Saturday, August 26, 2017

*Pengalaman Kes Gangguan Saka Keturunan Eps 15*

GANGGUAN SAKA KETURUNAN

Mengimbau kembali pengalaman perawat yang berlaku dalam tahun 1994, ketika sambung belajar di UiTM Arau. Ketika itu usia masih lagi muda tetapi tetap juga perawat mempelajari dan menimba sedikit demi sedikit akan ilmu perubatan termasuk mengkaji beberapa jenis ramuan herba secara tradisional atau kampung yang dapat memberi manfaat kepada pesakit-pesakit yang mengalami penyakit-penyakit kronik di masa mendatang.

Walaupun perawat mengambil kursus yang bukan dalam bidang yang diminati, keinginan dalam jalan ilmu agama, ilmu rawatan, ramuan rawatan herba, perubatan alternatif yang terhebat serta mengkaji ilmu-ilmu rahsia masih terus berjalan dari masa ke semasa di samping bertemu dengan orang-orang yang berkategori atau berlatarbelakangkan manusia luarbiasa. Sehingga beberapa orang guru dan orang luarbiasa yang perawat kenali memberikan nasihat-nasihat, tunjuk ajar serta makluman perkara-perkara ghaib yang akan berlaku sepanjang perjalanan hidup perawat dari masa ke semasa. Pada awalnya perawat menganggapnya pelik kerana hanya perawat saja yang dimaklumkan dan tidak pada rakan-rakan yang sentiasa bersama perawat ketika itu, tetapi dalam mengkaji dan ulangkaji, barulah perawat faham bahawa orang-orang yang memiliki ilmu luarbiasa ini bukan sekadar berkata-kata dari mulut tetapi melihat sesuatu dengan pandangan mata hati terhadap diri perawat.

Ketika tahun itu, di UiTM tersebut, terdapat beberapa gerai makanan yang terletak bersebelahan dengan dewan makan lelaki. Kebiasaannya jika menu makanan yang disediakan di dewan makan lelaki tidak menyelerakan atau masakan cincai (walaupun percuma), ramai yang akan bertandang ke gerai-gerai makanan bersebelahan, termasuk juga dengan pelajar-pelajar perempuan dari lokasi hostel perempuan. Walaupun terpaksa membayar makanan tetapi pada ketika dan tahun itu, makanan di gerai-gerai tersebut sangat-sangat murah berbanding makanan di pusat bandar atau pekan yang berdekatan dengan menu yang sama.

Suatu petang, perawat bersama dengan rakan sehostel, keluar menuju ke dewan makan untuk sesi makan malam seperti kebiasaannya. Beratur panjang, tempat duduk penuh, meja kotor, kebisingan dan rutin makanan dengan menu berjadual adalah perkara-perkara biasa yang akan dilalui oleh setiap pelajar di institusi pendidikan tinggi. Ketika dalam perjalanan ke dewan makan, perawat bertemu dengan beberapa rakan yang lain yang dalam perjalanan pulang ke hostel. Ditanya akan menu makanan, semuanya kata tak sedap dan kuah ceroi kata orang utara yang menunjukkan masakan tersebut dibuat cincai. Perawat dan rakan mengambil keputusan beralih ke gerai-gerai makan bersebelahan dewan makan lelaki.

Ketika perawat berada di gerai pertama untuk melihat menu yang disediakan, datang rakan sekelas perempuan bersama rakan sebiliknya dengan tujuan sama untuk makan di gerai tersebut. Ketika baru mula berbual dengan rakan sekelas perempuan, secara tiba-tiba, rakan sebiliknya yang berdiri sebelah terus pengsan sebaik bertentang mata dengan perawat, tetapi sempat disambut rakan sekelas perempuan sebelum rakan sebiliknya rebah ke atas jalan tar.

Bertanya perawat kepada rakan sekelas, samada rakannya tidak sihat atau tak makan, atau datang bulan atau terlalu teruja melihat perawat sebentar tadi sampai pengsan dibuatnya. Perawat dimarahi pulak oleh rakan sekelas kerana berjenaka dalam situasi tersebut. Rakan sebiliknya diangkat dan diletakkan di satu sudut di tepi gerai supaya tidak mengganggu lalu lalang pelajar-pelajar berjalan.

Kemudian perawat bertanya pada rakan sekelas, apa sebenarnya yang berlaku. Menurut ceritanya, rakan sebiliknya ini sebenarnya memiliki saka keturunan. Dan masih lagi berada dalam pengawasan rawatan seorang ustaz perawat dari kampungnya di Kedah. Ustaz tersebut telah pagar hostel yang didudukinya supaya jin saka keturunan tersebut tidak boleh masuk ke bangunan hostel mereka khususnya bilik mereka berdua. Jadi, ketika di dalam bangunan hostel, rakan sebiliknya akan nampak normal tetapi bila keluar dari bangunan, beberapa gangguan akan terjadi. Kerana itu dia perlu ditemani ke mana saja atas saranan ustaz tersebut pada rakan-rakan hostelnya.

Tetapi yang rakan sekelas perawat ini menjadi hairan, pertama kali rakan sebiliknya melihat orang boleh terus pengsan dan belum pernah berlaku lagi sebelum itu. Setelah perawat faham cerita yang disampaikan, kebetulan ada seorang rakan perawat berasal dari Johor yang belajar silat lalu di situ. Perawat memanggilnya dan meminta dia cuba rawat pelajar perempuan yang pengsan itu supaya dia sedar semula. Ketika rakan perawat cuba merawatnya dengan memegang kedua-dua ibu jari tangan pelajar itu, muka rakan perawat nampak berkerut-kerut seperti menahan atau berlawan dengan sesuatu dan tiba-tiba dia menyerah dari meneruskan rawatan. Katanya yang di dalam badan pelajar perempuan ini sangat kuat dan sakit kedua tangannya dibuat makhluk tersebut. Terus rakan perawat berlalu pergi tidak mahu terlibat lagi untuk membantu.

Pada ketika itu, rakan sekelas perempuan perawat betul-betul merayu pada perawat minta tolong pulihkan rakan sebiliknya. Simpati pula perawat melihat, jadi perawat meminta air kosong segelas dari gerai pertama. Setelah diberikan, beberapa potong ayat dan surah dari al-Quran dibacakan serta doa dan perawat ma'rifatkan pada air tersebut. Kemudian perawat mengarahkan rakan sekelas supaya memasukkan air sesudu ke dalam mulut rakan sebiliknya. Sebaik saja dia sedar, perawat mengarahkan supaya disapukan air tersebut ke muka, tangan dan kakinya. Rakan sekelas mengikut arahan perawat, memasukkan air sesudu ke dalam mulut rakan sebiliknya. Dalam lebih kurang 30 saat, rakan sebiliknya terus sedar kembali. Kemudian disapukan air ke muja, tangan dan kaki seperti yang perawat telah arahkan. Setelah 4-5 minit pulih, perawat mengarahkan rakan sekelas supaya bisikkan ke telinga rakan sebiliknya menyuruhnya bersyahadah. Alhamdulillah, keadaan dirinya kembali normal.

Perawat menasihatkan supaya rakan sekelas minta ahli keluarga rakan sebiliknya datang dan membawanya pulang ke kampung terlebih dahulu untuk meneruskan rawatan membuang jin saka tersebut. Jika tidak, akan mengganggu pembelajarannya di UiTM. Rakan sekelas hanya akur dengan nasihat perawat. Dalam beberapa hari, ahli keluarganya telah datang membawanya pulang untuk rawatan pemulihan. Rakan sekelas memaklumkan pada perawat, rakan sebiliknya telah bercuti selama sebulan dan telah kembali dengan keadaan yang ceria dan pulih.

Dalam pada itu, terdapat seorang lagi rakan sekelas perempuan perawat yang mengalami gangguan jin. Jika rakan sekelas perawat ini terserempak dengan perawat, lintang pukang dia melarikan diri ketakutan padahal perawat tidak melakukan apa-apa perkara untuk merawat. Setelah diselidiki dengan rakan-rakan sebiliknya, rakan sekelas ini rupa-rupanya telah terserempak dengan satu susuk jin ketika pertama kali daftar bilik hostel dan dia orang pertama yang memasuki bilik hostel tersebut tanpa memberi salam dan membaca ayat-ayat al-Quran. Perawat pernah tampil untuk cuba merawatnya tetapi dihalang oleh rakan-rakan sekelas sebiliknya yang lain dengan mengatakan ini arahan dari pihak keluarganya supaya tidak masuk campur. Keadaan rakan sekelas perempuan tersebut menjadi semakin buruk dari hari ke hari sehingga menjadi seperti patung bernyawa di dalam bilik hostel disebabkan jin tersebut telah menetap di dalam tubuhnya. Makan terpaksa bersuap, mandi dan buang air terpaksa diurus oleh rakan-rakan sebilik.

Akhirnya semua rakan sebiliknya menghubungi ahli keluarga pelajar perempuan ini untuk minta dibawa pulang dan dirawat. Hampir 2 bulan rakan sekelas perempuan tersebut tidak hadir kuliah. Setelah ditanya perawat kepada rakan-rakan sebiliknya, perawat dimaklumkan pelajar perempuan tersebut telah meninggal dunia ketika dalam rawatan gangguan jin tersebut.

Begitulah antara pengalaman perawat menempuh beberapa pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku sehingga ada rakan yang dikenali pun kembali ke rahmatullah.

Jika ada pertanyaan dan kemusykilan, boleh berhubung dengan perawat di muka FB Perubatan Ikhtiar Dan Doa atau di blogspot perawat al-faiz-al-falah.blogspot.my , perawat sekadar berikhtiar setakat yang mampu kerana kesembuhan itu dengan kembali kepada Allah.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

No comments:

Post a Comment