Adalah disarankan dan dinasihatkan agar ketika ingin keluar dari rumah tidak kira ke mana destinasi kita sekalipun samada keluar bekerja, berniaga, melancong, balik kampung, membeli-belah, berziarah atau ke mana saja, sebaik-baiknya mohonlah perlindungan dan keselamatan kepada Allah dari perkara-perkara yang memudaratkan agar terhindar dari berlaku sesuatu perkara yang tidak baik.
Pengalaman kali ini mengisahkan seorang ibu mengandung yang berniaga di waktu petang hingga ke tengah malam, adakalanya di gerainya di bawah pokok berhampiran rumahnya, adakalanya di gerai rakannya di tepi laut menjual jagung dan adakalanya di gerai pasar malam merata tempat.
Kes berlaku dalam bulan Jun 2017 berbetulan dengan masa perawat telah selesai merawat dan memulihkan ibunya yang dikatakan terkena santau makan. Ketika perawat sedang berehat seketika selepas selesai rawatan, pesakit tampil bertanya minta untuk diperiksa (scanning) kerana dirasakan diri agak pelik dan rimas. Keadaan gangguan telah berlaku selama sebulan dan simtom yang dialaminya adalah kerap ditindih semasa tidur dan terdapat kesan lebam sebesar duit syiling 20 sen dan 50 sen di kawasan kaki. Kata pesakit lagi, seluruh tangan di sebelah kirinya kerapkali berlaku bahang panas kemudian hilang timbul tenggelam.
Ketika ditemubual, pesakit menyatakan permulaan berlakunya detik gangguan tersebut ketika pesakit berniaga di bawah pokok yang rendang berhampiran rumahnya dan ketika itu telah masuk waktu maghrib. Pesakit meneruskan berniaga hingga ke pukul 10 malam dan kemudian pulang ke rumahnya. Perawat memberitahu pesakit bahawa tidak sesuai berniaga hingga lewat malam terutamanya pada waktu maghrib dalam keadaannya yang sedang mengandung 7 bulan lebih. Pesakit menyatakan akan perihal kos sara hidup yang menyebabkan dia terpaksa bekerja keras untuk menampung perbelanjaan.
Sesi rawatan dimulakan, pemeriksaan (scanning) tubuh pesakit dijalankan. Didapati terdapat zat jahat di tangan kiri dan kakinya. Setelah dipulihkan dalam tempoh setengah jam, keadaan pesakit kembali stabil dan tiada lagi rasa bahang di tangan kirinya. Susulan mesej setelah beberapa hari telah disahkan oleh pesakit tidak lagi ditindih dan tiada lagi kesan lebam baru selepas dari itu.
Walaubagaimanapun, pesakit tetap meneruskan untuk berniaga pada waktu dan tempat-tempat yang sama untuk menampung kos sara hidupnya, tidak kisah apa pun berlaku kerana apabila lahir bayinya nanti, perbelanjaan hidup akan meningkat dan dia perlu membuat persediaan awal.
Pesakit telah dibekalkan dengan air minum dan mandian berserta adab tidur sebagai suatu ikhtiar merawati dirinya.
Bersambung ke jejak rawatan seterusnya dalam menangani dan menghadapi pengalaman-pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar berlaku di sekeliling kita dari masa ke semasa.
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#santau
#zatjahat
#syiling
#sihir
#gangguanjin