"Kerasukan" dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesianya disebut "Kesurupan" adalah suatu fenomena yang berlaku di saat seseorang berada di luar kawalan pemikirannya sendiri. Ada beberapa faktor yang menyebabkan terjadinya kerasukan/kesurupan ini antaranya pesakit seorang yang lemah semangat, tidak berzikir dan beramal ibadat, lemah kekuatan rohani, bala dari Tuhan atas perbuatannya sendiri, mencabar alam ghaib, mengganggu atau memusnahkan hakmilik makhluk ghaib, saja-saja mencari pasal dengan alam ghaib, buatan bomoh-bomoh/dukun-dukun yang diupah supaya mangsa dirasuki dan banyak faktor lain yang subjektif.
Pengalaman jejak rawatan perawat kali ini menangani satu kes pesakit kerasukan jin siam bertempat di Teluk Kumbar, Pulau Pinang. Kes berlaku pada bulan Jun 2017 iaitu masih lagi di dalam bulan Ramadhan baru-baru ini di mana pesakit bersama rakannya minta berjumpa untuk mohon diikhtiarkan oleh perawat bagi menyelesaikan isu jin siam yang masih merasuki tubuh badan pesakit dari masa ke semasa.
Mengikut temubual antara pesakit dan perawat, tempoh berlakunya isu kerasukan ini telah berlarutan selama lebih 4 tahun. Bila ditanya adakah sudah ikhtiar berubat dengan perawat-perawat lain untuk menyelesaikan kes ini, pesakit menyatakan telah ramai perawat yang mencuba. Ada perawat yang terus menyerah diri, ada yang terus diam tidak mahu dihubungi kerana tidak dapat menyelesaikan kes, ada yang kata telah bunuh jin siam tersebut tetapi masih ada lagi jin siam ini dan boleh dikatakan selama 4 tahun ini bermula dari tahun 2013 hingga 2017, kesemua perawat yang telah dijumpai, menyerah diri dari meneruskan kes kerasukan ini. Sehingga pesakit telah putus harapan untuk berikhtiar merawat diri disebabkan tidak ada seorang perawat pun yang mampu menyelesaikan masalah dirinya. Kebetulan pesakit ini telah menyaksikan perawat telah merawat beberapa pesakit termasuk ibunya yang dikatakan terkena santau makan, pulih sepenuhnya, dari asbab itulah dia berasa ingin berikhtiar dengan perawat pula mudah-mudahan ada kesembuhan.
Antara tanda-tanda yang berlaku pada pesakit adalah pesakit kerasukan 100% tidak sedar diri, rasa diperhatikan di dalam dan di luar rumah, selalu mimpi buruk seperti bayi, orang tua, sungai kotor, terjaga tengah malam tanpa sebab, terdengar orang bersembang di tengah malam tetapi tiada orang, pernah dengar namanya dipanggil-panggil tetapi tidak kelihatan orang yang memanggil, ditindih banyak kali ketika tidur, sakit kepala bila rasa panas yang tidak menentu dan badan rasa sejuk antara 9 malam ke 12 tengah malam.
Selepas habis ditemubual dan mendapatkan beberapa maklumat yang diperlukan, maka perawat meminta izin kepada pesakit supaya mengizinkan jin siam tersebut untuk masuk ke dalam badannya apabila dipanggil oleh perawat. Pesakit pada mulanya agak sangsi tetapi perawat menyatakan dengan izin Allah isu ini dapat diselesaikan seberapa segera. Akhirnya pesakit yakin dan membenarkan.
Sesi rawatan bermula, perawat memulakan pembukaan dan terus memanggil jin siam tersebut masuk ke tubuh pesakit, serta merta ia hadir. Jam menunjukkan pukul 1130 malam di rumah pesakit. Perawat memulakan sesi berdialog:
Perawat: Assalamualaikum, sapa ni? Assalamualaikum sapa yang masuk ni? Kalau kamu Islam, tolong jawab salam saya...
Jin Siam: (berdiam diri dan geleng-geleng kepala seperti orang berkhatib)
Perawat: Kalau kamu takmau bagi kerjasama, aku akan seksa kamu atau bunuh kamu. Kamu mau mati?
Jin Siam: (menggeleng-gelengkan kepala dan masih berkhatib)
Perawat: Macam ni la..kalau kamu takmau cakap, aku bunuh saja la kamu ni..aku pun takmau buang masa dan takmau orang ni terseksa sebab perbuatan kamu..boleh??! Kalau mulut kamu dikunci, aku boleh bukakan kunci tu..mau tak??
Jin Siam: (gelengkan kepala dan membisu)
Maka perawat terus serta-merta bangun dan menyembelih sekali leher jin. Secara tiba-tiba terperanjat jin siam tersebut lalu melompat bangun membuka gerak silat. Tapi sayang, gerak silatnya sumbang tidak berseni. Perawat masih lagi bertenang menghadapi situasi. Kemudian menyambung sesi dialog...
Jin Siam: (berbicara bahasa Siam yang mengikut perkiraan perawat ia berkata "Kenapa kamu nak bunuh aku... aku tak bersalah. Aku telah dihantar oleh bomoh siam untuk duduk dalam tubuh orang ini. Aku tak bersalah... jangan sembelih aku...)
Perawat: Ooo..boleh cakap. Aku ingatkan bisu...tadi aku tanya kamu diam..dah kena sedas, baru nak cakap..sudah..sudah..duduk..tak payah bersilat...langkah pun sumbang..mai duduk sini aku nak sembang..
Jin Siam: (masih bersilat sumbang)
Perawat: (terus cederakan sebelah tangan dan kaki jin) Aku cakap duduk...duduk...karang aku bunuh terus, apapun tak boleh..(terus jerkah jin secara berseloroh)
Rakan dan adik-beradik pesakit tergelak-gelak tengok perawat berseloroh dengan jin siam...Kemudian jin siam tersebut terus duduk di depan perawat..
Perawat: Pasai apa kamu kacau budak ni..apa salah dia..cuba cerita kat aku...
Jin Siam: (berbahasa siam yang mengikut perkiraan perawat,"Aku tak kacau dia ni, aku dihantar oleh bomoh untuk kenakan ayah dia, tapi aku tak boleh masuk badan ayah dia. Dalaman dia (ayah pesakit) kuat. Jadi aku balik jumpa bomoh tu, aku bagitau aku tak boleh masuk. Jadi aku disebat oleh bomoh, paksa aku rasuk jugak ayah dia ni...dah tak boleh..aku takut nanti aku balik aku diseksa, jadi aku masuk orang ni sebab dia lemah (lemah semangat)..")
Perawat: Kat mana rumah kamu?
Jin Siam: (berbahasa siam,"Rumah aku di depan rumah sebelah (jiran) ni, tapi ayah dia (pesakit) datang cerahkan kawasan tanah sini (ditunjuk keliling dalam satu diameter) tak minta izin. Rumah aku pun habis. Aku marah tapi tak boleh buat apa-apa,aku jadi gelandangan pusing keliling kawasan sini...")
Perawat: Ooo...jadi kamu pun teraniaya jugak ni..aku tak boleh bunuh kamu sebab kamu teraniaya tapi aku nak tolong kamu dengan syarat tolong bagi kerjasama dengan aku.
Jin Siam: (bahasa siam,"Baik, baik..(sambil mengangguk))
Perawat: Sekarang cuba cerita dari mula, apa yang sebenarnya berlaku sampai kamu duduk dalam badan dia.
Kemudian jin siam itu memegang tangan perawat, membawa perawat ke pintu depan. Di satu sudut, jin siam itu tunjukkan di mana rumah asalnya yang telah dimusnahkan oleh ayah pesakit kerana mendirikan beberapa rumah. Kemudian ia mula bercerita satu persatu tentang kemelut yang berlaku dalam keluarga pesakit sehingga banyak rahsia terbongkar kepada perawat. Setelah selesai, perawat sambung semula sesi dialog...
Perawat: Baik, sekarang semua orang dalam rumah ni dah dengar, masing-masing tau punca yang berlaku. Sekarang ni, kamu nak pi mana?
Jin Siam: (membuat isyarat tangan tidak tahu)
Perawat: Nak aku lepaskan, kamu pi cari tempat lain untuk tinggal?
Jin Siam: (berbahasa Siam,"Takmau..takmau..aku takut bomoh siam nanti seksa aku..aku takmau..aku nak duduk dalam badan dia (pesakit)..")
Perawat: Meh..jom..jom masuk bilik, aku nak sembang.
Jin siam pun mengikut masuk bilik dan duduk di tempat tadi.
Perawat: La ni aku betul-betul nak tolong kamu, kalau kamu tak boleh bagi kerjasama, aku terpaksa bunuh kamu sebab kamu mengganggu orang ni..tolong bagitau tempat yang kamu nak duduk, aku tolong hantar..
Jin Siam: (isyarat tangan tidak tahu hendak ke mana)
Perawat berfikir sejenak untuk sarankan pada jin siam tempat yang boleh menjamin keselamatannya..
Perawat: Apa kata aku ajar kamu masuk Islam, aku bagi sikit penerangan tentang Islam kemudian aku hantar kamu ke Mekah atau Madinah...nanti carila jin-jin Islam di sana supaya kamu boleh mendalami agama Islam..
Jin Siam: (berbahasa siam,"Aku taknak masuk Islam, aku Buddha, aku taknak Islam..")
Perawat: Baik. Kalau macam tu, aku hantar kamu ke tokong buddha yang kamu mau..amacam..boleh?
Jin Siam: (berbahasa siam sambil mengangguk,"Ya ya aku mau..sana aku boleh sembah Buddha..(sambil tangan dia buat isyarat cara sembah buddha)..")
Perawat: Sekarang bagitau aku, tokong mana yang kamu nak..sebut nama tokong tu..aku nak dengar..
Jin Siam: (berbahasa siam,"Aku nak pi tokong Namkhorn..")
Perawat: Apa Hon?
Jin Siam: Namkhornnn..
Perawat: Apa Hon?
Jin Siam: Namkhorn..! Namkhorn..! Namkhorn..!
Macam tak puashati saja jin tu bila perawat saja buat macam iklan kosmetik Nurraysa..rakan dan ahli keluarga yang menyaksikan tergelak-gelak tengok perawat berseloroh..
Perawat: Baik. Sekejap lagi aku akan buka portal, ikut mana yang kamu nak keluar...kaki, tangan, perut..
Jin Siam: (tunjuk pada mulut)
Perawat: Baik. Ingat pesanan aku ni..kamu kena bersumpah tak akan ganggu lagi orang ni selepas aku hantar kamu ke tokong Namkhorn..sekali lagi orang ini panggil aku dan aku tengok kamu masih ganggu dia, aku tak bagi peluang kedua dah, terus aku bunuh kamu..faham!!.
Jin Siam: (berbahasa siam sambil tangan menyembah-nyembah,"Aku faham..aku janji tak akan ganggu dia lagi..terima kasih kerana tolong aku..terima kasih..terima kasih..)
Maka perawat membuka portal terus ke tokong Namkhorn.
Perawat: Sekarang kamu nampak tokong Namkhorn tu..nampak tak?
Jin Siam: (mengangguk kepala)
Perawat: Baik. Lepas aku lafaz Bismillah nanti, kamu terus keluar ikut mulut dan masuk portal tu...Bismillahirrahmanirrahim..
Pesakit rebah dan perawat terus menutup portal. Jam menunjukkan pukul 1230 malam. Dalam beberapa minit, pesakit sedar kembali dan terus muntah. Kerana banyak memakan durian selepas buka puasa, pesakit memuntahkan kesemua durian dalam perutnya sehingga berbau durian satu rumah. Perawat masih merawat pesakit untuk dipulihkan sehingga dia stabil sambil berbual-bual dengan rakan dan adik-beradiknya. InsyaAllah, pesakit ini pulih tiada gangguan lagi. Jika ada, mereka diminta untuk menghubungi perawat semula. Sehingga ke hari ini, pesakit telah pulih sepenuhnya tanpa ada kerasukan lagi.
Jejak rawatan dan perubatan perawat akan menyelusuri kes gangguan-gangguan yang lain...nantikan episod seterusnya kisah-kisah pengalaman perawat menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar berlaku dalam kehidupan dan masyarakat sejagat..
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#gangguanjin
#jinsiam
#utusansihir
#kerasukan
#dendam
#tamakhartapusaka
No comments:
Post a Comment