaljawab, perawat memulakan rawatan mengesan terlebih dahulu untuk mengetahui 'sesuatu' di dalam badan pesakit. Setelah dikenalpasti, maka perawat ikhtiarkan membuang 'sesuatu' tersebut dan dimusnahkan. Sesi rawatan telah dilaksanakan sebanyak tiga kali pada tiga hari yang berlainan. Selain air minum dan mandian, gel sapu turut didoakan untuk menawarkan bisa dan punca penyakit misteri tersebut. Alhamdulillah, tanda sejengkal di bahagian kiri perutnya semakin pudar dan pudar, terus menghilang.

Jika ada di antara anda, ahli keluarga, jiran, rakan, kenalan atau sesiapa saja yang mengalami simtom penyakit misteri tanpa ada sebarang keputusan klinikal, silalah ikhtiar dengan cara rawatan dan perubatan Islam yang berhampiran dengan tempat anda...

...Nantikan episod yang lain, kisah pengalaman perawat dalam jejak rawat dan perubatan serta pengalaman misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar....

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#macamkayaptapibukan
#penyakitmisteri
#gangguanjin
#seranganjin
#muntahpeningsakitkepala

Monday, July 3, 2017

*Pengalaman Lembaga Hitam Muncul Setiap Maghrib Eps 07*

KEHADIRAN LEMBAGA HITAM MEMASUKI RUMAH SETIAP KALI WAKTU MAGHRIB

Pengalaman ini terjadi pada tahun 1998. Ketika itu perawat bekerja sambilan di satu kawasan yang bernama Permatang Damar Laut, Pulau Pinang. Dan syarikat tersebut menyediakan bilik untuk penginapan yang pada masa itu hanya ada 3 pekerja termasuk perawat. Disebabkan mempromosi barang-barang syarikat di kawasan kampung, jadi...ramailah orang kampung yang mesra dengan kami dan ramai jugalah yang kami kenal orang-orang kampung di kawasan ini.

Kata orang, di kawasan ini ramai yang mengamalkan ilmu-ilmu pelik dan tidak baik. Sejauh mana kebenaran kenyataan tersebut, terpulanglah kepada sesiapa yang ingin membuat selidik. Di antara ramai-ramai kenalan orang kampung tersebut, ada seorang kakak telah menjemput perawat makan di rumahnya pada sebelah petang di hujung minggu. Kerana dijemput berkali-kali, akhirnya hanya perawat seorang saja yang pergi dan dua orang rakan sekerja perawat tidak dapat hadir kerana ada urusan lain.

Pada hari yang dijanjikan, perawat dipelawa masuk oleh kakak tersebut sekeluarga bersama suami dan anaknya dan bersama seorang bayi dengan ibunya, yang merupakan adik kepada suami kakak ini.

Ketika sesi makan, perawat diceritakan oleh kakak ini berkenaan rumahnya yang ada gangguan lembaga hitam. Perawat hanya mendengar saja kerana fikirkan kehadiran perawat sekadar sebagai tetamu jemputan. Apa yang diceritakan oleh kakak ini, setiap kali waktu maghrib selepas azan, akan hadir satu lembaga hitam yang entah dari mana akan datang melalui pintu depan, terus masuk ke dalam dan duduk di sebelah bayi adik iparnya. Menyebabkan bayi tersebut menangis tak henti-henti hingga ke tengah malam. Pada mulanya, siapapun tidak tahu akan kehadiran lembaga hitam tersebut dan hanya menyangka mungkin bayi tersebut ada penyakit tertentu yang bila maghrib saja, akan menangis sampai ke tengah malam. Kata kakak tersebut, walaupun sudah dibawa berjumpa doktor, bayi tersebut telah disahkan tidak mengalami sebarang penyakit. Dan yang menghairankan mereka sekeluarga, bila berada di tempat lain atau di rumah lain, bayi tersebut tidak menangis sampai ke tengah malam. Hanya akan berlaku jika berada di rumah kakak ini.

Nak dijadikan cerita, suatu hari anak lelaki kakak ni sendiri (berumur 9 tahun masa kejadian) yang mendakwa nampak seseorang seperti lelaki tetapi kesemuanya hitam legam seperti orang minyak, masuk dari pintu depan rumah dan meluru ke dalam terus duduk di sebelah bayi tersebut sambil merenung tajam muka bayi itu. Dan ketika itulah bayi tersebut menangis seteruk-teruknya.

Kakak ini merayu kepada perawat jika boleh bantu pulihkan keadaan kerana tidak tahu, siapa yang boleh ikhtiarkan merawat kes ini. Melihat kesungguhan kakak ini merayu, perawat pun cuba ikhtiar sekadar mampu tetapi perlu mencari punca terlebih dahulu dari manakah datangnya lembaga hitam tersebut.

Keesokan harinya, perawat datang pada hampir-hampir waktu maghrib dan perawat berdiri di tepi pintu masuk untuk melihat arah kemunculan lembaga hitam tersebut. Ketika berdiri dan berdoa mudah-mudahan Allah tunjukkan kelibat lembaga hitam tersebut, akhirnya timbul suatu bentuk kelibat di satu sudut yang agak jauh di luar pagar rumah tersebut di mana di sudut tersebut terdapat belukar beserta pokok rendang seperti akar berjuntai dan di tepi longkang kampung. Di situlah perawat nampak seperti seseorang sedang berdiri berwarna hitam legam memerhatikan perawat dari jauh.

Keesokan harinya, perawat menyediakan dan memperlengkapkan diri untuk merawat keadaan rumah kakak tersebut. Pada petangnya, perawat hadir dan membuat dua pagar utama dalam dan luar untuk ghaibkan rumah kakak tersebut dari dilihat oleh alam ghaib dan tidak mungkin dijumpai oleh jin tersebut akan rumah ini. Setelah selesai, perawat tunggu sehingga waktu maghrib, untuk memastikan bayi tersebut menangis atau tidak selepas rumah dipagar.

Alhamdulillah, sejak hari itu sehinggalah bayi tersebut besar sedikit, tidak lagi ada gangguan dari lembaga hitam seperti yang berlaku seperti sebelum itu.

Tunggu episod pengalaman perawat untuk kes-kes yang lebih menarik, aneh dan misteri...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

*Pengalaman Misteri,Aneh,Ganjil,Pelik tetapi Benar Eps 06*

KEMUNCULAN ORANG TUA MISTERI BERBAJU BATIK

Pengalaman ini terjadi pada tahun 1998. Ketika itu perawat bekerja di sebuah syarikat kenderaan mewah yang lokasinya terletak di Ampang. Pada setiap hari cuti di hujung minggu, perawat selalunya akan meluangkan masa meronda-ronda di pusat bandar Kuala Lumpur terutamanya di kedai-kedai barang kawasan Chow Kit dan Jalan Raja Laut.

Telah berlaku di tahun tersebut, pada suatu hari, perawat berjalan-jalan di kawasan Chow Kit bertujuan mencari barang-barang untuk dibeli. Ketika itu perawat sedang menunggu di tepi jalan untuk melintas ke seberang jalan untuk melihat kedai-kedai barang yang lain. Disebabkan banyaknya kenderaan sesak di lalulintas, maka ramai yang ingin melintas termasuk perawat terpaksa menunggu di tepi jalan sehingga lampu isyarat jalan bagi kenderaan bertukar merah.

Ketika menunggu masa itulah tiba-tiba hadir seorang lelaki tua, umur lebih kurang separuh abad, berbaju batik berwarna coklat bercorak bunga agak lusuh serta memakai songkok, muncul di sisi kiri perawat. Untuk melintas jalan, perawat perlu melihat arah datang kenderaan dari sebelah kanan perawat kerana jalan di Chow Kit itu adalah sehala. Jadi perawat tidak memandang ke kiri kerana tiada kenderaan yang datang dari arah berlawanan.

Perawat tiba-tiba ditegur oleh orang tua tersebut serta diberi nasihat tentang perjalanan hidup yang akan lebih mencabar pada masa hadapan. Kemudian dia menasihatkan perawat akan perkara-perkara yang berupa ujian, musibah, harta dunia, sikap manusia, hal-hal keagamaan yang diremehkan, kesusahan hidup yang penuh pancaroba dan bantu orang yang memerlukan pertolongan katanya. Hairan perawat melihat seorang tua yang memakai baju batik lusuh bercorak bunga pada waktu asar dengan cuaca panas selain bersongkok tetapi tidak berpeluh. Dalam hati perawat, tertanya-tanya, sapa orang ni...tiba-tiba je berdiri sebelah aku...terus bagi nasihat untuk akan datang. Mana datang ntah orang ni. Dalam tengah tertanya-tanya tu, orang tua tersebut terus tegur agar perbetulkan hati, bersihkan hati dan carilah ilmu. Macam boleh dengar pulak isihati perawat berkata-kata.

Perawat ketika itu hanya mengiakan saja teguran dan nasihat orang tua tersebut dan mungkin merasakan ia hanya satu kebetulan, walaupun ada terasa sedikit pelik dan aneh dengan cara pakaian orang tua tersebut. Ketika melihat kembali ke sebelah kanan, untuk melihat sama ada kenderaan sudah berhenti, untuk melintas jalan...perawat menoleh kembali ke kiri untuk melihat orang tua berbaju batik lusuh tersebut dan perawat menjadi terkejut. Baru saja beberapa saat menoleh ke kanan, kemudian kembali menoleh ke kiri, orang tua tersebut ghaib. Perawat cuba meninjau ke belakang, berpusing untuk melihat sama ada orang tua tersebut mungkin baru saja berlalu memasuki beberapa kedai berhampiran. Ternyata tidak nampak sebarang kelibatnya di kawasan berhampiran.

Walaupun pengalaman ini telah berlalu lama, sehingga ke hari ini, perawat masih ingat akan orang tua misteri dan nasihat-nasihatnya yang ternyata benar terjadi dalam perjalanan kehidupan perawat.

Mungkin juga ada di antara rakan-rakan fb yang pernah tempoh bertemu dengan manusia misteri, aneh dan ghaib.

Nantikan episod pengalaman yang lain bila perawat berkesempatan berkongsi..

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

*Pengalaman Merawat Kes Kerasukan Jin Monyet Eps 05*

KES KERASUKAN JIN (AKIBAT PERBUATAN DENGKI DENGAN KEBAIKAN SESEORANG)


Kisah dan pengalaman seterusnya, pada bulan Disember 2016, ketika itu perawat masih bertapak di pusat rawatan di rawang, telah didatangi oleh dua orang pesakit wanita untuk mendapat rawatan dan pemulihan. Seorang masih mempunyai suami dan seorang lagi adalah ibu tunggal.

Ketika sesi temubual dan soaljawab untuk memahami dan mencari punca masalah yang dihadapi, perawat dan sahabat perawat menemubual ibu tunggal terlebih dahulu memandangkan keadaannya seperti nampak gelisah dan tak tentu arah. Ketika berlangsungnya sesi temubual itulah ibu tunggal tersebut hampir-hampir kerasukan tetapi telah ditenteramkan oleh perawat terlebih dahulu kerana ingin mendapatkan maklumat tentang punca masalah yang berlaku. Pesakit pernah dirawat oleh beberapa orang perawat sebelum ini tetapi keadaannya masih tidak pulih dari gangguan yang dialami. Setelah selesai, maka ibu tunggal tersebut diminta untuk memulakan sesi rawatan dan perawat bersedia untuk memulakan sesi.

Tidak sampai dua minit permulaan sesi, ibu tunggal tersebut tiba-tiba kerasukan dan hadirlah jin yang menimbulkan masalah pada diri pesakit. Perawat kemudian memulakan sesi menemubual jin tersebut.

P: Assalamualaikum, siapa ni?
Jin: (Tidak menjawab salam dan menangis tersedu-sedu)
P: Assalamualaikum, jika kamu Islam kamu wajib jawab. Adakah kamu Islam?
Jin: (Menggeleng-gelengkan kepala sambil tersedu-sedu menangis)
P: Siapa kamu? Apa nama kamu?
Jin: Nora.
P: Nora ini nama manusia. Siapa Nora?
Jin: Yang menghantar aku...(ketakutan tersedu)
P: Adakah Nora ini bomoh?
Jin: (Mengangguk-anggukkan kepala).
P: Berapa umur kamu?
Jin: 40 tahun.
P: Apa bangsa kamu?
Jin: Monyet.
P: Adakah kamu berkepala monyet berbadan jin?
Jin: (Menganggukkan kepala).
P: Dari mana asal kamu?
Jin: Hutan.
P: Adakah kamu tinggal bersama monyet-monyet, sebab kamu berkepala monyet?
Jin: (Menganggukkan kepala)
P: Kamu ada agama?
Jin: Tidak.
P: Kamu ada mak bapak?
Jin: Ada.
P: Apa agama mak bapak kamu?
Jin: Islam.
P: Jika Islam, kenapa kamu tidak beragama?
Jin: Aku tak mau, aku tak suka, aku nak bebas, aku tak nak terikat...
P: Mau kah aku ajar tentang Islam?
Jin: Aku tak mau...aku nak bebas..
P: Kalau begitu aku tak paksa, tapi kenapa ganggu orang ini?
Jin: Ada orang suruh. Ada orang dengki.
P: Dengki sebab apa? Apa salah orang ni?
Jin: Sebab dia baik.
P: Apa salahnya dia baik? Kalau ada salah faham itu lain. Tapi dia buat baik, di mana salahnya?
Jin: Orang itu tak suka. Orang itu suruh bomoh sakitkan dia..
P: Aku tak boleh terima alasan dia baik tapi kamu nak menganiaya dia. Kalau kamu tak nak masuk Islam, aku bagi peluang kamu keluar dari tubuh orang ni dengan bersumpah tak akan ganggu lagi dia dan sesiapapun. Macamana?
Jin: (Geleng kepala tak mahu).
P: Kenapa tak mau?
Jin: Aku takut. Aku disuruh ganggu. Bagi dia sakit...mati..
P: Aku nak tolong untuk selamatkan kamu dari teraniaya, masuk Islam kamu tak mau, suruh keluar dengan bersumpah kamu tak mau. Apa yang kamu mau?
Jin: Aku tak nak. Aku nak duduk..(dalam badan orang ni).
P: Macam ni la, aku tak boleh lama-lama ni nanti sakit orang ni kamu buat. Aku bagi peluang terakhir sekali ni, nak keluar atau nak mati? Kalau nak keluar, aku hantar kamu pulang ke tempat asal dalam hutan. Kalau tak nak keluar, aku terpaksa bunuh kamu.
Jin: (Geleng kepala sambil tersedu-sedu)
P: Betul tak mau keluar ni?
Jin: (Masih geleng kepala sambil tersedu)
P: Kalau macam tu kamu matilah ya..sebab kamu dah nekad, aku pun dah nekad. Mati lah ya..
Jin: (Geleng kepala ketakutan)

Selepas diberi peluang supaya keluar tetapi masih berdegil, maka perawat tanpa bertangguh terus membunuh jin monyet tersebut serta-merta dan pesakit tersebut terus tidak sedarkan diri. Setelah diberi rehat lima minit, perawat mengejutkan ibu tunggal tersebut dan bertanyakan sama ada dia ingat tak apa yang berlaku dari awal hingga dia terjaga dari pengsan. Pesakit menyatakan dia tidak ingat apa-apa. Kemudian perawat menyambung sesi rawatan memulihkan diri pesakit sepenuhnya sehingga dia merasa tenang.

Sesi rawatan selesai.

Selepas pada itu, pada bulan Januari 2017, perawat menyambung rawatan di rumah pesakit tersebut kerana ada kesan bengkak di bawah telinga sejak terkena gangguan jin yang telah dibunuh. Dalam pada itu, pesakit terkena tuju-tuju kembali yang menyebabkan emosi dia terganggu di tempat kerja dan di rumah, maka perawat dalam masa singkat telah merawatpulih gangguan tersebut dan pesakit sembuh dengan izin Allah.

....bersambung nanti ke episod pengalaman dan rawatan yang lain...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

*Pengalaman Merawat Kes Minyak Guna-Guna Eps 04*

BAHANA PENANGAN MINYAK GUNA-GUNA

Siapa yang tidak kenal akan nama Minyak...bermacam-macam jenis minyak ada dijual di pasaran mahupun di rangkaian internet. Dari kategori minyak petrol, minyak masak hinggalah minyak untuk kegunaan rawatan dan perubatan bahkan untuk perkara-perkara kejahatan.

Dikenali dengan pelbagai nama...Minyak Buluh Perindu, Minyak Cenuai, Minyak Dagu, Minyak Guna-Guna, Minyak Mayat Mati Beragan, Minyak Pelaris, Minyak Pemikat dan lain-lain, walaupun ada di antaranya dibacakan beberapa potongan ayat-ayat al-quran selain jampi serapah, mentera atau seruan...kebanyakan minyak-minyak tersebut disediakan dengan bersertakan penggunaan perantaraan alam ghaib untuk memberi lebih kesan dan kemujarabannya kepada si pemakai mengikut niat yang ingin dilaksanakan.

Kisah kali ini adalah pengalaman perawat merawat pulih seorang ibu tunggal yang terkena calitan minyak guna-guna hasil angkara perbuatan suami orang yang ingin mengambil kesempatan ke atasnya.

Terjadinya detik permulaan pada hujung tahun 2010, perawat telah mengenali seorang ibu tunggal dua anak melalui suatu laman sesawang ruangan mencari kenalan di alam maya. Asal permulaan adalah untuk mencari kenalan selain bertukar pandangan dan mencari peluang membina perniagaan yang bersesuaian pada akhir zaman.

Perkenalan perawat dengan ibu tunggal tersebut tidak lebih dari sekadar kawan biasa dan jarang-jarang sangat untuk berbual melainkan ditanya olehnya kepada perawat tentang beberapa isu dan soalan berkaitan dengan ilmu dan kemusykilan agama. Perawat bukanlah seorang memiliki ilmu yang hebat tetapi dengan banyak berguru, hanya menjawab setakat kefahaman yang telah diajar oleh arwah-arwah tuan-tuan guru mursyid. Pada masa itu, perawat sendiri pun tidak tahu bahawa ibu tunggal ini telah terkena minyak guna-guna angkara perbuatan seorang suami orang.

Hinggalah pada suatu masa, bulan Mac 2011, perawat menerima mesej daripada ibu tunggal tersebut meminta didoakan keselamatannya menunaikan umrah, selamat pergi dan pulang. Perawat mendoakan kesejahteraannya semoga tenang dan diterima ibadahnya di Masjidil Haram.

Dipendekkan cerita, suatu petang selepas berangkatnya ibu tunggal tersebut menunaikan umrah, perawat sedang duduk makan di meja makan di rumah, tiba-tiba perawat terlihat gambaran Kaabah yang besar di hadapan mata ketika tengah menjamah makanan dan dengan sendirinya airmata kerinduan keluar mengalir dari mata. Situasi tersebut berlaku secara spontan dan dalam beberapa saat sahaja membuat perawat jadi bingung, apakah petunjuk sebenar yang nak disampaikan oleh Allah kepada perawat. Walaupun setelah beberapa hari, perawat masih lagi dilema dengan kejadian aneh yang telah berlaku pada diri sendiri ketika itu.

Setelah selesai melaksanakan umrah, sekembalinya ibu tunggal tersebut ke tanahair, dia meminta untuk berjumpa dengan perawat di Nilai, Negeri Sembilan. Pada mulanya perawat agak keberatan kerana perawat tidak berapa kenal dia dan bagaimana rupa dia. Begitu juga dengan dia tidak mengenali perawat secara khususnya. Namun setelah beriya-iya minta berjumpa, akhirnya Allah menggerakkan hati perawat untuk berjumpa dengannya.

Pada hari yang dijanjikan, perawat telah menunggu di tempat yang dijanjikan untuk berjumpa, dan ketika berjumpa, ibu tunggal tersebut seperti tercengang dan terkejut ibarat baru ternampak hantu ketika melihat diri perawat. Kemudian perawat dibawa ke sebuah restoran makanan. Melihat seperti dia masih dalam keadaan terkejut, perawat bertanya, apa masalah yang dihadapinya. Dia mula menceritakan, ketika dia telah selesai melakukan tawaf, dia berdoa bersungguh-sungguh di hadapan Kaabah meminta pertolongan Allah agar diberitahu siapakah yang boleh merawat dirinya yang menanggung sakit misteri akibat perbuatan jahat orang. Katanya dah hampir setahun dia hanya dapat tidur 2 jam sehari dan baki jamnya dia sentiasa menangis, angau dan teringat-ingat pada suami orang yang dikenalinya walaupun tidak wujud rasa rindu.

Katanya lagi, ketika bersungguh-sungguh itulah Allah menjelmakan diri perawat berdiri betul-betul di hadapan Kaabah selari dengan jarak dia berdoa. Sebab itulah dia tercengang, terkejut dan tergamam melihat perawat kerana orang yang Allah tunjukkan di hadapan Kaabah itu adalah perawat sendiri. Perawat bertanya kembali tarikh, hari dan masa dia berdoa bersungguh-sungguh dan ternyata sama dengan tarikh, hari dan masa perawat sedang makan di meja makan di rumah di mana perawat digambarkan Kaabah di hadapan mata.

Setelah diceritakan akan masalah yang dihadapi, perawat dengan rendah hati menasihatinya agar mencari perawat berdekatan untuk merawat pulih perbuatan minyak guna-guna tersebut. Setelah dua kali ibu tunggal tersebut dirawat oleh perawat berdekatan dengan rumahnya, keadaan dirinya masih tetap sama dan tiada perubahan. Akhirnya dia telah putus ubat dengan perawat tersebut dan merayu bersungguh-sungguh agar perawat mengubati dirinya kerana itulah petunjuk yang telah dia dapat di hadapan Kaabah.

Akhirnya perawat bersetuju merawat pulih diri ibu tunggal tersebut. Setelah air mandian dan hal-hal perubatan dilaksanakan, ibu tunggal tersebut diarahkan perawat supaya mandi serta-merta untuk terus membatalkan minyak guna-guna tersebut. Setelah selesai mandi dan sempurnakan diri, ibu tunggal tersebut memberitahu gangguan angau dan teringat-ingat suami orang tersebut hilang serta-merta dan keadaannya kembali normal. Walaupun begitu, dia dinasihatkan supaya mandi tiga hari berturut-turut air mandian yang telah didoakan untuk tawarkan dan batalkan kesan minyak guna-guna tersebut.

Alhamdulillah, dia dapat tidur kembali seperti biasa, tiada lagi menangis, angau dan teringat-ingat lagi pada suami orang tersebut. Adalah dinasihatkan terutama pada perempuan, berhati-hatilah dalam memilih kawan terutamanya lelaki yang tidak dikenali untuk berjumpa di luar, dikhuatiri terjadi perkara yang tidak diingini tanpa pengetahuan sesiapa. Dan pandai-pandailah dalam memilih kawan agar mendapat kawan-kawan yang dapat memberi manafaat pada diri kita.

Itulah antara pengalaman misteri dan aneh serta merawat pulih seseorang yang terkena minyak guna-guna angkara perbuatan jahat orang...berhati-hatilah!!

...akan bersambung lagi dengan pengalaman-pengalaman lain yang dilalui oleh perawat...

~ Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo ~

*Pengalaman Misteri,Aneh,Ganjil,Pelik tetapi Benar Eps 03*

PEMINTA SEDEKAH MISTERI DAN GHAIB DI MASJID

Mungkin ada di antara anda yang pernah melalui pengalaman sebegini selain mungkin pernah menjadi imam kepada jin-jin Islam seperti yang telah diceritakan perawat dalam kisah sebelum ini.

Ini antara salah satu pengalaman perawat sendiri mengalami kejadian aneh yang membuat perawat muhasabah kembali.

Kisah ini berlaku pada awal tahun 1999. Ketika itu, perawat bekerja di negeri Pulau Pinang sebelum bertukar kerja ke Kuala Lumpur pada tahun 2000.

Tahun 1997 adalah merupakan tahun ekonomi gawat Malaysia pada masa itu dan keadaan ekonomi menjadi lebih kritikal pada tahun 1998 dan 1999 sebelum mula pulih membangun pada tahun 2000. Ketika itu, tahun 1999, perawat pernah bekerja sebagai seorang remiser di Georgetown dengan sebuah syarikat saham komoditi (telah ditutup selepas itu). Ramai pelabur saham mengalami kerugian di mana banyak saham syarikat merudum dan syarikat-syarikat gulung tikar selain individu-individu pelaburan hilang pendapatan.

Desakan dari tidak adanya lagi pelabur-pelabur yang berani untuk melabur dalam saham komoditi, perawat tiada pilihan lain selain terpaksa berhenti kerja disebabkan tiada gaji dan hanya bergantung kepada pendapatan komisen sahaja pada masa itu.

Disebabkan tiada pendapatan tetap, segala duit simpanan termasuk ASB telah dikeluarkan perawat untuk sarahidup sebulan dua selain membayar kos rumah sewa, bil api dan air, dan petrol (ketika itu motosikal C70). Sambil mencari pekerjaan lain, agak susah untuk diterima memandangkan banyak syarikat memberhentikan pekerja bagi mengurangkan kos.

Dalam keadaan terdesak di mana perawat pernah tinggal hanya RM2 di dalam dompet, maka di masjid lah perawat banyak menghabiskan masa sebagai tempat berehat setelah ke hulu ke hilir mencari kerja tetapi tidak dapat.

Pada masa kritikal itu, perawat telah singgah di satu masjid berhampiran Bukit Jambul Pulau Pinang, menunaikan solat asar dan solat hajat dengan bersungguh-sungguh memohon pertolonganNya kerana pada masa itu, keadaan perawat sudah hampir tiada pendapatan dan hanya memiliki RM2 di dalam dompet.

Setelah selesai dan ketika hendak melangkah keluar dari masjid, entah dari mana, ada seorang peminta sedekah sedang duduk di tepi pintu masjid sebelah dalam. Lalu dia hanya meminta RM2 sahaja untuk makan. Perawat bertanyakan peminta sedekah tersebut sudah berapa hari dia tak makan. Maka dijawabnya, sudah tiga hari dia kelaparan.

Kerana simpati dan tak sampai hati, perawat menghulurkan RM2 yang terakhir ada dalam dompet dan perawat terus keluar menuju ke motosikal. Sebelum motosikal bergerak, perawat sempat menunggu sebentar untuk melihat ke mana arah tujuan peminta sedekah tersebut. Hampir 7-8 minit menunggu, peminta sedekah masih belum keluar dari masjid tersebut membuatkan perawat mematikan enjin motosikal dan tergerak hati untuk mencari peminta sedekah tersebut.

Yang anehnya, tiada sesiapa pun yang berada di dalam masjid tersebut dan hanya satu pintu itu sahaja jalan keluar sedangkan pintu-pintu lain dikunci. Perawat cuba mencari peminta sedekah tersebut di sekitar masjid termasuk tandas, tapi tidak ketemu seorang pun.

Kemudian perawat telah pergi bertemu seorang sahabat di Sg Ara serta menceritakan pengalaman misteri yang baru berlaku selain meminta sedikit bantuan kewangan. Alhamdulillah, sahabat ini membantu perawat dengan sekeping duit RM50. Dari situlah, perawat kembali maju dan mendapat pekerjaan tidak jauh dari masjid tersebut hanya dalam tempoh tak sampai seminggu.

Itulah rahsia sedekah jika keikhlasan dari hati adalah sepenuhnya, ada jalan keluar dari belenggu masalah yang akan diberi petunjuk olehNya dengan jalan kesabaran.

Mungkin ada di antara anda juga yang pernah mengalami peristiwa misteri seperti ini??! Siapakah peminta sedekah misteri yang ghaib di dalam masjid itu??!

...akan bersambung kisah-kisah pengalaman misteri dan aneh yang dilalui oleh perawat sendiri...

~ Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo ~

*Pengalaman Misteri,Aneh,Ganjil,Pelik tetapi Benar Eps 02*

PENGALAMAN MENJADI IMAM KEPADA JIN ISLAM

Allah berfirman :

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (Adz-Dzariyaat : 56)

Sinonim dengan kaum jin, pasti ramai yang tahu di antaranya terdapat golongan jin-jin Islam yang boleh dikatakan sentiasa ada di masjid-masjid atau surau-surau yang terbina di atas mukabumi Allah.

Tiga peristiwa pernah terjadi kepada perawat lebih kurang tahun 2011 yang lalu di mana perawat pernah menunaikan solat maghrib di tiga buah masjid yang berlainan di mukim Kuala Lumpur dan tiga hari yang berlainan.

Ketika itu, perawat tidak sempat untuk berjemaah maghrib bersama dengan tok imam disebabkan kesesakan jalan raya dan kekangan masa untuk sampai ke masjid pada masuk waktunya. Jadi perawat selalunya akan memilih lokasi di tiang-tiang masjid untuk menunaikan solat fardhu maghrib bersendirian.

Tatkala perawat mengangkat takbiratulihram, tiba-tiba bahu kanan seperti dicuit dengan jari menandakan ada jemaah yang ingin menjadi makmum di belakang dan terdengar suara seseorang mengangkat takbiratulihram. Maka perawat bertukar niat menjadi imam.

Perjalanan solat adalah seperti biasa tanpa sebarang gangguan hingga ke penghujungnya. Selesai memberi salam dan terdengar juga makmum memberi salam, perawat sekadar menoleh untuk melihat ke belakang, untuk mengetahui berapa orangkah makmum yang berada di belakang.

Agak terkejut dan terkilan sedikit bila perawat mendapati, tiada sesiapa pun yang berada di belakang menjadi makmum padahal di awal dan akhir solat fardhu memang ternyata benar terdengar suara orang mengangkat takbir dan memberi salam akhir.

Peristiwa ini terjadi tiga kali di tiga buah masjid yang tidak sama dan tiga hari yang berlainan. Dalam ketiga-tiga pengalaman ini, memang ternyata benar bahu kanan perawat dicuit jari, terdengar suara makmum mengangkat takbir dan memberi salam di hujung solat.

Mungkinkah ada di antara anda pernah mengalami kejadian ini??!!..

...akan bersambung kisah pengalaman-pengalaman aneh, misteri dan luarbiasa yang dilalui oleh perawat...

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

*Pengalaman Misteri,Aneh,Ganjil,Pelik tetapi Benar Eps 01*

JIN ASYIK

Mungkin bagi mereka yang kurang ilmu pengetahuan atau tidak mempercayai makhluk ghaib mahupun yang hanya percaya pada fakta apa yang boleh dilihat sahaja boleh diterima akal, akan ketawa atau menganggap perkongsian ini hanyalah rekaan semata-mata. Apapun terpulang pada penilaian dan pengalaman masing-masing dalam kesimpulan.

Apakah yang dikaitkan dengan gangguan jin asyik dalam perubatan Islam?

  “Jin Asyik” dikategorikan sebagai jin yang menyukai, menyintai dan menjadikan manusia-manusia tertentu sebagai idola, pujaan atau kekasih mereka. Ada antara kes yang serius sehingga jin-jin itu bersetubuh atau berkahwin dengan manusia sehingga melahirkan anak-anak jin.

  Mangsa-mangsa terdiri dari pelbagai latarbelakang, ada di antara mangsa ialah mereka yang terkenal seperti artis-artis pujaan, wanita-wanita yang suka bersolek berlebih-lebihan dan yang suka mendedahkan aurat, ada mangsa dikalangan orang biasa yang mempunyai sejarah bersaka, ada juga dalam kalangan orang-orang yang rajin beramal ibadat tanpa berguru. Ini tidak bererti mereka yang berjawatan besar atau memegang jawatan lain sekalipun penghantar surat tidak terkecuali dari terkena gangguan dan godaan jin asyik.

  Jangan terperanjat jika dikatakan ahli-ahli tareqat, para hafazan, ustaz atau yang berpendidikan ilmu agama juga perlu berhati-hati, kerana ada di antara jin-jin asyik meminati mereka yang kuat berzikir dan banyak amalan kebaikan, apatah lagi mereka yang mengaku sebagai ahli hakikat atau ahli makrifat, kita perlu banyak meng-islah diri dan berwaspada, kerana itulah apa jua pengalaman rohani dan kedapatan di dalam zikir perlu dirujuk kepada guru yang mursyid, dikhuatiri jin-jin yang suka “menolong” ini mengelirukan anda di alam ghaib dan alam rasa, apatah lagi alam rahsia. Sedangkan para wali Allah juga diuji akan keimanan dan ketaqwaan mereka, apatah lagi manusia yang masih bernafsu amarah, lawammah dan mutmainnah tidakkah mereka diuji?

  Perawat-perawat juga tidak ketinggalan berkemungkinan menjadi idola kepada puak-puak jin yang kagum dengan kejantanan anda bertarung dengan jin-jin gangguan, apatah lagi jika anda suka bersifat ria’ dan ‘ujub. Kesimpulannya sesiapa sahaja boleh terdedah kepada masalah ini.

 Kebiasaannya tahap-tahap gangguan yang dihadapi adalah bergantung kepada individu-individu itu sendiri. Kekuatan diri seseorang tidak sama diantara satu sama lain, ada yang lemah dan ada yang kuat. Kekuatan rohani yang lemah, menyebabkan jin-jin yang samseng ini membuli individu-individu tersebut, sehingga ke tahap menodai mangsa. Mereka boleh tinggal dan mempengaruhi diri mangsa dalam kehidupan seharian sehingga kadar tujuh puluh peratus malahan boleh mencapai hingga sembilan puluh peratus.

  Jika kekuatan diri bertahap sederhana, kemungkinan jin-jin asyik ini dapat mempengaruhi mental dan emosional. Ini boleh menyebabkan kehidupan seharian kadang kala terganggu, apabila fizikal anda lemah emosi menjadi tidak stabil, fikiran kusut dan tidak dapat fokus. Kadang kala jin-jin ini berjaya juga bermastautin di dalam tubuh badan mangsa, seperti di kepala, dada, perut, belikat dan lain-lain tempat yang berkemungkinan.

 Jika kekuatan diri atau rohani seseorang itu tinggi, berkemungkinan jin-jin asyik yang meminati mereka adalah di kalangan jin-jin yang beretika dan memahami hak-hak asasi manusia, oleh itu jin-jin ini hanya memerhati dari jauh atau mengekori sahaja tanpa mengganggu kehidupan mangsa.

 Kebanyakan kes-kes gangguan jin asyik tidak disedari oleh pesakit sehinggalah mereka datang untuk mendapatkan rawatan pemeriksaan. Kebiasaannya ini disedari setelah pesakit sudah mula merasakan bahang-bahang masalah dan gangguan yang menimpa mereka.

  Di antara simptom gangguan jin asyik yang biasa ialah, berat jodoh, sentiasa ada halangan di dalam perhubungan cinta, pertunangan dan perkahwinan, kerap sakit kepala, kerap mimpi bersama (bersetubuh), kerap mimpi berkahwin, kerap letih lesu dan malas, kerap memarahi dan membenci pasangan, kerap mimpi kanak-kanak atau bayi, bagi yang perempuan kerap mimpi melahirkan anak, ada juga sampai ketahap mangsa dirogol dan dinodai jin, kebiasaannya yang menjadi mangsa adalah kaum wanita.

Fakta tentang Jin Asyik

1. Jin asyik secara ringkasnya ialah jin yang jatuh cinta dengan manusia.
2. Antara yang paling bahaya: susah dikeluarkan dan ganas.
3. Biasanya jatuh hati kepada orang yang baik
4. Bukan hanya berlaku kepada orang bujang, tapi juga yang telah berkahwin
5. Mangsa kebiasaannya perempuan, tapi lelaki pun ada yang jadi mangsa
6. Kemungkinan jin itu yang memang berada di rumah mangsa, jin yang lalu dan ternampak, atau jin yang memang dihantar untuk menyihir mangsa, tapi berubah tujuan kerana jatuh cinta.

Antara sebab Jin Asyik boleh jatuh cinta

1. Suka bertelanjang ketika di rumah atau ketika mandi
2. Jin ternampak mangsa ketika berada dalam bilik air
3. Tidak membaca doa sebelum bersama isteri
4. Selalu tidur berseorangan. Contoh orang bujang tinggal seorang diri di rumah. (tiada rakan serumah)

Antara tanda kehadiran Jin Asyik

1. Isteri mengamuk tetiba bila tengok perempuan lain mendekati suami
2. Adakalanya jin asyik hanya berada di rumah, mangsa di luar baik, bila di rumah ada saja yang tak kena.
3. Sering mimpi bersama dengan suami/isteri/orang yang tak dikenali.
4. Mendengar nafas di tempat tidur, terasa ada seseorang tidur bersama.
5. Badan selalu lesu, sebab selalu didakap/ditindih jin asyik.
6. Jadi tak suka bercakap banyak / seorang pendiam dan mengasing diri.
7. Selalu mimpi naik pelamin / hamil.
8. Selesa duduk menyendiri.
9. Terasa alat kelamin disentuh semasa tidur.

Antara kesan gangguan Jin Asyik

1. Boleh menyebabkan berat jodoh, atau berkahwin tapi anak jadi sangat degil
2. Dipinang orang tapi selalu tak jadi sebab jin asyik berusaha menghalang perkahwinan
3. Sentiasa timbul riak pada diri sendiri dengan khayalan atau perbuatan seperti berselfie, berhias untuk tontonan, sifat menunjuk-nunjuk akan diri sendiri dan sebagainya yang terjadinya kerana bisikan-bisikan halus di dalam hati dan minda.

Jika anda, anak anda, saudara mara anda, rakan anda atau sesiapa sahaja yang mengalami simptom sedemikian, mungkin anda telah diganggu atau digoda oleh jin asyik. Jangan biarkan masalah menjadi lebih parah jika gangguan berterusan. Berikhtiarlah dengan merujuk kepada pakar atau perawat Islam untuk dirawat.

Wallahua'lam

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

Tazkirah 4

SEGITIGA BERMUDA, SINGGAHSANA IBLIS & MARKAS DAJJAL

“Dari Jabir r.a., Nabi Muhammad SAW bersabda, “Sesungguhnya singgahsana Iblis itu berada di atas lautan. Dia mengutus para syaitan pasukannya. Syaitan yang paling dekat kedudukannya adalah yang paling besar godaannya. Di antara mereka ada yang melapor, "Saya telah melakukan godaan ini." Iblis menjawab, "Kamu belum melakukan apa-apa." Datang yang lain melaporkan, "Saya menggoda seseorang, sehingga ketika saya meninggalkannya, dia telah berpisah (talak) dengan isterinya." Kemudian iblis mengajaknya untuk duduk di sisinya dan berkata, "Sebaik-baik syaitan adalah kamu." (HR. Muslim 2813).


Imam al-Munawi mengatakan, “Sesungguhnya hadis ini merupakan peringatan keras, tentang buruknya perceraian. Kerana perceraian merupakan cita-cita terbesar makhluk terlaknat, iaitu Iblis. Dengan perceraian akan berlaku peristiwa buruk yang sangat banyak, seperti terputusnya keturunan, peluang besar bagi manusia untuk terjerumus ke dalam zina, yang merupakan dosa yang sangat besar kerosakannya dan menjadi skandal terbanyak.” (Faidhul Qadir, 2:408).



Salah satu di antara kesan negatif sihir yang Allah sebutkan dalam al-Quran adalah memisahkan antara suami dan isteri. 
Allah berfirman,
فَيَتَعَلَّمُونَ مِنْهُمَا مَا يُفَرِّقُونَ بِهِ بَيْنَ الْمَرْءِ وَزَوْجِه
Mereka belajar dari keduanya (Harut dan Marut) ilmu sihir yang boleh digunakan untuk memisahkan seseorang dengan isterinya.” (QS. Al-Baqarah: 102).
Imam Ahmad berkata bahawa telah bercerita kepadaku Yunus dari Hammad bin Salamah dari Ali dari Abu Nadhrah dari Abu Said bahawasanya Rasulullah SAW bersabda kepada Ibnu Shayyad: “Apa yang kamu lihat?" Dia menjawab, "Saya melihat singgahsana di atas lautan yang dikelilingi oleh beberapa ular." Maka Rasulullah bersabda: "Dia telah melihat singgahsana iblis.” (HR.Ahmad)


Satelit USA pernah cuba mengesan kawasan Segitiga Bermuda dan didapati seolah-olah ada satu dataran yang luas dan terdapat bunyi yang bising (hirok-pikok) dan tidak dapat difahami bahasa yang diucapkan seperti makhluk asing yang tidak dapat dikesan identiti mereka dan bunyi-bunyi tersebut tidak terdapat di mana-mana keadaan laut yang biasa.

Berlaku satu peristiwa pada tahun 1964, seorang juruterbang Islam dari Malaysia, Kapten Dion Abu Bakar yang pernah belajar penerbangan di Singapore Flying Club, pernah melalui kawasan tersebut (selepas perang Vietnam). Menurut beliau, ketika melalui kawasan Segitiga Bermuda, lautan dan langit tiba-tiba menjadi putih seperti kapas. Tiba-tiba peralatan eletronik pesawat tersebut telah hilang kawalan dan terus menjunam ke laut, juruterbang pesawat tersebut tidak mampu berbuat apa-apa selain hanya ingat kepada Allah lantas beliau melaungkan azan sekuat-kuatnya tiba-tiba peralatan eletronik pesawat tersebut pulih seperti sedia ada dan beliau terselamat dengan izin Allah daripada terhempas di laut Segitiga Bermuda.

Dalam hadis Rasulullah menjelaskan bahawa apabila azan dilaungkan iblis dan syaitan akan lari lintang pukang hingga terkentut-kentut kerana takut terhadap suara azan.

Hadis daripada Abu Hurairah r.a. katanya: Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: “Apabila dilaungkan azan untuk solat, syaitan akan menjauhkan dirinya sambil terkentut-kentut (kerana lari sekuat-kuatnya) sehinggalah tidak terdengar lagi azan. Jika selesai azan itu, syaitan akan kembali lagi sehinggalah iqamah untuk solat diserukan dia akan menjauhkan diri. Sehinggalah selesai iqamah itu baharulah dia kembali lagi sehingga dia melintasi antara seseorang itu dengan dirinya (mengwas-waskan). Dia akan berkata: “Ingatlah begini-begini, ingatlah begini-begini terhadap sesuatu yang tidak sewajarnya diingati, sehinggalah lelaki itu tidak mengetahui berapa rakaat dia bersolat.” (Hadis riwayat al-Bukhari, Muslim, Abu Daud dan an-Nasa’ie)