Sunday, April 29, 2018

*Pengalaman Merawat Gangguan Zat Jahat Pelaris Perniagaan Eps 59*

MERAWAT MASALAH GANGGUAN ZAT JAHAT PELARIS PERNIAGAAN

Pertengahan Januari 2018, seorang pesakit lelaki telah dirawat di Kuala Perlis atas jemputan dari bekas pesakit perawat di sana. Melihat keadaan pesakit, tidak nampak perkara yang pelik atau memudaratkan pada dirinya.

Mengikut pesakit, simtom gangguannya adalah berasa cepat nak marah selain kadang-kadang sakit kepala. Perawat bertanyakan sama ada pesakit suka makan di kedai makan yang ada pelaris, pesakit mengiakan. Terdapat kedai makan di bandar Perlis, perawat mendapati ada peniaga-peniaga, tetapi tidak semua, meletakkan pelaris berbentuk wafaq, di atas pintu masuk atau di kaunter bayaran, iaitu suatu tulisan dan gambarajah simbolik yang tidak difahami maksudnya tetapi mungkin diandaikan atau dianggap sebagai suatu pelaris atau tarikan magnet. Bagi orang awam, mungkin seperti dipukau atau diturutkan saja makan makanan yang ada tetapi bagi orang yang berilmu atau mempunyai kelebihan, sedikit sebanyak boleh merasakan aura negatif di dalam kedai makan tersebut dan makanan yang dimasak mungkin terasa lain dari kebiasaan. Kebanyakan wafaq gambarajah simbolik ini adalah berkaitan dengan ilmu kejinan dan pelaris pengasih perniagaan yang melibatkan perantaraan. Boleh dikatakan ramai orang mengambil jenis-jenis wafaq gambarajah simbolik ini kononnya untuk tujuan pelaris perniagaan walhal tidak usul periksa daripada mana sumber ini diperolehi yang barangkali diambil dari bomoh-bomoh mistik atau ahli pertapaan atau bomoh-bomoh negara jiran.

Perawat mendapati hanya terdapat zat jahat di dalam kepalanya sahaja dan dimusnahkan kesemuanya serta diberi air minum yang telah didoakan. Rawatan selesai setakat itu.


~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

SEBARANG KEMUSYKILAN DAN RAWATAN -

SILA LAYARI LAMAN SESAWANG PERAWAT ATAU WHATSAPP ATAU MESSENGER ATAU SMS ATAU HUBUNGI TALIAN BANTUAN SEPERTI YANG TERTERA DI LAMAN SESAWANG :

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Friday, April 27, 2018

*Pengalaman Merawat Gangguan Sihir, Ilmu Tuntutan dan Zat Jahat Eps 58*

MERAWAT GANGGUAN SIHIR, ILMU TUNTUTAN DAN ZAT JAHAT

Kisah kali ini membawa kepada pengalaman merawat seorang pesakit lelaki yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah pangsapuri. Awal Januari 2018, perawat telah dihubungi oleh pesakit untuk datang berikhtiar merawatnya di kawasan Bukit Jambul, Pulau Pinang selepas selesai solat Isyak. Pesakit mengenali perawat melalui akaun perubatan facebook perawat dan perjumpaan malam itu adalah di sebuah masjid yang berhampiran.

Mengikut keterangan pesakit, sudah 9 tahun pesakit mengalami gangguan dan kesakitan. Pernah berubat dengan beberapa orang perawat tetapi keadaannya masih juga tidak berubah. Jadi, pesakit cuba untuk berikhtiar berubat dengan perawat.

Antara simtom-simtom gangguan pesakit adalah mengalami kesukaran tidur malam sehingga terpaksa bergantung pada ubat doktor untuk tidur malam, kerap terjaga malam disebabkan terkejut dan gangguan walaupun telah mengambil ubat tidur, kerap terdengar bisikan seperti orang bercakap-cakap di dalam bilik tetapi tiada orang, badan sekejap panas sekejap sejuk kadangkala terasa seram sejuk dan sakit kepala tanpa sebab. Selain itu, pesakit hilang selera makan dan hilang nafsu berahi.

Setelah diselidik, akhirnya pesakit membuka cerita bahawa pesakit pernah berkahwin dengan seorang perempuan Indonesia yang bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang. Katanya perkenalan dengan perempuan Indonesia itu disebabkan sihir pengasih dan penunduk yang dikenakan pada pesakit sehingga pesakit menurut perintah mengikut kehendak dan arahan termasuk berkahwin tanpa melawan. Setelah berkahwin, bekas isteri Indonesianya ini mengenakan ilmu kunci pada kelaminnya sehingga apabila melihat perempuan lain, tidak akan wujud nafsu rangsangan melainkan pada isterinya sahaja. Setiap pendapatan gaji pesakit, diserahkan sepenuhnya pada bekas isteri dan selera makan pesakit turut dikunci menyebabkan tubuh badan pesakit menjadi kurus. Pesakit juga pernah mempelajari ilmu persilatan silat harimau yang menyebabkan badannya terasa bahang di dalam, fikirannya terganggu, seperti dihadang untuk solat dan adakala bercakap seorang diri.

Perkahwinan dengan wanita Indonesia itu hanya setakat 2 tahun dan setelah bercerai di mana wanita Indonesia itu telah pulang ke Indonesia setelah mendapat cukup simpanan kewangan yang dia kehendaki. Jadi ditinggalkan pesakit (bekas suaminya) tanpa melepaskan ikatan sihir pengasih dan penunduk, ilmu kunci nafsu dan zat jahat pada tubuh badan pesakit yang berlangsung 9 tahun lamanya.

Semasa proses rawatan pertama, perawat mendapati ada zat-zat jahat di bahagian kepala, dada dan paling teruk adalah di antara pusat dan paha. Semuanya dimusnahkan serta merta. Ilmu pengasih dan penunduk ditawarkan dan dihapuskan. Ilmu kunci nafsu yang telah dikenakan pada kelamin pesakit, diputuskan ikatan dan dibukakan kembali nafsu berahinya dan selera makannya serta merta. Barulah ada perasaan berahi kembali walaupun melihat seorang makcik yang berumur melintas masjid dan serta merta pesakit berasa lapar. Ilmu persilatannya ditawarkan dan dimusnahkan keseluruhannya. Walaupun ilmu kunci nafsu telah dihancurkan, pesakit tetap perlu berubat dengan urutan batin kerana tempoh gangguannya yang lama tidak berfungsi dengan normal. Perawat telah memasukkan Nur Zikir Kekuatan Batin pada kelamin pesakit dan pesakit menyatakan terasa seperti ada aliran elektrik yang bertindak untuk terangsang tetapi urat-urat kelamin perlu dikemaskini semula kerana ia melibatkan sakit fizikal.

Susulan pada rawatan kedua, saki-baki zat-zat jahat dibersihkan semuanya dan hanya tinggal masalah fizikal. Pesakit perlu mencari tukang urut batin untuk mengubati masalah dirinya agar pulih kembali seperti sediakala. Pesakit telah bersih pada susulan rawatan ketiga dan hanya perlu merawat pulih masalah fizikalnya sahaja.

Teruskan bersama perawat menelusuri siri pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan menempuh kes-kes misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar terjadi pada zaman ini.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~


#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Sunday, April 22, 2018

Susuk Bunga

Ilmu Susuk Bunga

Bertemu kembali di arena jejak rawatan dan perubatan perawat bersama pengalaman-pengalaman yang akan dikongsikan untuk semua, moga-moga masing-masing mendapat sedikit ilmu, manfaat, kefahaman dan peringatan.

Perkongsian kali ini adalah berkaitan susuk bunga. Apa itu susuk bunga? Inilah baru pertama kali perawat mendengar tentang ilmu susuk bunga sepanjang perjalanan jejak rawatan selama 22 tahun. Yang pernah didengar dan dilihat oleh perawat ialah ilmu susuk jarum emas, ilmu susuk serbuk emas, ilmu susuk kebal, ilmu susuk berlian dan ilmu susuk permata tetapi belum pernah lagi ketemu dengan ilmu susuk bunga. Mungkin ada di antara anda pernah mendengar atau tidak pernah tahu tentang kewujudan ilmu susuk bunga ini.

Baru-baru ini dalam bulan April 2018, perawat ada turun ke Kuala Lumpur untuk 3 hari kerana ada urusan kerja. Kebetulan di Bangsar, ada seorang bekas pesakit perawat yang masih berhubung silaturrahim dengan perawat, menyatakan untuk menyambung rawatan ke atas seorang jirannya yang kemalangan. Dimaklumkan jirannya ada mengalami sedikit keretakan tulang rusuk dan salah urat. Maka selepas solat zohor, perawat tiba di rumah bekas pesakit perawat dengan bantuan kereta seorang kawan.

Menyambung pada rawatan kedua ke atas pesakit wanita berusia 58 tahun yang kemalangan itu, perawat ada bertanyakan tentang hal keluarga, kerjanya, arwah suaminya dan kehidupannya. Dalam pada merawat, tiba-tiba pesakit membuka cerita kisahnya semasa baru berkahwin. Katanya pada zaman dulu, kebiasaannya perempuan akan berkahwin pada usia belasan tahun manakala lelaki pula pada usia 20an. Bagi perempuan yang telah berusia 20an, dianggap sebagai anak dara tua atau lambat jodoh atau bermasalah pada keluarga.

Pesakit wanita ini berkahwin pada usia 25 tahun manakala arwah suaminya ketika itu baru berusia 17 tahun. Diteruskan cerita, pesakit memberitahu bahawa arwah bapa saudaranya adalah seorang bomoh. Pesakit telah dibela oleh keluarga arwah bapa saudaranya itu disebabkan keluarganya orang susah dan tidak berkecukupan dalam pendapatan. Pesakit dijaga dengan baik dan diberi didikan persekolahan yang penuh. Tetapi jodohnya yang kebetulan belum kesampaian. Melihat akan hal ini, arwah bapa saudaranya mencarikan calon lelaki untuk pesakit dan dilangsungkan terus perkahwinan.

Setelah selesai urusan majlis perkahwinan, beberapa hari selepas itu, pesakit dan arwah suaminya dipanggil mengadap arwah bapa saudaranya. Tanpa sebarang ilmu, maklumat, kefahaman dan nasihat kepada pesakit, arwah bapa saudaranya telah memasukkan 7 kuntum bunga tanjung satu persatu yang dijampi masuk melalui ubun-ubun pesakit dan terus hilang. Begitu juga pada arwah suami pesakit, 7 kuntum bunga tanjung dimasukkan satu persatu melalui ubun-ubunnya dan menghilang. Dimaklumkan arwah bapa saudaranya, ini adalah sebagai mengikat suami isteri agar sentiasa bersama.

Pesakit wanita ini bercerita, setelah 13 tahun arwah suaminya meninggal, tidak ada seorang lelaki pun yang ada perasaan suka bila melihat wajahnya, untuk pesakit teringin kembali berumahtangga. Bila ditenung-tenung wajah pesakit, memang nampak seperti kelat, tiada seri dan seperti bunga layu dan lesu. Kemudian pesakit memberitahu itu adalah susuk bunga. Barulah perawat faham bahawa ilmu susuk bunga ini ada jantan dan betinanya. Apabila kehilangan pasangannya, maka layu dan matilah seri wajah si pemakai ilmu ini. Hendak dibuang, arwah bapa saudaranya telah lama mati. Jadi diminta perawat untuk ikhtiarkan di lain hari jika berkesempatan untuk membuang ilmu susuk bunga ini dan meminta perawat membuat penyediaan mandi seri bunga selepas itu. Katanya lagi, pesakit tidak ada apa-apa kefahaman dan tidak tahu menahu tentang ilmu susuk bunga ini dan tidak sama sekali berniat untuk memakainya tetapi telah dimasukkan oleh arwah bapa saudaranya seperti ditunduk mengikut arahan.

Walaubagaimanapun adalah dinasihatkan pada pembaca agar tidak sesekali mengambil sebarang ilmu susuk untuk pemakaian diri kerana sumber keilmuan ini banyak bersandarkan pada ilmu kejinan yang sedikit sebanyak bakal mengganggu minda, emosi dan kesihatan tubuh badan si pemakai. Bukan senang untuk membuangnya jika tidak bertemu dengan perawat yang memiliki ketinggian ilmu perubatan atau guru mursyid atau ahli dalam bidangnya.

Teruskan menyelusuri jejak rawatan dan perubatan perawat dalam pengalaman-pengalaman rawatan. Agak sibuk tugasan perawat di luar kawasan dan masih belum berkesempatan untuk perkongsian pengalaman-pengalaman seterusnya. InsyaAllah akan dikemaskini nanti.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

Friday, April 6, 2018

Pengertian Sijjin dan 'Illiyyin

Pengertian Sijjin dan 'Illiyyin

Sijjin (سِجِّين) dan 'illiyyin (عِلِّيِّين) adalah dua (tempat simpanan) kitab yang disebutkan dalam Alquran surah Al-Muthaffifin. Sijjin merupakan (tempat simpanan) kitab yang mencatat segala perbuatan orang-orang durhaka, sedangkan 'illiyyin merupakan (tempat simpanan) kitab yang mencatat segala perbuatan orang-orang yang berbakti, yang disaksikan malaikat-malaikat yang didekatkan kepada Allah.

Sijjin

Sijjin berasal dari kata sajana - yasjunu - sajnan (سَجَن - يَسجُن - سَجنًا) yang bererti memenjarakan,  menahan,  menyembunyikan, atau mencatat. Sijjin bererti penjara; buku catatan tahanan, iaitu buku yang berisi catatan amalan buruk. Menurut Ibnu Katsir, kata sajnan (سَجنًا) bererti sempit.

Beberapa Pendapat tentang Sijjin
Sebahagian orang berpendapat bahawa Sijjin merupakan tempat di lapisan bumi yang paling bawah (lapisan ketujuh). Ada pula yang berpendapat bahawa Sijjin  adalah batu besar dan keras berwarna hijau yang berada di lapisan bumi paling bawah (lapisan ketujuh). Sebahagiannya lagi berpendapat bahawa Sijjin adalah telaga di Neraka Jahannam.
Pendapat yang benar tentang Sijjin adalah, kerana Sijjin berasal dari kata As-Sijnu (baca: Adh-Dhayyiqu—sempit), maka maknanya adalah lapisan bumi yang paling bawah (lapisan yang ketujuh). Hal ini disebabkan seandainya semua makhluk turun ke bawah menuju lapisan bumi ketujuh, maka ia akan merasakan semakin sempit yang berbeza dengan lapisan-lapisan yang di atasnya (yang semakin luas). Oleh kerana itu, Allah menyebutkan tempat kembali orang-orang yang derhaka adalah Neraka Jahannam, iaitu tempat yang paling rendah, sebagaimana firman Allah SWT (Ibnu Katsir, Tafsir Juz Amma, Hal. 97)

“Kemudian Kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), kecuali orang-orang beriman dan mengerjakan amal soleh.” (At-Tin, 95: 5-6)

Sijjin adalah tempat yang sempit dan paling bawah, sebagaimana firman Allah SWT:

“Dan apabila mereka dilemparkan ke tempat yang sempit di neraka itu dengan dibelenggu, mereka di sana mengharapkan kebinasaan.” (Al-Furqan, 25: 13)

Ibnu Abbas bertanya kepada Ka’ab tentang Sijjin, lalu Ka’ab menjawab, “Itu adalah lapisan bumi yang ketujuh yang di dalamnya terdapat ruh-ruh orang-orang kafir.”

'Illiyyin

'Illiyyin berasal dari kata 'alâ - ya'lû - 'uluwwan(عَلا - يَعلُو - عُلُوًّا) yang bererti tinggiditinggikandi atas, atau mulia. Illiyyin bererti tempat-tempat tertinggi. Kata ini adalah kata jamak. Bentuk tunggalnya adalah 'illiyyah (عِلِّيَّة). Sesuatu yang berada di atas dan lebih tinggi dari yang lain adalah sesuatu yang lebih besar dan lebih luas, seperti langit yang berada di atas bumi.



Petikan Hadis


Imam Ahmad meriwayatkan dalam Musnad-nya, Ibnu Hibban dan Abu Uwanah Al-Asfarayini dalam Sahihnya masing-masing hadis Minhal dari Zadan, dari Mughirah bin Azib RA yang berkata:
“Kami pernah bersama Rasulullah SAW menghantar jenazah. Baginda duduk di atas kubur dan kami duduk di sebelahnya. Sepertinya di atas kepala kami terdapat burung. Sambil menguburkan jenazah tersebut baginda berkata, ‘Aku berlindung diri kepada Allah dari siksa kubur.’ Hingga tiga kali. Kemudian baginda bersabda, ‘Sesungguhnya orang beriman, jika akan pindah ke alam akhirat dan meninggal dunia, maka para malaikat turun kepadanya. Wajah mereka seperti matahari dan setiap dari mereka membawa wangi-wangian dari syurga dan kain kafan. Mereka duduk di sisi orang beriman sebatas pandangan kemudian malaikat pencabut nyawa duduk dekat kepalanya dan berkata, ‘Wahai jiwa yang baik, keluarlah menuju ampunan dan keredhaan dari Allah.’ Kata Rasulullah SAW, ‘Ruh orang beriman pun keluar dari dalam jasadnya seperti halnya air keluar dari mulut teko. Malaikat pencabut nyawa segera mengambilnya. Ketika ruh orang beriman telah berada dalam genggamannya, para malaikat yang lain tidak membiarkan ruh orang beriman berada di tangan malaikat pencabut nyawa, sekelip mata hingga kemudian mereka mengambilnya daripadanya dan meletakkannya di atas kafan syurga dan diwangi-wangian tersebut. Dari ruh orang beriman, keluarlah wangi-wangian yang sangat harum yang pernah ada di bumi.’ Kata Rasulullah SAW, ‘Kemudian para malaikat naik membawa ruh orang beriman dan setiap kali mereka melewati para malaikat, maka mereka bertanya, ‘Ruh siapa yang harum ini?’ Mereka menjawab, ‘Ruh ini adalah ruh Fulan bin Fulan,’ sambil menyebutkan namanya yang paling baik di dunia hingga kemudian mereka berhenti di langit dunia. Mereka meminta dibukakan pintu langit bagi ruh tersebut, kemudian pintu langit dibukakan untuknya. Ruh tersebut disambut seluruh makhluk yang ada di langit dan mereka mendekatkan ruh tersebut ke langit berikutnya hingga mereka dengannya tiba di langit yang ada Allah Azza wa Jalla. Allah Azza wa Jalla berkata, ‘Tulislah kitab hambaku ini di ‘Illiyyin dan kembalikan ia ke dunia. Sesungguhnya dari bumi aku menciptakan mereka kemudian mengembalikan mereka dan mengeluarkan kembali untuk kedua kalinya,’ Kata Rasulullah SAW lebih lanjut, ‘Lalu ruh orang yang beriman dikembalikan ke dalam jasadnya semula. Tidak lama kemudian datanglah kepadanya dua malaikat yang kemudian duduk di sebelahnya dan bertanya kepadanya, ‘Siapa Tuhanmu?’ Orang tersebut menjawab, ‘Tuhanku adalah Allah.’ Kedua malaikat tersebut bertanya lagi, ‘Apa agamamu?’ Orang tersebut menjawab, ‘Agamaku adalah Islam.’ Kedua malaikat tersebut bertanya, ‘Siapa lelaki ini yang telah diutus kepada kalian?’ Orang tersebut menjawab, ‘Dia adalah Rasulullah SAW.’ Kedua malaikat bertanya lagi, ‘Apa saja yang engkau ketahui?’ Orang tersebut menjawab, ‘Aku membaca Al-Qur’an kemudian beriman kepadanya dan membenarkannya.’ Kata Rasulullah SAW, ’Lalu terdengar dari penyeru dari langit menyeru, ‘HambaKu ini benar. Hamparkan untuknya syurga dan berilah pakaian dari syurga serta bukalah satu pintu syurga baginya.’ Kata Rasulullah SAW lagi, ‘Lalu didatangkan kepadanya aroma syurga dan kuburnya diperluas sepanjang penglihatannya.’ Kata Rasulullah SAW, ‘Lantas datang kepada orang beriman lelaki tampan, pakaiannya bagus dan beraroma harum dan berkata, ‘Aku khabarkan kepadamu berita yang menyenangkanmu bahawa hari ini adalah hari yang pernah dijanjikan kepadamu.’ Orang beriman bertanya, ‘Siapakah kamu, wajahmu benar-benar mendatangkan kebaikan?’ Lelaki tersebut menjawab, ‘Aku adalah amal perbuatanmu yang baik.’ Orang beriman berkata, ‘Tuhanku, segerakan Hari Kiamat! Segerakan Hari Kiamat agar aku boleh bertemu dengan keluargaku dan hartaku.’ 

Kata Rasulullah SAW lebih lanjut.’ Dan sesungguhnya orang kafir, jika akan meninggal dunia dan menuju kepada akhirat, maka para malaikat turun kepadanya dari langit dengan wajah yang hitam dan membawa kain kafan kasar lalu duduk disisinya sebatas pandangan. Malaikat pencabut nyawa datang kepadanya dan duduk dekat kepalanya lantas berkata, ‘Wahai ruh yang kotor, keluarlah menuju kemurkaan dan kemarahan dari Allah!’ Lalu ruhnya berpisah dari jasadnya dan malaikat mencabutnya seperti besi pembakar dicabut dari bulu yang basah. Kemudian malaikat pencabut nyawa mengambilnya dan kalau sudah diambil, maka para malaikat yang lain tidak membiarkan ruh tersebut di tangannya, sekelip mata hingga kemudian mereka meletakkannya di dalam kain kasar tadi. Daripadanya keluar bau busuk yang pernah ada di dunia. Para malaikat membawanya naik dan setiap kali mereka melewati malaikat, mereka bertanya, ‘Ruh yang bau busuk ini milik siapa?’ Para malaikat menjawab, ‘Ini adalah ruh si Fulan bin Fulan,’ sambil menyebutkan namanya yang paling buruk di dunia hingga mereka terhenti di langit dunia. Para malaikat meminta kepada malaikat penjaga pintu langit agar pintu langit dibuka untuk ruh orang kafir ini. Namun malaikat penjaga langit tidak mahu membuka pintu langit bagi ruh orang kafir tersebut.’ 
Kemudian Rasulullah SAW membaca ayat, ‘Sekali-kali tidak akan dibukakan bagi mereka pintu-pintu langit dan tidak (pula) mereka masuk syurga, hingga unta masuk ke lubang jarum.’ (Al-A'raaf: 40)

Allah Azza wa Jalla berfirman, ‘Tulislah kitabnya di Sijjin di bumi dan ruhnya dicampakkan begitu saja.’ Lalu Rasulullah SAW membaca ayat, ‘Barangsiapa mempersekutukan sesuatu dengan Allah, maka adalah ia seolah-olah jatuh dari langit lalu disambar oleh burung, atau diterbangkan angin ke tempat yang jauh.' (Al-Hajj:31)
Kemudian meneruskan dengan sabdanya, ‘Kemudian ruhnya dikembalikan ke jasadnya dan tidak lama setelah itu datang dua malaikat dan bertanya, ‘Siapa Tuhanmu?’ Orang kafir menjawab, ‘Ha… ha…, aku tidak tahu!’ Dua malaikat bertanya lagi, ‘Siapa orang ini yang diutus kapadamu?’ Orang kafir menjawab, ‘Ha… ha…, aku tidak tahu!’ Penyeru dari langit menyeru, ‘Hambaku ini bohong, maka hamparkan baginya hamparan dari neraka dan bukakan baginya salah satu pintu neraka!’ Lalu hawa panas neraka dan racunnya datang kepadanya. Kuburnya menghimpitnya hingga tulangnya berserakan. Setelah itu, datanglah kepadanya lelaki dengan wajah yang hodoh, pakaiannya buruk dan berbau busuk lalu berkata, ‘Aku membawa khabar yang tidak menyenangkanmu. Inilah hari yang dulu dijanjikan kepadamu!’ Orang kafir bertanya, ‘Siapakah kamu? Wajahmu benar-benar membawa kehinaan!’ Lelaki tersebut menjawab, ‘Aku adalah amal perbuatanmu yang buruk.’ Orang kafir berkata, ‘Tuhanku jangan adakan Hari Kiamat!' (Ibnu Qayyim Al-Jauziyah, Tamasya ke Syurga, . Hlm. 82-87.)

      

   

Ilmu Dan Adab

Ilmu Dan Adab

Ilmu Tanpa Adab adalah Sombong,
Adab Tanpa Ilmu adalah Kehinaan
Ilmu Tanpa Amal adalah Gila
Amal Tanpa Ilmu adalah Sia-Sia


Pengertian Adab (Akhlaq) :

            Kata adab adalah kosa-kata bahasa arab yang berasal dari kata Adaba – Ya’dubu) yang bererti mengundang atau mengajak. Sedangkan menurut istilah Adab adalah melatih diri dengan budi pekerti dan akhlak yang mulia.

            Perkataan akhlak berasal daripada perkataan (al-akhlaaqu) iaitu kata jama' daripada perkataan (al-khuluqu) bererti tabiat, kelakuan, perangai, tingkahlaku, matuah, adat kebiasaan, malah ia juga bererti agama itu sendiri. Sedangkan menurut istilah seperti yang dikatakan Imam Ghazali rahimahullahu ta’ala bahawa “akhlak ialah suatu keadaan yang tertanam di dalam jiwa yang menampilkan perbuatan-perbuatan dengan senang tanpa memerlukan pemikiran dan penelitian. Apabila perbuatan yang terkeluar itu baik dan terpuji menurut syarak dan aqal, perbuatan itu dinamakan akhlak yang mulia. Sebaliknya apabila terkeluar perbuatan yang buruk, ia dinamakan akhlak yang buruk."

Pelajarilah Adab Sebelum Mempelajari Ilmu

Ketahuilah bahawa ulama salaf sangat menitikberatkan masalah adab dan akhlak. Mereka mengarahkan murid-muridnya mempelajari adab sebelum mendalami suatu bidang ilmu dan menemukan berbagai macam khilaf ulama. Imam Darul Hijrah, Imam Malik rahimahullah pernah berkata pada seorang pemuda Quraisy,

تعلم الأدب قبل أن تتعلم العلم

“Pelajarilah adab sebelum mempelajari suatu ilmu.”

Kenapa sampai para ulama mendahulukan mempelajari adab? Sebagaimana Yusuf bin Al Husain berkata,

بالأدب تفهم العلم

“Dengan mempelajari adab, maka engkau jadi mudah memahami ilmu.”

Ibnul Mubarok berkata,

تعلمنا الأدب ثلاثين عاماً، وتعلمنا العلم عشرين

“Kami mempelajari masalah adab itu selama 30 tahun sedangkan kami mempelajari ilmu selama 20 tahun.”

Ibnu Sirin berkata,

كانوا يتعلمون الهديَ كما يتعلمون العلم

“Mereka (para ulama) dahulu mempelajari petunjuk (adab) sebagaimana mereka menguasai suatu ilmu.”

Makhlad bin Al Husain berkata pada Ibnul Mubarok,

نحن إلى كثير من الأدب أحوج منا إلى كثير من حديث

“Kami lebih perlu dalam mempelajari adab daripada banyak menguasai hadis.” Ini yang terjadi di zaman beliau, tentu di zaman kita ini adab dan akhlak seharusnya lebih serius dipelajari.

Dalam Siyar A’lamin Nubala’ karya Adz Dzahabi disebutkan bahawa ‘Abdullah bin Wahab berkata,

ما نقلنا من أدب مالك أكثر مما تعلمنا من علمه

“Yang kami nukilkan dari (Imam) Malik lebih banyak dalam hal adab dibanding ilmunya.” –
Imam Malik juga pernah berkata, “Dulu ibuku menyuruhku untuk duduk bermajlis dengan Robi’ah Ibnu Abi ‘Abdirrahman -seorang faqih di kota Madinah di masanya-. Ibuku berkata,

تعلم من أدبه قبل علمه

“Pelajarilah adab darinya sebelum mengambil ilmunya.”

Imam Abu Hanifah lebih senang mempelajari kisah-kisah para ulama dibanding menguasai bab fiqih. Kerana dari situ beliau banyak mempelajari adab, itulah yang kurang dari kita saat ini. Imam Abu Hanifah berkata,

الْحِكَايَاتُ عَنْ الْعُلَمَاءِ وَمُجَالَسَتِهِمْ أَحَبُّ إلَيَّ مِنْ كَثِيرٍ مِنْ الْفِقْهِ لِأَنَّهَا آدَابُ الْقَوْمِ وَأَخْلَاقُهُمْ

“Kisah-kisah para ulama dan duduk bersama mereka lebih aku sukai daripada menguasai beberapa bab fiqih. Kerana dalam kisah mereka diajarkan berbagai adab dan akhlak luhur mereka.” (Al Madkhol, 1: 164)

Di antara yang mesti kita perhatikan adalah dalam hal pembicaraan, iaitu menjaga lisan. Perbaikilah lisan kita untuk berkata yang baik, santun dan bermanfaat. ‘Umar bin ‘Abdul ‘Aziz berkata,

من عدَّ كلامه من عمله ، قلَّ كلامُه إلا فيما يعنيه

“Siapa yang menghitung-hitung perkataannya dibanding amalnya, tentu ia akan sedikit bicara kecuali dalam hal yang bermanfaat” Kata Ibnu Rajab, “Benarlah kata beliau. Kebanyakan manusia tidak menghitung perkataannya dari amalannya” (Jaami’ul ‘Ulum wal Hikam, 1: 291).

Yang kita saksikan di tengah-tengah kita, “Talk more, do less (banyak bicara, sedikit amalan)”.

Berbeza Pendapat Bukan Bererti Mesti Bermusuhan

Sungguh mengagumkan apa yang dikatakan oleh ulama besar seperti Imam Syafi’e kepada Yunus Ash Shadafiy -nama panggilannya Abu Musa-. Imam Syafi’e berkata,

يَا أَبَا مُوْسَى، أَلاَ يَسْتَقِيْمُ أَنْ نَكُوْنَ إِخْوَانًا وَإِنْ لَمْ نَتَّفِقْ فِيْ مَسْأَلَةٍ

“Wahai Abu Musa, bukankah kita tetap bersaudara (bersahabat) meskipun kita tidak bersepakat dalam suatu masalah?” (Siyar A’lamin Nubala’, 10: 16).

Berdoalah Agar Memiliki Adab dan Akhlak yang Mulia

Dari Ziyad bin ‘Ilaqoh dari bapa saudaranya, Nabi SAW membaca doa,

اللَّهُمَّ إِنِّى أَعُوذُ بِكَ مِنْ مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ وَالأَعْمَالِ وَالأَهْوَاءِ

“Allahumma inni a’udzu bika min munkarotil akhlaaqi wal a’maali wal ahwaa’ 
[Ertinya: Ya Allah, aku berlindung kepadamu dari akhlaq, amal dan hawa nafsu yang mungkar].” (HR. Tirmidzi no. 3591, sahih)

Doa Nabi SAW yang lainnya,

اللَّهُمَّ اهْدِنِى لأَحْسَنِ الأَخْلاَقِ لاَ يَهْدِى لأَحْسَنِهَا إِلاَّ أَنْتَ وَاصْرِفْ عَنِّى سَيِّئَهَا لاَ يَصْرِفُ عَنِّى سَيِّئَهَا إِلاَّ أَنْتَ

“Allahummahdinii li ahsanil akhlaaqi laa yahdi li-ahsanihaa illa anta, washrif ‘anni sayyi-ahaa, laa yashrif ‘anni sayyi-ahaa illa anta [Ertinya: Ya Allah, tunjukilah padaku akhlak yang baik, tidak ada yang dapat menunjukinya kecuali Engkau. Dan palingkanlah keburukan akhlak dariku, tidak ada yang memalingkannya kecuali Engkau].” (HR. Muslim no. 771, dari ‘Ali bin Abi Tholib)

أسأل الله أن يزرقنا الأدب وحسن الخلق

Ya Allah, aku meminta pada-Mu agar mengurniakan pada kami adab dan akhlak yang mulia.

ABDURAHMAN bin Qasim, seorang pelayan Imam Malik bin Anas, menuturkan kesaksiannya selama menjadi pelayan beliau. Kata Abdurrahman, “Tidak kurang dua puluh tahun aku menjadi pelayan Imam Malik. Selama 20 tahun tersebut, aku perhatikan beliau menghabiskan 2 tahun untuk mempelajari ilmu dan 18 tahun untuk mempelajari akhlak."

Imam Malik dan para ulama yang baik lainnya, selalu menjaga kualiti akhlaknya. Akhlak kepada Allah, Rasul, dan sesamanya. Ketinggian darjat, pencapaian ilmu yang mendalam dan kebesaran wibawa, tidak membuat mereka merasa lebih mulia dan lebih baik dari orang lain.

Berapa banyak orang-orang yang berilmu luas, berstatus tinggi akademik, namun tak diduga ia terlibat dalam kes-kes penyelewengan. Berapa banyak para cerdik pandai, kaum intelektual, namun semakin jauh dari kebenaran (Allah).

Dari Jabir: Rasulullah SAW bersabda: “Orang yang paling aku cintai dan yang paling dekat denganku kedudukannya di syurga adalah orang yang paling baik akhlaknya. Orang yang paling aku benci adalah orang-orang yang angkuh dan sombong.”

Setidaknya ada dua keutamaan bagi orang yang berakhlak.

Pertama, akhlak yang baik akan meningkatkan darjat. Dari Anas, Nabi SAW bersabda: “Sesungguhnya seorang hamba mencapai darjat yang tinggi di hari akhirat dan kedudukan yang mulia kerana akhlaknya baik walaupun ia lemah dalam ibadah.” (HR. Thabrani)

Kedua, akhlak yang baik adalah ukuran keimanan. Rasulullah SAW bersabda, “Mukmin yang paling sempurna imannya adalah yang paling baik akhlaknya; yang lemah lembut tidak pernah menyakiti orang. Seorang manusia tidak akan mencapai hakikat iman sebelum dia mencintai orang lain seperti ia mencintai dirinya sendiri dan sebelum tetangganya aman dari gangguannya.”

Di sisi lain, akhlak yang buruk dapat melenyapkan amal. Banyak hadis yang menerangkan terhapusnya amal kerana akhlak yang buruk.

*Pertama, “Kedengkian memakan kebaikan sama seperti api melahap kayu bakar.”
*Kedua, dari Ubaid, dia berkata;  ada dua orang wanita berpuasa, dan mereka sangat menderita kerana lapar dan dahaga pada petang harinya. Kemudian kedua wanita itu mengutus seseorang menghadap Rasulullah SAW, untuk memintakan izin bagi keduanya agar diperbolehkan menghentikan puasa mereka.
Sesampainya utusan tersebut kepada Rasulullah SAW, baginda memberikan sebuah mangkuk kepadanya untuk diberikan kepada kedua wanita tadi, seraya memerintahkan agar kedua-duanya memuntahkan isi perutnya ke dalam mangkuk itu. Ternyata kedua wanita tersebut memuntahkan darah dan daging segar, sepenuh mangkuk tersebut, sehingga membuat orang-orang yang menyaksikannya kehairanan.

Rasulullah SAW bersabda; “Kedua wanita ini berpuasa terhadap makanan yang dihalalkan Allah tetapi membatalkan puasanya itu dengan perbuatan yang diharamkan olehNya. Mereka duduk bersantai sambil mengumpat orang-orang lain. Maka itulah ‘daging-daging’ mereka yang diumpatkan.” (HR. Ahmad).

Wallahua'lam.


Adab Dengan Allah
Adab Dengan Rasulullah
Adab Dengan Diri
Adab Dengan IbuBapa
Adab Dengan Tuan Guru

Adab Dengan Sahabat Seguru
Adab Dengan Orang Berilmu
Adab Dengan Keluarga
Adab Dengan Manusia
Adab Dengan Binatang
Adab Dengan Tumbuh-Tumbuhan
Adab Dengan Makhluk

Adab Dalam Majlis Ilmu
Adab Dalam Amalan

Tuesday, April 3, 2018

Mandi Bunga, Kelebihannya Dan Tujuannya

*Mandi Bunga, Kelebihannya dan Tujuannya*

Perkongsian daripada perawat kali ini adalah suatu makluman dan ilmu pemahaman bagi pengikut dan pembaca serta pengembara yang menyinggah di page perawat atau yang telah direkemenkan oleh bekas pesakit perawat berkenaan rawatan mandi bunga untuk tujuan temu jodoh dan murah rezeki. Di sini, perawat ingin memperjelaskan dan memperbetulkan semula persepsi dan ekspresi minda mereka yang bertanya tentang konsep mandi bunga atau yang memohon penyediaan rawatan oleh perawat daripada pengembara page perawat atau whatsapp kepada perawat terutama dari kalangan anak dara dan janda akan hal tentang adab dan etika rawatan mandi bunga.

Antara kelebihan-kelebihan rawatan mandi bunga ialah:

*MENYEGARKAN dan MENGHARUMKAN bau badan
*MENGHILANGKAN bau badan
*MENYERIKAN WAJAH supaya disukai orang
*MEMBERI AWET MUDA kejelitaan diri
*KELIHATAN SEJUK MATA yang memandang
*MEMULIHKAN dan MENSTABILKAN tenaga dalam
*MEMULIHKAN SEMANGAT yang lemah
*SUSUTKAN/KURANGKAN tekanan emosi
*MENYERLAHKAN AURA dalaman
*MEMBERI PELARIS DIRI supaya didampingi ramai
*MEMBERI PENDINDING dari gangguan makhluk halus
*MENINGKATKAN AURA/TENAGA positif
*MEMBUANG AURA/TENAGA negatif
*MENGHALUSKAN KULIT
*MERAWAT LUARAN dan DALAMAN secara semulajadi
*MEMBERI BAU-BAUAN BUNGA pada diri
*MENENANGKAN MINDA dan perasaan
*MEMPERBAIKI KEYAKINAN diri

*dan lain-lain niat perkara yang baik

Jenis-Jenis Bunga Yang Bersesuaian:

1. Bunga Melur
2. Bunga Cempaka
3. Bunga Mawar Putih/Kuning
4. Bunga Harum Sundal Malam
5. Bunga Kantil
6. Bunga Tanjung
7. Bunga Kenanga
8. Bunga Kesidang
9. Bunga Carnation
10. Bunga Dahlia
11. Bunga Lonceng
12. Bunga Melati
13. Bunga Sakura
14. Bunga Sedap Malam
15. Bunga Tulip
16. Bunga Magnolia
17. Bunga Raya
18. Bunga Ros
19. Bunga Anggerik Ungu
20. Bunga Anggerik Hantu
21. Bunga Saffron
22. Bunga Anggerik Merpati
23. Bunga Daisy
24. Bunga Kekwa
25. Bunga Cenderawasih
26. Bunga Kemboja
27. Bunga Seri Pagi
28. Bunga Seroja
29. Bunga Kembang Sepatu
30. Bunga Lily
31. Bunga Pukul Empat
32. Bunga Yasmin
33. Bunga Bakawali

Dan lain-lain bunga yang bersesuaian. Elakkan bunga yang namanya kurang sedap disebut atau yang tidak indah seperti bunga tahi ayam, bunga kertas, bunga kalungan yang digunakan oleh kaum India untuk tuhannya dan lain-lain.

****************************************

Apapun rawatan mandi bunga adalah sebagai suatu wasilah kepada "IKHTIAR DAN TAWAKKAL" bergantung pada hajat dan doa yang diminta. TIADA KENA MENGENA dengan temu jodoh dan murah rezeki. Sesungguhnya JODOH, PERTEMUAN, REZEKI, AJAL, MAUT di tangan Tuhan. Jika sesuatu kebaikan atau keajaiban berlaku selepas dari proses rawatan mandi bunga itu terjadi, barangkali itu hajat yang telah dimakbulkan dan ketentuan susunanNya kepada hambaNya. Tugas seorang perawat hanyalah sekadar berikhtiar dan yang menjadikannya berhasil adalah Dia, Tuhan yang memperkenankan doa hambaNya.

Disediakan oleh:

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

SEBARANG KEMUSYKILAN DAN RAWATAN -

SILA LAYARI LAMAN SESAWANG PERAWAT ATAU WHATSAPP ATAU MESSENGER ATAU SMS ATAU HUBUNGI TALIAN BANTUAN SEPERTI YANG TERTERA DI LAMAN SESAWANG :

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Sunday, April 1, 2018

*Pengalaman Merawat Kerasukan Jin Islam Dan Santau Eps 57*

MERAWAT KERASUKAN JIN ISLAM DAN SANTAU

Akhir Januari 2018, perawat telah dihubungi sebelum itu oleh seorang bekas pesakit perawat, meminta untuk merawat ibunya yang tiba-tiba berjalan tempang sebelah kaki kanannya berlokasi di Sg Ara, Pulau Pinang. Pesakit wanita tua ini telah berusia 79 tahun dan dimaklumkan pada perawat oleh anaknya itu, kudrat ibunya masih kuat seperti orang muda selain boleh mengurut perempuan bersalin dan membuat rawatan ringan pada pesakit kanak-kanak.

Perawat agak keletihan kerana baru sahaja pulang dari Kuala Lumpur pada tengahari itu kerana urusan luar kawasan dan diminta juga untuk datang merawat pesakit sama ada tersalah urat atau bagaimana.

Sebaik saja sampai dan masuk ke rumah, pesakit berseloroh dan bertanya pada perawat, siapa perawat. Melihat ekspresi diri pesakit, seperti bukan pesakit yang bertanya pada perawat. Apabila perawat memperkenalkan diri sebagai seorang ustaz merawat orang, terus pesakit meminta maaf dan mengundur ke belakang.

Kemudian perawat menyuruh pesakit berbaring di atas katilnya di ruang tamu dengan disaksikan anak-anaknya dan menantu-menantunya serta cucu-cucunya, masing-masing hendak menyaksikan pesakit dirawat.

Ketika sesi soal selidik, perawat bertanya adakah pesakit pernah kerasukan. Anak-anak pesakit menyatakan ibu mereka tidak pernah nampak seperti kerasukan dan kelihatan seperti biasa saja. Hairan juga perawat bagaimana jin yang menumpang tubuh pesakit boleh berlakon begitu baik sekali dengan keluarga pesakit tanpa diketahui bahawa memang berlaku kerasukan sebelum-sebelum ini. Pada dasarnya perawat telah mengesan sesuatu pada reaksi dan gerak tubuh pesakit bahawa memang benar ada jin yang telah lama menumpang tubuhnya.

Pesakit memberitahu kerap mimpi orang nak bagi budak, sakit dari pinggang hingga ke seluruh kaki kanan, tangan kena tepuk, paha kena tepuk dan kaki kena tarik sebelum ini yang menyebabkan kaki kanannya berjalan tempang. Dimaklumkan anaknya, ibu mereka mengangkat sekampit beras 10kg sebelum sakit tempang sedangkan sebelum ini telah berkampit-kampit beras 10kg diangkat, tiada masalah sedangkan usianya cukup tua tidak sepadan dengan kudratnya.

Antara simtom-simtom lain yang berlaku ialah pesakit kerap nampak kelibat di dalam rumah, terdengar suara mengilai dan gelak tawa, dada merasa panas dan ada terasa benda bergerak di kaki kanannya.

Pada sesi rawatan pertama, ketika pesakit berbaring di atas katil, perawat duduk di tepi kaki kanannya dan memulakan rawatan. Seketika itu, pesakit tiba-tiba terlelap dan terdiam. Maka perawat memanggil jin dalam tubuhnya untuk hadir. Kaki kanan mula bergoyang-goyang tetapi pesakit masih terlelap. Perawat memanggil jin tersebut hadir dan sedar jika tidak, perawat akan bertindak keras kalau jin tidak memberi kerjasama. Terus hadir dan sedar jin tersebut. Pada mulanya jin itu membeliakkan matanya kononnya untuk menakutkan perawat, tetapi perawat memberi amaran jika tidak berkelakuan elok, perawat akan korek mata jin tersebut. Terus matanya seperti normal.

Tidak sempat video direkod kerana pesakit tidak dijangka kerasukan dan perawat ketika itu agak keletihan kerana kembara jauh pulang dari Kuala Lumpur belum sempat berehat sepenuhnya.

Sesi dialog pun bermula,

Perawat: Hai jin, siapa nama hang? Hang bangsa apa? Siapa tuan hang?
Jin: (Berdiam diri)
Perawat: Kalau hang takmau cakap, aku seksa hang cukup-cukup. Aku tanya hang tolong jawab. Hang ni bangsa apa, pontianak, hantu rata, puaka hutan, jembalang tanah, polong, pelesit..
Jin: (Geleng kepala). Aku jin yang berjalan...
Perawat: Bangsa apa taktau?
Jin: (Geleng kepala).
Perawat: Kenapa hang duk dalam badan dia?
Jin: Aku dah kata dah jangan ambik laki aku, hang nak ambik jugak, hang takmau dengar cakap, sekarang aku buat hang.
Perawat: Ni apa cerita pulak ni sampai nak ambik laki orang ni. Cuba hang bagitau aku, apa yang berlaku.
Jin: Dia ni (pesakit) kawen dengan laki dia. Aku ni mau kat laki dia tapi laki dia pilih dia. Jadi aku panas hati, aku cari la bomoh nak kenakan dia bagi depa bergaduh bercerai. Tapi tak cerai-cerai jugak. Aku mau kat laki dia...
Perawat: Banyak lagi laki lain dalam Penang ni, hang mau laki dia jugak...awat kemaruk sangat ka kat laki dia, hensem sangat ka laki dia..
Jin: Henseemmm...sebab tu aku mau..
Perawat: (Tergelak dengar jawapan jin)..

Kemudian salah seorang anak pesakit menceritakan, dulu sebelum berkahwin, ibu mereka dan sepupu perempuan ibu berebut-rebut mahukan suami ibu. Sepupu ibu sampai menangis-nangis merayu hendak berkahwin dengan suami pesakit tetapi suami pesakit tetap memilih pesakit sebagai isteri. Kerana soal cinta dan dengki, sepupu pesakit bertindak cari bomoh di Balik Pulau untuk kenakan pesakit supaya rumahtangganya tidak tenteram. Suami pesakit telah lama meninggal dunia, sepupu perempuan yang dengki pada pesakit juga telah meninggal dunia beberapa tahun lalu. Bomoh di Balik Pulau juga telah lama meninggal dulu kerana sakit teruk.

Jin: (Mengangguk mengesahkan)
Perawat: Hang ni agama apa?
Jin: Islam
Perawat: Ooo..hang Islam. Aku jugak Islam. Tetapi sebagai seorang Islam kita tidak boleh menzalimi dan menganiaya sesama Islam. Kalau ikutkan, hang dah menzalimi tubuh pesakit ni. Hang nak masuk neraka..(lalu perawat membuka tabir jin untuk melihat gambaran neraka. Terkaku jin seketika. Matanya seperti berair ketakutan. Maka tabir jin ditutup semula). Hang nampakkan neraka tu..nak masuk ka ke sana..
Jin: (Menggeleng kepala ketakutan)
Perawat: Dah berapa lama hang duduk dalam badan orang ni...
Jin: Lama dah..
Perawat: 10 tahun..20 tahun..30 tahun..bila
Jin: Lama dah...sejak dia kawen...

Perawat bertanya pada anaknya, pada umur berapa ibu mereka berkahwin. Anaknya menjawab pada umur 19 tahun. Bererti telah 60 tahun jin Islam ini duduk di dalam tubuh pesakit tanpa sesiapa pun dalam keluarga perasan kehadiran jin tersebut.

Perawat: Macam ni la..hang ada suami, ada anak kann...
Jin: (Mengangguk)
Perawat: Aku nak selamatkan hang. Hang baliklah kepada keluarga hang selain menunaikan tanggungjawab hang sebagai seorang Islam. Jika hang tak bagi kerjasama, aku terpaksa bunuh hang kerana hang telah menzalimi dan memudaratkan tubuh pesakit ni..
Jin: (Mengangguk)
Perawat: Sebelum tu, aku nak tanya, hang ka yg buat kaki kanan dia jalan tempang?
Jin: (Mengangguk)
Perawat: Baik. Perbetul balik urat-urat dia sekarang.

Kaki kanan pesakit bergoyang-goyang seketika.

Perawat: Mana lagi yang dia sakit?
Jin: Bahu
Perawat: Haa perbetulkan.

Bahu digoyang-goyang.

Perawat: Ada santau dak masuk dalam tubuh dia?
Jin: (Mengangguk)
Perawat: Buang semua sekarang
Jin: Bismillahirrahmanirrahim. Datang racun, racun bisa, bukan racunku, racun Allah, aku buang bla..bla..bla...dengan berkat Lailahaillallah Muhammadurrasulullah. (Jin membuang santau dari tubuh pesakit dengan mengutip dari bahagian-bahagian tertentu)
Perawat: Dah selesai semua? Habis dah santau? Sakit-sakit yang hang buat tu dah tak dak dah?
Jin: (Angguk)
Perawat: Kampung hang dari mana?
Jin: Balik Pulau.
Perawat: Kat situ ada perkampungan jin Islam ka?
Jin: (Angguk)
Perawat: Baik. Sebelum hang keluaq, ikut cakap aku. Hang kena bersumpah. (Perawat melafazkan sumpah diikuti oleh jin sehingga selesai). Hang dah bersumpah dengan nama Allah, aku pegang sumpah hang. Kalau lagi sekali aku dipanggil hang masih ganggu orang ini dan keluarga, aku akan bunuh hang serta merta.
Jin: (Mengangguk faham)

Kemudian jin tersebut keluar ikut kaki kanan pesakit dibantu oleh perawat untuk memudahkan urusannya. Pesakit kembali sedar dan kebingungan kenapa ramai sangat anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucunya berada di ruang tamu. Dan pesakit hairan kenapa perawat duduk di hujung katilnya dan untuk apa. Setelah diterangkan perkara sebenar, maka fahamlah pesakit apa yang telah berlaku. Alhamdulillah semuanya telah selesai. Pesakit tidak lagi berjalan tempang atau merasa sakit di mana-mana bahagian tubuhnya. Cuma kudratnya telah bertukar menjadi seorang wanita tua yang lemah, tidak lagi seperti orang muda.

Begitulah pelbagai perkara yang berlaku sehingga soal cinta pun tetap hendak diperbomohkan disebabkan berebut pasangan. Apalagi yang melibatkan pangkat, harta, tugas, tender, projek, kenaikan gaji dan sebagainya, masih ramai yang memilih jalan gelap dari bertawakkal dan redha kepada Allah SWT.

Teruskan bersama pengalaman-pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan menyelesaikan kes-kes misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar berlaku dalam masyarakat sekarang ini.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#al-faiz-al-falah.blogspot.com
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Luaran Dan Zat Jahat Eps 56*

MERAWAT GANGGUAN JIN LUARAN DAN ZAT JAHAT

Kembali lagi ke kisah pengalaman perawat dalam jejak rawatan dan perubatan setelah agak lama belum berkesempatan untuk berkongsi iktibar dan pengalaman disebabkan terlalu sibuk dengan pelbagai urusan termasuk rawatan di luar kawasan. Boleh dikatakan ramai juga pesakit yang telah banyak berubat merata tempat dan berhabisan ribuan ringgit dengan kos perjalanan, penginapan, makan minum dan rawatan bertahun-tahun tetapi tidak pulih-pulih, meminta jasa baik perawat berikhtiar merawat mereka. Alhamdulillah, ramai antara mereka yang telah kembali pulih dan normal.

Kisah pengalaman kali ini membawa perawat ke Kuala Perlis pada pertengahan Januari 2018 di mana terdapat seorang pesakit wanita yang hampir 20 tahun mengalami gangguan jin luaran dan zat jahat dalam tubuh badannya.

Pada sesi rawatan pertama, pesakit menceritakan pernah keguguran tanpa sebab ketika mengandungkan anak. Semasa dalam tempoh mengandung itu, pesakit kerapkali bermimpi seekor ular hadir di dalam mimpinya. Pesakit juga pernah berubat dengan seorang perawat dan diberikan air tawar. Mengikut cerita pesakit, pesakit pernah mengikuti program berkhemah di kawasan Bukit Ayer dan Wang Kelian yang terletak di negeri Perlis. Mungkin pesakit pernah mengambil sesuatu barang atau benda dari kawasan tersebut dan membawa pulang kerana gangguan bermula pada selepas selesai program berkhemah tersebut 20 tahun yang lalu.

Antara simtom-simtom gangguan yang berlaku pada pesakit ialah kerap bermimpi buruk seperti melihat bayi, anjing, buaya, ular dan lain-lain, kesan-kesan lebam di bahagian kaki yang kerap terjadi dan merasa benda bergerak di bahagian belakang badan.

Ketika sesi rawatan, perawat mengesan kehadiran jin yang berkemungkinan telah terpikat pada pesakit setelah sekian lama mengekorinya. Perawat berikhtiar memutuskan ikatan dan perhubungan jin tersebut dengan pesakit dan dikembalikan jin tersebut ke tempat asalnya. Kemudian zat-zat jahat di dalam tubuhnya dimusnahkan dan pesakit dipulihkan sepenuhnya. Selesai rawatan, perawat mendapati air mata meleleh keluar dari mata pesakit. Apabila ditanya, pesakit tidak tahu kenapa dia menangis, hati berasa sedih dan hiba seperti ada sesuatu pergi dari tubuhnya dan keadaan makin pulih selepas itu.

Susulan pada rawatan kedua, pesakit telah pulih sepenuhnya. Rawatan selesai sehingga setakat itu.

Adalah dinasihatkan agar ibubapa sentiasa memberi nasihat dan pemahaman pada anak-anak mereka yang akan mengikuti program atau aktiviti sekolah, persatuan, kelab untuk perkhemahan atau pendakian, agar sentiasa memohon perlindunganNya dan tidak sekali-kali mengambil sebarang barang atau benda dari tempat perkhemahan dikhuatiri berlaku musibah.

Teruskan bersama perawat dalam jejak rawatan dan perubatan menangani pengalaman-pengalaman misteri, aneh, ganjil, pelik di sekitar kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~


#al-faiz-al-falah.blogspot.com
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1