Awal September 2017, berlokasi di suatu tempat di Sg Dua bahagian pulau, Pulau Pinang. Perawat telah dihubungi untuk merawat pesakit suami isteri pada sebelah malam bagi merawat keadaan mereka yang merasakan terkena gangguan.
Seperti biasa, pada sesi pertama rawatan, pesakit akan ditemubual untuk perawat mengenalpasti simtom dan bermulanya keadaan sakit yang berlaku. Mengikut penjelasan pesakit perempuan (isteri), tempoh sakit telah berlarutan lebih 7 tahun. Pesakit telah berubat dengan banyak perawat sepanjang tempoh tersebut dan perawat terakhir yang merawatnya sebelum berjumpa dengan perawat sendiri adalah dari Darul Syifa' di Pulau Pinang. Apa yang dikatakan oleh perawat-perawat tersebut adalah pesakit ini terkena gangguan jin. Katanya jin tersebut telah dibuang tetapi gangguannya masih tetap ada.
Maka diceritakan pesakit sinopsis bermulanya bibit-bibit gangguan pada 10 tahun yang lalu (dari tarikh rawatan dengan perawat). Ketika itu pesakit bekerja di sebuah tadika yang tidak jauh dari kawasan kediamannya. Tidak pasti permasalahan apa yang terjadi di dalam tadika tersebut, pesakit telah ditepuk di bahu dan diberi amaran oleh orang yang pesakit kenal di tadika tersebut. Bermula dari situlah terjadinya gangguan pada diri pesakit. Pada awal 3 tahun pertama gangguan hanya biasa saja tetapi makin menjadi dan berlarutan hingga lebih 7 tahun. Walaupun telah berubat merata tempat sehingga hampir berputus asa, akhirnya pesakit ingin berikhtiar dengan perawat setelah direkemenkan oleh bekas pesakit perawat sendiri yang telah dirawatpulih sepenuhnya sebelum ini.
Antara simtom-simtom yang berlaku pada pesakit ialah kekerapan nampak kelibat di dalam rumah, susah tidur tanpa sebab, kerap terjaga malam, kerap ditindih 2-3 kali semasa tidur, sakit kepala tanpa sebab dan rasa benda bergerak di bahagian kaki.
Ketika sesi rawatan pertama bermula, kepala pesakit mengalami gegaran. Maka perawat mengeluarkan zat jahat dan memusnahkannya. Terdapat beberapa tempat di belakang badan dan kaki yang terdapat zat-zat jahat dan dimusnahkan serta merta. Sedang perawat menyelesaikan zat-zat jahat tersebut, tiba-tiba pesakit dicekik dan sesak nafas. Serta merta perawat membuka genggaman pada leher pesakit serta kunci yang dikenakan pada dadanya supaya pesakit sesak nafas. Perjalanan sihir disekat dan diputuskan, barulah pesakit kembali normal.
Pesakit perempuan tersebut dipulihkan. Pada sesi rawatan kedua, tiada lagi simtom-simtom gangguan seperti yang dinyatakan di atas dan pada sesi rawatan ketiga, terdapat sedikit zat jahat disebabkan pesakit suka keluar pada waktu maghrib dan malam. Walau bagaimanapun, pesakit telah pulih.
Manakala pesakit lelaki (suami) mengalami gangguan selama 3 tahun (dari tarikh rawatan perawat). Antara simtom-simtom yang terjadi pada diri pesakit adalah lebam di kaki, rasa seperti ada benda bergerak di bahagian belakang badan dan telinganya yang kerap berbunyi atau berdesing yang pelik. Mengikut sinopsis cerita pesakit, punca gangguan bermula ketika dia dan isteri bermalam di sebuah hotel di Cameron Highland. Ada sesuatu yang menyebabkan telinga kirinya berdesing semasa menginap di hotel tersebut. Sejak dari situlah sehingga 3 tahun gangguan tersebut berlarutan terutama gangguan desingan di telinga kirinya.
Maka perawat melakukan pengesanan (scanning) dan didapati terdapat zat jahat akibat perbuatan jin. Zat-zat jahat pada telinga dan tubuh pesakit lelaki dimusnahkan. Susulan sesi rawatan kedua dijalankan untuk memusnahkan kesemua zat jahat yang masih tertinggal dan pada sesi rawatan ketiga, pesakit lelaki telah pulih sepenuhnya.
Adalah dinasihatkan dan disarankan kepada semua pembaca agar jangan mengabaikan tanggungjawab kita sebagai seorang Islam untuk tidak meninggalkan perintah Tuhan. Mungkin ada yang berkata, orang yang solat 5 waktu, hafiz al-Quran, ahli zikir, tuan guru pondok dan alim ulama pun terkena gangguan, tetapi harus diingat, orang yang jiwanya kosong, tiada pengisian ilmu agama, mengabaikan perintah Tuhan kebiasaannya mengalami gangguan yang lebih teruk kerana tiada ketahanan pada diri dan berlarutan gangguan berpanjangan. Bagi yang berjalan di landasan ilmu dan agama, gangguannya adalah ujian manakala selain itu adalah kifarah atau bala dari Tuhan agar kita kembali kepadaNya untuk memperbaiki kelemahan diri.
Nantikan seterusnya kisah pengalaman perawat yang lain dalam jejak rawatan dan perubatan menelusuri gangguan-gangguan misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi keberadaannya terjadi dari masa ke semasa.
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#gangguanjin
#kelibat
#ditindih
#susahtidur
#mainguli
#bendabergerak
No comments:
Post a Comment