Friday, May 18, 2018

*Pengalaman Merawat Zat Jahat Dan Ilmu Kunci Eps 62*

MERAWAT ZAT JAHAT DAN ILMU KUNCI

Kisah kali ini membawa kepada merawat seorang pesakit lelaki yang juga merupakan bekas seorang pengamal perubatan sebelum ini. Kes rawatan berlaku di lokasi Sg Ara Pulau Pinang pada penghujung Januari 2018.

Mengikut cerita pesakit lelaki ini, simtom gangguan telah berlangsung selama 16 bulan. Tiada apa-apa simtom penyakit yang muncul yang dikesan melainkan kelamin dan batinnya telah dikunci oleh bekas isterinya dahulu yang banyak mencari bomoh untuk menundukkannya. Pesakit sendiri menceritakan masalah dirinya tentang apa yang telah berlaku dalam hal rumahtangga yang lalu.

Walaupun pesakit mengetahui akan sikap dan perangai bekas isterinya, pesakit tetap bersabar dan ikhtiar membatalkan segala ilmu batil serta memusnahkan barang-barang yang dijumpai dalam rumah yang dikenakan oleh bekas isteri kepadanya. Tetapi akhirnya pesakit terkena jugak ilmu kunci batin sebelum berlaku penceraian. Tidak lama dari hal penceraian, pesakit telah berkahwin semula dengan seorang isteri muda tetapi kedua-dua mereka pula ditimpa musibah gangguan.

Semasa sesi rawatan pertama, perawat mengesan ada zat jahat pada tubuh pesakit dan seperti sesuatu mengunci pada bahagian kelaminnya sehingga tidak dapat berfungsi dengan sempurna. Maka perawat memusnahkan zat-zat jahat tersebut termasuk ilmu kunci yang dikenakan. Sebaik saja ilmu kunci batin dimusnahkan, pesakit menyatakan terasa hilang benda yang terbeban pada kelaminnya seperti diangkat buang keluar. Pesakit sebagai seorang yang pernah menjadi pengamal perubatan bersungguh-sungguh menyatakan dapat merasai lega ketika perawat memusnahkan ilmu kunci dan terasa lapang pada kelaminnya.

Pada sesi kedua rawatan, masih terdapat sedikit lagi baki zat jahat pada tubuhnya dan untuk sesi rawatan ketiga, tiada lagi zat jahat, tiada lagi ilmu kunci batin dan pesakit pulih sepenuhnya cuma pada bahagian kelaminnya perlu menjalani rawatan urutan batin bagi memulihkan kembali seperti sediakala. Rawatan selesai setakat itu.

Sedikit nasihat kepada para pembaca di laman facebook perawat ini, janganlah ada salah seorang dari pasangan anda yang mengamalkan amalan dan ilmu batil ke atas pasangannya sendiri. Setiap apa yang anda lakukan, pasti akan memakan diri kembali selain tidak mendapat pengampunan dari pasangannya yang teraniaya. Sia-sia sahaja amalan kebaikan yang dibuat seperti solat dan kebajikan umum tetapi syirik bersekongkol dengan syaitan untuk menzalimi orang lain. Jika tiada lagi persefahaman, berpisahlah cara baik dan bukan berdendam dan berhasad dengan mencari bomoh batil bagi membalas dendam terhadap bekas pasangan. Ini bukan cara yang dituntut oleh agama Islam.

Teruskan bersama perawat menanti siri-siri pengalaman seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan menerjah kes-kes misteri, aneh, ganjil, pelik tetapi benar-benar terjadi dalam masyarakat.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

No comments:

Post a Comment