Thursday, July 5, 2018

*Pengalaman Merawat Sihir dan Kerasukan Jin Pontianak Eps 67*

MERAWAT SIHIR DAN KERASUKAN JIN PONTIANAK

Bersambung kisah pengalaman kali ini, pada pertengahan bulan Februari 2018, perawat telah dipanggil untuk merawat seorang remaja perempuan yang dimaklumkan oleh ibunya, telah terkena sihir dan kerasukan. Kebetulan pada hari tersebut adalah hari Jumaat, selepas selesai solat Jumaat, perawat berangkat ke rumah pesakit di lokasi Bayan Lepas Pulau Pinang.

Sesampai di rumah pesakit, kelihatan pesakit remaja perempuan tengah tidur meniarap di atas katil di dalam biliknya. Perawat menemubual ibunya untuk dapatkan sedikit maklumat tentang apa yang berlaku pada anaknya.

Mengikut kata ibu pesakit, pesakit telah lama menanggung gangguan ini hampir setahun. Umurnya baru 13 tahun dan telah terlalu banyak ponteng sekolah sejak terjadinya gangguan tersebut dan sekarang hampir dibuang sekolah kerana pihak sekolah tidak boleh menerima alasan kes seperti ini. Pesakit telah banyak kali kerasukan penuh dan lari dari rumah mengikut seorang budak lelaki mat motor yang dia kenali. Ada juga perawat lain yang datang untuk merawat tetapi tiada perubahan dan tetap kerasukan. Pernah anaknya itu tidak pulang ke rumah selama 2 minggu, repot polis telah dibuat dan akhirnya berjaya ditangkap di kawasan Bayan Baru di mana pesakit sedang tidur di tepi tong sampah.

Semasa dalam tahanan polis dan keluarga pesakit bergegas ke balai polis, pesakit terbaring lemah dan tidur. Ketika keluarga pesakit sampai dan setelah selesai berurusan dengan polis, ketika pesakit diangkat untuk dibawa balik, tiba-tiba pesakit bertindak ganas dan 7 orang termasuk beberapa orang polis cuba memegang mangsa yang ingin melarikan diri, cerita ibu pesakit lagi. Yang luarbiasanya terjadi pada malam itu ialah ketujuh-tujuh orang lelaki yang memegang tangan dan kaki pesakit terpelanting ke belakang padahal tubuh pesakit remaja perempuan ini kurus dan tidak tinggi. Pesakit terus melarikan diri dan menghilang pada malam tersebut. 3 minggu kemudiannya pesakit pulang ke rumah dengan berkaki ayam dan kebingungan kerana hairan kenapa dia boleh tidur di kaki lima.

Kejadian ini berlaku hampir setahun sehinggalah jiran keluarga pesakit, yang juga bekas pesakit perawat, merekemenkan nombor telefon perawat kepada ibu pesakit untuk berikhtiar.

Setelah ada sedikit maklumat, sesi rawatan pun bermula. Perawat mula memeriksa mata pesakit. Apabila dibuka kelopak mata, hanya mata putih yang nampak. Mata hitamnya telah naik ke atas. Perawat kemudiannya mengenalpasti ada jin di dalam tubuh pesakit dan bertindakbalas kasar bila ibunya cuba membalikkan tubuh anaknya ke hadapan.

Perawat menjurus jin di dalam tubuh. Kelihatan muka pesakit menahan sakit. Hampir 40 minit jin dijurus barulah dia bersuara menyuruh perawat pulang tetapi mata masih terpejam. Kemudian perawat meminta segelas air untuk didoakan. Air doa tersebut disapukan pada muka, tangan dan kaki pesakit. Tidak sampai 10 minit, pesakit terjaga dan terpinga-pinga.

Ibu pesakit memberitahu sudah 2 hari anaknya tidur tak makan, tak minum, tak mandi, tak buang air, hanya tidur saja sehingga perawat datang. Kemudian perawat bertanya pada pesakit sama ada lapar atau tak. Pesakit menjawab lapar sangat-sangat. Perawat meminta ibunya mengambil nasi berlauk dan air seberapa segera kerana khuatir pesakit pedih perut tak makan. Kelihatan pesakit makan dengan banyak disuap ibunya dan dua kali ditambah nasi.

Setelah selesai makan, perawat menemubual pesakit tentang apa yang berlaku. Pesakit tidak ingat apa-apa ketika kerasukan. Katanya dia selalu nampak susuk jelmaan jin memakai baju putih berambut panjang (pontianak) dan terus susuk tersebut masuk ke tubuh pesakit lalu tidak sedarkan diri. Pesakit mengakui mempunyai seorang kekasih lelaki. Dalam masa yang sama, kawan kepada kekasihnya pula meminati pesakit dan ingin merampasnya dari kekasihnya dengan cara halus. Jadi pesakit telah diberi makan "sesuatu" yang kemudiannya hanya teringat kepada lelaki tersebut dan menurut ke mana saja lelaki tersebut pergi. Keadaannya seperti dipukau atau patung yang menurut perintah.

Kemudian perawat bertanyakan simtom-simtom gangguan. Pesakit hanya menyatakan kepalanya sentiasa sakit dan ada benda bergerak-gerak dalam tubuhnya. Bila ditanya ada terasa tak pergerakan benda tu, pesakit menggelengkan kepala tanda tiada. Sakit kepala pun tiada. Bererti jin pontianak tadi telah keluar dan melarikan diri. Setelah hampir 1 jam lebih, keadaan pesakit kelihatan normal, perawat meminta diri untuk pulang dan berpesan pada ibunya jika berlaku apa-apa pada malam tersebut, cepat-cepat panggil perawat untuk datang kerana kemungkinan jin tersebut mungkin kembali masuk ke tubuh pesakit.

Keesokan paginya perawat cuba menghubungi ibu pesakit tetapi tidak berjawab. Terdetik hati perawat mengatakan pesakit akan mengalami kerasukan pada hari tersebut. Petang tersebut selepas solat Asar, jiran pesakit yang juga bekas pesakit perawat mengirim mesej menyatakan pesakit tiba-tiba mengamuk, menggegar pintu pagar besi yang dikunci dengan mangga solex, telah dipecahkan pesakit yang kemudiannya melarikan diri turun melalui tangga berkaki ayam dan terus menaiki motor budak lelaki yang mengenakan ilmu padanya.

Selepas dari itu, tidak kedengaran lagi apa-apa cerita atau berita daripada keluarga pesakit tersebut kerana perawat tidak dihubungi lagi oleh keluarga tersebut.

Teruskan bersama kisah perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekitar masyarakat.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

No comments:

Post a Comment