Awal Oktober 2017, pesakit adalah seorang perempuan bujang menumpang di rumah pangsapuri bersama makciknya yang berlokasi di kawasan Sg Dua bahagian pulau, Pulau Pinang. Perawat telah dihubungi oleh ibunya yang menetap di Ayer Itam, Pulau Pinang yang kebetulan anaknya balik bercuti, dari tempat kerja yang berhampiran dengan rumah makciknya.
Mengikut apa yang diceritakan oleh pesakit, gangguan jin ini telah berlangsung selama setahun (dari tarikh rawatan perawat). Ia hanya berlaku di rumah makciknya sahaja dan tidak di rumah ibubapanya di Ayer Itam. Apabila pesakit memberitahu tentang pangsapuri yang diduduki makciknya, umumnya ramai yang telah tahu bahawa pangsapuri ini memang ada gangguan jin sejak dari ia dibina sehinggalah sekarang dan dikategorikan sebagai antara salah satu 'tempat keras' di Pulau Pinang. Ramai penghuni di pangsapuri tersebut sudah lali dengan gangguan yang setiap malam berlangsung kerana tidak ada pilihan untuk menjual rumah mereka setelah membeli dengan harga kos rendah dan terpaksa menerima hakikat gangguan-gangguan yang berlaku.
Pesakit menyatakan di sebelah malam penghuni pangsapuri kerap merasa seram sejuk apabila pulang dari tempat kerja tetapi sudah menjadi kebiasaan bagi mereka kerana terpaksa menempuh situasi tersebut setiap hari. Mungkin bagi orang luar atau orang baru, tidak dapat bertahan lama untuk menyewa di unit-unit rumah pangsapuri tersebut.
Antara gangguan yang berlaku ke atas pesakit ialah susah tidur malam kerana setiap malam akan kedengaran bunyi guli melantun-lantun di siling rumah selain bunyi perabot diubah-ubah, mimpi buruk iaitu dalam mimpinya kerap berjumpa dua beradik budak kecil yang suka duduk di bawah meja makan, kekerapan terjaga malam kerana gangguan, ditindih berkali-kali semasa tidur dan kerap mendapat lebam-lebam di kaki.
Ketika sesi rawatan, perawat mendapati tiada sebarang zat jahat di dalam tubuh pesakit. Hanya gangguan dan mainan jin saja yang berlaku di luar tubuh. Pesakit juga seorang yang kuat semangat dan ada sifat berani untuk berhadapan dengan gangguan-gangguan sebegini. Walau apapun, perawat menyediakan air minum dan mandian yang telah didoakan sebagai ikhtiar membentengi dan merawat diri. Tiada rawatan susulan memandang kejadian hanya berlaku di dalam rumah makciknya sahaja dan tidak di tempat lain.
Ikuti pengalaman perawat seterusnya dalam jejak rawatan dan perubatan bersama Perubatan Ikhtiar Dan Doa dalam menghadapi situasi-situasi yang misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita...
~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#fbPerubatanIkhtiarDanDoa
#jinmenumpang
#gangguanjin
#lebam
#ditindih
No comments:
Post a Comment