Saturday, July 7, 2018

*Pengalaman Merawat Kerasukan Jin Utusan Sihir Akibat Cinta Eps 69*

MERAWAT KERASUKAN JIN UTUSAN SIHIR AKIBAT CINTA

Pengalaman rawatan kali ini melibatkan kes kerasukan jin utusan sihir yang telah agak lama mengganggu seorang pesakit wanita. Penghujung bulan Februari 2018, perawat telah dihubungi oleh abang ipar kepada pesakit untuk datang ke rumahnya di Batu Maung, Pulau Pinang. Lewat tengahari perawat sampai ke rumah tersebut yang merupakan sebuah apartmen.

Pesakit wanita ini berasal dari Johor Bahru, datang bersama suaminya untuk cuba ikhtiar berubat di Pulau Pinang pula. Maka sesi temubual pun dimulakan untuk mencari asbab masalah gangguan pada diri pesakit.

Mengikut cerita pesakit wanita ini, dia pernah berkahwin dengan seorang lelaki di Johor Bahru. Kerana tidak ada keserasian, jodoh perkahwinan tidak panjang dan berakhir dengan perceraian. Sambung cerita pesakit lagi, pernah seorang lelaki cuba melamar dirinya tetapi ditolak kerana belum ada keterbukaan hatinya lagi untuk menerima seorang suami. Akibat tidak dilayan, lelaki tersebut telah memberi amaran keras bahawa jika dia tidak dapat memiliki pesakit wanita ini, lelaki lain juga tidak berhak untuk dapatkannya. Bermulalah episod gangguan sedikit demi sedikit berlaku dalam rumahnya sehinggalah merebak kepada kerasukan.

Pesakit telah mengalami gangguan kerasukan hampir 18 tahun lamanya. Antara simtom-simtom gangguan yang berlaku ialah kerasukan 100% dan sakit kepala selain sakit ketiak dan lengan kirinya tidak boleh diangkat. Pernah pesakit ikhtiar berubat dengan beberapa orang perawat. Baik sekejap saja kemudian jadi lebih teruk. Selama 12 tahun yang pertama dia berubat merata tempat, berhabis wang ringgit dan terlalu letih menanggung gangguan. Setelah 12 tahun, kata pesakit, nampak pulih sedikit dan jarang-jarang berlaku kerasukan. Pesakit wanita ini dapat melangsungkan perkahwinan buat kali kedua dengan seorang lelaki dan mampu bersabar dengannya walaupun tahu gangguan berterusan. Hasil dari perkahwinan pertama, pesakit memiliki beberapa orang anak tetapi 6 tahun perkahwinan terbaru, tidak dikurniakan zuriat. Ketiak dan lengan kirinya masih sakit dalam tempoh 6 tahun itu, telah mengurut juga dengan beberapa orang tukang urut, hasilnya tiada perubahan.

Setelah mendapat beberapa maklumat, sesi rawatan pun bermula. Perawat memanggil jin yang merasuk pesakit supaya muncul untuk berunding. Tidak sampai 2 minit, pesakit kerasukan. Kemudian perawat ajak berdialog cara baik dengan jin utusan sihir itu. Jin ini memberitahu agamanya adalah Islam. Ada seorang lelaki yang menghantarnya ke pesakit ini kerana cinta lelaki tersebut ditolak. Perawat menyatakan kerana jin ini Islam, jadi perawat tidak mahu menyiksa atau mengambil tindakan lebih keras kerana ia juga merupakan saudara seagama Islam. Jin mengangguk faham. Perawat menasihatkan jin ini supaya ia rela keluar dan kembali ke tempat asalnya tetapi ia tidak mahu. Kerana katanya ia telah jatuh cinta pada pesakit ini dan sudah bersama dengannya ketika dia masih status janda lagi. Perawat memberi sedikit tazkirah untuk menyedarkannya tentang perbezaan alam jin dan alam manusia, tidak boleh bercinta dan berkahwin antara jin dan manusia kerana hukumnya haram mengikut jumhur ulama. Masih juga jin tidak mahu keluar kerana tidak tahu hendak ke mana dan ia akan kesepian.

Perawat bertanya pada jin jika perawat memberikan satu jin perempuan yang cantik sebagai ganti cinta pada pesakit wanita ini, mahu tak untuk terima. Jin lelaki Islam ini diam dan tertunduk sedih memandang ke bawah. Kemudian perawat membaca sepotong ayat alQuran dari Surah ar-Rum tentang Allah telah menyediakan pasangan untuk lelaki dan perempuan dari jenisnya. Jin Islam ini faham dengan ayat tersebut tetapi masih tertunduk sedih seperti susah hati. Perawat bertanya jin ini kenapa sedih. Adakah kerana ia tidak kacak, tidak segak dan tidak hensem yang menyebabkan tiada jin perempuan yang mahukannya. Jin menganggukkan kepalanya. Perawat memberi tawaran untuk menukarkan tubuh badan jin Islam ini menjadi segak, amat kacak, berseri dan diminati jin-jin perempuan Islam yang cantik-cantik. Jin mengangguk bersetuju. Setelah selesai, perawat bertanya pada jin macamana dengan keadaan diri, cantik tak, berseri tak. Jin melihat tangan kanan kirinya tubuh badannya sambil mengangguk tersenyum. Kemudian ditanya namanya, jin menggelengkan kepala kerana tiada nama. Jadi perawat menamakannya dengan nama Muhammad sempena mengingati kekasih umat Islam, Nabi Muhammad SAW. Jin pun bersetuju.

Kemudian perawat berdoa pada Allah minta dihadirkan satu jin perempuan Islam yang lebih cantik dari pesakit wanita ini. Tidak sampai 2 minit, jin bernama Muhammad ini mengangkat kepalanya seperti menjenguk seseorang di pintu masuk rumah tersebut. Perawat bertanya adakah jin ini nampak jin perempuan tersebut, jin lelaki ini mengangguk. Ditanya lagi, cantik tak jin perempuan itu, ia mengangguk dan tersenyum. Kemudian perawat bertanya adakah ia yang menyebabkan pesakit ini tak boleh mendapat zuriat. Jin mengangguk. Adakah ia memusingkan rahimnya. Jin mengangguk. Adakah ia juga yang menyebabkan ketiak dan tangan kiri pesakit wanita ini sakit. Jin mengangguk. Perawat kemudian meminta jin lelaki ini perbetulkan semula kedudukan rahim pesakit ini supaya dia boleh mengandung semula, perbetulkan urat-urat di ketiak dan lengan kirinya dan pulihkan sakit kepalanya sebelum ia keluar untuk menemui jin perempuan tersebut. Dalam beberapa minit, jin lelaki ini menjalankan arahan perawat.

Setelah selesai, perawat bertanya adakah sudah betul semua. Jin mengangguk. Ada lagi tak tempat-tempat yang ia tertinggal. Jin menggelengkan kepala. Kemudian perawat mengarahkan supaya jin ini mengikut kata-kata perawat melafaz sumpah dengan nama Allah dan perjanjian yang dibuat. Setelah selesai, perawat bertanya ikut mana ia mahu keluar, jin bagitahu ikut kaki. Perawat meminta suami pesakit berada di belakang isterinya kerana kebiasaannya apabila jin keluar badan, pesakit akan tumbang. Maka perawat membuka pintu keluar melalui kaki pesakit dan membantu menarik jin lelaki Islam itu keluar dan pergi bersama dengan bakal isterinya jin perempuan Islam di alam jin. Kelihatan airmata kesedihan meleleh keluar tanda ikatan percintaan telah diputuskan.

Setelah pesakit sedar, perawat bertanya sama ada pesakit ingat apa-apa yang berlaku, katanya dia tak berapa ingat. Kemudian pesakit diminta untuk bersyahadah untuk kepastian. Dan ditanya badan terasa ringan tak, ketiak dan lengan kiri masih sakit lagi dan kepalanya sudah hilang sakit tak. Pesakit menyatakan semuanya sudah pulih dan kembali normal. Terasa terlepas dari bebanan yang ditanggung selama 18 tahun itu. Alhamdulillah. Rawatan mengambil masa dalam 1 jam.

Perawat kemudian memulihkan tubuh badan pesakit, merawat dalamannya, membuat dinding dan pagar pada tubuhnya dan mendoakan air penawar sebelum rawatan diselesaikan sepenuhnya.

Kredit: Kebenaran Video Oleh Pesakit

https://youtu.be/Y3VWUnszKIA


Nantikan seterusnya, lagi kisah perawat menyelesaikan kes kerasukan yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekeliling kita.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

Thursday, July 5, 2018

*Pengalaman Merawat Salah Urat Disebabkan Perbuatan Tukang Urut Palsu Eps 68*

MERAWAT SALAH URAT YANG DISEBABKAN OLEH PERBUATAN TUKANG URUT PALSU

Pada penghujung bulan Februari 2018, perawat telah dihubungi oleh seorang lelaki pada sebelah pagi meminta untuk merawat bapanya yang sakit berlokasi di Batu Maung, Pulau Pinang. Perawat sampai ke rumah tersebut pada hampir lewat tengahari.

Kelihatan pesakit seorang lelaki tua sedang terbaring di atas tilam di ruang tamu. Anak lelakinya yang menghubungi perawat menceritakan bapanya yang menetap di Johor Bahru, datang ke Pulau Pinang untuk dirawat oleh perawat. Setelah ditanya bagaimana dia tahu nombor telefon perawat, anak lelaki ini bagitahu yang sepupunya kenalkan. Mungkin diambil dari Facebook perawat atau blog perawat Islam di internet.

Perawat kemudian duduk berhampiran dengan pesakit untuk bertanyakan apa yang terjadi. Menurut pesakit (lelaki tua), dia telah sakit hampir sebulan. Badannya bisa-bisa, sakit urat dan tak senang duduk mahupun tidur malam. Puncanya pesakit ini telah dibawa oleh kawannya untuk mengurut badan dengan seorang tukang urut yang ternyata palsu di Johor Bahru. Cara urut yang terlalu kasar dan menyakitkan selama 3 jam sehingga selepas diurut, pesakit dipapah keluar untuk pulang. Kerana terlalu sakit, pesakit berulangkali melakukan pemeriksaan di klinik dan hospital dan hanya diberi ubat tahan sakit kerana didapati sakit urat. Jadi anak lelakinya menjemput bapanya (pesakit) untuk datang ke Pulau Pinang dan ikhtiar untuk dirawat oleh perawat.

Kemudian pesakit dipapah masuk bilik tidur utama untuk diperiksa jika terdapat sebarang gangguan atau masalah fizikal. Setelah diperiksa, ternyata uratnya yang bermasalah akibat di salah urut. Pesakit diminta meniarap dan perawat kemudiannya melakukan akupuntur Zikir Akbar ke titik-titik utama. Pesakit mengerang kesakitan sepanjang rawatan. Kemudian pesakit minta untuk duduk kerana tidak tahan dengan rawatan akupuntur Zikir Akbar. Dalam pada duduk, pesakit masih mengerang sehinggalah hilang kesemua sakitnya dan perawat membetulkan urat-uratnya dengan urutan. Rawatan mengambil masa hampir sejam.

Setelah selesai, pesakit berjalan keluar bilik seperti biasa tidak perlu dipapah dan seperti tidak sakit. Tersenyum perawat melihat keadaan pesakit seperti tiada apa-apa. Kebetulan adik-beradik pesakit baru sampai dari Perak, sebaik saja selesai rawatan, untuk menziarahi pesakit. Semua menjadi hairan kerana asalnya pesakit terlantar di atas tilam hampir sebulan tiba-tiba menyambut kedatangan mereka sambil duduk sembang di luar rumah yang disediakan kerusi.

Dan kebetulan juadah jamuan makan tengahari telah disiapkan awal-awal, maka perawat dijemput sama menjamu selera.

Kredit : Kebenaran Gambar Daripada Pesakit




Teruskan bersama kisah perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekitar masyarakat.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1

*Pengalaman Merawat Sihir dan Kerasukan Jin Pontianak Eps 67*

MERAWAT SIHIR DAN KERASUKAN JIN PONTIANAK

Bersambung kisah pengalaman kali ini, pada pertengahan bulan Februari 2018, perawat telah dipanggil untuk merawat seorang remaja perempuan yang dimaklumkan oleh ibunya, telah terkena sihir dan kerasukan. Kebetulan pada hari tersebut adalah hari Jumaat, selepas selesai solat Jumaat, perawat berangkat ke rumah pesakit di lokasi Bayan Lepas Pulau Pinang.

Sesampai di rumah pesakit, kelihatan pesakit remaja perempuan tengah tidur meniarap di atas katil di dalam biliknya. Perawat menemubual ibunya untuk dapatkan sedikit maklumat tentang apa yang berlaku pada anaknya.

Mengikut kata ibu pesakit, pesakit telah lama menanggung gangguan ini hampir setahun. Umurnya baru 13 tahun dan telah terlalu banyak ponteng sekolah sejak terjadinya gangguan tersebut dan sekarang hampir dibuang sekolah kerana pihak sekolah tidak boleh menerima alasan kes seperti ini. Pesakit telah banyak kali kerasukan penuh dan lari dari rumah mengikut seorang budak lelaki mat motor yang dia kenali. Ada juga perawat lain yang datang untuk merawat tetapi tiada perubahan dan tetap kerasukan. Pernah anaknya itu tidak pulang ke rumah selama 2 minggu, repot polis telah dibuat dan akhirnya berjaya ditangkap di kawasan Bayan Baru di mana pesakit sedang tidur di tepi tong sampah.

Semasa dalam tahanan polis dan keluarga pesakit bergegas ke balai polis, pesakit terbaring lemah dan tidur. Ketika keluarga pesakit sampai dan setelah selesai berurusan dengan polis, ketika pesakit diangkat untuk dibawa balik, tiba-tiba pesakit bertindak ganas dan 7 orang termasuk beberapa orang polis cuba memegang mangsa yang ingin melarikan diri, cerita ibu pesakit lagi. Yang luarbiasanya terjadi pada malam itu ialah ketujuh-tujuh orang lelaki yang memegang tangan dan kaki pesakit terpelanting ke belakang padahal tubuh pesakit remaja perempuan ini kurus dan tidak tinggi. Pesakit terus melarikan diri dan menghilang pada malam tersebut. 3 minggu kemudiannya pesakit pulang ke rumah dengan berkaki ayam dan kebingungan kerana hairan kenapa dia boleh tidur di kaki lima.

Kejadian ini berlaku hampir setahun sehinggalah jiran keluarga pesakit, yang juga bekas pesakit perawat, merekemenkan nombor telefon perawat kepada ibu pesakit untuk berikhtiar.

Setelah ada sedikit maklumat, sesi rawatan pun bermula. Perawat mula memeriksa mata pesakit. Apabila dibuka kelopak mata, hanya mata putih yang nampak. Mata hitamnya telah naik ke atas. Perawat kemudiannya mengenalpasti ada jin di dalam tubuh pesakit dan bertindakbalas kasar bila ibunya cuba membalikkan tubuh anaknya ke hadapan.

Perawat menjurus jin di dalam tubuh. Kelihatan muka pesakit menahan sakit. Hampir 40 minit jin dijurus barulah dia bersuara menyuruh perawat pulang tetapi mata masih terpejam. Kemudian perawat meminta segelas air untuk didoakan. Air doa tersebut disapukan pada muka, tangan dan kaki pesakit. Tidak sampai 10 minit, pesakit terjaga dan terpinga-pinga.

Ibu pesakit memberitahu sudah 2 hari anaknya tidur tak makan, tak minum, tak mandi, tak buang air, hanya tidur saja sehingga perawat datang. Kemudian perawat bertanya pada pesakit sama ada lapar atau tak. Pesakit menjawab lapar sangat-sangat. Perawat meminta ibunya mengambil nasi berlauk dan air seberapa segera kerana khuatir pesakit pedih perut tak makan. Kelihatan pesakit makan dengan banyak disuap ibunya dan dua kali ditambah nasi.

Setelah selesai makan, perawat menemubual pesakit tentang apa yang berlaku. Pesakit tidak ingat apa-apa ketika kerasukan. Katanya dia selalu nampak susuk jelmaan jin memakai baju putih berambut panjang (pontianak) dan terus susuk tersebut masuk ke tubuh pesakit lalu tidak sedarkan diri. Pesakit mengakui mempunyai seorang kekasih lelaki. Dalam masa yang sama, kawan kepada kekasihnya pula meminati pesakit dan ingin merampasnya dari kekasihnya dengan cara halus. Jadi pesakit telah diberi makan "sesuatu" yang kemudiannya hanya teringat kepada lelaki tersebut dan menurut ke mana saja lelaki tersebut pergi. Keadaannya seperti dipukau atau patung yang menurut perintah.

Kemudian perawat bertanyakan simtom-simtom gangguan. Pesakit hanya menyatakan kepalanya sentiasa sakit dan ada benda bergerak-gerak dalam tubuhnya. Bila ditanya ada terasa tak pergerakan benda tu, pesakit menggelengkan kepala tanda tiada. Sakit kepala pun tiada. Bererti jin pontianak tadi telah keluar dan melarikan diri. Setelah hampir 1 jam lebih, keadaan pesakit kelihatan normal, perawat meminta diri untuk pulang dan berpesan pada ibunya jika berlaku apa-apa pada malam tersebut, cepat-cepat panggil perawat untuk datang kerana kemungkinan jin tersebut mungkin kembali masuk ke tubuh pesakit.

Keesokan paginya perawat cuba menghubungi ibu pesakit tetapi tidak berjawab. Terdetik hati perawat mengatakan pesakit akan mengalami kerasukan pada hari tersebut. Petang tersebut selepas solat Asar, jiran pesakit yang juga bekas pesakit perawat mengirim mesej menyatakan pesakit tiba-tiba mengamuk, menggegar pintu pagar besi yang dikunci dengan mangga solex, telah dipecahkan pesakit yang kemudiannya melarikan diri turun melalui tangga berkaki ayam dan terus menaiki motor budak lelaki yang mengenakan ilmu padanya.

Selepas dari itu, tidak kedengaran lagi apa-apa cerita atau berita daripada keluarga pesakit tersebut kerana perawat tidak dihubungi lagi oleh keluarga tersebut.

Teruskan bersama kisah perawat yang lain dalam menelusuri jejak rawatan dan perubatan menempuh pengalaman misteri, aneh, ganjil dan pelik tetapi benar-benar terjadi di sekitar masyarakat.

~Tuan Muhammad Faiz PerIDaDo~

#fb:PerubatanIkhtiarDanDoa
#al-faiz-al-falah.blogspot.my
#perawat-islam.blogspot.my/p/khidmat-rawatan-islam.html?showComment=1499784962972&m=1