Sunday, March 19, 2017

Rawatan Menuruti Sunnah Berdasarkan Dalil

Dalam situasi berhadapan dengan pesakit yang kerasukan, kaedah menyoal jin yang merasuk dipraktikkan bertujuan mencari punca gangguan dan menyuruhnya agar jin keluar dan apabila ia enggan menuruti setelah diperjelaskan kesalahan mereka maka kaedah mengancam mereka dengan ancaman tertentu dilaksanakan seperti memukul jin tersebut tanpa menyentuh atau memudaratkan tubuh pesakit setelah proses rundingan gagal. Pada tahap paling akhir dan dipertimbangkan sebagai wajar maka jin yang tetap berdegil akan dibunuh. Setelah itu pesakit akan diberi air untuk diminum dan air untuk mandian di rumah.

Maka disimpulkan kaedah rawatan ini melalui 4 peringkat iaitu:

1. Menyoal, berunding dan mengancam jin
2. Memukul jin
3. Membunuh jin
4. Penggunaan air sebagai rawatan ke atas pesakit

Berikut adalah dalil-dalilnya:


1. DALIL MENYOAL, BERUNDING DAN MENGANCAM JIN

#Dalil 1. Abu Hurairah menangkap dan menyoalselidik serta mengancam Jin pencuri.

Imam Bukhari di dalam bab "Keutamaan Al-Qur'an" iaitu bahagian "Wakalah", mengenai sifat Iblis, dalam kitab sahihnya mengatakan bahawa Utsman ibnu al-Haitsam yang digelar Abu Amr mengatakan, telah menceritakan kepada kami Auf, dari Muhammad ibnu Sirin, dari Abu Hurairah r.a. yang menceritakan hadis berikut:

"Rasulullah SAW pernah menugaskan diriku untuk menjaga zakat Ramadhan (zakat fitrah). Lalu datanglah kepadaku seseorang yang terus mengambil sebahagian dari makanan, maka aku menangkapnya dan kukatakan padanya, "Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah SAW". Lalu dia berkata, "Lepaskanlah aku, sesungguhnya aku orang yang miskin dan ramai anak, serta aku dalam keadaan sangat memerlukan." Aku melepaskannya, dan pada pagi hari, Nabi SAW berkata padaku, "Wahai Abu Hurairah, apa yang telah dilakukan oleh tawananmu semalam?" Aku menjawab, "Wahai Rasulullah, dia mengadu bahawa dia sangat miskin dan ramai anak hingga aku kasihan padanya, maka aku melepaskannya." Nabi SAW bersabda, "Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta padamu dan dia pasti akan kembali lagi."

Aku pun tahu bahawa dia akan kembali kerana sabda Rasulullah SAW yang mengatakan dia akan kembali. Untuk itu aku mengintainya, ternyata dia datang lagi, lalu dia mengambil sebahagian dari makanan itu. Maka kutangkap dia dan aku mengatakan, "Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah SAW." Dia berkata, "Lepaskanlah aku, kerana aku miskin dan ramai tanggungan anak-anak. Aku taubat tidak akan kembali lagi." Aku merasa kasihan padanya dan aku lepaskan dia. Pada pagi hari, Nabi SAW bertanya padaku, "Wahai Abu Hurairah, apa yang dilakukan oleh tawananmu malam tadi?" Aku menjawab, "Wahai Rasulullah, dia mengadukan keadaannya yang miskin dan punya ramai anak. Aku begitu kasihan padanya sehingga aku melepaskannya pergi." Nabi SAW bersabda, "Ingatlah, sesungguhnya dia telah berdusta padamu dan dia akan kembali lagi."

Aku intai untuk ketiga kalinya, ternyata dia datang lagi dan mengambil sebahagian dari makanan. Maka aku tangkap dia, dan kukatakan padanya, "Sungguh aku akan mengadukanmu pada Rasulullah SAW. Ini sudah kali ketiga, engkau katakan tidak akan kembali namun ternyata masih kembali." Dia pun menjawab, "Lepaskanlah aku, aku akan mengajar padamu beberapa kalimah yang akan membantu mendapat manfaat dari Allah kerananya." Aku bertanya, "Kalimah apakah itu?" Dia pun menjawab, "Apabila engkau tidur di katilmu, bacalah Ayat Kursi iaitu "Allahu laa ilaaha illa huwal hayyul qoyyum..." hingga engkau menyelesaikan ayat tersebut. Sesungguhnya engkau akan terus-menerus mendapat pemeliharaan dari Allah dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi hari." Maka aku lepaskan dia.

Pada pagi harinya Rasulullah SAW bertanya padaku, "Apa yang dilakukan oleh tawananmu semalam?" Aku menjawab, "Wahai Rasulullah, dia mengaku bahawa dia mengajarkan padaku beberapa kalimah yyang menyebabkan aku mendapat manfaat dari Allah kerana (membaca)nya, sehingga aku melepaskan dirinya." Rasulullah SAW bertanya, "Apakah kalimah-kalimah tersebut?" Aku menjawab, "Dia mengatakan padaku, apabila aku hendak tidur di katil, bacalah Ayat Kursi dari awal hingga akhir ayat, iaitu "Allahu laa ilaaha illa huwal hayyul qoyyum..." Dia mengatakan padaku "Engkau akan terus-menerus mendapat pemeliharaan dari Allah dan tiada syaitan yang berani mendekatimu hingga pagi hari."

Sedangkan para sahabat adalah orang-orang yang paling suka kepada kebaikan. Maka Nabi SAW pun bersabda, "Ingatlah, sesungguhnya dia percaya kepadamu, tetapi dia sendiri banyak berdusta. Wahai Abu Hurairah, tahukah kamu siapa orang yang kamu ajak bicara selama tiga malam itu?" Aku menjawab, "Tidak." Nabi SAW berkata, "Dia adalah syaitan."

Kesimpulan yang dapat diambil dari kisah ini adalah:
1. Jin dapat ditangkap dalam keadaan tertentu
2. Jin juga mencuri walaupun harta halal (zakat fitrah) sekiranya tidak meminta perlindungan kepada Allah
3. Jin akan bercakap benar jika diancam atau tergugat
4. Jin boleh membaca ayat Quran tetapi hanya sedikit dan tidak boleh menghabiskannya
5. Jin banyak berdusta
6. Jin mampu memainkan perasaan manusia agar minta dilepaskan jika ditawan
7. Jin tiada upaya kemampuan mengganggu jika manusia meminta perlindungan kepada Allah

#Dalil 2: Ubay bin Kaab menyoalselidik Jin pencuri

Dari Ubay bin Kaab r.a., dahulu mereka memiliki suatu wadah tempat mengeringkan kurma. Di dalam wadah itu terdapat biji kurma. Pada suatu hari, mereka mendapati jumlah kurma di dalamnya berkurang. Maka pada suatu malam mereka menjaganya dan tiba-tiba ada suatu makhluk seperti seorang anak yang berumur baligh. Lalu aku pun memberinya salam dan ia menjawabnya.

Aku berkata, "Engkau manusia atau jin?". Makhluk itu menjawab, "Jin." Aku berkata, "Perlihatkanlah tanganmu!". Ternyata tangan itu adalah tangan anjing dan rambutnya pun rambut anjing. Aku berkata, "Beginikah bentuk jin?". Jin itu menjawab, "Engkau telah mengenal bentuk jin, tetapi di antara mereka ada lagi yang lebih menakutkan dariku." Aku bertanya, "Mengapa engkau mencuri?". Jin itu menjawab, "Aku mendengar bahawa engkau adalah orang yang gemar bersedekah, kerana itu, aku ingin mendapatkan sebahagian dari makananmu." Aku bertanya, "Apa yang dapat menghalangi kalian (golongan jin) dari mengganggu kami?" Jin itu menjawab, "Ayatul Kursi."

Setelah itu, akupun meninggalkannya, dan keesokan harinya aku mendatangi Rasulullah SAW dan menceritakan perihal tersebut. Lalu baginda bersabda, "Makhluk buruk berkata benar." (Hadis Riwayat Ibnnu Hibban)

Kesimpulan yang dapat diambil dari kisah di atas:
1. Jin dapat ditangkap
2. Jin dapat menjadi pencuri di alam manusia
3. Wujud jin sangat hodoh (tangan seperti anjing dan rambutnya pun seperti rambut anjing)
4. Ayatul Kursi mampu mengusir jin.


2. DALIL MEMUKUL JIN

Kisah yang lain diriwayatkan oleh Abu Ubaid di dalam Kitabul Gharib nya, telah menceritakan kepada kami Abu Mu'awwiyah, dari Abu 'Ashim as-Tsaqafi, dari As-Sya'bi, dari Abdullah ibnu Mas'ud, bahawa ada seorang lelaki dari kalangan manusia berangkat, lalu dia bersua dengan lelaki dari kalangan jin. Jin berkata kepadanya, "Mahukah engkau berkelahi denganku? Jika kamu dapat mengalahkan aku, aku akan mengajarkan kepadamu suatu ayat yang jika kamu katakan ketika hendak memasuki rumahmu nescaya tidak ada syaitan yang berani memasukinya." Maka manusia itu berkelahi dengannya, dan ternyata dia dapat mengalahkannya. Lalu si manusia berkata, "Sesungguhnya aku mendekatimu berbadan kurus lagi kasar, seakan-akan kedua tanganmu seperti tangan (kaki depan) anjing. Apakah memang demikian semua bentuk dan rupa kalian golongan jin, ataukah kamu hanya salah satu dari mereka?"

Jin itu menjawab, "Sesungguhnya aku di antara mereka adalah jin yang paling kuat. Sekarang marilah kita bertarung lagi." Maka manusia itu bertarung dengannya dan dapat mengalahkannya. Akhirnya jin itu berkata,

"Kamu baca Ayat Kursi, kerana sesungguhnya tidak sekali-kali seseorang membacanya bila hendak memasuki rumahnya, melainkan syaitan (yang ada di dalamnya) keluar sambil terkentut-kentut seperti suara keldai."

Kemudian ditanyakan kepada Ibnu Mas'ud, "Apakah yang dimaksudkan dengan manusia tersebut ialah Umar?" Ibnu Mas'ud menjawab, "Siapa lagi orangnya kalau bukan Umar."

[Imam Ibnu Katsir - Tafsir Ibnu Katsir, tafsir Ayat Kursi]

Kesimpulan yang dapat diambil dari kisah di atas:
1. Jin mampu berkelahi dengan manusia
2. Susuk tubuh jin bersifat kasar
3. Tangan jin seperti kaki anjing
4. Jin ada yang kuat ada yang lemah
5. Jin mengeluarkan bunyi kentut seperti suara keldai bila dibacakan Ayat Kursi


3. DALIL MEMBUNUH JIN

#Dalil 1: Khalid bin Walid Membunuh Jin Uzza

Dari Abu Al-Thufail, beliau bercerita, "Ketika Rasulullah SAW menaklukkan kota Mekah, beliau mengutus Khalid bin al Walid ke daerah Nakhlah, tempat keberadaan berhala 'Uzza. Akhirnya Khalid mendatangi 'Uzza, dan ternyata 'Uzza adalah tiga buah pohon Samurah. Khalid pun lantas menebang ketiga buah pohon tersebut. Ketiga buah pohon tersebut terletak di dalam sebuah rumah. Khalid pun menghancurkan bangunan rumah tersebut. Setelah itu Khalid menghadap Nabi SAW dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Ujar Nabi, "Kembalilah kerana engkau belum berbuat apa-apa." Akhirnya beliau kembali. Tatkala para juru kunci 'Uzza melihat kedatangan Khalid, mereka menatap ke arah gunung yang ada dekat lokasi sambil berteriak, "Wahai 'Uzza. Wahai 'Uzza." Khalid akhirnya mendatangi puncak gunung, ternyata 'Uzza itu berbentuk perempuan yang mengurai rambutnya. Dia ketika itu sedang menuangkan debu ke atas kepalanya dengan menggunakan kedua telapak tangannya. Khalid pun melibaskan pedang ke arah jin perempuan 'Uzza sehingga berhasil membunuhnya. Setelah itu Khalid kembali menemui Nabi dan melaporkan apa yang telah dia kerjakan. Ujar Nabi, "Nah, itu baru 'Uzza." [HR. An-Nasa'i, Sunan Kubro no. 11547, jilid 6 hal. 474, terbitan Darul Kutub Ilmiyyah Beirut, cetakan pertama 1411 H.]

Kesimpulan yang dapat diambil dari kisah di atas:
1. Tuhan-tuhan yang disembah selain Allah adalah Jin
2. Pohon-pohon yang dikeramatkan itu tempat tinggal jin
3. Jin ada yang berjenis kelamin perempuan yang mengurai rambutnya
4. Manusia mampu membunuh jin dengan pedang

#Dalil 2: 'Ammar bin Yasir Berkelahi Dengan Jin Lalu Membunuhnya

Al-Imam Baihaqy meriwayatkan sebuah hadis dari al-Hasan, bahawasanya 'Ammar bin Yasir berkata, "Aku ikut bersama Rasulullah SAW pernah memerangi jin dan manusia." Seseorang bertanya kepadanya tentang memerangi jin dan 'Ammar bin Yasir menjawab, "Rasulullah SAW mengirimku ke suatu sumur (telaga) tempat baginda mengambil air. Lalu aku melihat syaitan dalam bentuknya. Dia menyerangku dan aku pun menyerangnya, sehingga kami terlibat dalam pergelutan. Suatu saat aku menghentam hidungnya dengan seketul batu sebesar tangan yang kutemukan."

Nabi SAW mengatakan, " 'Ammar bertemu dengan syaitan di sumur, dan dia membunuhnya." Ketika aku kembali, Rasulullah SAW bertanya kepadaku, dan aku pun menceritakan apa yang aku alami. Saat itu Abu Hurairah r.a. berkata, " 'Ammar bin Yasir mendapat pahala dari Allah dengan mengalahkan syaitan menurut ucapan Rasulullah SAW." 
Kesimpulan yang dapat diambil dari kisah di atas:
1. Jin akan terluka jika dipukul dengan benda-benda alam manusia
2. Jin boleh mati terbunuh oleh manusia
3. Manusia boleh melihat jin pada keadaan tertentu
4. Jin boleh menyerang manusia dan manusia juga mampu menyerang jin

4. DALIL MEMBERI AIR SEBAGAI RAWATAN KE ATAS PESAKIT

Dan ingatlah akan hamba Kami Ayyub ketika dia menyeru Tuhannya, "Sesungguhnya aku diganggu syaitan dengan penderitaan dan bencana." (Allah berfirman), "Hentakkanlah kakimu; inilah air yang sejuk untuk mandian dan untuk minum." [Sad : 41 dan 42]

Kesimpulannya:
Berdasarkan penelitian dan pengkajian kaedah para sahabat menangani jin ini maka ianya tidak terhenti dengan cara ruqyah semata-mata bahkan ada cara yang pelbagai itu seperti yang diajarkan oleh tuan guru perawat. Oleh yang demikian cara rawatan perawat juga menuruti sunnah.

InsyaAllah.

~Tuan Muhammad Faiz al-Prawis~

No comments:

Post a Comment