Sunday, June 10, 2018

*Pengalaman Merawat Dan Bertempur Dengan 9 Ekor Jin Utusan Sihir Eps 66*

MERAWAT DAN BERTEMPUR DENGAN 9 EKOR JIN UTUSAN SIHIR

Kisah rawatan kali ini adalah menarik dan memberikan pengalaman kedua kepada perawat dalam menimba ilmu rawatan gangguan kritikal. Pengalaman sebelum ini di tahun 2009, perawat bersama abang seguru perawat pernah bertempur dengan 13 ekor jin utusan sihir yang merasuk tubuh seorang pesakit wanita dan membunuh kesemuanya sekali di mana masa rawatan. Tetapi kes kali ini, cuma pertempuran dengan 9 ekor jin utusan sihir yang merasuk tubuh pesakit wanita bermula masa rawatan selepas solat Isyak dan berakhir sebelum solat Subuh.

Kes berlaku pada pertengahan Februari 2018, seorang sahabat seguru perawat bernama Tuan Firdaus dari Simpang Ampat telah menghubungi perawat meminta bantuan bagi menyelesaikan 1 kes berat pesakit wanita kerasukan pelbagai jenis jin dalam badan. Pada mulanya, Tuan Firdaus memberitahu, pesakit wanita ini datang berjumpa di rumahnya kerana mengadu mengalami sakit di kedua-dua tangan dan bahunya seperti ada logam yang melekat. Jadi pesakit meminta untuk diperiksa masalah tersebut. Tetapi ketika sesi rawatan Tuan Firdaus, tiba-tiba berlaku kerasukan dan kes itu tidak selesai.

Perawat telah diundang untuk membantu memandangkan kes pesakit wanita ini agak berat sedikit. Perawat hadir pada malam itu selepas solat Isyak di rumah Tuan Firdaus sambil menunggu kedatangan pesakit wanita tersebut dari Bagan Serai, Perak. Tidak lama dari itu, pesakit wanita sampai bersama suami dan dua anak perempuannya. Sesi temubual dimulakan.

Pesakit menceritakan gangguan bermula sejak tinggal di berek polis lagi. Ketika itu suaminya masih bekerja sebagai polis tetapi sekarang telah lama bersara. Pesakit mengalami sakit teruk dan telah berubat sana sini tetapi tidak sembuh sepenuhnya. Pada ketika itu, ada seorang perempuan yang mahukan suaminya, telah mengenakan ilmu hitam agar pesakit wanita ini mati dan suaminya dapat dimiliki oleh perempuan tersebut. Setiap hari terdapat serpihan kaca dijumpai di hadapan rumahnya ketika di berek polis. Rentetan dari itu, mereka berpindah keluar ke tempat lain.

Walaupun berpindah ke rumah lain, pesakit wanita ini ditimpa pula gangguan sihir dan ilmu hitam yang berpunca dari masalah dalaman keluarganya pula. Gangguan ini telah berlangsung selama lebih 36 tahun lamanya dan telah berubat di merata tempat di seluruh Malaysia. Duit ringgit telah beribu habis tetapi masalah gangguan tetap sama tanpa perubahan.

Antara simtom-simtom gangguan pada pesakit ialah kerasukan 100%, kerap nampak kelibat dalam rumah, mimpi buruk seperti badan penuh ulat, ular kecil dan benda yang menakutkan, badan sekejap panas, sekejap sejuk dan seram sejuk dan kepala sentiasa sakit.

Perawat bersama Tuan Firdaus bersama-sama ikhtiar merawat keadaan pesakit ini. Sesi rawatan bermula, perawat cuba mengesan kehadiran jin. Hampir 10 minit pesakit masih lagi sedar tetapi menjadi longlai dan pening-pening dalam tempoh itu seperti nak tumbang. Kemudian perawat meminta bantal daripada Tuan Firdaus supaya pesakit berbaring kerana kelihatan diri pesakit seperti tidak bermaya. Sebaik-baik baring, terbitlah jin seperti pocong dengan mata pesakit terbeliak ke siling rumah. Perawat bertindak menyiksa jin tersebut. Kelihatan berkerut-kerut muka pesakit menahan kesakitan. Kemudian perawat meminta Tuan Firdaus mengesan bahagian lain dan menjurus jika ada jin. Sebaik-baik Tuan Firdaus jurus, terbit pula jin Batak memaki hamun sakit disiksa. Siksaan diteruskan tiba-tiba berganti jin ular. Lidah dijelir keluar masuk dan badan bergerak-gerak seperti seekor ular. Perawat menjurus ke bahagian tubuh lain. Tidak semena-mena perut pesakit membesar seperti busung. Bila perawat meletakkan tapak tangan dia atas perut, terasa jelas ada benda bergerak-gerak melingkar dalam perut seperti ular. Kerana perut semakin membesar, perawat membaca sepotong ayat alQuran dan serta-merta perut menjadi kempis seperti asal.

Kemudian Tuan Firdaus menjurus dalam, terbit pula pontianak India bercakap tamil, mengilai begitu kuat, ketawa kuat-kuat. Dari segi percakapan tamilnya, jin pontianak India tu ada menyebut Batu Caves dan seperti menyatakan ia tidak takut dan tidak ada apa yang boleh mengancam ia. Mungkin jin India ini datang dari Batu Caves. Tuan Firdaus menjurus ke tubuh jin pontianak tersebut tetapi jin pontianak itu ketawa mengilai dengan kuat sekali. Perawat pula bertindak keras mencengkam kemaluan jin pontianak secara makrifat dan memutuskannya. Menjerit kesakitan jin pontianak tersebut sambil memaki perawat dengan kuat..."Siiiaaall".. Perawat memberi amaran,"Nak lawan lagii..." Meronta-ronta lebih ganas jin tersebut.

Ketika perawat ingin sembelih jin pontianak, tiba-tiba bertukar pula dan terbit jin seperti puaka hutan. Bertindak lebih ganas sehinggakan kaki kanan pesakit menendang bahu kiri Tuan Firdaus dan kaki kiri pesakit menendang ke sebelah kanan perawat tetapi perawat menepis awal-awal. Kemudian suami pesakit membantu memegang kedua-dua kaki pesakit dan mengunci di bawah ketiak. Dalam pada itu, perut menjadi busung kembali dan membesar seperti perempuan mengandung tiga orang bayi. Perawat kemudian meletakkan tapak tangan kanan dan membaca sepotong ayat alQuran, perut serta merta kempis dan kembali seperti sediakala.

Lama juga kami berdua bertarung, walaupun hendak disembelih tetapi jin bertukar ganti dan berlari-lari di dalam tubuh pesakit selain bertindak ganas. Perawat membaca ayat Kursi kemudian dihembus ke muka dan telinga pesakit, jin ular bertindak marah kerana panas dan meludah seperti menyembur bisa ular. Dari jam 930pm hinggalah ke 200am. Setelah pelbagai jurusan seksaan dibuat, kelihatan jin-jin tersebut mula lemah dan mengalah. Kemudian pesakit terkaku seperti mayat sambil mata memandang siling rumah.

Teringat kepada pesanan Tuan Guru, apabila ditimpa musibah, solatlah 2 rakaat minta pertolongan pada Allah jika tidak dapat jalan penyelesaian. Maka perawat dan Tuan Firdaus berhenti seketika memandangkan jin-jin kelihatan sudah lemah. Dan perawat melakukan solat hajat meminta petunjuk dan jalan penyelesaian. Hampir setengah jam bertafakur akhirnya telah dapat petunjuk tersebut. Maka rawatan disambung semula bersama Tuan Firdaus. Walaupun kedua-dua kami dalam keadaan letih memandangkan pesakit datang dari jauh meminta pertolongan, kami berdua tidak berputus asa.

Perawat kemudian berdakwah Islam sambil membaca beberapa potong ayat alQuran untuk berdakwah. Akhirnya satu persatu jin dalam badan tunduk dan bersyahadah. Jin ular ada 2 ekor lelaki dan perempuan yang diberi nama Imran dan Khadijah kemudian keluar menuju ke Masjid Nabawi Madinah. Kemudian jin-jin lain bersyahadah termasuk jin pontianak, puaka, pocong dan lain-lain kecuali jin Batak. Bila ditanya berapa ekor di dalam badan, jari menunjukkan 9 ekor. Ditanya lagi berapa ekor yang belum masuk Islam, jari ditunjukkan satu saja. Setelah jin-jin yang masuk Islam keluar dari tubuh pesakit, tinggallah jin Batak yang tidak mahu masuk Islam. Walaupun dibacakan ayat-ayat alQuran untuk dakwah, dibacakan ayat-ayat tentang neraka dan syurga, dibacakan ayat-ayat tentang tipu daya syaitan, masih juga jin Batak ini berdegil tidak mahu masuk Islam.

Jin Batak ini yang memberitahu ia keturunan Batak dari bomoh orang asli. Perawat ajak berbicara untuk membongkar asbab kes gangguan yang terjadi selama 36 tahun ni. Satu persatu perawat dapat membongkar daripada jin Batak ini yang asal bermulanya gangguan adalah isteri orang lain meminati suaminya ketika di berek polis. Kemudian terjadi masalah dalaman keluarga dan orang-orang yang terlibat adalah 3 orang dari dalam keluarganya sendiri yang mengamalkan ilmu hitam serta ditujukan pada pesakit. Perawat tidak akan menceritakan kisah masalah dalaman keluarga kerana ia adalah peribadi tetapi suami pesakit mengiakan kebenaran apa yang diceritakan oleh jin Batak tersebut. Bila ditanya kenapa jin Batak itu tidak mahu masuk Islam. Jin itu menyatakan dalam Islam tiada paksaan untuk memilih agama dan ia belum terbuka hati untuk masuk Islam. Daripada 9 ekor jin, 8 telah masuk Islam dan tinggal jin Batak ini saja yang tidak diambil tindakan kerana ia dianiaya, keluarganya dijadikan tebusan dan ia terpaksa setia kepada salah seorang ahli keluarga yang mengamalkan ilmu hitam itu demi menyelamatkan suami dan anaknya. Hampir 1 jam perawat membongkar satu persatu asbab yang berlaku. Suami pesakit juga telah membuka cerita sebenar tentang apa yang berlaku perihal masalah dalaman keluarga pesakit itu sendiri tetapi masih mampu bersabar kerana suami pesakit sedar yang perilaku melampau yang terjadi pada isterinya itu adalah disebabkan oleh gangguan jin dan ilmu hitam daripada keluarga pesakit sendiri. Jin Batak ini juga mengiakan apa yang diceritakan oleh suami pesakit.

Setelah jam menunjukkan pukul 430am, perawat menyuruh jin Batak tersebut sedarkan balik pesakit dan dia kembali kepada tuannya untuk sementara waktu. Seketika itu, pesakit tersedar sambil membetulkan tudungnya dan bajunya. Bila perawat tanya, sedar tak apa yang berlaku dari pukul 930pm sampai sekarang, pesakit menyatakan dia tidak ingat apa-apa dan seingat pesakit, sebaik-baik baring, dia telah tidur lena. Perawat bertanya lagi, semasa tidur itu dia ke mana, pesakit memberitahu dia tak ke mana-mana. Hanya tidur lena dan tidak ingat apa-apa. 

Kemudian pesakit dan keluarganya berangkat pulang ke Perak. Perawat meminta izin daripada Tuan Firdaus untuk tumpang berehat sekejap sementara menunggu azan Subuh. Terlelap sekelip mata kami berdua tiba-tiba kami dikejutkan helmet Tuan Firdaus dicampakkan ke lantai. Kami berdua terkejut dan terbangun sambil menanti gangguan seterusnya. Sambung balik tidur sekejap sehingga Subuh, perawat berangkat pulang ke rumah. Rupa-rupanya tidak habis di situ, perawat diserang balas di rumah manakala Tuan Firdaus juga menerima serangan balas di rumahnya. Berkat tunjuk ajar Tuan Guru, serangan yang dihantar dipatahkan semuanya.

Perawat menasihati pesakit wanita tersebut agar menyambung rawatan susulan ke Prawis di Rawang memandangkan isu ini melibatkan ahli keluarganya sendiri dan kes diklasifikasikan agak rumit. Walaupun telah dinasihati, pesakit belum lagi membuat rawatan susulan ke Prawis dan telah mengalami serangan baru dan sakit semula berikutan konflik dalam masalah keluarga besarnya sendiri. Rawatan selesai sehingga setakat itu dan tiada rakaman video yang dapat dibuat memandangkan kes berlaku di luar jangkaan dan tidak terkawal.

Inilah masalah yang banyak terjadi sekarang di dalam hubungan kekeluargaan pada akhir zaman di mana berlakunya amalan ilmu hitam yang melibatkan adik-beradik saling mengenakan sihir dan tuju-tuju kerana harta, rumah pusaka, tanah, wang ringgit dan juga dendam, anak menyihir ibu bapa, mentua menyihir menantu dan anak-anak, anak mengirim santau pada ibu dan berbagai kes gangguan yang di luar jangkaan. Punca terjadinya masalah ini adalah disebabkan ibu bapa tidak menitikberatkan didikan ilmu agama sejak anak-anak masih kecil lagi dan melepas tangan dalam menunaikan tanggungjawab sebagai ibu bapa, maka hancurlah sistem kekeluargaan mereka sehingga ke generasi cucu cicit.

Nantikan seterusnya siri pengalaman perawat menempuh kes-kes yang lebih mencabar dan semakin meningkatnya amalan-amalan ilmu hitam di dalam masyarakat bermula dari golongan bawahan sehinggalah ke golongan atasan, dalam jejak rawatan dan perubatan menelusuri isu-isu misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar terjadi di depan mata.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~


#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#kerasukan
#dendam
#keranacinta
#gangguanjin
#utusansihir
#pertempuranjin

No comments:

Post a Comment