Sunday, August 27, 2017

*Mencari Ketenangan*

MENCARI KETENANGAN

Sesiapa saja mampu berkata, "Carilah Ketenangan", "Bawa Bertenang", "Tenangkan Hati Dulu", "Hati Tak Tenang", "Bagaimana Nak Kekalkan Ketenangan" dan sebagainya...

Sebenarnya apa yang dimaksudkan perkataan Ketenangan seperti yang umum sebut-sebutkan itu. Ramai yang mampu berkata lisan tetapi pada hakikatnya tidak faham apa yang mulut luahkan...

Perawat pernah ditanya "Ustaz, macamana kita nak dapat ketenangan hati" dan pernah juga diminta untuk mendoakan si fulan/fulanah bin/binti fulan/fulanah agar mendapat ketenangan. Tidak kurang juga yang nak jadi ustaz atau da'ie yang baru belajar sedikit ilmu tetapi 'ujubnya setinggi langit menasihati orang pelbagai. Tidak lupa juga ramai yang menjadi ustaz terjun, ustazah terjun, da'ie terjun dan pencetus ummah terjun yang hanya baru belajar sedikit ilmu atau merujuk ustaz google atau baru tamat pengajian pembelajaran di dalam negeri dan di luar negara tetapi tidak ada "lesen" atau "kelulusan" atau "restu" muncul di laman aplikasi media sosial ingin mengajar umum dengan "gah" nya yang lain macam.

Ada juga satu komuniti ini yang suka keluar bermusafir mengikut ketetapan hari yang dipilih sehingga meninggalkan keluarga, pernah menasihati perawat untuk keluar bermusafir kononnya dengan cara itu akan membersihkan hati dan mendapat ketenangan walhal rokok berada di jari, asap keluar dari mulut, kata-kata penuh dengan 'ujub, ada juga antara mereka yang suka mengutuk, mengumpat dan merendah-rendahkan diri orang lain termasuk orang-orang 'alim tawadhuk - ahli tasawuf - ahli sufi - ahli ilmu - ahli tauhid - guru mursyid yang sesungguhnya orang-orang ini berguru dengan banyak guru mursyid bertahun-tahun untuk mendalami ilmu akhirat. Tidak ketinggalan juga ada di antara ahli-ahli komuniti ini terlibat dengan perbuatan syirik berjumpa bomoh-bomoh dan dukun-dukun batil semata-mata ingin membalas dendam terhadap orang yang mengenakan sihir atau tuju-tuju pada dirinya, pernah menceritakan perihal dirinya kepada perawat, ketika minta dirawati, dengan perasaan marah dan pantang dicabar, sedangkan mereka-mereka ini banyak yang memakai pakaian sunnah seperti berjubah, berkopiah, berserban, berwangi-wangian, bersugi dan berjanggut tetapi hati dan jiwa mereka ini kosong lagi tiada petunjuk dan hidayah sedangkan mereka masih perasan diri mereka hebat dengan pakaian sunnah tetapi selekeh amalan dan perbuatan.

Antara lain yang perawat pernah bertanya kembali kepada pesakit atau orang yang bertanyakan tentang mencari ketenangan,
- jaga tak solat 5 waktu?
- banyak mengadu pada makhluk atau Yang Maha Mendengar?
- pernah tak buat solat Tahajjud? Atau solat Hajat? Atau solat sunat 2 rakaat di lewat malam?
- bila dapat musibah, kepada siapa dirujuk dahulu?
- bila tertekan perasaan, banyak dengar muzik dan tengok hiburan atau macamana?
- bila nak luah masalah, banyak bebel atau cerita dalam media sosial ka seperti FB, Instagram, WeChat, Telegram dan lain-lain?
- kerap tak minta ampun dan bertaubat?
- macamana dengan istighfar, selawat dan zikir?
- di rumah ada kitab al-Quran tak? (Ada juga yang jawab tak ada langsung). Ada yang jawab Ada tapi dah berhabuk. Ada yang jawab Ada 2-3 tapi simpan dalam almari.
- banyak membebel tak atau mengata yang bukan-bukan atau mengumpat atau asyik buruk sangka pada orang atau bergosip, menyebar fitnah atau bercakap sinis takabbur?
- ada juga perawat melihat di laman sosial FB yang banyak menasihati orang tetapi lupa menasihati diri sendiri dengan mengambil petikan hadis itu dan ini, kata-kata bermadah, mereka-reka ucapan nasihat, bertabarruj (berlebih-lebih berhias selain gaya yang mengghairahkan tetapi nilai diri kosong), menyebarkan perihal orang lain yang tidak kena mengena dengan hidupnya termasuk hal rumahtangga orang, bertujuan supaya umum tahu tetapi sebenarnya menyebarkan aib dan fitnah yang menggandakan dosa kering jariahtun berpanjangan untuk dirinya.

Persoalannya di sini, apa itu ketenangan dan bagaimana hendak mendapat ketenangan hati seperti yang ramai bertanya?

Cuba fahami dan renung-renungkan pengertian ayat-ayat al-Quran di bawah:

Al-Anfaal ayat 10 ertinya:

"Dan Allah tidak menjadikan (bantuan malaikat) itu melainkan sebagai berita gembira dan supaya hati kamu tenang tenteram dengannya..."


Ar-Ra'd ayat 28 ertinya:

“(Iaitu) orang-orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah”. Ketahuilah dengan “zikrullah” itu, tenang tenteramlah hati manusia."

At-Taghabun ayat 11 ertinya:

"Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah; dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar); dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu."

Al-Fajr ayat 27-28 ertinya:

"(Setelah menerangkan akibat orang-orang yang tidak menghiraukan akhirat, Tuhan menyatakan bahawa orang-orang yang beriman dan beramal soleh akan disambut dengan kata-kata): “Wahai orang yang mempunyai jiwa yang sentiasa tenang tetap dengan kepercayaan dan bawaan baiknya!" (27). “Kembalilah kepada Tuhanmu dengan keadaan engkau berpuas hati (dengan segala nikmat yang diberikan) lagi diredhai (di sisi Tuhanmu)!(28)"

Daripada terjemahan ayat-ayat al-Quran di atas, untuk mencari atau mendapatkan ketenangan hati itu bukanlah dengan cara bermusafir dengan ketetapan hari yang dipilih, mengadu masalah atau musibah kepada yang bukan ahlinya, mendengar muzik atau menonton hiburan di media sosial atau massa, atau belajar dari ustaz google atau internet yang kemudian menjadi ustaz/ustazah terjun kepada orang lain dengan 'ujub menunjukkan sedikit kepandaian hasil dari bacaan tanpa perlu berguru dengan guru yang 'arif dalam bidangnya. Dan bukanlah juga bagi mereka yang belajar di universiti di dalam negeri dan di luar negara itu mempunyai kelayakan lulus untuk menjadi ustaz/ustazah terjun dalam laman media sosial sebagai rujukan.

Apa yang utama, muhasabah diri terlebih dahulu mencari kesilapan dan kelemahan diri, perbaiki jalan solat diri masing-masing, carilah guru agama atau guru mursyid dan janganlah diri sendiri bertindak sebagai guru kepada orang lain selagi mana diri sendiri masih lagi berguru dan belum mendapat "lesen" atau "kelayakan" lulus untuk mengajar orang lain tanpa mengambil kira adab-adab berguru dan belajar ilmu. Kembalilah kepada Maha Pemberi Rezeki iaitu dengan mengingatiNya, serta sentiasa memohon ampun selain perbanyakkan istighfar, selawat, zikrullah dan amalan sunat taubat 2 rakaat kerana salah satu sumber dari rezeki itu sendiri adalah ketenangan hati.

Berdampinglah dengan orang-orang berilmu yang berguru, ahli-ahli ibadah, orang-orang soleh, ahli-ahli tasawuf, ahli-ahli zikir, penghafal al-Quran yang berguru, ahli-ahli kerohanian yang benar, ahli-ahli yang telah ditauliahkan oleh guru mursyidnya untuk menyampaikan ilmu, ahli-ahli 'alim yang telah menerima ijazah daripada guru-guru mursyidnya serta orang-orang ikhlas di jalan perjuangan Islam kerana orang-orang ini agak sukar untuk ditemui melainkan diri sendiri bersungguh-sungguh meminta petunjuk untuk diketemukan.

Bagi mereka yang suka dan banyak membangkang golongan Assabiquun Bil Khairaat atau Assabiquun Al Muqarrabuun seperti yang dinyatakan di atas, ketahuilah seperti pengertian ayat di bawah ini:

At-Taubah ayat 29 ertinya:

"Perangilah orang-orang yang tidak beriman kepada Allah dan tidak beriman kepada hari akhirat, dan mereka pula tidak mengharamkan apa yang telah diharamkan oleh Allah dan RasulNya, dan tidak berugama dengan ugama yang benar, iaitu dari orang-orang yang diberikan Kitab (kaum Yahudi dan Nasrani), sehingga mereka membayar “Jizyah” dengan keadaan taat dan merendah diri."

Dari Abi Hurairah r.a. katanya, telah bersabda Rasulullah SAW : Sesungguhnya Allah SWT telah berfirman:

"Barangsiapa yang menyakiti wali-Ku, maka Aku isytiharkan perang kepadanya. Tidaklah hamba-Ku mendekati-Ku dengan suatu pekerjaan yang lebih Aku sukai daripada dia mengerjakan apa yang Aku telah fardhukan ke atasnya. Dan sentiasalah hamba-Ku mendekatkan dirinya kepada-Ku dengan melakukan yang sunat sehingga Aku cinta kepadanya. Maka apabila Aku telah mencintainya, adalah Aku-lah yang menjadi pendengarannya yang ia mendengar dengannya, dan penglihatannya yang ia melihat dengannya, dan tangannya yang ia tamparkan dengannya, dan kakinya yang ia berjalan dengannya; Dan sesungguhnya, jika ia meminta kepada-Ku, nescaya Aku berikan kepadanya; Dan sesungguhnya, jika ia memohon perlindungan kepada-Ku nescaya Aku berikan perlindungan kepadanya."

(Riwayat Imam Bukhari)

Pengertian "Wali" menurut bahasa ertinya qarib yakni dekat. Jadi Wali Allah (kekasih Allah) ialah orang yang sentiasa bertaqarrub (mendekatkan dirinya) dengan Allah. Dan atas sebab maka itulah Imam An Nawawi mengertikan Wali Allah di sini ialah orang yang beriman (mukmin). Jadi mukmin yang tekun beribadat lagi tabah dalam mentaati Allah, melaksanakan suruhan-Nya dan menjauhkan dirinya daripada maksiat serta tidak terlalu mementingkan kesedapan duniawi, inilah yang disebut dengan Wali Allah. Wali Allah ada pada setiap masa dan zaman tetapi mereka susah dikenal pasti. Syarat utama untuk menjadi Wali Allah ialah Iman dan Taqwa.

Bagi sesiapa yang masih lagi tidak dapat meninggalkan maksiat, perbuatan mungkar, perbuatan haram, pengambilan benda-benda haram yang telah jelas pencerahannya, perkataan-perkataan keji seperti mengumpat, menyebar fitnah, mengutuk, menghina dan seumpamanya, mengamalkan sifat buruk hati seperti 'ujub, takabbur, sombong, riya' serta tabarruj iaitu berlebih-lebihan dalam menghias diri dan perbuatan-perbuatan buruk yang lain, menjadi suatu jalan yang susah bagi mereka ini untuk mencari dan mendapatkan apa yang dinamakan Ketenangan Hati. Ucapan lisannya banyak berunsurkan nafsu dan akal yang cetek ilmu selain banyak mengikut rasa-rasa hati bila menasihati orang tanpa ada rujukan atau bimbingan seorang guru yang mendidik.

Mudah-mudahan apa yang perawat cuba sampaikan dan kongsikan, dapat difahami dan dijadikan iktibar muhasabah diri agar diri masing-masing dapat diperbaiki dari masa ke semasa. Walaupun perawat telah banyak berguru, mendampingi ahli-ahli soleh, ahli-ahli zikir, ahli kerohanian yang benar, ahli 'alim, ahli tasawuf, ahli sufi dan mereka yang memiliki ilmu yang luarbiasa, namun masih lagi dirasakan diri perawat serba kekurangan dalam menimba ilmu serta perawat masih lagi mempunyai guru mursyid untuk membimbing dan menjadi tempat rujukan perawat dari masa ke semasa. InsyaAllah.

Seeru 'ala Barakatillah

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

No comments:

Post a Comment