Tuesday, December 4, 2018

Sihir Nadzif

*APA ITU SIHIR NADZIF?*

Sihir Nadzif ialah SIHIR PENDARAHAN iaitu sering berlaku pada golongan wanita, pendarahan yang keluar dari kemaluan wanita. Biasanya terjadi setelah berhentinya darah haid dan pendarahan ini akan berpanjangan sehingga berbulan-bulan mahupun bertahun. Nak beribadat pun tidak selesa nak berjalan nak ke mana-mana memang tak selesa. Setiap hari kena pakai tuala wanita.

Jin yang melakukan sihir ini amatlah jahat, ia memasuki dalam tubuh wanita melalui saluran darah dan setelah jin sudah sampai ke pangkal rahim jin ini akan menendang, menggoncang, melukakan sehingga pembuluh darah pecah dan menimbulkan pendarahan lebih dari jangka haid.
Sihir ini merupakan sihir yang membahayakan juga kepada wanita, pendarahan yang teruk boleh banyak kehilangan darah, boleh keguguran berulang kali dan rahim menjadi sakit lebih dari senggugut.

*Kisah Benar dari seorang bekas pesakit*

Saya terkena sihir ini selama 3 bulan. 3 bulan itulah saya keluar darah, saya pakai tuala wanita selama 3 bulan, ya.. 3 bulan bukan 3 minggu. Permulaan saya sakit ni, saya sakit perut yang amat sangat dari pagi petang malam sampai keesokan hari saya tak mampu dah nak tahan sakit saya ni, saya pergi hospital, jalan pun tak boleh, naik wheelchair sebab sakit dia Allahu Akbar Tuhan saja yang tahu. Nak gambarkan sakit tu tak boleh sebab sakit dia memang dahsyat saya terpekik melolong menggelupur atas katil kesakitan Allahu, susah nak terang sakit dia tu macamana.

Keesokan saya pergi hospital, doktor cakap saya kencing kotor. Oklah saya terima sebab saya kurang makan buah dan kurang air masak. Doktor bagi saya ubat antibiotik tahan sakit dan demam, seminggu saya telan ubat tak jadi apa-apa. Pun sakit semakin menggila... Allah.. dia je mengetahui saya masa tu macamana, makan tak lalu terbaring macam ayam sakit Allahu, sudahnya abah saya tak tahan tengok saya nangis terpekik, dia panggil ustaz yang berubat secara ruqyah, ustaz tu kawan abang saya, dia datang rumah suruh saya ambik wuduk pakai telekung siap, sudah dia mulakan bacaan ruqyah perut saya semakin menggila, tubuh saya panas, hati berserabut macam nak lari dari rumah, tapi saya tahan saya kawal diri, saya istighfar banyak-banyak masa tu. Selesai dia bagi saya air yang dibacanya, saya minum perut saya kurang dah sakit alhamdulillah saya boleh tidur malam tu dengan selesa, tak sampai 6 jam saya bangun dari tidur dalam jam 3 pagi, saya bangun perut saya sakit yang amat saya tak tahan nak pergi tandas, tiba-tiba saya rasa macam something nak kuar dari bawah cepat-cepat saya buka seluar dan Allahu Akbar, darah beku yang hitam sebesar hati lembu dengan bau yang hanyir keluar, Allah terkejut aku tak usah cakap hati saya tak keruan masa tu, saya pun bersihkan nak kejutkan mak abah masa ni tak sampai hati sebab diaorang pun susah hati tengok saya sakit, saya pun masuk bilik saya nak tido balik, saya terdengar macam macam suara di bilik saya, macam-macam bayang lalu di tingkap bilik saya macam-macam weh, tapi saya abaikan saya tido je.

Keesokan hari saya bagitahu la dekat mak abah saya, yang terjadi semalam dah la darah banyak beku hanyir pulak tu, sehari saya pakai tuala wanita night punya lebih 10 keping sehari, anda bayangkan la sampai macam tu banyaknya. Abah pun pergi lah tanya ustaz tu dia cakap, saya dah terlalu banyak makan makanan kotor sampai terlalu kotor diri saya ni. Terkejut abah saya, abah saya tanya ustaz tu, dia tahu tak sapa yang buat saya? Ustaz tu cakap itu di luar kemampuan dia, dia suruh saya mandi air limau minum air tawar dia sampai habis, saya turutkan je, dia cakap biarkan darah kuar...tu darah yang kotor. Ok saya sekeluarga ikut apa yang ustaz tu cakap, dan lebih dari dua minggu darah saya tak berhenti lagi dan semakin banyak keluar, mak abah saya semakin tak keruan tengok keadaan saya macam mayat hidup, saya pegi berubat darul syifa, saya pegi berubat situ sini tapi tak jadi apa pun darah tak berkurangan langsung, sampai satu tahap saya pergi klinik, saya tak larat gila dah, muka saya pucat lesi jantung saya berdegup perlahan saya bernafas pun tercungap-cungap, tak sampai sejam di check saya terpaksa dihantar ke hospital wad emergency, doktor cakap jantung saya lemah sangat, heart beat terlalu rendah Allahu saya fikir saya dah mati dah masa tu saya dibawa ke hospital naik ambulan ni-no-ni-no bising yang amat, sampai je hospital saya dihantar ke emergency, macam-macam doktor yang datang cina india melayu laki pompuan, habis check up saya, dan saya pun disahkan kena bermalam di hospital , sedih weh tak pernah saya duk sini, first saya kena takut bimbang semua ada, saya pun masuk la wad 1E untuk sakit perempuan, bermacam ubat doktor masukkan dalam tiub di tangan ni, sakit yang amat oi nak je nangis, pastu hari demi hari doktor tak tau kenapa dan punca saya berdarah tak berhenti dan tak kurang, sempat bermalam 3hari 2malam, dan akhirnya doktor bagi keputusan esok saya boleh keluar sebab dia tak tahu kenapa, dia tak leh buat apa, kalau duk sini siksa saya je dia ckp, dia bagi ubat tambah darah dan vitamin je, petang tu saya discharge hospital, saya balik je masuk bilik terus tido, saya tido sampai malam pukul 12 sampai terbangun sebab saya panas sangat, saya pergilah dapur buat air apa semua, main game before tido pastu saya ada nampak bayang besar lalu bilik saya pukul 2 3 pagi aduh, saya abaikan je dan bayang tu semakin besar dan besar dan ada dalam bilik saya weh, saya mengucap tak cukup nafas weh, dah la besar hitam legam ada di katil saya, telinga saya berdesing kuat sampai tak leh nak dengar apa-apa masa tu, dengar budak nangis budak suka-suka Allah takutnya saya pun bungkuskan diri dengan selimut, saya mengucap menggeletar tubuh sayak ketakutan last² tertido macam tu je.

Keesokkan hari saya cerita dekat abah ngan mak, abah saya pun masuk bilik saya, tak sampai 5 minit abah pucat macam takde darah muka dia, mak tanya kenapa dia cakap takde apa2, terus abah ambik wuduk dan solat, selesainya dia solat, dia cakap kakak malam ni tidur bilik mak dengan abah, saya tanya why? Dia kata jangan degil, dengar je ok saya pun pindahkan la bantal saya selimut saya apa semua dalam bilik, pastu pukul 3 pagi, mak saya tetiba terkejut pastu nangis katanya takut dia kejutkan abah saya, dan abah saya temankan mak saya sampai tidur.

Keesokkan hari, nenek saya suggest kat abah saya suruh bawak saya pergi berubat dekat Marang di perumahan Sungai Kerak, sebelum nenek saya sarankan abah saya ada call 1 makcik yang berubat ni, makcik ni nak sangat jumpa saya kalau boleh malam yang nenek saya call dia tu dia nak jugak jumpa saya, dia merasa saya ni ada something tak kena, dia tak sedap hati dengan saya.

Keesokkannya saya pun pergi la Marang nak pergi berubat, dia tengok saya je melangkah umah dia dah seriau dia cakap. Dia pegang saya nak scan saya, dia muntah weh, dia muntah sampai ada lalat hinggap di tubuh saya masa proses berubat...ya Allah terkejut makcik tu, dia cakap tak pernah pernah dia berubat pesakit ada makhluk yang datang, dia urut tubuh saya baca ayat al Quran dia muntah lagi, dia cakap terlalu kotor tubuh mu adik, saya tak bermaya langsung nak cakap, makan mak saya suapkan mandi mak saya mandikan semua mak saya, mak saya tanya dia tahu ke sapa buat? Dia cakap budak lelaki, dia buat macam ni sebab tak nak bagi saya kahwin dengan orang lain, ye la dah berdarah macam ni orang nak kahwin nak zuriat, paham paham je la kan dah berdarah sapa yang nak oi....tak sampai 4 hari darah saya semakin banyak, mungkin dia marahkan saya sebab saya ni cuba pulihkan sakit saya, lebih 7 orang saya dah berubat tak jadi apa, saya fade up saya tak nak dah berubat, saya tak tahan dah nak minum air tawar nak telan itu ini, tapi saya tengok mak abah susah hati tengok saya, diaorang penguat semangat nangis² diaorang sedih tengok saya fade up, dan saya pun bangkit demi mak abah saya, saya berubat lagi dan berubat lagi, sampailah saya jumpa seorang ustaz Kg Haji Awing yang merupakan kawan lama ayah saya, saya berubat dengan dia, dan alhamdulillah saya sembuh weh syukur tak terkata sangat tapi makan masa jugak saya nak sembuh, dekat sebulan la saya berubat dengan dia, hari demi hari darah saya makin sikit dan berkurang dan berhenti Allahu Akbar hebatnya kuasaMu..dan saya syukur sekarang saya baik dari sakit ni, Rata-rata saya berubat semua cakap laki yang buat dan dia pakai bomoh indonesia masa saya sakit dulu, ramai kawan abah mak mari melawat saya tengok keadaan saya, ramai yang histeria cakap indon weh seriau saya Allahu saya tak sangka saya boleh sakit setahap ni, dulu saya duk baca baca novel je pasal sihir ni, sekarang terkena dekat diri sendiri, ya Allah saya tak mau dah sakit macam ni, saya harap last saya sakit macam ni. Seksanya Allah je tahu, saya tak tuduh sesiapa pun yang buat saya, cuma saya nak cakap saya dah maafkan awak

(Petikan dari pengalaman perawat lain)

Friday, November 2, 2018

*Pengalaman Merawat Zat Jahat Dan Pemutusan Perjanjian Saka Eps 75*

*Merawat Zat Jahat Dan Pemutusan Perjanjian Saka*

Awal bulan April 2018, berlokasi di Mutiara Perdana Bayan Lepas, perawat telah dihubungi untuk ikhtiar merawat seorang pesakit wanita yang mengalami gangguan baru dalam tempoh sebulan. Perawat tiba di rumah pesakit pada sebelah petang seperti yang dijanjikan.

Pesakit menyatakan semasa ditemubual, antara simtom-simtom gangguan pada dirinya adalah badan terasa panas berbahang, sakit di bahagian belakang badan dan pinggang di sebelah kanan.

Semasa sesi rawatan pertama dijalankan, kelihatan mata pesakit terkebil-kebil semasa ditutup, bahagian belakang dan kakinya menggeletar semacam. Bila diperiksa, ternyata tubuh pesakit ada pertalian perjanjian saka tetapi tidak ketara menonjol untuk gangguan lain. Maka perawat serta-merta memutuskan perjanjian saka tersebut dan memusnahkan zat-zat jahat yang ada pada tubuh pesakit. Kemudian pesakit tenang kembali. Pesakit juga memaklumkan bahawa dia pernah terlibat dalam kemalangan di mana kepala bahagian kirinya terhentak ke jalanraya. Kemalangan yang berlaku tanpa sebab dan tiada pelanggaran secara tiba-tiba terjadi pada dirinya.

Seterusnya pada sesi rawatan kedua, pesakit menyatakan sakit di pinggang sebelah kanan. Setelah diperiksa, terdapat sedikit zat jahat yang tertinggal dan dimusnahkan. Selebih itu kemungkinan sakit fizikal yang berpunca dari kemalangan tersebut. Pesakit dinasihatkan untuk mencari tukang urut perempuan atau bidan bagi mengurut semula urat-urat yang bermasalah dan juga otot-otot yang sakit akibat terhempas ke jalanraya. Rawatan selesai sehingga setakat itu. Tiada lagi gangguan saka berlaku.

Air doa untuk minum dan mandian telah dibekalkan bagi kedua-dua sesi rawatan pesakit.


Teruskan bersama mengikuti kisah pengalaman perawat dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~


#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Saturday, October 27, 2018

*Pengalaman Merawat Jin Pencerobohan Dan Zat Jahat Eps 74*

*Merawat Jin Pencerobohan Dan Zat Jahat*

Penghujung bulan Februari 2018, perawat telah dihubungi oleh seorang pesakit lelaki dari Tanjung Tokong, Pulau Pinang meminta untuk memeriksa kesakitan di pinggang belakangnya. Kata pesakit, sudah sebulan lebih dia mengalami kesakitan tersebut. Pemeriksaan hospital telah dibuat tetapi tiada keputusan yang menunjukkan punca penyakit sedangkan pesakit tetap berasa sakit.

Antara simtom-simtom gangguan yang berlaku pada pesakit ialah kadang-kadang rasa seperti sesuatu mendekatinya, susah tidur dan terjaga malam akibat rasa sakit dan rasa seperti ada benda bergerak-gerak di pinggang belakang tempat yang sakit. Diceritakan oleh pesakit, bermula gangguan ini ketika pesakit dimasukkan ke wad Hospital Besar Pulau Pinang. Ketika di wad itulah ada sesuatu yang mengganggunya sehingga membawa sakit kepada lebih sebulan.

Semasa sesi pertama rawatan, perawat mengesan seperti ada jin pencerobohan yang duduk di tempat yang sakit di pinggang belakang pesakit. Bila merawat menggenggamnya dan cuba menarik keluar, pesakit mengaduh sakit. Kemudian perawat melemahkan jin perosak tersebut dan berjaya ditarik keluar dan dihapuskan. Seterusnya dikesan banyak zat jahat di sekitar tempat yang sakit kemungkinan angkara perbuatan jin perosak tersebut. Selesai membuang jin perosak dan zat-zat jahat, pesakit menyatakan lega banyak dari sebelum ini.

Pada sesi rawatan kedua berikutnya, pesakit menyatakan lega banyak sakit di pinggang belakang dengan kadar 80% surut selepas dari sesi rawatan pertama. Tiada lagi rasa benda bergerak seperti dulu. Tetapi semasa rawatan kedua berlangsung, pesakit memberitahu jantungnya tiba-tiba berdegup laju dan pinggangnya tangkap sakit. Selepas seminit perawat menarik keluar saki baki zat jahat, badan pesakit terasa ringan.

Pada sesi rawatan ketiga, masih ada lagi sakit sikit-sikit tetapi sudah tiada zat jahat pada tubuh pesakit. Pesakit memberitahu dia dimasukkan ke wad akibat ada pendarahan di belakang buah pinggangnya tanpa diketahui punca. Jadi pembedahan kecil telah dibuat dan ada berlaku kesilapan di mana ada 1 urat terpotong yang menambahkan lagi beban sakit dari sebelumnya. Berlaku lagi pendarahan sehingga terpaksa membuat pembedahan kali kedua. Semasa perawat meletakkan tapak tangan kanan di tempat bekas pembedahan, pesakit terasa sakit kerana katanya ada seperti aliran elektrik keluar dari tapak tangan perawat dan masuk ke tempat urat yang putus. Kerana tidak tahan, rawatan fizikal dihentikan tetapi perawat menyarankan pesakit mengambil ubat herba produk perawat untuk membantu memulihkan bahagian-bahagian bekas pembedahan.

Pesakit juga ada meminta untuk menyambung rawatan fizikal 2 kali dalam bulan Mac 2018. Tetapi yang terakhir pesakit tersebut telah disahkan meninggal dunia pada hujung bulan September 2018 yang lalu kerana kegagalan organ dalaman mungkin disebabkan urat putus tersebut.

Nantikan kisah pengalaman perawat seterusnya dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Tuesday, October 23, 2018

*Pengalaman Pemulihan Rumah, Pembatalan Ilmu Tangkal, Batu Cincin Berkhadam dan Minyak Penunduk Eps 73*

*Pemulihan Rumah, Pembatalan Ilmu Tangkal, Tali Jala, Batu Cincin Berkhadam Dan Minyak Penunduk*

Salam sejahtera dan selamat bertemu kembali dalam sesawang perawat. Agak lama juga perawat tidak berkesempatan untuk mengemaskini siri-siri pengalaman disebabkan terlalu sibuk dengan banyak pesakit dari merata tempat sehingga ke luar kawasan selain merawat penyakit-penyakit fizikal pesakit yang agak kritikal dan sangat kritikal.

Kisah pengalaman perawat kali ini membawa jejak rawatan ke sebuah rumah apartmen yang terletak di Taman Bukit Angkasa, Kuala Lumpur. Pertengahan Mac 2018, berangkat perawat dari Pulau Pinang menuju ke destinasi rumah pesakit lelaki seperti yang telah dijanjikan sebelum ini. Pengalaman kali ini adalah untuk memulihkan rumah pesakit yang dikhabarkan ada berlaku gangguan kelibat di dalam rumah serta rasa yang kurang menyenangkan.

Proses pemulihan bermula keesokan paginya dan sebelum permulaan pemulihan rumah, perawat bertanyakan pada pesakit andainya terdapat seperti barang-barang mistik yang mungkin pernah diambil dari bomoh atau orang bertapa atau sesiapa saja yang diragui akan keilmuannya.

Pesakit kemudiannya mengeluarkan beberapa ikatan tangkal, tali jala yang diikat dan digantung di sudut tertentu, batu cincin berkhadam yang kononnya untuk pelaris-penunduk-pengasih dan minyak jampi yang digunakan sebagai minyak penunduk di mana ia diletakkan di atas palang pintu masuk.

Setelah dikumpulkan kesemua barang tersebut, perawat membatalkan satu persatu tangkal, tali jala dan minyak penunduk selain melepaskan khadam-khadam jin batu cincin. Tangkal, tali jala dan minyak penunduk tersebut perawat mengarahkan pesakit untuk membuangnya ke sungai yang berhampiran manakala cincin-cincin tersebut boleh dipakai kerana telah dikosongkan. Kemungkinan dari penyimpanan barang-barang ini menyebabkan punca kehadiran kelibat di dalam rumah pesakit.

Setelah itu proses pemulihan rumah diteruskan selama 2 jam lebih. Selesai pemulihan, keadaan dalam rumah yang kabur kembali terang dan jelas, suasana tenang kembali dan tidak nampak muram. Kemudian perawat berangkat pulang.

Teruskan menyelami kisah pengalaman perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Wednesday, September 5, 2018

*Pengalaman Merawat Kerasukan 2 Ekor Jin Bangladesh Beragama Hindu Eps 72*

Merawat Kerasukan 2 Ekor Jin Bangladesh Beragama Hindu

Pertengahan Februari 2018, berlaku kes kerasukan ke atas seorang pesakit lelaki berlokasi di Batu Uban, Pulau Pinang. Perawat telah dihubungi pesakit pada sebelah petang untuk merawatnya di rumah pada sebelah malam. Selepas solat Isyak, perawat sampai di rumah pesakit.

Seperti biasa, pesakit akan ditemubual terlebih dahulu untuk mengenal pasti punca terjadi gangguan kerasukan pada dirinya. Mengikut cerita pesakit, tempoh gangguan telah berlangsung selama 4 tahun sejak mula pindah ke rumah barunya di Batu Uban. Pernah beberapa kali dirawat oleh beberapa orang perawat sepanjang 4 tahun tersebut tetapi masih juga tiada jalan penyelesaian dan semakin hari semakin mengalami sakit seluruh badan. Bila pemeriksaan doktor dibuat, tiada keputusan klinikal yang mensabitkan pesakit mengalami sebarang penyakit. Antara simtom-simtom gangguan yang dialami oleh pesakit lelaki ini ialah kerap kerasukan penuh, mengalami mimpi buruk seperti lipan, berada di tempat yang tinggi, berada di tempat kotor dan macam-macam serangga, kerap terjaga malam badan terasa panas, sejuk dan seram sejuk ketika berada di rumah. 

Masih lagi belum dapat titik punca gangguan, perawat meminta pesakit jujur untuk menceritakan apa masalah yang sebenarnya berlaku bila pesakit terlepas cakap tentang kejiranan tidak mesra. Barulah diberitahu bahawa sebenarnya berlaku perebutan untuk memiliki rumah yang telah dibeli pesakit itu oleh jiran berhadapan pintu dan jiran di atas rumahnya yang juga ada hubungan keluarga dengan jiran di depan rumahnya. Untuk makluman, jenis rumah yang diduduki pesakit adalah pangsapuri. Kerana tidak puashati tuan rumah asal menjual rumah kepada pesakit, jiran dua beradik ini telah berniat jahat untuk menyakitkan pesakit melalui ilmu perbomohan. Adik perempuan kepada jiran di depan rumah pesakit adalah beragama Islam tetapi berkahwin dengan seorang Bangla yang beragama Hindu tetapi menyamar sebagai seorang Islam dan menetap di rumah atas. Dimaklumkan adik perempuan itu telah dikenakan ilmu penunduk oleh mamat Bangla tersebut sehingga sanggup mengahwininya dan menurut perintah.

Mamat Bangla itu pula diketahui belajar suatu ilmu perbomohan sesat dari Bangladesh yang lebih kepada memuja patung untuk perlindungan dirinya. Jadi mula-mula dihantar tuju-tuju untuk mengganggu dan menyakitkan pesakit dan keluarga. Kemudian dituruti menghantar jin untuk menyebabkan kerasukan agar pesakit menjual dan keluar dari rumah yang telah dibelinya itu. Ketika sedang bertemubual untuk mendapatkan punca gangguan, bunyi berdentum di lantai atas seperti mamat Bangla sudah tahu kehadiran perawat.

Sesi rawatan pertama dijalankan, perawat memanggil masuk jin yang merasuk. Tidak sampai 2 minit, jin tersebut hadir dan pesakit kerasukan. Soal siasat dijalankan ke atas jin tersebut yang pada mulanya menipu ia datang dari Siam tetapi setelah diseksa, barulah jin tersebut memberitahu ia berasal dari Bangladesh, mengikut tuannya yang berada di rumah atas serta beragama Hindu. Walaupun telah dipujuk dan didakwah untuk masuk Islam, jin tersebut yang berusia 1000 tahun masih degil yang teramat selain memberitahu ia sangat benci pada Nabi Muhammad. Katanya ia kebal dan tidak boleh mati. Walaupun perawat telah bertolak ansur, bagi nasihat, dakwah agama Islam atau minta keluar dengan bersumpah jika tidak mahu masuk Islam, jin tersebut tidak takut mati dibunuh kerana sangkanya umur 1000 tahun itu akan hidup sampai kiamat.

Maka jalan terakhir perawat membunuh mati jin tersebut selain membelah tubuh jin termasuk kepala jin putus dan terbelah dua. Pesakit rebah seketika disebabkan letih sebelum dipulihkan kembali setelah berasa ringan dan lega. Apa yang berlaku sepanjang proses rawatan, berdentam-dentum kedengaran kuat lantai di atas serta suara mentera yang tidak difahami seolah-olah mamat bangla tersebut cuba melawan dan membalas serangan. Ketika kalah dan jin utusannya mati dibunuh, terdengar suara mamat bangla meraung di atas seolah-olah kecewa kerana kalah.

Setelah selesai sesi rawatan pertama yang mengambil masa satu jam, perawat mengundur diri untuk pulang. Tetapi keesokannya pesakit menghubungi perawat kembali dan menyatakan dia sakit dengan lebih teruk pada pukul 2 pagi semalamnya. Pesakit meminta perawat datang ke rumahnya selepas habis kerja pada lewat petang. Setelah hadir pada petang hari kedua, pesakit memberitahu uratnya seperti ditarik dari kaki ke pinggang. Dalam tidurnya dia bermimpi kelemasan. Proses rawatan kedua dijalankan dan didapati ada seekor jin telah dihantar masuk melalui kaki pesakit yang menyebabkan urat ditarik. Perawat memanggil jin tersebut hadir dan tidak sampai 2 minit, pesakit kerasukan. Video rakaman sesi kedua tidak dapat direkod kerana perawat tidak menjangka berlaku lagi kerasukan kali kedua. Jin utusan kedua disoalsiasat untuk diketahui sama ada jin yang sama merasuk pesakit semalam atau jin baru. Jin tersebut memberitahu bahawa ia adalah jin baru dan jin yang semalam itu telah mati dibunuh. Kali ini jin yang merasuk pesakit bertindak ganas hendak membunuh isteri dan anak-anaknya dengan menyergah keluarga menggunakan bahasa bangladesh. Perawat telah mengikat mati jin tersebut yang berusia 2000 tahun supaya tidak dapat melawan. Seperti biasa, jin dinasihat, didakwah dan diberi peluang, masih juga tidak mahu bertolak ansur dan tidak takut untuk mati dibunuh kerana difikirkan umur 2000 tahun itu masih boleh hidup lama. Akhirnya jin tersebut mati dibunuh perawat. Setelah dipulihkan, pesakit meminta perawat untuk memeriksa isterinya pula yang mengadu kakinya sakit. Didapati ada zat jahat yang terdapat pada kaki isterinya dan dimusnahkan. Setelah selesai, perawat mengundur diri untuk pulang. Rawatan mengambil masa satu jam setengah untuk selesai. Selepas dari itu, tiada lagi kedengaran sebarang berita dari pesakit yang terus berdiam diri.

Kredit video.
Saksikan sedutan rakaman pada sesawang di bawah.

1. https://youtu.be/-Hb5W-taHC4


2. https://youtu.be/ES276eDvtGM

Memandangkan perawat agak sibuk dengan pelbagai urusan termasuk kes-kes rawatan yang semakin berat, nantikan kisah pengalaman perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Friday, August 17, 2018

*Pengalaman Merawat Kerasukan Jin Perempuan Puaka Hutan Eps 71*

*MERAWAT KERASUKAN JIN PEREMPUAN PUAKA HUTAN*

Penghujung bulan Februari 2018, berlokasi di Batu Maung, Pulau Pinang, perawat menyelesaikan satu masalah pesakit remaja lelaki kerasukan jin perempuan berbangsa puaka hutan. Selepas zohor, perawat dihubungi oleh bapa saudaranya untuk datang ke rumah bagi ikhtiar merawat.

Seperti biasa, sesi bertemubual dan bersoaljawab diadakan antara perawat dan pesakit remaja. Ketika ditanya, pesakit menyatakan sudah hampir 5 tahun gangguan pada dirinya berlangsung. Umurnya masih muda lagi lepasan SPM tetapi telah diganggu setiap masa.

Antara simtom-simtom gangguan yang berlaku pada pesakit remaja lelaki ini ialah 100% kerasukan, susah tidur malam disebabkan gangguan, badan terasa panas dan sejuk, kepala kerap sakit tanpa sebab.

Ketika sesi rawatan bermula, tiba-tiba pesakit kerasukan. Tak semena-mena pesakit menangis tanpa sebab. Pada mulanya, bila ditanya perawat, jin tersebut tidak mahu menjawab. Bila dibuka kunci pada mulutnya, baru jin itu memberi kerjasama. Jin yang merasuk ini adalah jin perempuan jenis bangsa puaka hutan.

Bermula punca gangguan adalah di mana 5 tahun yang lalu, pesakit ini menghadiri satu sesi perkhemahan sekolah di dalam hutan yang pesakit sendiri tidak dapat mengingati tempatnya. Kebetulan ketika berada di sungai, pesakit telah diintai oleh jin perempuan puaka hutan ini lalu jatuh cinta pada pesakit dan mengikutinya sepanjang masa.

Jin puaka hutan ini tidak ada agama dan telah diberi tazkirah agama tentang hubungan sesama makhluk dan di-Islamkan oleh perawat dengan diberi nama Fatimah. Perawat mencantikkan tubuh jin itu sepenuhnya selepas jin tersebut melafazkan syahadah dan diberi pakaian yang cantik sebelum dipanggil satu jin lelaki yang bersesuaian dengannya untuk dijadikan jodoh bakal suami sebagai pengganti diri pesakit.

Setelah mengangkat sumpah dengan nama Allah di hadapan perawat, jin perempuan Islam bernama Fatimah ini keluar dari tubuh pesakit dengan tangisan terakhir sebagai tanda perpisahan. Pesakit kemudian tersedar dan dipulihkan semangat dan tubuhnya. Setelah mengesahkan dengan pesakit situasi dirinya telah betul-betul lega, lapang, tenang, ringan dan ada semangat, barulah rawatan selesai. Masa rawatan adalah 40 minit.

Kredit video dengan kebenaran pesakit.
Saksikan sedutan rakaman pada sesawang di bawah.

https://youtu.be/kS9iw9d9lz8


Teruskan bersama kisah pengalaman perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~


#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Wednesday, August 15, 2018

*Pengalaman Merawat Zat Jahat Dan Gangguan Jin Pencerobohan Eps 70*

MERAWAT ZAT JAHAT DAN GANGGUAN JIN PENCEROBOHAN

Kembali lagi ke arena perkongsian pengalaman perubatan perawat yang sudah sekian lama tergendala disebabkan pesakit makin bertambah selain urusan kerja di luar kawasan dan luar negeri di mana perawat baru kembali dari Medan, Indonesia atas urusan kerja selain melawat dan merawat orang sakit. Boleh dikatakan, permainan ilmu sihir, ilmu hitam dan ilmu batil ini, sama saja tak kira di Malaysia atau Indonesia atau negara lain. Bahkan semakin bertambah dan merebak pengamal-pengamal ilmu sihir dan ilmu hitam dari masa ke semasa.

Penghujung bulan Februari 2018, seorang pesakit lelaki datang dari Johor Bahru ingin mencuba nasib minta dirawat kerana dirasakan seperti diri mengalami gangguan. Katanya hendak minta scan (diperiksa) saja untuk tahu punca masalah pada dirinya. Sepupunya di Batu Maung, Pulau Pinang yang rekemenkan pesakit kepada perawat untuk cuba berikhtiar.

Mengikut keterangan pesakit, tempoh gangguan telah berlaku hampir 20 tahun lamanya. Kaki kiri kerap sakit setiap kali bangun pagi seperti ada sesuatu yang berat menumpang di dalam kaki kirinya. Di bahagian belakang kanannya terasa ada sesuatu seperti melekap dan sentiasa rasa lemah badan.

20 tahun yang lalu, pesakit pernah kemalangan motosikal di suatu tempat yang pesakit sendiri sudah lupa. Selepas dari hari kemalangan itulah bermula keesokan hari gangguan terjadi pada dirinya.

Oleh kerana pesakit hanya minta untuk diperiksa, perawat hanya memeriksa tubuh badan pesakit untuk mengenalpasti masalah gangguan. Ketika sesi rawatan sedang berjalan, tiba-tiba kaki kiri pesakit bergoyang-goyang dengan sendirinya. Perawat bertanya sama ada pesakit sengaja menggoyangkannya atau di luar kawalan. Pesakit menyatakan dia sendiri tidak tahu kenapa kaki kiri bergoyang sendiri. Jelas terlihat kaki kirinya sedang bergoyang-goyang. Jadi perawat bertanya sama ada hendak dirawat atau hanya periksa saja. Memandangkan telah berlaku sesuatu perkara yang pelik, terus pesakit minta dirawat.

Pertamanya perawat membuang zat jahat di belakang badan kanannya yang secara tiba-tiba pesakit jadi lemah. Biarpun kaki kirinya masih bergoyang, perawat selesaikan dulu di bahagian belakangnya sehingga badannya tegak kembali pulih. Kemudian di kaki kiri pesakit, perawat mendapati seperti ada jin pencerobohan menumpang yang menggerak-gerakkan kaki kirinya. Setelah ditangkap dan dimusnahkannya, terus kaki kirinya berhenti bergoyang. Mungkin punca kemalangan 20 tahun dulu yang menyebabkan gangguan pada kaki kirinya itu.

Setelah diperiksa seluruh badan dan zat-zat jahat dimusnahkan seluruhnya, pesakit merasakan tubuh badan kembali lapang seperti sediakala, ringan dan bertenaga semula. Rawatan mengambil masa 35 minit dan selesai.

Memandangkan pesakit datang dari jauh, rawatan terperinci telah dibuat sepenuhnya.


Nantikan seterusnya, lagi kisah pengalaman perawat dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Saturday, July 7, 2018

*Pengalaman Merawat Kerasukan Jin Utusan Sihir Akibat Cinta Eps 69*

MERAWAT KERASUKAN JIN UTUSAN SIHIR AKIBAT CINTA

Pengalaman rawatan kali ini melibatkan kes kerasukan jin utusan sihir yang telah agak lama mengganggu seorang pesakit wanita. Penghujung bulan Februari 2018, perawat telah dihubungi oleh abang ipar kepada pesakit untuk datang ke rumahnya di Batu Maung, Pulau Pinang. Lewat tengahari perawat sampai ke rumah tersebut yang merupakan sebuah apartmen.

Pesakit wanita ini berasal dari Johor Bahru, datang bersama suaminya untuk cuba ikhtiar berubat di Pulau Pinang pula. Maka sesi temubual pun dimulakan untuk mencari asbab masalah gangguan pada diri pesakit.

Mengikut cerita pesakit wanita ini, dia pernah berkahwin dengan seorang lelaki di Johor Bahru. Kerana tidak ada keserasian, jodoh perkahwinan tidak panjang dan berakhir dengan perceraian. Sambung cerita pesakit lagi, pernah seorang lelaki cuba melamar dirinya tetapi ditolak kerana belum ada keterbukaan hatinya lagi untuk menerima seorang suami. Akibat tidak dilayan, lelaki tersebut telah memberi amaran keras bahawa jika dia tidak dapat memiliki pesakit wanita ini, lelaki lain juga tidak berhak untuk dapatkannya. Bermulalah episod gangguan sedikit demi sedikit berlaku dalam rumahnya sehinggalah merebak kepada kerasukan.

Pesakit telah mengalami gangguan kerasukan hampir 18 tahun lamanya. Antara simtom-simtom gangguan yang berlaku ialah kerasukan 100% dan sakit kepala selain sakit ketiak dan lengan kirinya tidak boleh diangkat. Pernah pesakit ikhtiar berubat dengan beberapa orang perawat. Baik sekejap saja kemudian jadi lebih teruk. Selama 12 tahun yang pertama dia berubat merata tempat, berhabis wang ringgit dan terlalu letih menanggung gangguan. Setelah 12 tahun, kata pesakit, nampak pulih sedikit dan jarang-jarang berlaku kerasukan. Pesakit wanita ini dapat melangsungkan perkahwinan buat kali kedua dengan seorang lelaki dan mampu bersabar dengannya walaupun tahu gangguan berterusan. Hasil dari perkahwinan pertama, pesakit memiliki beberapa orang anak tetapi 6 tahun perkahwinan terbaru, tidak dikurniakan zuriat. Ketiak dan lengan kirinya masih sakit dalam tempoh 6 tahun itu, telah mengurut juga dengan beberapa orang tukang urut, hasilnya tiada perubahan.

Setelah mendapat beberapa maklumat, sesi rawatan pun bermula. Perawat memanggil jin yang merasuk pesakit supaya muncul untuk berunding. Tidak sampai 2 minit, pesakit kerasukan. Kemudian perawat ajak berdialog cara baik dengan jin utusan sihir itu. Jin ini memberitahu agamanya adalah Islam. Ada seorang lelaki yang menghantarnya ke pesakit ini kerana cinta lelaki tersebut ditolak. Perawat menyatakan kerana jin ini Islam, jadi perawat tidak mahu menyiksa atau mengambil tindakan lebih keras kerana ia juga merupakan saudara seagama Islam. Jin mengangguk faham. Perawat menasihatkan jin ini supaya ia rela keluar dan kembali ke tempat asalnya tetapi ia tidak mahu. Kerana katanya ia telah jatuh cinta pada pesakit ini dan sudah bersama dengannya ketika dia masih status janda lagi. Perawat memberi sedikit tazkirah untuk menyedarkannya tentang perbezaan alam jin dan alam manusia, tidak boleh bercinta dan berkahwin antara jin dan manusia kerana hukumnya haram mengikut jumhur ulama. Masih juga jin tidak mahu keluar kerana tidak tahu hendak ke mana dan ia akan kesepian.

Perawat bertanya pada jin jika perawat memberikan satu jin perempuan yang cantik sebagai ganti cinta pada pesakit wanita ini, mahu tak untuk terima. Jin lelaki Islam ini diam dan tertunduk sedih memandang ke bawah. Kemudian perawat membaca sepotong ayat alQuran dari Surah ar-Rum tentang Allah telah menyediakan pasangan untuk lelaki dan perempuan dari jenisnya. Jin Islam ini faham dengan ayat tersebut tetapi masih tertunduk sedih seperti susah hati. Perawat bertanya jin ini kenapa sedih. Adakah kerana ia tidak kacak, tidak segak dan tidak hensem yang menyebabkan tiada jin perempuan yang mahukannya. Jin menganggukkan kepalanya. Perawat memberi tawaran untuk menukarkan tubuh badan jin Islam ini menjadi segak, amat kacak, berseri dan diminati jin-jin perempuan Islam yang cantik-cantik. Jin mengangguk bersetuju. Setelah selesai, perawat bertanya pada jin macamana dengan keadaan diri, cantik tak, berseri tak. Jin melihat tangan kanan kirinya tubuh badannya sambil mengangguk tersenyum. Kemudian ditanya namanya, jin menggelengkan kepala kerana tiada nama. Jadi perawat menamakannya dengan nama Muhammad sempena mengingati kekasih umat Islam, Nabi Muhammad SAW. Jin pun bersetuju.

Kemudian perawat berdoa pada Allah minta dihadirkan satu jin perempuan Islam yang lebih cantik dari pesakit wanita ini. Tidak sampai 2 minit, jin bernama Muhammad ini mengangkat kepalanya seperti menjenguk seseorang di pintu masuk rumah tersebut. Perawat bertanya adakah jin ini nampak jin perempuan tersebut, jin lelaki ini mengangguk. Ditanya lagi, cantik tak jin perempuan itu, ia mengangguk dan tersenyum. Kemudian perawat bertanya adakah ia yang menyebabkan pesakit ini tak boleh mendapat zuriat. Jin mengangguk. Adakah ia memusingkan rahimnya. Jin mengangguk. Adakah ia juga yang menyebabkan ketiak dan tangan kiri pesakit wanita ini sakit. Jin mengangguk. Perawat kemudian meminta jin lelaki ini perbetulkan semula kedudukan rahim pesakit ini supaya dia boleh mengandung semula, perbetulkan urat-urat di ketiak dan lengan kirinya dan pulihkan sakit kepalanya sebelum ia keluar untuk menemui jin perempuan tersebut. Dalam beberapa minit, jin lelaki ini menjalankan arahan perawat.

Setelah selesai, perawat bertanya adakah sudah betul semua. Jin mengangguk. Ada lagi tak tempat-tempat yang ia tertinggal. Jin menggelengkan kepala. Kemudian perawat mengarahkan supaya jin ini mengikut kata-kata perawat melafaz sumpah dengan nama Allah dan perjanjian yang dibuat. Setelah selesai, perawat bertanya ikut mana ia mahu keluar, jin bagitahu ikut kaki. Perawat meminta suami pesakit berada di belakang isterinya kerana kebiasaannya apabila jin keluar badan, pesakit akan tumbang. Maka perawat membuka pintu keluar melalui kaki pesakit dan membantu menarik jin lelaki Islam itu keluar dan pergi bersama dengan bakal isterinya jin perempuan Islam di alam jin. Kelihatan airmata kesedihan meleleh keluar tanda ikatan percintaan telah diputuskan.

Setelah pesakit sedar, perawat bertanya sama ada pesakit ingat apa-apa yang berlaku, katanya dia tak berapa ingat. Kemudian pesakit diminta untuk bersyahadah untuk kepastian. Dan ditanya badan terasa ringan tak, ketiak dan lengan kiri masih sakit lagi dan kepalanya sudah hilang sakit tak. Pesakit menyatakan semuanya sudah pulih dan kembali normal. Terasa terlepas dari bebanan yang ditanggung selama 18 tahun itu. Alhamdulillah. Rawatan mengambil masa dalam 1 jam.

Perawat kemudian memulihkan tubuh badan pesakit, merawat dalamannya, membuat dinding dan pagar pada tubuhnya dan mendoakan air penawar sebelum rawatan diselesaikan sepenuhnya.

Kredit: Kebenaran Video Oleh Pesakit

https://youtu.be/Y3VWUnszKIA


Nantikan seterusnya, lagi kisah perawat menyelesaikan kes kerasukan yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Thursday, July 5, 2018

*Pengalaman Merawat Salah Urat Disebabkan Perbuatan Tukang Urut Palsu Eps 68*

MERAWAT SALAH URAT YANG DISEBABKAN OLEH PERBUATAN TUKANG URUT PALSU

Pada penghujung bulan Februari 2018, perawat telah dihubungi oleh seorang lelaki pada sebelah pagi meminta untuk merawat bapanya yang sakit berlokasi di Batu Maung, Pulau Pinang. Perawat sampai ke rumah tersebut pada hampir lewat tengahari.

Kelihatan pesakit seorang lelaki tua sedang terbaring di atas tilam di ruang tamu. Anak lelakinya yang menghubungi perawat menceritakan bapanya yang menetap di Johor Bahru, datang ke Pulau Pinang untuk dirawat oleh perawat. Setelah ditanya bagaimana dia tahu nombor telefon perawat, anak lelaki ini bagitahu yang sepupunya kenalkan. Mungkin diambil dari Facebook perawat atau blog perawat Islam di internet.

Perawat kemudian duduk berhampiran dengan pesakit untuk bertanyakan apa yang terjadi. Menurut pesakit (lelaki tua), dia telah sakit hampir sebulan. Badannya bisa-bisa, sakit urat dan tak senang duduk mahupun tidur malam. Puncanya pesakit ini telah dibawa oleh kawannya untuk mengurut badan dengan seorang tukang urut yang ternyata palsu di Johor Bahru. Cara urut yang terlalu kasar dan menyakitkan selama 3 jam sehingga selepas diurut, pesakit dipapah keluar untuk pulang. Kerana terlalu sakit, pesakit berulangkali melakukan pemeriksaan di klinik dan hospital dan hanya diberi ubat tahan sakit kerana didapati sakit urat. Jadi anak lelakinya menjemput bapanya (pesakit) untuk datang ke Pulau Pinang dan ikhtiar untuk dirawat oleh perawat.

Kemudian pesakit dipapah masuk bilik tidur utama untuk diperiksa jika terdapat sebarang gangguan atau masalah fizikal. Setelah diperiksa, ternyata uratnya yang bermasalah akibat di salah urut. Pesakit diminta meniarap dan perawat kemudiannya melakukan akupuntur Zikir Akbar ke titik-titik utama. Pesakit mengerang kesakitan sepanjang rawatan. Kemudian pesakit minta untuk duduk kerana tidak tahan dengan rawatan akupuntur Zikir Akbar. Dalam pada duduk, pesakit masih mengerang sehinggalah hilang kesemua sakitnya dan perawat membetulkan urat-uratnya dengan urutan. Rawatan mengambil masa hampir sejam.

Setelah selesai, pesakit berjalan keluar bilik seperti biasa tidak perlu dipapah dan seperti tidak sakit. Tersenyum perawat melihat keadaan pesakit seperti tiada apa-apa. Kebetulan adik-beradik pesakit baru sampai dari Perak, sebaik saja selesai rawatan, untuk menziarahi pesakit. Semua menjadi hairan kerana asalnya pesakit terlantar di atas tilam hampir sebulan tiba-tiba menyambut kedatangan mereka sambil duduk sembang di luar rumah yang disediakan kerusi.

Dan kebetulan juadah jamuan makan tengahari telah disiapkan awal-awal, maka perawat dijemput sama menjamu selera.

Kredit : Kebenaran Gambar Daripada Pesakit




Teruskan bersama kisah perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekitar masyarakat.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

*Pengalaman Merawat Sihir dan Kerasukan Jin Pontianak Eps 67*

MERAWAT SIHIR DAN KERASUKAN JIN PONTIANAK

Bersambung kisah pengalaman kali ini, pada pertengahan bulan Februari 2018, perawat telah dipanggil untuk merawat seorang remaja perempuan yang dimaklumkan oleh ibunya, telah terkena sihir dan kerasukan. Kebetulan pada hari tersebut adalah hari Jumaat, selepas selesai solat Jumaat, perawat berangkat ke rumah pesakit di lokasi Bayan Lepas Pulau Pinang.

Sesampai di rumah pesakit, kelihatan pesakit remaja perempuan tengah tidur meniarap di atas katil di dalam biliknya. Perawat menemubual ibunya untuk dapatkan sedikit maklumat tentang apa yang berlaku pada anaknya.

Mengikut kata ibu pesakit, pesakit telah lama menanggung gangguan ini hampir setahun. Umurnya baru 13 tahun dan telah terlalu banyak ponteng sekolah sejak terjadinya gangguan tersebut dan sekarang hampir dibuang sekolah kerana pihak sekolah tidak boleh menerima alasan kes seperti ini. Pesakit telah banyak kali kerasukan penuh dan lari dari rumah mengikut seorang budak lelaki mat motor yang dia kenali. Ada juga perawat lain yang datang untuk merawat tetapi tiada perubahan dan tetap kerasukan. Pernah anaknya itu tidak pulang ke rumah selama 2 minggu, repot polis telah dibuat dan akhirnya berjaya ditangkap di kawasan Bayan Baru di mana pesakit sedang tidur di tepi tong sampah.

Semasa dalam tahanan polis dan keluarga pesakit bergegas ke balai polis, pesakit terbaring lemah dan tidur. Ketika keluarga pesakit sampai dan setelah selesai berurusan dengan polis, ketika pesakit diangkat untuk dibawa balik, tiba-tiba pesakit bertindak ganas dan 7 orang termasuk beberapa orang polis cuba memegang mangsa yang ingin melarikan diri, cerita ibu pesakit lagi. Yang luarbiasanya terjadi pada malam itu ialah ketujuh-tujuh orang lelaki yang memegang tangan dan kaki pesakit terpelanting ke belakang padahal tubuh pesakit remaja perempuan ini kurus dan tidak tinggi. Pesakit terus melarikan diri dan menghilang pada malam tersebut. 3 minggu kemudiannya pesakit pulang ke rumah dengan berkaki ayam dan kebingungan kerana hairan kenapa dia boleh tidur di kaki lima.

Kejadian ini berlaku hampir setahun sehinggalah jiran keluarga pesakit, yang juga bekas pesakit perawat, merekemenkan nombor telefon perawat kepada ibu pesakit untuk berikhtiar.

Setelah ada sedikit maklumat, sesi rawatan pun bermula. Perawat mula memeriksa mata pesakit. Apabila dibuka kelopak mata, hanya mata putih yang nampak. Mata hitamnya telah naik ke atas. Perawat kemudiannya mengenalpasti ada jin di dalam tubuh pesakit dan bertindakbalas kasar bila ibunya cuba membalikkan tubuh anaknya ke hadapan.

Perawat menjurus jin di dalam tubuh. Kelihatan muka pesakit menahan sakit. Hampir 40 minit jin dijurus barulah dia bersuara menyuruh perawat pulang tetapi mata masih terpejam. Kemudian perawat meminta segelas air untuk didoakan. Air doa tersebut disapukan pada muka, tangan dan kaki pesakit. Tidak sampai 10 minit, pesakit terjaga dan terpinga-pinga.

Ibu pesakit memberitahu sudah 2 hari anaknya tidur tak makan, tak minum, tak mandi, tak buang air, hanya tidur saja sehingga perawat datang. Kemudian perawat bertanya pada pesakit sama ada lapar atau tak. Pesakit menjawab lapar sangat-sangat. Perawat meminta ibunya mengambil nasi berlauk dan air seberapa segera kerana khuatir pesakit pedih perut tak makan. Kelihatan pesakit makan dengan banyak disuap ibunya dan dua kali ditambah nasi.

Setelah selesai makan, perawat menemubual pesakit tentang apa yang berlaku. Pesakit tidak ingat apa-apa ketika kerasukan. Katanya dia selalu nampak susuk jelmaan jin memakai baju putih berambut panjang (pontianak) dan terus susuk tersebut masuk ke tubuh pesakit lalu tidak sedarkan diri. Pesakit mengakui mempunyai seorang kekasih lelaki. Dalam masa yang sama, kawan kepada kekasihnya pula meminati pesakit dan ingin merampasnya dari kekasihnya dengan cara halus. Jadi pesakit telah diberi makan "sesuatu" yang kemudiannya hanya teringat kepada lelaki tersebut dan menurut ke mana saja lelaki tersebut pergi. Keadaannya seperti dipukau atau patung yang menurut perintah.

Kemudian perawat bertanyakan simtom-simtom gangguan. Pesakit hanya menyatakan kepalanya sentiasa sakit dan ada benda bergerak-gerak dalam tubuhnya. Bila ditanya ada terasa tak pergerakan benda tu, pesakit menggelengkan kepala tanda tiada. Sakit kepala pun tiada. Bererti jin pontianak tadi telah keluar dan melarikan diri. Setelah hampir 1 jam lebih, keadaan pesakit kelihatan normal, perawat meminta diri untuk pulang dan berpesan pada ibunya jika berlaku apa-apa pada malam tersebut, cepat-cepat panggil perawat untuk datang kerana kemungkinan jin tersebut mungkin kembali masuk ke tubuh pesakit.

Keesokan paginya perawat cuba menghubungi ibu pesakit tetapi tidak berjawab. Terdetik hati perawat mengatakan pesakit akan mengalami kerasukan pada hari tersebut. Petang tersebut selepas solat Asar, jiran pesakit yang juga bekas pesakit perawat mengirim mesej menyatakan pesakit tiba-tiba mengamuk, menggegar pintu pagar besi yang dikunci dengan mangga solex, telah dipecahkan pesakit yang kemudiannya melarikan diri turun melalui tangga berkaki ayam dan terus menaiki motor budak lelaki yang mengenakan ilmu padanya.

Selepas dari itu, tidak kedengaran lagi apa-apa cerita atau berita daripada keluarga pesakit tersebut kerana perawat tidak dihubungi lagi oleh keluarga tersebut.

Teruskan bersama kisah perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekitar masyarakat.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Sunday, June 10, 2018

*Pengalaman Merawat Dan Bertempur Dengan 9 Ekor Jin Utusan Sihir Eps 66*

MERAWAT DAN BERTEMPUR DENGAN 9 EKOR JIN UTUSAN SIHIR

Kisah rawatan kali ini adalah menarik dan memberikan pengalaman kedua kepada perawat dalam menimba ilmu rawatan gangguan kritikal. Pengalaman sebelum ini di tahun 2009, perawat bersama abang seguru perawat pernah bertempur dengan 13 ekor jin utusan sihir yang merasuk tubuh seorang pesakit wanita dan membunuh kesemuanya sekali di mana masa rawatan. Tetapi kes kali ini, cuma pertempuran dengan 9 ekor jin utusan sihir yang merasuk tubuh pesakit wanita bermula masa rawatan selepas solat Isyak dan berakhir sebelum solat Subuh.

Kes berlaku pada pertengahan Februari 2018, seorang sahabat seguru perawat bernama Tuan Firdaus dari Simpang Ampat telah menghubungi perawat meminta bantuan bagi menyelesaikan 1 kes berat pesakit wanita kerasukan pelbagai jenis jin dalam badan. Pada mulanya, Tuan Firdaus memberitahu, pesakit wanita ini datang berjumpa di rumahnya kerana mengadu mengalami sakit di kedua-dua tangan dan bahunya seperti ada logam yang melekat. Jadi pesakit meminta untuk diperiksa masalah tersebut. Tetapi ketika sesi rawatan Tuan Firdaus, tiba-tiba berlaku kerasukan dan kes itu tidak selesai.

Perawat telah diundang untuk membantu memandangkan kes pesakit wanita ini agak berat sedikit. Perawat hadir pada malam itu selepas solat Isyak di rumah Tuan Firdaus sambil menunggu kedatangan pesakit wanita tersebut dari Bagan Serai, Perak. Tidak lama dari itu, pesakit wanita sampai bersama suami dan dua anak perempuannya. Sesi temubual dimulakan.

Pesakit menceritakan gangguan bermula sejak tinggal di berek polis lagi. Ketika itu suaminya masih bekerja sebagai polis tetapi sekarang telah lama bersara. Pesakit mengalami sakit teruk dan telah berubat sana sini tetapi tidak sembuh sepenuhnya. Pada ketika itu, ada seorang perempuan yang mahukan suaminya, telah mengenakan ilmu hitam agar pesakit wanita ini mati dan suaminya dapat dimiliki oleh perempuan tersebut. Setiap hari terdapat serpihan kaca dijumpai di hadapan rumahnya ketika di berek polis. Rentetan dari itu, mereka berpindah keluar ke tempat lain.

Walaupun berpindah ke rumah lain, pesakit wanita ini ditimpa pula gangguan sihir dan ilmu hitam yang berpunca dari masalah dalaman keluarganya pula. Gangguan ini telah berlangsung selama lebih 36 tahun lamanya dan telah berubat di merata tempat di seluruh Malaysia. Duit ringgit telah beribu habis tetapi masalah gangguan tetap sama tanpa perubahan.

Antara simtom-simtom gangguan pada pesakit ialah kerasukan 100%, kerap nampak kelibat dalam rumah, mimpi buruk seperti badan penuh ulat, ular kecil dan benda yang menakutkan, badan sekejap panas, sekejap sejuk dan seram sejuk dan kepala sentiasa sakit.

Perawat bersama Tuan Firdaus bersama-sama ikhtiar merawat keadaan pesakit ini. Sesi rawatan bermula, perawat cuba mengesan kehadiran jin. Hampir 10 minit pesakit masih lagi sedar tetapi menjadi longlai dan pening-pening dalam tempoh itu seperti nak tumbang. Kemudian perawat meminta bantal daripada Tuan Firdaus supaya pesakit berbaring kerana kelihatan diri pesakit seperti tidak bermaya. Sebaik-baik baring, terbitlah jin seperti pocong dengan mata pesakit terbeliak ke siling rumah. Perawat bertindak menyiksa jin tersebut. Kelihatan berkerut-kerut muka pesakit menahan kesakitan. Kemudian perawat meminta Tuan Firdaus mengesan bahagian lain dan menjurus jika ada jin. Sebaik-baik Tuan Firdaus jurus, terbit pula jin Batak memaki hamun sakit disiksa. Siksaan diteruskan tiba-tiba berganti jin ular. Lidah dijelir keluar masuk dan badan bergerak-gerak seperti seekor ular. Perawat menjurus ke bahagian tubuh lain. Tidak semena-mena perut pesakit membesar seperti busung. Bila perawat meletakkan tapak tangan dia atas perut, terasa jelas ada benda bergerak-gerak melingkar dalam perut seperti ular. Kerana perut semakin membesar, perawat membaca sepotong ayat alQuran dan serta-merta perut menjadi kempis seperti asal.

Kemudian Tuan Firdaus menjurus dalam, terbit pula pontianak India bercakap tamil, mengilai begitu kuat, ketawa kuat-kuat. Dari segi percakapan tamilnya, jin pontianak India tu ada menyebut Batu Caves dan seperti menyatakan ia tidak takut dan tidak ada apa yang boleh mengancam ia. Mungkin jin India ini datang dari Batu Caves. Tuan Firdaus menjurus ke tubuh jin pontianak tersebut tetapi jin pontianak itu ketawa mengilai dengan kuat sekali. Perawat pula bertindak keras mencengkam kemaluan jin pontianak secara makrifat dan memutuskannya. Menjerit kesakitan jin pontianak tersebut sambil memaki perawat dengan kuat..."Siiiaaall".. Perawat memberi amaran,"Nak lawan lagii..." Meronta-ronta lebih ganas jin tersebut.

Ketika perawat ingin sembelih jin pontianak, tiba-tiba bertukar pula dan terbit jin seperti puaka hutan. Bertindak lebih ganas sehinggakan kaki kanan pesakit menendang bahu kiri Tuan Firdaus dan kaki kiri pesakit menendang ke sebelah kanan perawat tetapi perawat menepis awal-awal. Kemudian suami pesakit membantu memegang kedua-dua kaki pesakit dan mengunci di bawah ketiak. Dalam pada itu, perut menjadi busung kembali dan membesar seperti perempuan mengandung tiga orang bayi. Perawat kemudian meletakkan tapak tangan kanan dan membaca sepotong ayat alQuran, perut serta merta kempis dan kembali seperti sediakala.

Lama juga kami berdua bertarung, walaupun hendak disembelih tetapi jin bertukar ganti dan berlari-lari di dalam tubuh pesakit selain bertindak ganas. Perawat membaca ayat Kursi kemudian dihembus ke muka dan telinga pesakit, jin ular bertindak marah kerana panas dan meludah seperti menyembur bisa ular. Dari jam 930pm hinggalah ke 200am. Setelah pelbagai jurusan seksaan dibuat, kelihatan jin-jin tersebut mula lemah dan mengalah. Kemudian pesakit terkaku seperti mayat sambil mata memandang siling rumah.

Teringat kepada pesanan Tuan Guru, apabila ditimpa musibah, solatlah 2 rakaat minta pertolongan pada Allah jika tidak dapat jalan penyelesaian. Maka perawat dan Tuan Firdaus berhenti seketika memandangkan jin-jin kelihatan sudah lemah. Dan perawat melakukan solat hajat meminta petunjuk dan jalan penyelesaian. Hampir setengah jam bertafakur akhirnya telah dapat petunjuk tersebut. Maka rawatan disambung semula bersama Tuan Firdaus. Walaupun kedua-dua kami dalam keadaan letih memandangkan pesakit datang dari jauh meminta pertolongan, kami berdua tidak berputus asa.

Perawat kemudian berdakwah Islam sambil membaca beberapa potong ayat alQuran untuk berdakwah. Akhirnya satu persatu jin dalam badan tunduk dan bersyahadah. Jin ular ada 2 ekor lelaki dan perempuan yang diberi nama Imran dan Khadijah kemudian keluar menuju ke Masjid Nabawi Madinah. Kemudian jin-jin lain bersyahadah termasuk jin pontianak, puaka, pocong dan lain-lain kecuali jin Batak. Bila ditanya berapa ekor di dalam badan, jari menunjukkan 9 ekor. Ditanya lagi berapa ekor yang belum masuk Islam, jari ditunjukkan satu saja. Setelah jin-jin yang masuk Islam keluar dari tubuh pesakit, tinggallah jin Batak yang tidak mahu masuk Islam. Walaupun dibacakan ayat-ayat alQuran untuk dakwah, dibacakan ayat-ayat tentang neraka dan syurga, dibacakan ayat-ayat tentang tipu daya syaitan, masih juga jin Batak ini berdegil tidak mahu masuk Islam.

Jin Batak ini yang memberitahu ia keturunan Batak dari bomoh orang asli. Perawat ajak berbicara untuk membongkar asbab kes gangguan yang terjadi selama 36 tahun ni. Satu persatu perawat dapat membongkar daripada jin Batak ini yang asal bermulanya gangguan adalah isteri orang lain meminati suaminya ketika di berek polis. Kemudian terjadi masalah dalaman keluarga dan orang-orang yang terlibat adalah 3 orang dari dalam keluarganya sendiri yang mengamalkan ilmu hitam serta ditujukan pada pesakit. Perawat tidak akan menceritakan kisah masalah dalaman keluarga kerana ia adalah peribadi tetapi suami pesakit mengiakan kebenaran apa yang diceritakan oleh jin Batak tersebut. Bila ditanya kenapa jin Batak itu tidak mahu masuk Islam. Jin itu menyatakan dalam Islam tiada paksaan untuk memilih agama dan ia belum terbuka hati untuk masuk Islam. Daripada 9 ekor jin, 8 telah masuk Islam dan tinggal jin Batak ini saja yang tidak diambil tindakan kerana ia dianiaya, keluarganya dijadikan tebusan dan ia terpaksa setia kepada salah seorang ahli keluarga yang mengamalkan ilmu hitam itu demi menyelamatkan suami dan anaknya. Hampir 1 jam perawat membongkar satu persatu asbab yang berlaku. Suami pesakit juga telah membuka cerita sebenar tentang apa yang berlaku perihal masalah dalaman keluarga pesakit itu sendiri tetapi masih mampu bersabar kerana suami pesakit sedar yang perilaku melampau yang terjadi pada isterinya itu adalah disebabkan oleh gangguan jin dan ilmu hitam daripada keluarga pesakit sendiri. Jin Batak ini juga mengiakan apa yang diceritakan oleh suami pesakit.

Setelah jam menunjukkan pukul 430am, perawat menyuruh jin Batak tersebut sedarkan balik pesakit dan dia kembali kepada tuannya untuk sementara waktu. Seketika itu, pesakit tersedar sambil membetulkan tudungnya dan bajunya. Bila perawat tanya, sedar tak apa yang berlaku dari pukul 930pm sampai sekarang, pesakit menyatakan dia tidak ingat apa-apa dan seingat pesakit, sebaik-baik baring, dia telah tidur lena. Perawat bertanya lagi, semasa tidur itu dia ke mana, pesakit memberitahu dia tak ke mana-mana. Hanya tidur lena dan tidak ingat apa-apa. 

Kemudian pesakit dan keluarganya berangkat pulang ke Perak. Perawat meminta izin daripada Tuan Firdaus untuk tumpang berehat sekejap sementara menunggu azan Subuh. Terlelap sekelip mata kami berdua tiba-tiba kami dikejutkan helmet Tuan Firdaus dicampakkan ke lantai. Kami berdua terkejut dan terbangun sambil menanti gangguan seterusnya. Sambung balik tidur sekejap sehingga Subuh, perawat berangkat pulang ke rumah. Rupa-rupanya tidak habis di situ, perawat diserang balas di rumah manakala Tuan Firdaus juga menerima serangan balas di rumahnya. Berkat tunjuk ajar Tuan Guru, serangan yang dihantar dipatahkan semuanya.

Perawat menasihati pesakit wanita tersebut agar menyambung rawatan susulan ke Prawis di Rawang memandangkan isu ini melibatkan ahli keluarganya sendiri dan kes diklasifikasikan agak rumit. Walaupun telah dinasihati, pesakit belum lagi membuat rawatan susulan ke Prawis dan telah mengalami serangan baru dan sakit semula berikutan konflik dalam masalah keluarga besarnya sendiri. Rawatan selesai sehingga setakat itu dan tiada rakaman video yang dapat dibuat memandangkan kes berlaku di luar jangkaan dan tidak terkawal.

Inilah masalah yang banyak terjadi sekarang di dalam hubungan kekeluargaan pada akhir zaman di mana berlakunya amalan ilmu hitam yang melibatkan adik-beradik saling mengenakan sihir dan tuju-tuju kerana harta, rumah pusaka, tanah, wang ringgit dan juga dendam, anak menyihir ibu bapa, mentua menyihir menantu dan anak-anak, anak mengirim santau pada ibu dan berbagai kes gangguan yang di luar jangkaan. Punca terjadinya masalah ini adalah disebabkan ibu bapa tidak menitikberatkan didikan ilmu agama sejak anak-anak masih kecil lagi dan melepas tangan dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa, maka hancurlah sistem kekeluargaan mereka sehingga ke generasi cucu cicit.

Nantikan seterusnya siri pengalaman perawat menempuh kes-kes yang lebih mencabar dan semakin meningkatnya amalan-amalan ilmu hitam di dalam masyarakat bermula dari golongan bawahan sehinggalah ke golongan atasan, dalam jejak rawatan dan perubatan menelusuri isu-isu misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar terjadi di depan mata.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~


#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#kerasukan
#dendam
#keranacinta
#gangguanjin
#utusansihir
#pertempuranjin

*Pengalaman Merawat Gangguan Zat Jahat Eps 65*

MERAWAT GANGGUAN ZAT JAHAT

Pertengahan bulan Februari 2018, seorang pesakit perempuan remaja berasal dari Balik Pulau Pulau Pinang minta dirawati.

Mengikut cerita pesakit, simtom yang berlaku pada dirinya adalah sakit kepala yang berpanjangan walaupun setelah makan panadol atau ubat doktor yang lain, sakit kepalanya masih juga tidak hilang. Gangguan sakit kepala ini telah berlangsung lebih dari 1 tahun. Ditanya tentang simtom lain, tiada apa-apa yang berlaku hanya sakit kepala yang terlalu kerap.

Setelah perawat selidik tentang apa yang berlaku setahun lalu, di mana tempat yang selalu atau jarang pesakit pergi, akhirnya perawat mendapat tahu bahawa pesakit perempuan remaja ini suka lepak malam-malam di tepi pantai bersama kawan-kawan dan pulang lewat malam ke rumah. Kesimpulan yang didapati ialah terdapat zat jahat berada di dalam kepalanya.

Semasa sesi rawatan pertama, hanya didapati zat jahat terdapat di dalam kepalanya. Perawat kemudiannya mengeluarkan dan memusnahkan keseluruhan zat jahat tersebut. Setelah selesai, pesakit menyatakan kepalanya berasa ringan dan lapang berbanding sebelum rawatan.

Maka perawat menasihati pesakit agar tidak lagi menghabiskan masa lepak di tepi pantai pada waktu maghrib hingga ke tengah malam dan pulang lewat malam ke rumah di usia remaja persekolahan ini. Tiada rawatan susulan kerana situasi pesakit tidak berapa kritikal.


Teruskan bersama perawat mengikuti siri-siri pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan meredah kes-kes misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar terjadi pada zaman ini.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my

#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Tuesday, June 5, 2018

*Pengalaman Merawat Zat Jahat Dan Gangguan Jin Luaran Eps 63*

MERAWAT ZAT JAHAT DAN GANGGUAN JIN LUARAN

Masih lagi penghujung Januari 2018, kes rawatan merawat seorang pesakit wanita yang berasal dari Alor Setar tetapi rawatan dilakukan di sebuah surau di Sg Dua bahagian pulau, Pulau Pinang.

Mengikut cerita pesakit, simtom gangguan ini telah berlangsung selama 28 tahun lamanya. Seingat pesakit, permulaan sakit bermula di rumah maknya sendiri. Ketika itu, pesakit masih di sekolah rendah, kerap mandi sungai pokok nipah seorang diri. Mungkin kerana terlalu kerap dan suka mandi sungai di kampungnya seorang diri, menyebabkan ada jin yang mengintai dan mengekorinya balik. Maka bermulalah sketsa gangguan di dalam rumah maknya.

Antara simtom-simtom yang berlaku pada pesakit ialah kerap nampak kelibat di dalam rumah, sentiasa rasa didekati dan diperhati di dalam dan luar rumah, agak susah tidur disebabkan gangguan, kerap mimpi buruk iaitu orang mati, kerap terjaga malam kerana gangguan, kerap ditindih selain disetubuhi dan pesakit mengalami cyst, sakit kepala yang berdenyut-denyut, rasa ada benda bergerak dan tarik urat.

Semasa sesi rawatan pertama, perawat mendapati ada gangguan jin luaran pada pesakit dan serta merta diputuskan hubungan pesakit dengan jin tersebut. Berlaku telinga kiri pesakit berdesing dan panas semasa rawatan. Terasa hendak marah sangat-sangat pada perawat dan sebaik zat jahat dikeluarkan dan dimusnahkan dari dalam kepalanya, keadaan menjadi normal kembali. Dadanya berdebar-debar dan zat jahat dikeluarkan dan dimusnahkan. Tangan kanan dan kiri tiba-tiba terasa berat. Bahu belakang dan pinggangnya sakit seperti ada sesuatu bergerak dan berpaut. Perawat memusnahkan semua zat jahat yang berada pada tubuh pesakit. Rawatan mengambil masa setengah jam dan kelihatan pesakit pulih banyak.

Kemudian pada sesi rawatan kedua, hanya terdapat sedikit zat jahat dan dimusnahkan. Tiada lagi simtom-simtom yang dinyatakan di atas berlaku pada pesakit setelah sesi rawatan pertama. Dan pada sesi rawatan ketiga, tiada lagi zat jahat dan pesakit pulih sepenuhnya.

Adalah dinasihatkan agar setiap ibubapa mengambil berat dalam memerhatikan tindak tanduk anak-anak yang masih muda agar mereka tidak sebarangan berada di kawasan-kawasan asing atau berada berseorangan dikhuatiri terjebak dengan gangguan yang tidak diingini.

Teruskan bersama perawat mengikuti siri-siri pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan meredah kes-kes misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar terjadi pada zaman ini.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Friday, May 25, 2018

*Pengalaman Merawat Kerasukan Jin Islam/Jin Saka Eps 64*

MERAWAT KERASUKAN JIN ISLAM/JIN SAKA

Pengalaman perawat kali ini membawa kepada kes kerasukan jin Islam yang merupakan jin saka keturunan keluarga pesakit wanita. Pesakit wanita ini asalnya menetap di Jelutong yang kemudiannya berpindah ke Balik Pulau tetapi kes rawatan berlangsung di rumah adiknya di Gertak Sanggul Pulau Pinang pada pukul 1040pm. Kes rawatan berlaku pada pertengahan Februari 2018.

Mengikut keterangan pesakit semasa ditemubual, pesakit terlalu kerap mengalami kerasukan yang berlangsung selama 7 tahun sehingga tidak berdaya lagi menanggung beban. Dan sepanjang 7 tahun itu, pesakit telah banyak kali berubat dengan beberapa orang perawat termasuk ahli silat tetapi banyak yang menyerah kalah kerana tidak dapat menyelesaikan masalah kerasukan ini. Diceritakan oleh ibu pesakit, keturunan mereka memang mempunyai saka yang membantu dalam urusan perbidanan melalui arwah nenek mereka. Setelah kematian nenek, saka berpindah dan merasuk ke tubuh ibu pesakit sehinggalah kini bertukar tubuh kepada pesakit wanita ini. Maka perawat telah dipanggil oleh adik pesakit yang juga merupakan bekas pesakit perawat untuk ikhtiar merawat kakaknya (pesakit).

Antara simtom-simtom yang berlaku pada pesakit adalah kekerapan berlaku kerasukan tidak kira masa, rasa didekati di dalam rumah, mimpi buruk seperti seorang lelaki hendak menangkap pesakit dan seorang budak bersama orang lain, kerap terjaga malam tanpa sebab, sentiasa terdengar bisikan suara yang bercakap-cakap, lebam pada kaki, kerap sakit kepala dan terasa benda bergerak di kaki dan kepala.

Sesi rawatan pertama bermula, tidak sampai 2 minit jin saka dipanggil dan pesakit kerasukan. Perawat terus mengambil tindakan awal perlindungan untuk persediaan. Sesi dialog berlaku antara perawat dan jin...

Jin: Hhhssss..(mendengus)
Perawat: Boleh cakap tak? Mai kita sembang. Aku nak berkenalan...hang mai daripada mana......mai daripada mana..aaa...hang mai daripada mana..cakapla.....aku nak kenai jugak...lama dah hang duk...laki ka pompuan ni..aaa...
Jin: (Berdiam diri)
Perawat: (Memulakan jurus)
Jin: (Tertunduk menahan sakit sambil mendengus) Hhhhsss....
Perawat: Cakapla...hang tak mau cakap....nama hang sapa...hang mai daripada mana..hang jenis bangsa apa...cuba hang cakap...boleh cakap tak...
Jin: (Berdiam diri)
Perawat: Hang bangsa apa...hantu raya?
Jin: (Geleng)
Perawat: Pontianak?
Jin: (Geleng)
Perawat: Puaka hutan?
Jin: (Angguk)
Perawat: Hang ada agama tak?

Jin: (Angguk)
Perawat: Apa agama hang?
Jin: Islam (menjawab dengan suara garau)
Perawat: Hang puaka hutan tapi Islam!! Hang Islam..aku pun Islam...tapi hang duk dalam badan dia...hang betui ka Islam ni..betui....sungguh...demi Allah...
Jin: Hhhsss...(mengangguk sambil mengangkat tangan tanda sumpah)
Perawat: Tunjuk jari ke atas demi Allah
Jin: (Menunjuk jari syahadah ke atas.)
Perawat: Kalau hang Islam..hang tak boleh mengkhianati..hang tak boleh menzalimi sesama Islam...hang paham kan...
Jin: (Angguk) Hhhhsss....
Perawat: Aku pun takmau la guna kekerasan sebab hang Islam aku pun Islam...
Jin: Hhhssss....
Perawat: Hang sembahyang tak?
Jin: (Angguk)
Perawat: Hang sembahyang...kira hang jin yang baik laa...
Jin: Hhhsssss..(mengangguk)
Perawat: Ada keluarga tak? Tak dak..
Jin: (Geleng kepala)
Perawat: Hang dah kawen ka belum?
Jin: (Geleng kepala)
Perawat: Umoq hang berapa tahun?
Jin: (Menunjukkan jarinya 7 jari)
Perawat: 700 tahun...
Jin: (Angguk) Hhsss...
Perawat: Pasepa hang tak mau kawen? Tak dak jodoh?
Jin: (Angguk)
Perawat: Aku bagi hang jodoh mau dak..aku bagi hang satu jin...jin...hang pompuan ka laki
Jin: Hhssss..
Perawat: Laki...pompuan...laki...
Jin: (Angguk)
Perawat: Aku bagi hang satu jin betina mau...jin pompuan mau...cantik punya mau...aku bagi hang satu yang cantik punya....hang kawen la dengan dia.....

Untuk dialog seterusnya, saksikan video rakaman perawat menyelesaikan urusan jin Islam yang telah diberi dakwah dan nama Muhammad dan dikahwinkan dengan jin perempuan yang cantik sebagai pengganti diri pesakit yang jin ini telah jatuh cinta sepanjang tempoh 7 tahun...

Kes kerasukan selesai dalam masa 40 minit. Pesakit terkulai layu lemah ketika jin Islam keluar. Kemudian perawat memulihkan tubuh pesakit sepenuhnya dan kembalikan tenaga asalnya pada tubuh. Pesakit berasa ringan, lapang, nyaman dan hilang serabut dalam kepalanya setelah jin Islam tersebut keluar sepenuhnya.

Sehingga ke hari-hari berikutnya, pesakit mengesahkan tiada lagi sebarang gangguan atau kerasukan dan terputus sudah perjanjian saka yang telah dibuat oleh keturunannya itu.

Kredit: Rangkaian Video Youtube

1. https://youtu.be/7ZcJ-P3iEVE

2. https://youtu.be/9iOvWt1737s



Teruskan bersama perawat mengikuti siri-siri pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan meredah kes-kes misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar terjadi pada zaman ini.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1