Wednesday, March 4, 2020

*Pengalaman Merawat Gangguan Jin Pencerobohan, Zat Jahat Dan Ilmu Gemuk Eps 76*

Kembali lagi di coretan jejak rawatan setelah sekian lama terhenti disebabkan kesibukan perawat dengan pelbagai urusan termasuk rawatan di luar kawasan.

Pengalaman rawatan kali ini mengisahkan tentang seorang pesakit perempuan yang diganggu jin pencerobohan, zat jahat dan tertipu dengan suatu ilmu yang diistilahkan dengan nama "Ilmu Gemuk" dari seorang bomoh Indonesia yang dikenali dengan panggilan Wak saja. Mungkin kedengaran agak lucu, kelakar dan mencuit hati walhal perawat juga baru tahu ada ilmu gemuk dan ilmu kurus ini yang boleh dimanfaatkan tanpa perlu melibatkan alam jin atau penjagaan diet berskala untuk menggemukkan atau menguruskan badan.

Awal April 2018, perawat dihubungi pada tengahari untuk hadir berikhtiar merawat seorang pesakit perempuan di kawasan Gelugor, Pulau Pinang. Pada mulanya pesakit hanya menyatakan mengalami sembelit. Kemudian baru pesakit menceritakan tentang diganggu jin mencuit ibu jari kaki dan menarik selimut semasa tidur. Ditanya pula pada perawat perihal ada tak kaedah atau petua untuk menurunkan berat badan. Perawat bertanya kenapa. Bermulalah cerita dari mulut mak pesakit memberitahu anak perempuannya (pesakit) ini dulu masa sekolah rendah sangat kurus selain kurang selera makan. Kerana kelihatan sangat kurus seperti tidak cukup makan, maka mak pesakit berikhtiar untuk berubat cara kampung sejak 12 tahun yang lalu. Pada ketika itu dikhabarkan ada seorang bomoh Indonesia di Seberang Perai yang hanya dipanggil Wak saja boleh merawat masalah anaknya.

Setelah bertemu Wak Indon ini, mak pesakit menceritakan tentang kekurusan anaknya yang seperti tidak cukup makan. Fahamlah si Wak ini lalu disediakan sebiji pisang kemudian dijampinya dengan bacaan yang tidak diketahui (merujuk kepada ulasan mak pesakit), lalu disuruh pesakit makan sampai habis. Pesakit ketika itu hanya mampu makan setengah saja daripada pisang tersebut tetapi dipaksa juga suruh habiskan sampai tercekik-cekik. Setelah selesai, satu famili berangkat pulang. Bermulalah episod hairan bin ajaib serta gangguan pada pesakit pada keesokan harinya.

Keesokannya, pesakit yang pada ketika itu masih bersekolah rendah lagi, tiba-tiba kerap lapar dan sekali makan nasi mesti 2 pinggan. Dan sehari 4 kali makan, bererti 8 pinggan nasi sehari. Pada mulanya mak pesakit berasa seronok anaknya berselera makan tetapi selepas setahun, pesakit menjadi gemuk. Kerana khuatir anaknya bertambah gemuk, mak pesakit kembali membawa anaknya menemui Wak Indon untuk membuang ilmu gemuk tersebut. Dijampinya sebiji pisang lagi kononnya ilmu gemuk akan terbatal dan selera makan pesakit kononnya kembali normal. Tetapi keesokan harinya, bertambah-tambah selera makan pesakit dari sebelumnya. Bila mak pesakit menghubungi semula Wak Indon dan memberitahu keadaan yang berlaku, Wak hanya meminta maaf dan menyatakan dia hanya mampu membuat selera bertambah tetapi tidak tahu cara membatalkannya. Berubat sana sini, kesudahannya selera makan luarbiasa pesakit tetap sama berlanjutan selama 12 tahun dengan berat badan lebih dari 90kg. Disebabkan ilmu gemuk ini juga, pesakit terbuka hijab dan kerap nampak makhluk-makhluk halus yang berkeliaran.

Setelah bertemu perawat, perawat ikhtiarkan untuk merawat penyakit sembelitnya dulu dan pulih beberapa ketika. Kemudian perawat membatalkan dan mencabut ilmu gemuk dari tubuh pesakit serta merta. Setelah itu perawat menutup hijabnya. Dibuangkan zat jahat dari tubuh pesakit dan dipisahkan gangguan jin pencerobohan mungkin akibat terlalu banyak ikhtiar berubat dengan perawat-perawat atau bomoh-bomoh berilmu batil sehingga terkena gangguan jin.

Keesokan harinya, perawat dimaklumkan mak pesakit yang anaknya sudah kembali normal. Selera makan hanya setengah pinggan nasi saja sudah kenyang, tidak seperti sebelum ini yang memerlukan 2 pinggan nasi untuk kenyang. Rawatan selesai setakat itu.

Ikuti seterusnya pengalaman-pengalaman perawat menelusuri jejak rawatan dalam menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di akhir zaman.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

1 comment: