MERAWAT KERASUKAN JIN UTUSAN SIHIR AKIBAT CINTA
Pengalaman rawatan kali ini melibatkan kes kerasukan jin utusan sihir yang telah agak lama mengganggu seorang pesakit wanita. Penghujung bulan Februari 2018, perawat telah dihubungi oleh abang ipar kepada pesakit untuk datang ke rumahnya di Batu Maung, Pulau Pinang. Lewat tengahari perawat sampai ke rumah tersebut yang merupakan sebuah apartmen.
Pesakit wanita ini berasal dari Johor Bahru, datang bersama suaminya untuk cuba ikhtiar berubat di Pulau Pinang pula. Maka sesi temubual pun dimulakan untuk mencari asbab masalah gangguan pada diri pesakit.
Mengikut cerita pesakit wanita ini, dia pernah berkahwin dengan seorang lelaki di Johor Bahru. Kerana tidak ada keserasian, jodoh perkahwinan tidak panjang dan berakhir dengan perceraian. Sambung cerita pesakit lagi, pernah seorang lelaki cuba melamar dirinya tetapi ditolak kerana belum ada keterbukaan hatinya lagi untuk menerima seorang suami. Akibat tidak dilayan, lelaki tersebut telah memberi amaran keras bahawa jika dia tidak dapat memiliki pesakit wanita ini, lelaki lain juga tidak berhak untuk dapatkannya. Bermulalah episod gangguan sedikit demi sedikit berlaku dalam rumahnya sehinggalah merebak kepada kerasukan.
Pesakit telah mengalami gangguan kerasukan hampir 18 tahun lamanya. Antara simtom-simtom gangguan yang berlaku ialah kerasukan 100% dan sakit kepala selain sakit ketiak dan lengan kirinya tidak boleh diangkat. Pernah pesakit ikhtiar berubat dengan beberapa orang perawat. Baik sekejap saja kemudian jadi lebih teruk. Selama 12 tahun yang pertama dia berubat merata tempat, berhabis wang ringgit dan terlalu letih menanggung gangguan. Setelah 12 tahun, kata pesakit, nampak pulih sedikit dan jarang-jarang berlaku kerasukan. Pesakit wanita ini dapat melangsungkan perkahwinan buat kali kedua dengan seorang lelaki dan mampu bersabar dengannya walaupun tahu gangguan berterusan. Hasil dari perkahwinan pertama, pesakit memiliki beberapa orang anak tetapi 6 tahun perkahwinan terbaru, tidak dikurniakan zuriat. Ketiak dan lengan kirinya masih sakit dalam tempoh 6 tahun itu, telah mengurut juga dengan beberapa orang tukang urut, hasilnya tiada perubahan.
Setelah mendapat beberapa maklumat, sesi rawatan pun bermula. Perawat memanggil jin yang merasuk pesakit supaya muncul untuk berunding. Tidak sampai 2 minit, pesakit kerasukan. Kemudian perawat ajak berdialog cara baik dengan jin utusan sihir itu. Jin ini memberitahu agamanya adalah Islam. Ada seorang lelaki yang menghantarnya ke pesakit ini kerana cinta lelaki tersebut ditolak. Perawat menyatakan kerana jin ini Islam, jadi perawat tidak mahu menyiksa atau mengambil tindakan lebih keras kerana ia juga merupakan saudara seagama Islam. Jin mengangguk faham. Perawat menasihatkan jin ini supaya ia rela keluar dan kembali ke tempat asalnya tetapi ia tidak mahu. Kerana katanya ia telah jatuh cinta pada pesakit ini dan sudah bersama dengannya ketika dia masih status janda lagi. Perawat memberi sedikit tazkirah untuk menyedarkannya tentang perbezaan alam jin dan alam manusia, tidak boleh bercinta dan berkahwin antara jin dan manusia kerana hukumnya haram mengikut jumhur ulama. Masih juga jin tidak mahu keluar kerana tidak tahu hendak ke mana dan ia akan kesepian.
Perawat bertanya pada jin jika perawat memberikan satu jin perempuan yang cantik sebagai ganti cinta pada pesakit wanita ini, mahu tak untuk terima. Jin lelaki Islam ini diam dan tertunduk sedih memandang ke bawah. Kemudian perawat membaca sepotong ayat alQuran dari Surah ar-Rum tentang Allah telah menyediakan pasangan untuk lelaki dan perempuan dari jenisnya. Jin Islam ini faham dengan ayat tersebut tetapi masih tertunduk sedih seperti susah hati. Perawat bertanya jin ini kenapa sedih. Adakah kerana ia tidak kacak, tidak segak dan tidak hensem yang menyebabkan tiada jin perempuan yang mahukannya. Jin menganggukkan kepalanya. Perawat memberi tawaran untuk menukarkan tubuh badan jin Islam ini menjadi segak, amat kacak, berseri dan diminati jin-jin perempuan Islam yang cantik-cantik. Jin mengangguk bersetuju. Setelah selesai, perawat bertanya pada jin macamana dengan keadaan diri, cantik tak, berseri tak. Jin melihat tangan kanan kirinya tubuh badannya sambil mengangguk tersenyum. Kemudian ditanya namanya, jin menggelengkan kepala kerana tiada nama. Jadi perawat menamakannya dengan nama Muhammad sempena mengingati kekasih umat Islam, Nabi Muhammad SAW. Jin pun bersetuju.
Kemudian perawat berdoa pada Allah minta dihadirkan satu jin perempuan Islam yang lebih cantik dari pesakit wanita ini. Tidak sampai 2 minit, jin bernama Muhammad ini mengangkat kepalanya seperti menjenguk seseorang di pintu masuk rumah tersebut. Perawat bertanya adakah jin ini nampak jin perempuan tersebut, jin lelaki ini mengangguk. Ditanya lagi, cantik tak jin perempuan itu, ia mengangguk dan tersenyum. Kemudian perawat bertanya adakah ia yang menyebabkan pesakit ini tak boleh mendapat zuriat. Jin mengangguk. Adakah ia memusingkan rahimnya. Jin mengangguk. Adakah ia juga yang menyebabkan ketiak dan tangan kiri pesakit wanita ini sakit. Jin mengangguk. Perawat kemudian meminta jin lelaki ini perbetulkan semula kedudukan rahim pesakit ini supaya dia boleh mengandung semula, perbetulkan urat-urat di ketiak dan lengan kirinya dan pulihkan sakit kepalanya sebelum ia keluar untuk menemui jin perempuan tersebut. Dalam beberapa minit, jin lelaki ini menjalankan arahan perawat.
Setelah selesai, perawat bertanya adakah sudah betul semua. Jin mengangguk. Ada lagi tak tempat-tempat yang ia tertinggal. Jin menggelengkan kepala. Kemudian perawat mengarahkan supaya jin ini mengikut kata-kata perawat melafaz sumpah dengan nama Allah dan perjanjian yang dibuat. Setelah selesai, perawat bertanya ikut mana ia mahu keluar, jin bagitahu ikut kaki. Perawat meminta suami pesakit berada di belakang isterinya kerana kebiasaannya apabila jin keluar badan, pesakit akan tumbang. Maka perawat membuka pintu keluar melalui kaki pesakit dan membantu menarik jin lelaki Islam itu keluar dan pergi bersama dengan bakal isterinya jin perempuan Islam di alam jin. Kelihatan airmata kesedihan meleleh keluar tanda ikatan percintaan telah diputuskan.
Setelah pesakit sedar, perawat bertanya sama ada pesakit ingat apa-apa yang berlaku, katanya dia tak berapa ingat. Kemudian pesakit diminta untuk bersyahadah untuk kepastian. Dan ditanya badan terasa ringan tak, ketiak dan lengan kiri masih sakit lagi dan kepalanya sudah hilang sakit tak. Pesakit menyatakan semuanya sudah pulih dan kembali normal. Terasa terlepas dari bebanan yang ditanggung selama 18 tahun itu. Alhamdulillah. Rawatan mengambil masa dalam 1 jam.
Perawat kemudian memulihkan tubuh badan pesakit, merawat dalamannya, membuat dinding dan pagar pada tubuhnya dan mendoakan air penawar sebelum rawatan diselesaikan sepenuhnya.
Kredit: Kebenaran Video Oleh Pesakit
https://youtu.be/Y3VWUnszKIA
Nantikan seterusnya, lagi kisah perawat menyelesaikan kes kerasukan yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1
Assalamualaikum warahmatullah wabaraqatuh..
ReplyDeleteSaya mencari perawat disekitar, untuk rawatan secara dekat, saya termakan makanan yang sudah dikenakan ilmu guna-guna, setiap hari ada saja benda halus di hantar kepada saya..
email, nombor pengamal perubatan : tubuhsatu@gmail.com