Tuesday, August 15, 2017

Petikan - Kategori Santau

"Buatan Orang" - suatu ungkapan yang sudah sinonim dalam masyarakat Melayu sejak dulu kala lagi sehinggalah ke hari ini. Gambarannya adalah subjektif dan untuk mengenalinya perlu dinyatakan atau dispesifikasikan jenis buatan orang yang dimaksudkan oleh si pemberitahu. Antara jenis buatan orang yang biasa didengar adalah santau. Mengikut kategori dan tindakbalas santau dari kacamata masyarakat Melayu adalah seperti petikan berikut:

1. Kategori - Santau Angin

Ramuan santau 'dituju' kepada mangsa dari jauh - samada dengan teknik pemujaan atau pun teknik pandangan mata ('ain) dengan melihat mangsa dari jauh. Bagi jenis santau ini, ekemen makanan atau minuman adalah tidak diperlukan sama sekali. Ramuan santau akan 'dihantar dan dimasukkan' secari ghaib ke dalam badan mangsa berkenaan (biasanya perut atau dada) dengan bantuan jin angin.
Dikatakan juga ia dihantar melalui hembusan asap rokok.

Tindakbalas

Pesakit akan mengalami mata merah dan pening-pening seperti rasa nak pecah kepala serta muntah darah dalam tempoh lebih kurang 2 jam dan berisiko untuk mati jika tidak dirawat bagi suatu jangkamasa selain berkemungkinan menjadi busung. Walau apapun, pesakit boleh menjadi lumpuh jika keadaan sudah kritikal memakan diri.


2. Kategori - Santau Api

Dikatakan pelaku menggunakan perantaraan seperti jin atau penanggal yang telah dijadikan khadam suruhan untuk menghampiri mangsa dan diselingkan dengan mentera. Pelaku akan memuja khadam/jin yang menjaga api untuk mematuhi setiap arahan yang diberi.

Tindakbalas

Pesakit akan melihat makhluk yang berterbangan seperti bebola api atau api menghampirinya dan terus ditujukan tepat ke dada pesakit/mangsa yang diburu/dipilih.


3. Kategori - Santau Tanah

Dikatakan pelaku menggunakan gumpalan rambut, kaca, paku, duri, karat besi, miang buluh, barang-barang berbisa dan lain-lain yang dibacakan mentera kemudian ditanam ke dalam tanah berhampiran atau rumah pesakit/mangsa yang dituju.

Tindakbalas

Apabila mangsa terpijak atau terlangkah atau melepasi barang-barang yang telah ditanam, mangsa akan terjatuh/rebah dan terlihat suatu bayangan hitam menghampirinya dan akan berasa sesak nafas serta muntah/muntah darah selain pengsan atau koma atau lumpuh atau membawa kepada kematian jika tidak dirawat dalam suatu jangkamasa.


4. Kategori - Santau Air

Pelaku akan membaca mentera atau jampi serapah atau seru atau puja yang diselangi nama mangsa dan menggunakan wirid dari ayat-ayat al-Quran yang diterbalikkan bacaannya. Semua perbuatan ini dibacakan pada air dan ia diberikan kepada mangsa yang dituju secara perangkap atau muslihat tanpa disedari oleh mangsa akan air tersebut.

Tindakbalas

Mangsa/Pesakit berasa terhoyong-hayang, dada berasa sempit, berasa sesuatu memberati pesakit di antara bahu dan tengkuk belakang, berasa nak pitam, rebah dan meracau-racau tidak keruan. Boleh membawa kepada lumpuh atau kematian jika tidak dirawat dalam suatu jangkamasa.


5. Kategori - Santau Pujangga

Pelaku menggunakan kepingan gambar mangsa, rambut mangsa, pakaian dalam mangsa atau barang peribadi mangsa. Ianya dimasukkan dalam balang kaca dan dicampurkan dengan air kencing, air longkang dan paku serta dibacakan mentera atau jampi serapah ke atasnya.

Tindakbalas

Mangsa tiba-tiba akan mengalami sesak nafas yang teruk, rasa tidak berpijak di bumi, batuk berdarah, kemaluan hanyir serta busuk dan berkemungkinan memuntahkan serpihan paku.


6. Kategori - Santau Keramat

Pelaku akan menggunakan tali pusat bayi yang meninggal dunia, gambar mangsa, rambut mangsa dan disatukan di dalam balang yang bercampur dengan serpihan kaca, batu, paku serta dawai-dawai halus. Kemudian semua bahan ini dicampurkan dengan bancuhan air kapur sireh bersama air kencing.

Tindakbalas

Mangsa akan muntah darah dalam keadaan serta merta, keluar segala serpihan kaca dan segala bahan yang telah dijampi dalam kaedah santau keramat. Pesakit akan terseksa dan menderita jika tidak dirawat dan boleh membawa kepada kematian.


7. Santau Makan/Minum


Ramuan santau dimasukkan ke dalam makanan atau minuman secara zahir oleh manusia atau pun secara ghaib dengan menggunakan khidmat jin (khadam). Mereka yang mengambil makanan/minuman tersebut akan menjadi mangsa santau.

Tindakbalas

Mangsa/Pesakit berasa dada berasa sempit, berasa nak pitam, rebah dan meracau-racau tidak keruan. Boleh membawa kepada lumpuh atau kematian jika tidak dirawat dalam suatu jangkamasa.


8. Santau Tuju

Santau tuju ini biasanya dilakukan oleh pengamal ilmu hitam bertaraf tinggi. Santau tuju ini adalah sangat kuat dan boleh membunuh mangsa dengan serta merta; atau sekurang-kurangnya penyakit parah akan menyerang mangsa (seperti muntah darah) dengan serta merta. Santau tuju biasanya dilakukan di waktu selepas tengah malam dengan pemujaan ke atas pakaian, rambut atau barang peribadi pesakit.


9. Santau Langkah

Santau langkah 'dikenakan' kepada mangsa dengan menanam atau meletakkan ramuan santau atau bahan lain seperti duit syiling (atau apa-apa logam yang kecil) yang telah dibacakan mentera jin dan syaitan; di pintu pagar rumah, bawah tangga rumah atau pintu pejabat. Mangsa yang melangkah 'barang' tersebut akan menerima kesan sebagaimana orang yang terkena santau angin.


10. Santau Batuk

Santau batuk ini adalah peringkat awal mereka yang terkena serangan santau. Mangsa akan mengalami batuk yang berterusan walaupun telah banyak mengambil ubat batuk (perubatan moden); kadangkala diiringi dengan sakit kepala. Santau kadangkala tidak memberi kesan yang serius seperti kerosakan organ dalaman mangsa. Ini berkemungkinan berlaku kerana tidak diizinkan oleh Allah SWT atau mungkin tukang sihir atau penghantar santau tidak melakukan 'penghantaran' santau dengan sempurna mengikut kehendak jin dan syaitan berkenaan. Mangsa yang terkena santau batuk ini masih mempunyai harapan tinggi untuk disembuhkan sepenuhnya melalui rawatan dan perubatan Islam dengan segera dan cepat.

No comments:

Post a Comment